Tuesday 4 February 2014

Kisah Songkok





Ketika Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang dan mengumumkan status solat jenazah ghaib serta tempoh pengesahan kematian, saya sedang berada di kedai makan; menunggu roti payang (nan) yang dipesan. Entah macam mana, saya terdengar suara-suara kasar dari meja sebelah yang turut menontonnya melalui kaca tv. Mereka mempertikaikan kebanyakan ahli majlis tersebut dengan alasan mereka tidak tsiqah kerana memakai songkok bukannya kopiah.

Entah apa yang difahami masyarakat kita tentang songkok. Bukankah bersongkok juga dikira sebahagian sunnah Nabi SAW secara umum yang sering dilihat bertutup kepala? Songkok bukanlah satu benda yang asing bagi masyarakat Melayu. Tiada kehinaan padanya bahkan ia menjadi kebanggaan dalam mengaitkan masyarakat Melayu sebagai sebuah masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. 

Belajar Supaya Tidak Kurang Ajar
Mulut kita akan mudah menghukum sesuatu apabila tidak berilmu. Dengan ilmu, kita akan menjadi lebih berlapang dada dan terbuka terhadap perkara yang kita tidak setuju. Jika kita melihat seorang yang dianggap hebat oleh masyarakat, tiba-tiba tampil merendah-rendahkan orang alim yang tidak sependapat dengannya (padahal para ulama sezamannya mengiktiraf keilmuan orang alim tadi), orang ‘hebat’ tadi belum layak digelar orang berilmu.
Semakin bertambah ilmu kita tentang sesuatu akan membuatkan kita semakin teruja tentangnya hatta mengenai sebuah songkok. Paling kurang, penutur bahasa Melayu perlu tahu bahawa penjodoh bilangan bagi songkok ialah ‘sebuah’. Pencinta bahasa dan bangsa perlu sedar bahawa songkok adalah satu warisan Melayu Islam yang semakin dipinggirkan. 

Orang dulu-dulu, menganggap songkok dipakaikan di kepala yang mulia itu sebagai satu maruah diri. Pantang anak Melayu jika songkok ditarik dari kepala apatahlagi diinjak-injakkan sesudah itu. Haji Maarof Salleh, seorang penulis akhbar Berita Harian Singapura pernah menulis tentang nasib songkok dan bahasa Melayu dalam artikel bertajuk ‘Bahasa, Songkok dan Agama Islam’ pada 9 Februari 2007.

Songkok dan Mortar Board
Bagi pencinta agama, kita perlu sedar songkok mempunyai sejarahnya sendiri dalam Islam. Seorang tokoh ilmuan Malaysia, Syeikh Dr. Afifi al-Akiti yang merupakan Felo di Universiti Oxford adalah antara individu yang sentiasa membudayakan pemakaian songkok. Dalam satu kuliah beliau mengenai ‘Ketamadunan Islam’, beliau menyatakan bahawa kehebatan yang dimiliki Barat pada hari ini adalah diceduk daripada ketamadunan Islam. 

Contohnya, penggunaan ‘mortar board’ (topi konvo) ketika acara konvokesyen. Ia adalah adaptasi daripada peninggalan Islam terdahulu ialah ketika seorang guru ingin memberi ijazah kepada pelajarnya, pelajarnya diminta untuk menjunjung al-Quran di atas songkok dan diikat kedua-duanya. 

Ia suatu petanda bahawa, seseorang itu sudah layak untuk menyebarkan agama. Namun, apa yang menjadi satu trend masyarakat kita, membaling topi tersebut setelah tamatnya acara. Moga-moga tiada antara kita yang meniatkan membuang agama ketika membaling topi tersebut.

Sebagai tambahan, Guiness World Records telah mengiktiraf bahawa universiti pertama di dunia ialah Universiti Al-Karaouine di Fes, Maghribi. Ia didirikan pada tahun 859 oleh seorang wanita yang bernama Fatimah al-Fihri, anak perempuan kepada seorang saudagar kaya yang berhijrah dari Tunisia. Ia dibina hampir 200 tahun lebih awal daripada universiti pertama di barat ialah Universiti Bologna, di Itali. Dalam buku Islamic Lost History ada menyatakan bahawa tradisi konvokesyen yang pertama di dunia adalah di universiti ini.

Al-Qullais vs Kaabah
Dalam bahasa Arab, songkok di sebut al-Qalansuwah. Ada satu cerita yang sangat menarik tentang kalimah ini. Pernahkah anda mendengar cerita tentang sebuah bagunan bernama al-Qullais? Ia sering disebut dalam kisah tentera bergajah Abrahah yang ingin menghancurkan Kaabah suatu ketika dahulu. 

Diriwayatkan dalam kitab-kitab tafsir seperti al-Qurtubi dan lain-lain, antara punca Abrahah ingin memusnahkan Kaabah kerana Kaabah makmur dan selalu dikunjungi orang. Abrahah telah membina sebuah bangunan yang hebat di negerinya iaituYaman untuk menandingi Kaabah tetapi gagal. Bukan sekadar gagal, bangunannya telah dimasuki beberapa orang lelaki dari Makkah yang telah membuang najis di dalamnya. Abrahah menjadi marah dan menjadikan ia sebagai suatu alasan untuk melanggar kota Makkah. 

Apa kaitan cerita itu dengan kisah songkok? Dikatakan nama bangunan itu bernama Qullais. Ia dinamakan sedemikian sempena nama Qolansuah (songkok). Bangunan itu dikatakan tersangat tinggi sehingga sesiapa yang memandangnya perlu mendongakkan kepala dan akan terjatuh songkoknya.