Friday 21 September 2012

Haccum!!


Sesiapa yang pernah bermastautin atau bermusafir ke negara-negara Arab, pasti akan mengkagumi satu perkara. Masyarakat Arab tak kira apa jua golongan sama ada kaya atau miskin, orang tua atau anak kecil, alim ulama atau orang biasa; semuanya sangat murah dengan doa. 

Ketika  berada di bumi Mesir dahulu, antara perkara yang cuba saya elakkan adalah bersin di dalam tremco (prebet sapu), bas atau keretapi. Bayangkan sekiranya bersin, satu bas yang sesak dengan penumpang akan berpaling ke arah kita seraya berkata, Yarhamukallah!(semoga Allah merahmatimu). 

Hari pertama di Malaysia setelah beberapa tahun di perantauan, saya menaiki LRT. Tiba-tiba, seorang penumpang terbersin. Saya yang sudah terbiasa lantas menyebut Yarhamukallah!! Semua mata memandang ke arah saya seolah-olah satu kesalahan yang besar telah berlaku. Pandangan dari hujung mata bercampur senyuman yang sinis begitu, adalah amat menyakitkan.

 tahan bersin @ tahan kentut
Di negara Arab, amalan berdoa dan memohon untuk didoakan bukan sekadar satu sunnah tetapi sudah sebati menjadi satu budaya. Perkataan “Allahummaftah alaik” (Semoga Allah membukakan untukmu) atau “Robbuna Yusahhil” (Semoga Tuhan kita memudahkan) sudah seperti satu zikir harian. Hatta seorang tuan guru apabila ketemu pelajarnya tidak kekok untuk berkata, “La tansani fiddu’a!” (Jangan lupakan aku dalam doamu!)

ٍSuatu masa, ketika Sayidina Umar al-Khattab r.a. ingin menunaikan haji, beliau mendatangi Rasulullah SAW untuk meminta keizinan. Kata Nabi SAW, “Jangan kamu lupa untuk mendoakan aku, wahai Umar!”
 
Subhanallah. Inilah antara adab mulia yang diwarisi oleh para ulama daripada Nabi SAW. Memohon doa daripada seseorang walaupun kedudukan kita mungkin lebih baik daripadanya. Sebenarnya dengan kedudukan yang tinggi di sisi Allah, Baginda tidak berhajat pun kepada doa sesiapa. Para ulama menyatakan bahawa hadis  tadi menggambarkan kelebihan memohon doa terutama ketika musafir dan perlunya seseorang itu untuk bersifat merendah diri. 

Bayangkan seorang ahli maksiat yang insaf mendatangi seorang alim dan memohon doa agar hilang sifat buruknya itu. Kemudian si alim pula berkata, “Kamu telah bertaubat dan sekarang kamu seperti kain yang suci. Kamu yang sepatutnya berdoa untukku kerana kamu lebih hampir dengan Allah.” 
 Ketika itu, bagaimanakah perasaannya? Pasti akan terharu dan terus teguh hatinya untuk berubah.

Itulah kelebihan menuruti sunnah. Sunnah itu indah. Dalam sunnah ada dakwah. Allah tidak pernah memandang pada kecil atau besarnya sesuatu perkara, tetapi melihat sejauh mana kita berusaha melakukannya. 

Hal sebegini agak janggal dalam masyarakat kita sekarang. Sunnah yang mudah dan dekat dengan batang tubuh, selalu diabaikan. Sunnah yang besar pula dirumit-rumitkan sehingga mencambahkan bibit-bibit pertikaian. Akhirnya kita akan tenggelam  bersama masyarakat yang lebih suka menghukum daripada menggalakkan.
-waza-

Tuesday 18 September 2012

Tinggalkan Perdebatan!


Seorang lelaki datang menemui Juha. Dengan gaya yang sombong dia berkata, “Wahai tuan, aku dengar kamu seorang yang hebat. Aku ada 40 persoalan dan aku ingin satu jawapan dari kamu yang merangkumi semua soalan ini.”
“Baiklah, sebutkanlah soalan-soalannya!” ujar Juha dengan yakin dan bersahaja. Lelaki itu pun mengemukakan soalan-soalannya. Setelah selesai, Juha berkata, “Jawapan yang satu untuk semua soalan kamu, aku tidak tahu!!”

Dalam Kitab Ayyuhal Walad, Imam al-Ghazzali telah memberikan beberapa nasihat yang sangat berguna kepada kita. Antaranya ialah, janganlah kamu berdebat dengan seseorang dalam sesuatu masalah selagi termampu.
Perdebatan itu lebih banyak keburukan berbanding kebaikannya. Dari situlah akan terbitnya perasaan yang negatif seperti riyak, dengki, takabur, dendam, dan permusuhan.
Sekiranya benar-benar ingin menyatakan kebenaran, dibenarkan berdebat tetapi mestilah memenuhi beberapa syarat.
  • Boleh menerima jika kebenaran itu berada pada pihak orang lain.
  • Seboleh-bolehnya dilakukan di majlis yang tertutup.
Sebenarnya, orang yang suka bertanya dan berdebat itu pula mempunyai empat jenis kejahilan. Tiga daripadanya tidak dapat diubati dan hanya satu yang boleh disembuhkan.

1.      Mereka yang mengemukakan soalan kerana dengki dan marah.
Orang seperti ini, sebaik mana pun jawapan kamu, semuanya tidak berfaedah baginya. Apa sahaja yang kamu lakukan takkan betul pada perkiraannya. Orang begini, tak usahlah engkau layan permintaannya.

2.      Mereka yang berdebat bertanya kerana kebodohan diri sendiri.
Orang sebegini juga tidak dapat dirawat. Sebagaimana Nabi Isa a.s. pernah menegaskan: “ aku mampu untuk menghidupkan orang yang mati tetapi aku tidak mampu untuk mengubati orang yang bodoh.’
Termasuklah juga dalam golongan ini, orang yang belajar dalam masa yang sekejap sahaja dan terlalu sedikit ilmunya namun kerana kebodohannya dia berani menentang ulama besar yang telah menghabiskan seluruh umurnya dalam menuntut ilmu.

3.      Mereka yang benar-benar inginkan jawapan tetapi kerana kurang daya kefahaman, mereka tidak mampu untuk memahaminya.

Akhir sekali, Imam al-Ghazzali menyatakan bahawa satu-satunya penyakit yang boleh diubati melalui perdebatan ialah orang yang boleh menerima tunjuk ajar, cerdik dan mampu memahami. Pertanyaannya juga bukan kerana dengki, marah, syahwat, atau harta benda. Hanya orang sebegini yang harus engkau layan dan jawab pertanyaannya.

Majalah Anis September
-waza-

Wednesday 5 September 2012

Adab Bersembang


"Kelembutan itu apabila menempati satu ruang, akan memancarlah keindahan. Apabila hilang kelembutan, maka terserlahlah keburukan."
Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas. Dalam riwayat Muslim diceritakan beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a.:
“Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, “Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu.” 

Sahabat-sahabat, antara adab yang  selalu kita terlepas pandang adalah bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?

1 Suara yang rendah dan lembut. 
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar  yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang. 

Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi  ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.

Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat  ke-2 surah al-Hujurat iaitu “Wahai orang-orang  yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi” Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami . 

Begitu juga adab yang ditunjukkan oleh para ulama salaf. Imam az-Zahabi menyebut,  “Jikalau orang tidak mengenali  siapa Muhammad bin Sirin (ulama tabi’in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah  suaranya apabila bercakap dengan ibunya.

2    Tidak menunjuk pandai. 
Jangan sesekali kita  memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW, “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka.” (Riwayat Muslim)

Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami  dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka  dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.

Seorang tabi’in yang terkenal iaitu Imam Ata’ bin Abi Rabah berkata,  
“Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi.”
Khalid bin Safwan berkata, 
“Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya.”
Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.

3    3 Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. 

Ia akan menghilangkan adab  serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan. 
 Menurut Ibrahim bin al-Junaid, 
“Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara  ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui.”
Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.

Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab, 
“Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus.” 
Rujukan: Kitab Min Adabil Islam, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah
-waza-

p/s- Majalah Anis Julai 2012