Tuesday 29 September 2009

Surat Ketika Hujan

Assalamualaikum,

Kepada malam yang sudi mehjadi wasilah kepada ketenanganku, kepada kipas yang sentiasa terpasang;bukan anginmu yang kuingin tapi keindahan bunyimu bila tamat satu pusingan itu yang memberiku ilham.

Kepada teman serumah yang sejak tadi lagi sudah lena, moga ketikan jejariku ini tak mengganggu perjalanan hidup kalian. Nanti pagi, kita pasti akan bertukar alam. Entah, walau duduk serumah, mata ini sering membuat kita tak ramah.

kepada makhluk-makhluk yang kuimpikan pertemuan dengan mereka. aku merancang apa yang telah dirancang. kalau pertemuan kita adalah satu titik dari lembaran ketentuannya, aku bahagia. kalaupun tiada pertemuan pun, aku terima. Sesungguhnya tuhan lebih tahu akan kebahagiaan hambanya.

Aku menulis sesuatu mengikut kehendak hati. hari ini satu benda yang aku terima, manusia perlukan rangsangan. Dengan rangsangan, perjalanan hidup jadi rancak dan berwarna-warni. Ia mungkin datang dalam bentuk nikmat dan dugaan. Segala apa yang menyampaikan kita kepada tuhan, baik atau jahat, tetap adalah rahmat. kita tidak ditakhlifkan terlalu berat, setakat mana yang termampu sekadar itulah ujiannya.

Lihat sahaja pada semilir angin yang bertiup sekarang. Itulah Hawa’ Kharif. Permulaan musim sejuk. Bersama anginnya dikirimkan juga teman bernama damai. Angin ini ditugaskan untuk menghambat kepanasan sedikit demi sedikit sehingga kita tak terasa datangnya Syita’.

Nanti satu masa, akan ada deruan angin yang sangat kuat. Pasir, debu, dan sampah semua menyatu dengan angin ini membentuk suasana yang tidak menyenangkan. Selang beberapa ketika setelah itu, hujan renyai-renyai akan turun. Hujannya tak lama, tapi sudah cukup untuk menenggelamkan beberapa jalan sekaligus mengelap kembali debu-debu yang melekat di dinding dan jendela rumah kita. Kemudian barulah datang musim dingin.

Begitulah lumrah alam yang begitu indah untuk dihayati. Musim sejuk dan musim panas tak datang dan pergi secara mengejut. Ada irama dan seninya. Kita tak pernah tahu di detik mana ia berubah sedar-sedar sudah bertukar musim. Dengan perubahan yang tak terlalu mendadak, tubuh kita sempat bersedia untuk membuat persiapan. Justeru, seolahnya alam juga turut sama menghina manusia-manusia yang tak reti mengikut resam alam!

Seperti juga puasa Ramadhan. Kita diajar berpuasa 2bulan sebelumnya dan menambah 6hari sesudahnya. Manusia kalau menurut turutan sebegini dalam hidup mereka, mereka tentu terpuji. Kalau menentang ketentuan tuhan, mata akan memandangnya tak sempurna, mulut-mulut yang ada takkan mendiam. Kamu zalim! kamu kejam!

Bila sebut pasal hujan, bumi yang gersang ini sekali lagi menunjukkan keajaiban. Bumi Mesir hanya hujan dua kali setahun tetapi tanah-tanahnya subur. Sayur dan buahnya sangat besar dan segar. Sesegar anak-anak gadis mereka. cumanya kalaulah mereka mengerti sedikit adab dan akhlak, tentu lebih mempersonakan. ibarat bunga kembang setaman. mungkin itulah secantik-cantik perumpamaan.

Mana hendak dicari sayur sawi yang tak pahit? Sayur kobis mana yang sebesar kereta sorong? tomato mana yang berharga le 0.75 sen sekilo? kurmanya pula dijual dari muda sampai ke tua. semasa mekar merah dipanggil Balah. bila masak dan basah dipanggil Rutob. bila kering dipanggil tamar. kata pepatah, semakin bernilai sesuatu benda, semakin banyak namanya. Tapi bagi masyarakat kita, banyak nama ke tanpa nama tetap sama sebab semuanya kurma!

Kali terakhir aku berhujan, tahun lepas sewaktu menetap di Gamek. Hujan turun sepanjang pagi, aku yang ditinggal keseorangan di rumah ketika itu gemar sekali termenung di depan jendela. Aku begitu teruja melihat anak-anak arab berkejar-kejar di tengah jalan. Suka benar dengan hujan. Nikmat tuhan yang turun beberapa kali setahun disini, hanya anak kecil yang menghayati.

Entah macammana, beberapa minit kemudian aku berada di atas jalan. Dengan memakai jubah hijau bertopi aku berjalan di tengah jalan seperti tak ada apa yang berlaku. Hakikatnya, aku ingin bersama mereka menikmati hujan. Hati ini sudah terlalu kering dan dingin. Kalau boleh aku ingin buat segala benda yang mampu basahkan hatiku serta hangatkan kembali semua kenangan.

Aku ingin kecil seperti dulu, pulang dari sekolah dengan basah kuyup. Ibu akan menanti di depan pintu dengan wajah penuh bimbang. Bimbang pada anak manja yang selalunya akan demam kalau ditimpa hujan, dan bimbang pada susu-susu getah yang masih cair di dalam tempurung di ladang. pasti sia-sia usaha sepagi jika susu yang belum lagi beku bercampur dengan air hujan.

Masih adakah lagi bantal busukku dulu? Selimut yang carik penuh dengan kesan-kesan gigitan itu entah pada siapa sudah diwariskan. Di rumah besar di kampung sana, tak ramai lagi yang bermukimnya. Semuanya pemastautin sementara. Hari raya, musim buah, musim banjir,musim kahwin, tu sahaja hari perkumpulan.

Hari-hari yang lain, rumah itu kembali sepi. Kesibukan anak-anak yang makin menua tentu membuat ibu dan ayah rindu akan zaman muda. Walaupun seorang sudah pergi dahulu, tentu juga sentiasa mengharap agar sebelas yang lainnya berkumpul bersama.

Kalau diberi seribu nyawa, aku masih tak mampu membalas cintamu,ibu. Kalau diberi sejuta kesulitan, ternyata aku takkan mampu menandingimu,ayah. Engkau lebih dahulu merasai bermacam penderitaan. lalu bila sedikit kesusahan jatuh padaku, engkau segera cepat memahami. Ya Allah, panjangkan sedikit lagi umurku agar sempat aku berjasa pada ayah dan ibu!

Drp,

-Tanpanama-
29-9-2009

Wednesday 23 September 2009

artikel lamer

لكل الى سأو العلى حركات
ولكن عزيز في الرجال الثابت
setiap orang ingin bergerak ke puncak
tapi keperkasaan milik orang yang teguh

Malam yang tenang menjadi dingin bila suasana sepi. Betapa hawa-hawa teman amat diperlukan di saat ini agar terpancar sedikit kehangatan. Kehangatan yang timbul dari suara, sentuhan, gurauan dan semuanya yang mampu mengalirkan haba.

Malam ini mengingatkan aku pada malam-malam lain yang telah berlalu tapi tak pernah tercatat dalam diari hidupku. Perjalanan hidup kelmarin,kelmarin dahulu, dan hari-hari yang terbelakang entah di selokoh mana ia kabur dari ingatan tapi yang pasti di garis permulaan masing-masing ramah berkenalan. Aku berjalan sama langkah, berkongsi sama cerita tapi akhirnya jauh tertinggal sama sekali.

Setiap hari, cinta aku kepada kosong meningkat. Ruang-ruang itu semakin bertambah. Tubuh jadi semakin ringan untuk menerawang di di langit. Dengan pandangan yang jauh , aku teliti pada insan-insan yang bangkit dari bangun. Tak berani untuk mendekat takut melekat. Sombongnya diri ini,sehingga meremehkan orang-orang yang sentiasa berusaha untuk menebas semak kejahilan mereka dengan berkata,

“lazimnya lalang kan kembali tumbuh melata sebelum tanah menjadi rata.”

Jahilnya aku, pengalaman diri serta beberapa teman aku jadikan sebagai sandaran.Golongan-golongan yang sandarannya hanya terhenti pada hadis dan alquran akan bangkit menentang,
“ini adalah bid’ah yang tak boleh dimaafkan”

Sesungguhnya, andai semua situasi kita bandingkan dengan diri, kita jadikan pengalaman kita sebagai iktibar, kita akan rosak. Kita kan tertipu dengan tipudaya syaitan dan kehendak nafsu. Jika seseorang berusaha untuk menjadi petani berjaya,biarkan! Jangan sebab kita pernah menebas samun kemudian bangga dengan tanah yang bersih tapi lupa menabur benih yang baik, kita samakan orang lain dengan kita.

Jangan lupa,tindakan yang datang dengan kemahuan lebih kuat dari yang datang dengan sekadar dorongan. Kemahuan yang disusuli dengan kemahiran lebih teguh dari sekadar kekuatan.Kepandaian,kemahuan,kesabaran,rasa memadai dengan yang ada,dorongan dan telunjuk serta masa yang panjang. Semuanya peringkat yang dikuasai dan diajar sarjana,mesti diturut turutannya.

Mungkin aku tewas sebab berlari terlalu pantas, tak selari dengan jarak dan bekalan.Aku futur lalu berundur. Hangat ini, manusia melabelkan dengan satu kalimat yang cukup sempurna,hangat-hangat tahi ayam.itulah perlu kita pada istiqomah. Betapa tetap walaupun lambat lebih bernilai dari laju tapi melulu.Apatahlagi bila ia kita lakukan untuk sekian kali yang pertama.

Orang yang tak biasa berlari tiba-tiba diajak berlumba,maka sudah akan ketinggalan di belakang. Orang yang biasa berlari anak diajak berlumba, akan tersesak nafas di tengah perjalanan.Begitulah setrusnya. Antara bukti lemahnya manusia,keterbiasaan mengatasi segala kekuatan.

Disebabkan kelemahan ini, aku memandang enteng pada dedaun yang mula menghijau. aku biarkan pandangan melintuk-lintuk bersama dedaun kering jatuh di saat angin bertiup.pada teman yang baru mencari kehangatan, bertenang dan biasakan diri meungikut urutan. Pada teman yang dirinya dingin sepertiku, kita lebih layak untuk menerima kehangatan kerana kita pernah menderita kedinginan.

-Waza-
11/12/2008
Bilik Wel

Thursday 10 September 2009

بعد أربعة أشهر وعشرا

Hari ini sudah habis iddahku. Sememangnya empat bulan sepuluh hari berlalu begitu cepat bagi seorang lelaki tapi tidak bagi perempuan. Mereka berbeza. Mereka punya sekeping hati yang sangat nipis dan secebis kekuatan yang sangat rapuh yang sukar untuk lelaki tafsirkan.

Maha suci Allah memberikan sesuatu sesuai dengan hamba yang menerimanya. Tuhan tidak ciptakan sesuatu yang tahsiilul hasil! Lelaki walau tanpa iddah mereka tak sekeliru perempuan. Walau lebih tidak sabar, mereka punya tafsiran yang lebih sempurna tentang dunia dan juga kesetiaan. Ini adalah sebahagian hikmah dijadikan iddah khusus untuk perempuan.

Malam terus melabuhkan tirainya sehingga menutupi kaki-kaki yang berjalan di lorong tanpa cahaya, kegelapan menutup ruang-ruang langit sehingga bulan nampak begitu indah keseorangan. Bulan itu cantik kerana malam. Demi membiarkan bulan kelihatan cantik, malam sanggup melenyapkan keindahan siang yang ada dengan gelapnya. Sehingga sampai satu ketika, bulan tak kelihatan. Semua yang ada bersungut pada malam,

“kau terlalu manjakan dia!tengok..dia datang dan pergi sesuka hati!jangan sampai dia naik kepala!”

“mana ada manja!bulan baik..cantik..korang cemburukan dia!korang kalau tak puas hati, mengadulah dekat tuhan”

Perbicaraan sebegini takkan ada melainkan mubalaghahnya sahaja. Hakikatnya semua yang namanya ciptaan; siang, malam, gelap, dan bulan punya kerja yang maha mulia. Kerjanya adalah berzikir kepada tuhan setiap masa. Mereka tak punya masa terluang seperti kita untuk bersenang-senang tanpa apa kerana tujuan mereka diciptakan adalah semata-mata untuk manusia.

Manusia itu pula, dengan setiap sesuatu diciptakan untuk mereka, mereka seolah-olah sudah ditunjuk jalannya dalam mencapai sesuatu. Terkadang bila kita dimudahkan untuk melakukan ibadah dan ketaatan itu bermakna kita dimudahkan oleh Allah untuk ke syurga. Tapi jika segala yang ada seolah-olah memudahkan kita untuk melakukan maksiat dan dosa, kita terlebih patut berjaga-jaga.

Memandang pada kesempurnaan zat yang Maha Sempurna, menghirup sungai yang diciptakan daripada madu, susu, dan arak yang tidak memabukkan, menjadi pemilik si mata jeli(hurul ain) juga si mata yang diredhai(ainul mardiyyah). Semua kita suka untuk digelar ahlul jannah.

Tetapi hari-hari kita, mengapa terlalu bermudah dengan dunia yang melalaikan sehingga dosa menjadi teman kemudian mesra. Sepertinya Hamim( minuman ahli neraka) itu dingin, sepertinya Ghossaak(nanah yang jelek) itu bisa mengenyangkan. Kalaulah ada yang sanggup menghadapinya, takkan si kafir-kafir di situ bisa berkata,

“Robbi, ya laitani..kuntu turooba!” (tuhanku, alangkah baiknya kalau dulu aku diciptakan sebagai tanah)

Beratnya azab itu, sehingga mereka tak berhasrat untuk diciptakan sebagai manusia! Mengapa tak ingin jadi manusia? Bukankah dunia ini terkumpul segala nikmat untuk mereka? Di dunia ada cinta! Ada perempuan! anak! harta! emas!perak! kuda-kuda yang cekap(kenderaan)! binatang ternakan! Kebun!

Segagah-gagah manusia, bila diuji dengan kesakitan mereka ingin sembuh. cuma antara rajin atau malas mencari ubat .sejahat-jahat manusia bila didatangkan kebaikan mereka takkan menolak cuma mahu atau tidak untuk meninggalkan kejahatan yang kebanyakkannya adalah menyeronokkan itu.

Melakukan kebaikan juga seronok sebenarnya malah terlebih seronok dari berbuat jahat. Cuma keseronokan berbuat baik itu tersembunyi di beberapa tempat rahsia lagi terceruk. Tempat itu nama pendeknya Ihsan. Nama panjangnya,

‘kita beribadat pada Allah seolah-olah kita melihatNya, walaupun kita tak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kita.’

Untuk sampai kepadanya, kita boleh melalui banyak jalan tapi tiada jalan yang dekat. Antaranya jalan khusyuk, jalan tenang, jalan ilmu, jalan amal,jalan ikhlas dan sebagainya.

Untuk sampai kepada jalan itu, kita disekat oleh samseng-samseng jalanan. Ada seorang yang digelar nafsu. Nafsu ini samsengnya tak pernah habis sejak dari awal ia diciptakan. Ia pernah beberapa kali direndam di dalam neraka kerana samsengnya tak mengaku tuhan sebagai pencipta,tak sedar diri sebagai hamba. Kata tuhan,

“Sesungguhnya nafsu sentiasa mendorong ke arah keburukan”

Untuk melepasinya, tuhan kurniakan satu bulan. RAMADHAN. Nafsu di bulan ini kurang bekerja kerana mereka diperintahkan untuk berpuasa.

Berkat Ramadhan juga, dimudahkan kita untuk melintasi jalan kerana ketua segala samseng-samseng turut diikat dengai rantai-rantai yang teguh dari tuhan. Samseng ini dulunya sangat warak dan baik. Antara segala makhluk sebelum diciptakan manusia, samseng ini paling tinggi ilmunya, paling hampir ia dengan tuhan. Bila sahaja manusia pertama diciptakan, mereka menunjuk samseng dengan enggan sujud pada Adam . Kata mereka,

“Kau ciptakan aku dari api, kau ciptakannya dari tanah, maka aku terlebih mulia”

Lalu Allah laknat pada mereka serta dikeluarkan dari syurga. maka lekatlah gelaran padanya Iblis laknatullah. Anak-anaknya Syaitan, sekarang mengganggu setiap perjalanan di setiap saat,setiap hari,setiap bulan kecuali Ramadhan.

Kalau difikir sejenak, iblis dikeluarkan dari syurga dan dilaknat Allah sepanjang masa hanya kerana enggan sujud pada Adam bukan Allah. Entah bagaimanalah pula anak-anak Adam yang enggan sujud kepada Allah Taala! Justeru, tak terkira besarnya kesalahan manusia dan kemurkaan Allah pada mereka.

{sebenarnya iblis dan syaitan takut kepada anak-anak Adam yang engkar kepada tuhan setiap masa. Pernah satu masa syaitan cuba untuk berkawan dengan anak adam di dalam satu perjalanan musafir. Syaitan menjelma sebagai manusia lalu mendekati hamba itu ketika waktu solat. Syaitan terkejut melihat manusia tidak solat. Setelah beberapa lama melihat hamba ini langsung tidak solat, syaitan ingin menjauhinya. Lalu hamba ini bertanya pada syaitan. Kata syaitan,

“Aku ini adalah syaitan. Aku ingin mengajakmu berbuat jahat ternyata engkau sekali-kali tidak pernah solat. Engkau adalah lebih jahat dariku! Aku dikeluarkan dari syurga kerana tidak sujud pada Adam tapi kamu anak-anak Adam tak pernah sujud pada tuhan. Maka aku takut bersahabat dengan orang jahat sepertimu.” }

Itu sekadar cerita, tak tahu dimana hujung ke mana pangkalnya. tapi yang paling penting kita sekarang berada di bulan Ramadhan. Penuh dengan nikmat dan kelebihan. Sedarlah, kita ini hidup,

“kalau tak kerana rahmat dan kelebihan yang Allah berikan pada kita sudah tentu kita telah lama ditimpakan azab yang pedih atas apa yang kita kerjakan.”

Hari ini akan tenggelam. Semua benda yang manis, indah, sedih, gundah akan hanyut bersamanya. Ia akan berlalu seperti berlalunya iddah aku dan iddah orang-orang perempuan.

Demi kemuliaan Ramadhan yang masanya semakin singkat, demi kemuliaan yang dilebihkan Allah kepada lelaki, jadikan iddah ini yang pertama dan terakhir. Tak ingin aku berkongsi hak dengan mereka untuk kali kedua.

Kenangan kita di hari ini, akan ada yang kita ingat dan banyak yang kita lupa. Kenang-kenangkanlah barang pahala yang telah kita beli, penjimatan dosa yang kita telah buat. Kita beruntung tapi tak sedar dek untung.

Sekarang masa untuk mengaut keuntungan semakin berkurang. Sekarang sudah sempit pintu rahmah, dan pintu maghfirah, tapi pintu untuk berlepas dari api neraka masih luas terbuka.

Teruskan berbelanja dan berjimat, sehingga kita punya cukup bekal untuk melintasi jalan yang dipenuhi samseng jalanan bagi sampai kepada ihsan itu. Apabila telah ketemu, sampaikan salam hamba dan pesankan padanya,


“simpankan satu untuk hamba, anak kunci syurga”

-Tanpanama-

10-9-2009

Tuesday 8 September 2009

Sebaik-baik masa hidup, ketika menyedari kekurangan serta kerendahan diri

خيرُ أوقاتِك وقتٌ تَشهَدُ فيه وُجودِ فَاقَتِكَ وتَرُدُّ فيه الى وجود ذِلَّتِك
“sebaik-baik saat dalam hidupmu ialah saat-saat engkau mengakui padanya keperluanmu, dan kembali kepada kerendahan dirimu”

Sebaik-baik saat dalam hidup kita ialah apabila kita ingat akan Allah dan putus hubungan dengan segala sesuatu yang lainnya. Itulah saat dimana kita merasakan bahawa kita benar-benar merasa keperluannya kepada tuhan.

Sedang segala sesuatu yang yang lain tidak mampu lagi untuk menolong meringankan keperluan kita. Dan pada saat ini tidak ada pandangan yang lain dari Allah, maka pada ketika itu sempurna dan murnilah pengertian tauhid kita dengan Allah.

متى أَوْحَشَكَ مِن خَلْقِه فأعلم انه يريد ان يَفْتَحَ لك بابَ الأُنْسِ به
"apabila Allah telah menjemukan engkau dari makhlukhnya, maka ketahuilah bahawa Allah akan membukakan untukmu perasaan jinak dan senang kepada-Nyaآ”

Apabila kita telah merasa jemu kepada makhluk, seolah-olah tiada kebahagiaan yang boleh kita ambil dari mereka,kerana merasa mereka tidak bermanfaat bagi kita, bahkan ada ketikanya membahaya kepada kita, maka di saat itu sebenarnya kita telah semakin senang dan hampir kepada Allah.

Abu Yazid Al-Bustamy ketika ia diperlihatkan oleh Allah dengan alam malakut, kemudian ditanya: Adakah sesuatu yang menyenangkan engkau? Jawabnya: Tidak.
Maka dikatakan kepadanya: engkau hamba Allah yang sesungguhnya.

متى أطْلَقَ لِسانَكَ بالطَلَبِ فاعلم أنه يريد أن يُعْطِيَكَ
“apabila Allah telah melepaskan lidahmu untuk meminta, maka ketahuilah bahawa Allah akan memberi kepadamu.”

Abdullah bin Umar radiallahuanhuma berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Siapa yang telah mendapat izin untuk berdoa, bererti telah dibukakan baginya pintu rahmat, dan tiadalah sesuatu benda yang dipohon yang paling disukai allah lebih daripada meminta ampun dan keselamatan dunia akhirat.

Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda;

Apabila Allah SAW sayang pada seorang hamba, maka dituangkan kepadanya bala,
maka bila ia berdoa, berkata malaikat: suara yang sudah terkenal
Dan berkata pula Jibril: tuhanku, hambamu fulan, sampaikanlah hajatnya.
Jawab Allah; biarkan hambaku, aku suka mendengar suaranya.

Maka apabila hamba berkata:Ya Rabbi
Jawab Allah: labbaika hambaku, tiada engkau berdoa melainkan aku menyambutnya, dan tiada engkau pinta sesuatu melainkan pasti Aku berikan.
Samada aku segerakan untukmu, atau aku simpan untukmu yang lebih baik, atau aku tolak daripadamu bala yang lebih besar dari itu.

-tanpanama-
terjemahan Hikam Ibnu Athoillah As-sakandary

Saturday 5 September 2009

اجتهادك فيما ضمن لك وتقصيرك فيما طلب منك دليل على انطماس البصيرة منك
"Kerajinanmu untuk mencapai apa-apa yang telah dijamin pasti akan sampai kepadamu, disamping kelalaian terhadap kewajipan-kewajipan yang diamanatkan kepadamu, membuktikan butanya mata hatimu"

Firman Allah,

“berapa banyak binatang yang melata yang tidak samggup membawa rezekinya, Allah yang menjamin rezekinya, juga terhadap kamu dan dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” Al- Ankabut-60

Firman Allah,


“Perintahkan kepada keluargamu supaya sembahyang dan sabarlah dalam melaksanakannya, Kami(Allah) tidak menuntut kamu supaya mencari rezeki, kami (Allah) yang menjamin rezekimu, dan akibat(kemenangan yang terakhir) bagi orang yang bertakwa.” Thaha-132

Kerjakan apa yang menjadi kewajipanmu terhadap Kami dan Kami melengkapi bagimu bahagian Kami. Di sini apa dua;

satu, yang dijamin oleh Allah, maka jangan menuduh(su’u zhon) terhadap Allah. Dua,yang dituntut oleh Allah,maka jangan kau abaikan.

عبدي أطعني في ما أمرتك
ولا تعلمني بما يصلحك

"Hambaku, taatilah semua perintahKu, dan jangan memberitahu kepadaKu apa yang baik bagimu,(atau jangan mengajari kepadaKu apa yang menjadi hajat keperluanmu)."

Dalam sebuah hadith yang maksudnya sedemikian:

Mengapakah orang-orang mengagungkan orang yang kaya, pemboros, dan menghina ahli-ahli ibadat, dan mengikuti tuntutanan Quran hanya yang sesuai dengan hawa nafsu mereka, sedang yang tidak sesuai dengan hawa nafsunya ditinggalkan (diabaikan), padahal yang demikian itu bererti mempercayai sebahagian kitab Allah, dan mengabaikan(kafir) terhadap sebahagian kitab Allah.

Mereka berusaha untuk untuk mencapai apa-apa yang dapat dicapai tanpa usaha iaitu bahagian yang pasti tiba dan ajal yang tertentu, dan rezeki yang menjadi bahagiannya, tetapi tidak berusaha untuk mencapai apa yang tidak dapat dicapai kecuali dengan usaha, iaitu pahala-pahala yang besar dan amal-amal ibadat dan dagangan yang tidak aka rosak.

Ibrahim Al-khawwas berkata:

لا تتكلف ما كفيت
ولا تضيع ما استكفيت
"Jangan memaksa diri untuk mencapai apa yang telah dijamin dan jangan mensia-siakan apa yang diamanahkan kepadamu."

Oleh sebab itu, maka siapa yang berusaha untuk mencapai apa yang sudah dijamin, dan mengabaikan apa yang ditugaskan kepadanya, maka bererti buta mata hatinya kerana sangat sangat bodohnya.

-Hikam Ibnu Athoilah As-Sakandari

Wednesday 2 September 2009

bidadari

Bidadari adalah wanita syurga yang disediakan sebagai ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang taat. Tiada kata seindah bahasa yang dapat menggambarkan kecantikan bidadari.

Kejelitaannya tidak dapat dikiaskan dengan benda-benda di dunia ini. Keharuman tidak ada menyamai wangian yang ada di alam ini. Segala kenikmatan terkumpul didalamnya yang tidak terrlintas di mata dan hati.

“di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-bak lagi cantik-cantik. Maka nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah,
maka nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka dan tidak pula jin”
-Ar-Rahman(70-74)

Bidadari salah satu perbendaharaan kenikmatan syurga yang ghaib dan misteri, namun ia wujud serta sentiasa menanti dan merindui para kekasihnya.

Bidadari sebagai isteri yang suci, di sudut matanya penuh keindahan, sebaya umurnya, sangat putih, cantik berseri wajahnya, gadis-gadis remaja, dan sekiranya bidadari ini meludah di samudera nescaya airnya menjadi tawar, kerana tawarnya air ludah bidadari.

Begitulah keistimewaan bidadari yang Allah SWT janjikan bagi insan yang beriman.

dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya.

Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan di dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan, “inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.” Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.” Al-Baqarah-25

Menikmati taman keindahan syurgawi merupakan impian setiap insan, kerana sesungguhnya tiada kenikmatan yang paling bermakna melainkan kenikmatan menghirup kebahagiaan di akhirat nanti. Semoga kita termasuk insan yang diredhai-Nya.

InsyaAllah.