Terngiang-terngiang juga di telinga saya satu pesan Nabi
yang diajarkan oleh Habib Muhammad as-Saqqaf, “Kalau menaiki tempat tinggi atau
ketika kapal terbang berlepas, sunat menyebut Allahu Akbar. Jika menuruni bukit
atau ketika kapal terbang mendarat, sunat menyebut Subhanallah." Di mana sahaja
kita pergi, pastikan Allah ‘dibawa’ bersama.
Saya kongsikan kekaguman itu kepada seorang sahabat dari
Nepal yang bekerja di Hotel Hyatt Regency, tempat saya menginap. Namanya Annal
Kumar. Katanya, “Kamu beruntung, aku sendiri seumur hidup tak pernah melihat Gunung
Everest dari dekat. Aku tidak rasa pun ia sesuatu yang hebat. Bagiku,
pantai-pantai yang ada di Malaysia lagi cantik.”
Upacara Pembakaran Mayat
Tak sah kalau mengunjungi negeri kelahiran Gautama Buddha
ini jika tidak mengunjungi Kuil Pashupatinath. Kuil ini adalah salah satu
antara tempat paling suci bagi masyarakat Hindu di seluruh dunia. Hanya orang
Hindu yang dibenarkan masuk. Non-Hindu dibenarkan berada di seberang sungai.
Dari jauh, kami melihat upacara pembakaran mayat diadakan.
Bau asap mayat menusuk lubang hidung. Suasana yang agak menakutkan dengan awan
berarak mendung dan pekikan daripada keluarga si mati kedengaran di mana-mana.
Mengikut budaya Hindu, anak lelaki sulung yang akan
melakukan upacara pembakaran mayat kemudian abu akan dicampakkan ke dalam
sungai. Setelah selepas upacara, si anak tadi akan membuka pakaiannya lalu
mandi di satu kawasan di situ. Seminggu sebelum berangkat ke sini, saya juga
kehilangan ayah tercinta. Dalam hati saya terfikir, “Syukurnya aku dilahirkan
Islam!”
Rahmatnya Islam, manusia dimuliakan sehinggalah saat
kematian. Haram kita menyakitkan mayat apatah lagi membakarnya. Makruh bagi
wanita menghantar jenazah ke kubur. Haram berpekik melolong meratapi jenazah
(an-niyahah) seolah-olah tidak dapat menerima qada’ dan qadar Allah. Dan yang
lebih penting, tiada syarat anak lelaki perlu menanggalkan pakaian selepas
menyempurnakan pengebumian.
Menurut pengiring kami Mr. Shusil Nepal yang beragama Hindu,
setiap waktu akan ada sahaja mayat akan dibakar di situ. Sebelum ini, kerajaan
pernah mengusulkan pembakaran secara krematorium seperti kebanyakan negara moden
tetapi kebanyakan ‘ulama-ulama’ Hindu di Nepal membantahnya.
Bagi mereka, pembakaran sebegini akan menyebabkan mayat itu
tidak mendapat ‘samsara’ atau disebut sebagai dihidupkan semula
(reincarnation). Ini kerana abu tersebut perlu dicampak ke dalam Sungai Bagmati
yang mengalir lesu terus ke Sungai Gangga.
Saya perasan sesuatu pada pengiring kami ini. Dia seorang
yang sangat berbudi bahasa. Iya, seperti kebanyakan masyarakat Nepal yang kami
temui sepanjang perjalanan. Ketika memasuki masjid, dia sama-sama beriktikaf di
dalamnya.
Lebih daripada itu, setiap kali dia bercerita tentang
tuhan-tuhannya, dia akan berkata, “Menurut kepercayaan nenek moyang kami...”
Seolah-olahnya dia sendiri seperti tidak yakin dan menganggapnya satu
kepercayaan nenek moyang. Selaku seorang Islam, saya sentiasa berdoa agar
dengan kebanjiran pelancong Islam ke Nepal, masyarakat di sana akan lebih
tertarik dengan Islam.
No comments:
Post a Comment