Alhamdulillah,
Syawal kali ini tambah berseri dengan kedatangan musim buah. Ada yang sanggup
menunda puasa enam mereka lantaran tewas pada aroma durian, semete, duku,
rambutan dan setar. Saya ingin berkongsi kandungan kitab as-Syamail
al-Muhammadiah karya Imam Tirmizi dalam bab buah-buahan. Ia sebuah
kitab yang cukup indah ulasannya tentang adab dan sunnah Nabi SAW.
1. Makan
Timun Bersama Tamar.
Baru-baru
ini saya berkesempatan pulang ke kampung Paloh Nyior di Hulu Terengganu. Perkara pertama yang
saya lakukan ialah ke kebun menunggu durian jatuh ke rebe (himpunan kayu kering) dan memanjat pohon
semete. Pesan emak, “Jangan makan sekaligus buah durian dengan semete,
bahaya!” Kata emak lagi, “Buah durian sifatnya panas manakala semete itu sejuk,
nanti perut akan memulas.”
Saya hanya
tersengih tidak berani mengiakan apalagi menafikannya. Diluah nafi mak, ditelan nafi Nabi. Saya bukan pakar
pemakanan seperti Dr. Mehmet Oz yang sering muncul di kaca TV al-Hijrah. Cuma hati
kecil ini kuat mengatakan, kalau benar perut memulas, bukan sejuk atau panas yang
menjadi alas.
Inilah yang
saya pelajari daripada pakar pemakanan terhebat di dunia iaitu Baginda Nabi
SAW. Baginda suka makan dua benda yang mempunyai dua sifat yang berbeza seperti
timun bersama tamar atau tembikai
bersama tamar. Maulana Zakaria al-Kandahlawi menyebut dalam Syarah
Syamailnya bahawa Rasulullah SAW juga pernah memakan tamar bersama
mentega.
Q Kenapa
makan dua benda yang mempunyai sifat berbeza?
Pertama, timun
mempunyai sifat sejuk sedangkan tamar mempunyai sifat panas. Dengan mengambil
kedua-duanya, ia dapat mengimbangkan sifat-sifat buah-buahan tadi. Kedua, timun
itu bersifat tawar. Jika dimakan bersama tamar, akan terasa juga kemanisannya.
Sama seperti yang dilakukan kebanyakan orang, menambahkan gula dalam
minuman...atau madu jarang-jarang..
2. Beri
hasil ‘pertama’ kepada orang lain.
Syeikh Bajuri,
seorang fakih besar dalam mazhab Syafi’i dalam Syarah Syamailnya pula
menyebut bahawa sunat menghadiahkan hasil atau buah yang pertama kepada para ‘akabir’
atau orang-orang besar. Sama ada yang paling besar dari segi ilmu
mahupun pangkatnya.
Perkara ini
sudah menjadi suatu tradisi bagi orang-orang tua terdahulu. Hasil tanaman
mereka seperti beras, jagung, serta buah-buahan yang pertama biasanya
diserahkan kepada tuan guru atau penghulu kampung. Mungkin ada yang mengatakan,
bukankah tok-tok guru juga mempunyai mempunyai kebun sendiri?
Mereka lakukannya kerana keberkatan. Para Sahabat menyerahkannya sebagai tanda hormat dan
kasih sayang mereka terhadap penghulu mereka, Nabi Muhammad SAW. Baginda pula
akan mendoakan keberkatan rezeki tersebut kemudian diberikan kepada anak-anak kecil
yang berada di situ.
Pada hari
ini, kebanyakan kita tidak lagi berkebun atau bersawah bendang. Mungkin sunnah
ini boleh diterjemahkan dengan duit pertama yang kita keluarkan dari mesin ATM
setiap kali mendapat gaji. Kita hadiahkan untuk para guru, madrasah atau sedekahkan
di masjid.
Q Kenapa
Nabi SAW memberikan buah-buahan tadi kepada kanak-kanak?
Seorang
sahabat dan guru yang saya kagumi al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir menyatakan
bahawa lumrah kanak-kanak memang lebih teruja dan berselera terhadap sesuatu. Perasaan
inilah yang membuatkan mereka suka berebut-rebut mendapatkan sesuatu sekalipun
benda yang direbut hanya sebiji buah duku. Selera makan itu kelak akan
berkurang sedikit demi sedikit apabila mereka dimakan usia.
Begitu juga
jika berada di tempat makan bersama tuan guru dan kanak-kanak. Siapa perlu
didahulukan untuk membasuh tangan ketika mula makan? Kanak-kanak perlu
didahulukan kerana mereka paling tidak
sabar untuk menjamah makanan. Kebarangkalian tangan mereka lebih kotor juga adalah lebih besar. Kemudian barulah kita menghulurkannya kepada tuan
guru dan tetamu.
Namun,
ketika selesai makan, dahulukan air basuhan kepada orang yang paling afdhal.
Sama ada tuan guru, ketua atau tetamu yang diraikan. Pastikan kita yang paling
lewat membasuh tangan. Tujuannya, agar tetamu dapat makan dengan tenang tanpa
sebarang kekok dan segan.
Pelajar pondok di Naratiwat yang begitu gembira dengan kehadiran tetamu dari Malaysia
3. Tidak
Dilalaikan Dengan Buah-Buahan
Perbuatan
Nabi SAW yang mendahulukan kanak-kanak kecil menjadi bukti kesempurnaan hati
Baginda SAW. Hati Baginda tidak terkesan dengan benda-benda baru seperti buah-buahan yang ada hadapan mata.
Contohnya dalam
isu yang lalu (majalah Anis) saya ceritakan tentang sunnah Nabi SAW yang sering berjalan di
belakang para Sahabat. Namun, ada ketikanya Baginda akan berjalan di hadapan
sekali iaitu ketika dijemput ke rumah Sahabat untuk makan.
Ada yang
mengatakan Baginda berbuat demikian kerana terlalu lapar. Bahkan tidak! Hati Baginda sama
sekali tidak terkesan dengan perkara sebegitu. Nabi berada di hadapan adalah
untuk meraikan dan menggembirakan Sahabat yang menjemputnya. Tuan rumah mana
yang tidak gembira melihat orang yang
dijemputnya begitu bersungguh-sungguh memenuhi undangan? Apatah lagi jika yang
hadir itu adalah raja segala raja.
Pernah suatu ketika, seorang Sahabat
iaitu Muaz bin Afra’ telah menyuruh anak saudaranya Rubayyi’ binti Muawwiz
bin Afrak (Muaz dan Muawwiz popular dengan kisah pembunuhan Abu Jahal dalam Perang Badar) membawa hadiah buah tamar dan timun untuk Rasulullah. Ketika itu terdapat hadiah berupa
perhiasan dari Bahrain di samping Nabi. Baginda langsung mengambil perhiasan
tadi segenggam tangannya lalu diberikannya kepada Rubayyi’.
Lihatlah betapa Baginda menghargai
buah-buahan dan tidak menolak hadiah yang diberikan. Baginda malah membalasnya
dengan hadiah yang menakjubkan. Kita mungkin tak mampu mencari pahala syahid seperti saudara-saudara di Mesir, Syria, dan Palestin.
Apa kata kita cari mana-mana sudut sunnah yang boleh kita kerjakan pada musim buah-buahan ini. Mana tahu, janji Nabi dengan 100 pahala mati syahid untuk orang beramal dengan satu sunnah itu ada pada kita.
‘Buah-buahan’.. itulah jawapan
teka teki saya pada permulaan tadi.
No comments:
Post a Comment