Wednesday 28 August 2013

Sajak kematian


suasana matahari terbit di Kathmandu

Lama tak berbaring menatap bumbung
Sekali pandang, tampak begitu janggal bentuknya
Lama juga tak mengalun zikir
Sekali ucap, begitu hambar bunyinya

Wahai jantung yang sedang sakit
Wahai jejari yang masih menari
kegelapan kian memenuhi ruang
merubah manis menjadi tawar

 
malam yang sejuk di kaki gunung

Hari ni kamu bertuah
gelap yang datang menjadi sekutu
ia tidak sekadar hilangkan cahaya
ia tutup juga aib dan dosa

esok lusa
antara gelap dan cahaya
antara kamu dan saya
entah siapa yang dipanggil dulu

alam pergi  dengan petanda yang besar
kita pergi tak kira; kecil dan besar

-Abu Azhan al-Habibi

Monday 26 August 2013

Teka-teki Buah

Saya ingin mulakan cerita saya dengan satu teka-teki yang tidak pernah dapat dijawab oleh sesiapa. “Buah apa yang ada pelbagai rasa? Semua rasa buah ada padanya. Buah itu disukai Nabi SAW dan juga ada di dalam syurga? 



Alhamdulillah, Syawal kali ini tambah berseri dengan kedatangan musim buah. Ada yang sanggup menunda puasa enam mereka lantaran tewas pada aroma durian, semete, duku, rambutan dan setar. Saya ingin berkongsi kandungan kitab as-Syamail al-Muhammadiah karya Imam Tirmizi dalam bab buah-buahan. Ia sebuah kitab yang cukup indah ulasannya tentang adab dan sunnah Nabi SAW.

1. Makan Timun Bersama Tamar.
Baru-baru ini saya berkesempatan pulang ke kampung Paloh Nyior di Hulu Terengganu. Perkara pertama yang saya lakukan ialah ke kebun menunggu durian jatuh ke rebe (himpunan kayu kering) dan memanjat pohon semete. Pesan emak, “Jangan makan sekaligus buah durian dengan semete, bahaya!” Kata emak lagi, “Buah durian sifatnya panas manakala semete itu sejuk, nanti perut akan memulas.”

Saya hanya tersengih tidak berani mengiakan apalagi menafikannya. Diluah nafi mak, ditelan nafi Nabi. Saya bukan pakar pemakanan seperti Dr. Mehmet Oz yang sering muncul di kaca TV al-Hijrah. Cuma hati kecil ini kuat mengatakan, kalau benar perut memulas, bukan sejuk atau panas yang menjadi alas.

Inilah yang saya pelajari daripada pakar pemakanan terhebat di dunia iaitu Baginda Nabi SAW. Baginda suka makan dua benda yang mempunyai dua sifat yang berbeza seperti timun bersama tamar atau  tembikai bersama tamar. Maulana Zakaria al-Kandahlawi menyebut dalam Syarah Syamailnya bahawa Rasulullah SAW juga pernah memakan tamar bersama mentega.

Q Kenapa makan dua benda yang mempunyai sifat berbeza?
Pertama, timun mempunyai sifat sejuk sedangkan tamar mempunyai sifat panas. Dengan mengambil kedua-duanya, ia dapat mengimbangkan sifat-sifat buah-buahan tadi. Kedua, timun itu bersifat tawar. Jika dimakan bersama tamar, akan terasa juga kemanisannya. Sama seperti yang dilakukan kebanyakan orang, menambahkan gula dalam minuman...atau madu jarang-jarang..

2. Beri hasil ‘pertama’ kepada orang lain.
Syeikh Bajuri, seorang fakih besar dalam mazhab Syafi’i dalam Syarah Syamailnya pula menyebut bahawa sunat menghadiahkan hasil atau buah yang pertama kepada para ‘akabir’ atau orang-orang besar. Sama ada yang paling besar dari segi ilmu mahupun pangkatnya.

Perkara ini sudah menjadi suatu tradisi bagi orang-orang tua terdahulu. Hasil tanaman mereka seperti beras, jagung, serta buah-buahan yang pertama biasanya diserahkan kepada tuan guru atau penghulu kampung. Mungkin ada yang mengatakan, bukankah tok-tok guru juga mempunyai mempunyai kebun sendiri? 

Mereka lakukannya kerana keberkatan. Para Sahabat menyerahkannya sebagai tanda hormat dan kasih sayang mereka terhadap penghulu mereka, Nabi Muhammad SAW. Baginda pula akan mendoakan keberkatan rezeki tersebut kemudian diberikan kepada anak-anak kecil yang berada di situ.

Pada hari ini, kebanyakan kita tidak lagi berkebun atau bersawah bendang. Mungkin sunnah ini boleh diterjemahkan dengan duit pertama yang kita keluarkan dari mesin ATM setiap kali mendapat gaji. Kita hadiahkan untuk para guru, madrasah atau sedekahkan di masjid.  
Walaupun tak banyak, mudah-mudahan dengan kita ‘itsar’ mendahului orang lain dalam perkara yang kita suka, Allah akan menambahkan kita dengan rezeki yang tidak disangka. 
Q Kenapa Nabi SAW memberikan buah-buahan tadi kepada kanak-kanak?
Seorang sahabat dan guru yang saya kagumi al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir menyatakan bahawa lumrah kanak-kanak memang lebih teruja dan berselera terhadap sesuatu. Perasaan inilah yang membuatkan mereka suka berebut-rebut mendapatkan sesuatu sekalipun benda yang direbut hanya sebiji buah duku. Selera makan itu kelak akan berkurang sedikit demi sedikit apabila mereka dimakan usia.

Begitu juga jika berada di tempat makan bersama tuan guru dan kanak-kanak. Siapa perlu didahulukan untuk membasuh tangan ketika mula makan? Kanak-kanak perlu didahulukan kerana  mereka paling tidak sabar untuk menjamah makanan. Kebarangkalian tangan mereka lebih kotor juga adalah lebih besar. Kemudian barulah kita menghulurkannya kepada tuan guru dan tetamu. 

Namun, ketika selesai makan, dahulukan air basuhan kepada orang yang paling afdhal. Sama ada tuan guru, ketua atau tetamu yang diraikan. Pastikan kita yang paling lewat membasuh tangan. Tujuannya, agar tetamu dapat makan dengan tenang tanpa sebarang kekok dan segan.


 Pelajar pondok di Naratiwat yang begitu gembira dengan kehadiran tetamu dari Malaysia
3. Tidak Dilalaikan Dengan Buah-Buahan
Perbuatan Nabi SAW yang mendahulukan kanak-kanak kecil menjadi bukti kesempurnaan hati Baginda SAW. Hati Baginda tidak terkesan dengan benda-benda baru  seperti buah-buahan yang ada hadapan mata. 

Contohnya dalam isu yang lalu (majalah Anis) saya ceritakan tentang sunnah Nabi SAW yang sering berjalan di belakang para Sahabat. Namun, ada ketikanya Baginda akan berjalan di hadapan sekali iaitu ketika dijemput ke rumah Sahabat untuk makan. 

Ada yang mengatakan Baginda berbuat demikian kerana terlalu lapar. Bahkan tidak! Hati Baginda sama sekali tidak terkesan dengan perkara sebegitu. Nabi berada di hadapan adalah untuk meraikan dan menggembirakan Sahabat yang menjemputnya. Tuan rumah mana yang tidak gembira  melihat orang yang dijemputnya begitu bersungguh-sungguh memenuhi undangan? Apatah lagi jika yang hadir itu adalah raja segala raja. 

Pernah suatu ketika, seorang Sahabat iaitu Muaz bin Afra’ telah menyuruh anak saudaranya Rubayyi’ binti Muawwiz bin Afrak (Muaz dan Muawwiz popular dengan kisah pembunuhan Abu Jahal dalam Perang Badar) membawa hadiah buah tamar dan timun untuk Rasulullah. Ketika itu terdapat hadiah berupa perhiasan dari Bahrain di samping Nabi. Baginda langsung mengambil perhiasan tadi segenggam tangannya lalu diberikannya kepada Rubayyi’.

Lihatlah betapa Baginda menghargai buah-buahan dan tidak menolak hadiah yang diberikan. Baginda malah membalasnya dengan hadiah yang menakjubkan. Kita mungkin tak mampu mencari pahala syahid seperti saudara-saudara di Mesir, Syria, dan Palestin. 

Apa kata kita cari mana-mana sudut sunnah yang boleh kita kerjakan pada musim buah-buahan ini. Mana tahu, janji Nabi dengan 100 pahala mati syahid untuk orang beramal dengan satu sunnah itu ada pada kita. 

‘Buah-buahan’.. itulah jawapan teka teki saya pada permulaan tadi.