Sunday 16 November 2014

Nepal; Indah Rupa Dari Khabar (Siri 3 dan 4)


Setelah hampir dua tahun berlalu, saya terjumpa artikel lama tentang kembara saya bersama saudara Nasri Nasir (Yang mengikuti trip percutian bersama MasHolidays pada 1-5 April 2012). Ini episod ketiga dan keempat yang dikongsikan dalam Majalah Anis suautu ketika dahulu.

 
Rugi rasanya kalau tak kongsikannya kepada teman-teman. Kalau tak berkesempatan ke sana pun, paling kurang ada sesuatu tentang Nepal dan bangsanya yang boleh kita kongsi. Al-maklumlah, keberadaan mereka ke sini sebagai pendatang adalah realiti yang sudah mampu ditentang. Ketika berada di sana, saya mengaku saya hampir jatuh cinta dengan keluhuran  budi masyarakatnya. Betul-betul indak rupa dari khabar!
 
“Putih putih burung merpati,
Merah merah biji saga;
Kalau sudah jatuh hati,
Semuanya indah dan berharga.”


Hari kedua di Nepal, saya dan peserta rombongan yang lain dibawa ke bandar Nagrapura yang terletak kira-kira 30 minit dari hotel tempat kami bermalam. Jam 5.00 pagi kami bertolak, kenderaan sudah memenuhi jalan raya. Kebanyakannya motosikal berkuasa besar, prebet sapu dan teksi. 

Ajaibnya di sini walaupun jalan raya sesak, tiada lampu isyarat. Ketika berada di persimpangan, semuanya seperti sudah tahu siapa yang harus bergerak dahulu. Saya akui, pemanduan memang agak berbahaya, namun dalam banyak hal hemah masih terjaga. Benarlah kata bijak pandai,  

“Kalau ingin melihat akhlak sebenar seseorang, lihatlah cara mereka memandu kenderaan di jalan raya.”

 

Mengelilingi Banjaran Himalaya
Di Nagrapura, kami berpeluang menaiki penerbangan domestik  iaitu ‘Buddha Air’ untuk merasai pengalaman indah mengelilingi ‘Bumbung Dunia’. Nama lain bagi Banjaran Himalaya.  Penerbangan selama satu jam ini sangat berbaloi kerana setiap penumpang diberikan ‘window seat’ untuk menyaksikan sendiri gunung tertinggi di dunia iaitu Everest (8848 m).

Dengan tambang sekitar 2460 rupee atau lebih kurang 80 ringgit, para penumpang juga diberi peluang ke bahagian kokpit di sebelah pemandu bagi membolehkan  mereka mengambil foto dengan lebih jelas. Lebih menarik lagi, sebelum turun kami diberi sekeping kertas biru. Sijil yang menyatakan bahawa kami telah berjaya menawan Pergunungan Himalaya. Padanya tertulis satu kata-kata,  

“I did not climb Mountain Everest…but touched it with my heart!”
 

Berehat di Nagarkote
Hari ketiga, kami berpeluang ke kawasan peranginan Nagarkote yang berada kira-kira 35 km dari bandar Kathmandu. Kedudukannya yang berada kira-kira 2175 km dari paras laut menyebabkan udara agak sejuk di sini. Pelancong boleh menyaksikan keindahan matahari terbit dan terbenam serta aktiviti ‘village trekking’.  Jika cuaca baik, kebanyakan gunung-gunung dari Banjaran Himalaya boleh dilihat dari kawasan ini. 

‘Blackout’ Setiap Hari
Anda jangan terkejut, jika tiba-tiba elekrik terpadam di negara Nepal. Ia mungkin luar biasa di Malaysia tetapi di sini ia satu situasi biasa. Kerajaan Nepal tidak mempunyai stesen jana kuasa sendiri lalu terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dari negara India.
Bekalan yang tidak mencukupi menyebabkan eletrik terputus dengan sendirinya untuk beberapa ketika. Di setiap hotel atau rumah tumpangan akan disediakan lilin dan lampu suluh. 

Makanan Halal
Apa yang menggusarkan hati apabila mengunjungi negara bukan majoriti Islam ialah makanannya. Bagi kami, makanan halal di Nepal tidak terlalu sukar dicari. Di tengah-tengah Bandar Kathmandu, terdapat restoran makanan halal Al-Dajjaj yang menyajikan makanan ala-India dan Arab. 

Kebanjiran pelancong Islam dari Asia juga menyebabkan kebanyakan hotel menyediakan makanan halal. Di sini, agak susah mendapatkan daging lembu tetapi makanan berasaskan daging kambing dan kerbau boleh didapati dengan mudah. 

Ada sesetengah restoran yang kami singgah yang sememangnya diberi peruntukan yang besar dari kerajaan Nepal untuk menyediakan bekalan makanan halal untuk pelancong Muslim. Apa yang penting, apabila berada di tempat orang, jangan malu untuk bertanya. 

Islam di Nepal
Terdapat beberapa buah masjid di Nepal. Kami sempat bersolat dua kali di Masjid Jami’ Nepal. Sebuah masjid hijau yang sederhana besar tetapi boleh memuatkan ribuan jemaah pada hari Jumaat. 

Kami tiba setengah jam setelah masuk waktu Zuhur kira-kira pukul 12.30 tengahari. Kami terus solat jamak qasar secara berjemaah di belakang. Beberapa jemaah lain memandang kami dengan wajah yang pelik. Rupa-rupanya mereka belum lagi menunaikan solat Zuhur berjemaah. Kebanyakan mereka bermazhab Hambali dan mereka akan menunaikan solat Zuhur satu jam selepas azan. Alhamdulillah, satu ilmu baru buat kami yang bermazhab Syafi’i.

Dari ramah mesra kami dengan imam masjid, di situ juga terdapat sebuah sekolah tahfiz. Kanak-kanak yang menamatkan pembelajaran akan dihantar melanjutkan pelajaran tahfiz ke Mesir.

Budaya ‘No smoking’
Susah sekali melihat orang Nepal merokok. Kerajaan  tidak mengharamkannya tetapi masyarakat memandang serong dan rendah orang yang merokok. Itulah yang diberitahu oleh pemandu pelancong kami, Mr Shusin Nepal. Kata-kata mereka ada benarnya juga. Di mana-mana ada tanda larangan ‘no smoking’.  

 Bukan itu sahaja, media juga sangat memainkan peranan. Setiap kali aksi merokok atau minum arak disiarkan di kaca televisyen, akan terpapar di bawahnya iklan ‘Merokok dan meminum minuman keras membahayakan kesihatan’. Kalaulah negara Hindu seperti Nepal boleh melakukannya atas nama adab dan kebudayaan, negara Islam Malaysia atas nama agama, sepatutnya lebih terkedepan.

Fakta Negara Nepal
Keluasan: 147, 181 sq. km
Populasi: 28. 58 juta penduduk
Bahasa: Nepali
Mata wang: Nepalese Rupee
Politik: Sistem Demokrasi
Agama: 80%- Hindu, 10% Buddha, 5% Islam, 5% lain-lain.
Musim: Negara empat musim. Musim Sejuk: Dec-Feb, Musim Bunga: Mac- May, Musim Panas: Jun- Ogos, Musim Luruh: Sept-Nov
Masyarakat: Terdapat lebih 100 etnik dan 90 bahasa pertuturan.

Musa dan Khidir



Musa dan Khidir

Dalam satu kuliah Subuh, saya menyampaikan tafsir surah al-Kahfi tentang kisah perjalanan Nabi Musa a.s. menemui Nabi Khidir a.s. untuk menuntut ilmu. Saya mulakan dengan satu teka-teki Imam Syafi’i, “Apakah yang nilainya lebih daripada 100 tetapi jika dibahagi dua menjadi kurang 20?” Teka teki tak terjawab sehingga ke penghujung. Alhamdulillah, bukti jemaah saya kurang ber’whatsup’ kerana teka-teki ini tersebar di sana!

Pertamanya, Musa yang dimaksudkan ialah Musa bin Imran yang merupakan seorang nabi dan rasul. Pada zaman itu juga, ada seorang lagi Musa iaitu Musa as-Samiri yang membuat patung lembu sembahan Bani Israel. Ada riwayat yang lemah menyatakan nabi tersebut ialah Musa bin Mansha yang juga merupakan nabi keturunan Nabi Yusuf yang hidup sebelum itu. Insya-Allah saya kongsikan dengan pembaca beberapa ibrah perjalanan Musa dan Khidir ini.

Berilmu Biar Tawaduk
Nabi Musa merupakan nabi yang menduduki lima ranking teratas carta para nabi dan rasul manakala Nabi Khidir pula tidak mencapai tahap seorang rasul. Sebahagian ulama berpendapat Nabi Khidir bukan seorang nabi pun sebaliknya hanya seorang wali dan hamba Allah yang soleh. 

Nabi Musa apabila diberitakan kepadanya bahawa ada lagi hamba Allah yang lebih berilmu daripadanya, baginda dengan tawaduknya memulakan misi pengembaraan .

Sebahagian ulama menyatakan, secara zahirnya ilmu Musa itu bukanlah lebih rendah daripada Khidir tapi ilmu mereka dalam bidang yang berbeza. Musa menguasai ilmu syariat tetapi Khidir menguasai ilmu hakikat. Nabi Musa meraikan perbezaan itu serta cuba mendalaminya, tetapi tidak berjaya. 

Hari ini, ramai orang yang tidak meraikan perbezaan  dalam ilmu. Semua ingin menjadi juara dalam semua perkara. Seorang pakar ekonomi dengan sesuka hati memberikan komentar dalam ilmu hadis dan begitulah sebaliknya. Ilmu sudah tidak diserahkan kepada ahlinya dan tiada rasa hormat terhadap ilmu orang lain. Hakikatnya, semuanya boleh selesai dengan tawaduk.

Guru yang mulia, Syeikh Yusuf Bakhour al-Hasani pernah berkata, sekarang terdapat ramai orang yang berlagak alim dan bercakap tentang agama sesuka hati. Namun jika diselidiki, mereka itu sangat jahil sehingga jika ditanya tentang perbezaan tentang istinjak dan istibrak pun tidak tahu!! (jika pembaca yang membaca tulisan ini pun tidak tahu beza kedua-duanya, hentikanlah perbuatan berlagak alim dan segeralah mencari guru).

Empat Fatwa Songsang
Syeikh Yusuf turut bercerita tentang empat fatwa ajaib daripada orang yang mengaku sebagai ulama sekarang.
1.       Seorang perempuan haram memasuki rumahnya melalui pintu tetapi perlu masuk melalui tingkap. Dalilnya kerana kalimah pintu dalam bahasa Arab (al-bab) adalah muzakkar (untuk lelaki) manakala tingkap (nafizah) adalah muannas (untuk perempuan).
2.       Sepasang suami isteri yang makan aiskrim dalam satu bekas akan terjatuh talaknya dan haram bersama suaminya. Ini kerana di dalam aiskrim terdapat susu dan jika diminum bersama akan menyebabkan mereka menjadi mahram iaitu adik beradik susuan.
3.       Memakai ‘seatbealt’ di dalam kenderaan adalah haram. Dalilnya, perbuatan itu seolah-olah cuba melawan ketentuan Allah Taala yang mentakdirkan kita ditimpa kemalangan dan sebagainya.
4.       Perbuatan ‘setting’ jam loceng untuk bangun Subuh adalah haram kerana kita menjadi lebih yakin kepada jam loceng untuk membangunkan kita serta tidak bertawakal kepada Allah. Ia mempunyai unsur syirik kepada Allah.

Berguru Biar Berbekal
Dalam perjalanan mencari ilmu, Musa bersama pembantunya Yusya’ bin Nun membawa ikan sebagai bekal. Ada yang mengatakan ikan tersebut diasinkan dan ada yang mengatakan ia dibakar. Tempat ikan tersebut melompat ke dalam laut itulah yang menjadi tempat pertemuan mereka. Ia suatu petunjuk bahawa sunnah dalam menuntut ilmu itu perlu ada bekal sama ada dari segi kewangan atau makanan. Tidak boleh semata-mata tawakal tanpa usaha. 

Benarlah syair Imam Syafi’i yang berbunyi:


أَخي لَن تَنالَ العِلمَ إِلّا بِسِتَّةٍ
Saudaraku, takkan tercapai ilmu kecuali dengan enam
سَأُنبيكَ عَن تَفصيلِها بِبَيانِ
Akan kukhabarkannya beserta keterangan
ذَكاءٌ وَحِرصٌ وَاِجتِهادٌ وَبُلغَةٌ
Kecerdikan, usaha, kesungguhan,bekalan
وَصُحبَةُ أُستاذٍ وَطولُ زَمانِ
Mendampingi guru serta masa yang panjang


Perbuatan Musa yang berbekal ini sekaligus menolak pandangan sebahagian ulama sufi mengatakan kembara tanpa bekal itu lebih baik tanda tawakal kita kepada Allah. Nabi Musa lebih mengenal Allah serta mendapat gelaran Kalimullah pun berbekal, apatahlagi orang biasa. 

Abu Fadhl al-Jauhari menyebut pandangan yang agak berbeza. Katanya, Nabi Musa berjalan ketika munajat empat puluh hari bertemu Tuhannya tidak perlukan makanan (tidak lapar), namun ketika berjalan menemui manusia (Khidir) beberapa hari sudah terasa lapar. 

Kesusahan Biar Dikongsi Bersama
Sebelum mengembara, Nabi Musa sudah diberitahu bahawa tempat pertemuan mereka ialah di pertemuan dua laut. Petandanya ialah ikan yang dibawa akan melompat ke laut. Ketika berehat di atas sebuah batu besar, ikan tersebut telah melompat dan tidak disedari Nabi Musa. Setelah menyambung perjalanannya, Nabi Musa berasa lapar dan berkata, “Keluarkan bekal kita. Sesungguhnya perjalanan kita kali ini sungguh sukar dan memenatkan!”

Kata ulama, ucapan itu satu dalil bahawa harus kita mengadu dan menceritakan penderitaan, penyakit, kemiskinan, dan lain-lain ujian yang menimpa kita. Itu tidak akan menafikan redha kita terhadap ujian Allah ataupun menjadikan kita seorang yang melawan takdir. Kecualilah jika kita mengadu dengan penuh rasa marah dan dengan kata-kata yang kasar.

 Kadang-kadang, seseorang itu berkongsi masalah bukan untuk dapatkan penyelesaian cuma sekadar berkongsi semata-mata.  Dengan berkongsi masalah boleh meringankan beban di dada.  Ada kalanya, jika kita memberi jalan penyelesaian, kita pula dipersalahkan kerana tidak memahami.  Justeru mungkin di sini juga hikmahnya kita diseru agar memilih teman yang baik ketika kembara. Wallahu a’lam.

Jawapan teka teki: surah al-Quran. Ada 114 surah tetapi jika dibahagi dua, ditengah-tengahnya surah ke 18 iiatu surah al-Kahfi.

Majalah QA ruangan Senyum Sokmo