Tuesday 24 September 2013

rindu

Assalamualaikum..

Rindu membawaku ke sini. Rindu pada Azhan dan uminya. Rindu juga menggamitku untuk tidak terus selesa berada di sini; di atas kerusi yang menangung beban tuannya sahaja, menghadap pc sambil menonton kata-kata, di bilik dingin lagi sunyi tanpa rengekan si kecil yang ingin membesar juga rengekan si besar yang ingin mengecil. haha. Uminya pasti terkesan dengan kata-kata ini.

Apa yang membawa kalian ke sini? Kalau juga kerna rindu, ketahuilah rindu ini sudah berbeza. Perindu ini bukan lagi rebung yang boleh dicincang-cincang tubuhnya untuk dijadikan sayur masak santan. Dia sudah berubah menjadi buluh yang cukup tegar untuk mendidihkan pulut yang dicampur santan.

Ahh, masih lagi santan yang menjadi pelengkapnya! Bercakap soal santan tidak membawaku ke mana-mana. Aku ingin kembali pada rindu. Tenggelam di dalamnya bisa membuatku terbang merentasi langit dunia.
 Asap api embun membasah
ramas santan di dalam mangkuk
hajat hati malas berpisah
ibarat ikan meninggal lubuk
Abu Azhan


Wednesday 18 September 2013

Petua Mudah Bersalin- Syeikh Juha


Isteri Juha sedang sarat hamil. Apabila sambil waktu untuk melahirkan anak, seperti biasa dia memanggil jirannya untuk menguruskan.

Salah seorang daripada jirannya keluar dan memberitahu, “Wahai Juha, kandungan isterimu ada masalah. Anaknya tidak mahu keluar? Banyakkanlah berdoa kepada Allah agar dipermudahkan.”
Mendengar sahaja kata-kata itu, cepat-cepat Juha ke pasar. Dia membeli manisan-manisan yang banyak dan pelbagai bentuk. Kemudian, dia memberikan kepada jirannya dan berpesan, “Letakkan manisan ini di sebelah isteriku.”
“Kenapa?” tanya jirannya tadi kepelikan.
“Aku tahu budak-budak sukakan manisan. Jika kandungan ini menghidu bau manisan, pasti dia akan keluar dari perut ibunya dengan cepat.”

Moral: Orang dulu-dulu hebat kerana banyak amalan dan pantang larangnya. Orang zaman sekarang lain juga hebat, segala pantang jadi amalannya. Antara amalan yang diajar oleh orang dulu-dulu untuk memudahkan  bersalin adalah meminum air selusuh, air zamzam, air kelapa, air akar fatimah, minyak tanak dll.   
Bagi para suami, tunjukkanlah keprihatinan anda dengan mengerti kesusahan mereka walaupun tidak menderitai.
Info: Air selusuh ialah air yang dibacakan padanya beberapa ayat al-quran, doa dan zikir untuk memudahkan wanita bersalin. Yang terbaiknya ia dibuat sendiri oleh si suami.

Tuesday 10 September 2013

Cara diamkan anak menangis- Syeikh Juha

Juha baru sahaja mendapat seorang cahaya mata.
Tetapi masalahnya, anaknya menangis tidak berhenti-henti.
Pening kepala isterinya memikirkan cara untuk menghentikan tangisan anaknya.
Isteri Juha bertanya kepadanya, “Apa yang hendak kita lakukan kepada budak-budak yang suka menangis?”

Kata Juha, “Jika seorang budak menangis.. kamu letakkan di depannya kitab ini,” kata jawab sambil mengunjukkan sebuah kitab kepada isterinya.” Isterinya tercengang.

“Kemudian kamu belek-beleklah muka suratnya nescaya di akan tidur dengan cepat,” sambung Juha lagi.
Kata isterinya dengan nada tidak berpuas hati, “Adakah kamu bergurau denganku, wahai Juha?”

Kata Juha, “Tidak. Ia memang mujarab. Ini adalah kitab fikah yang aku syarahkan kepada orang ramai di masjid. Mereka semua tidur selepas aku membelek-beleknya di depan mereka.
Jikalau orang dewasa boleh tertidur, inikan pula kanak-kanak.”

Moral: Anak-anak yang baru dilahirkan biasanya akan menangis. Itu perkara normal. Dalam Islam, disunatkan si ayah mengazankan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri apabila bayi lahir. Apa tujuannya?


Menurut hadis, ada jin tertentu bernama Ummu Shibyan yang suka mengganggu anak-anak kecil. Justeru, azan sangat berguna agar dijauhkan daripada gangguan jin dan syaitan. Apa yang lebih utama lagi, ia satu penyaksian bahawa kalimah tauhid menjadi ilmu pertama yang didengar oleh si bayi.

Azhan bin Abdul Wahab
contoh anak yang baik, tidur je manjang!