Thursday 10 September 2009

بعد أربعة أشهر وعشرا

Hari ini sudah habis iddahku. Sememangnya empat bulan sepuluh hari berlalu begitu cepat bagi seorang lelaki tapi tidak bagi perempuan. Mereka berbeza. Mereka punya sekeping hati yang sangat nipis dan secebis kekuatan yang sangat rapuh yang sukar untuk lelaki tafsirkan.

Maha suci Allah memberikan sesuatu sesuai dengan hamba yang menerimanya. Tuhan tidak ciptakan sesuatu yang tahsiilul hasil! Lelaki walau tanpa iddah mereka tak sekeliru perempuan. Walau lebih tidak sabar, mereka punya tafsiran yang lebih sempurna tentang dunia dan juga kesetiaan. Ini adalah sebahagian hikmah dijadikan iddah khusus untuk perempuan.

Malam terus melabuhkan tirainya sehingga menutupi kaki-kaki yang berjalan di lorong tanpa cahaya, kegelapan menutup ruang-ruang langit sehingga bulan nampak begitu indah keseorangan. Bulan itu cantik kerana malam. Demi membiarkan bulan kelihatan cantik, malam sanggup melenyapkan keindahan siang yang ada dengan gelapnya. Sehingga sampai satu ketika, bulan tak kelihatan. Semua yang ada bersungut pada malam,

“kau terlalu manjakan dia!tengok..dia datang dan pergi sesuka hati!jangan sampai dia naik kepala!”

“mana ada manja!bulan baik..cantik..korang cemburukan dia!korang kalau tak puas hati, mengadulah dekat tuhan”

Perbicaraan sebegini takkan ada melainkan mubalaghahnya sahaja. Hakikatnya semua yang namanya ciptaan; siang, malam, gelap, dan bulan punya kerja yang maha mulia. Kerjanya adalah berzikir kepada tuhan setiap masa. Mereka tak punya masa terluang seperti kita untuk bersenang-senang tanpa apa kerana tujuan mereka diciptakan adalah semata-mata untuk manusia.

Manusia itu pula, dengan setiap sesuatu diciptakan untuk mereka, mereka seolah-olah sudah ditunjuk jalannya dalam mencapai sesuatu. Terkadang bila kita dimudahkan untuk melakukan ibadah dan ketaatan itu bermakna kita dimudahkan oleh Allah untuk ke syurga. Tapi jika segala yang ada seolah-olah memudahkan kita untuk melakukan maksiat dan dosa, kita terlebih patut berjaga-jaga.

Memandang pada kesempurnaan zat yang Maha Sempurna, menghirup sungai yang diciptakan daripada madu, susu, dan arak yang tidak memabukkan, menjadi pemilik si mata jeli(hurul ain) juga si mata yang diredhai(ainul mardiyyah). Semua kita suka untuk digelar ahlul jannah.

Tetapi hari-hari kita, mengapa terlalu bermudah dengan dunia yang melalaikan sehingga dosa menjadi teman kemudian mesra. Sepertinya Hamim( minuman ahli neraka) itu dingin, sepertinya Ghossaak(nanah yang jelek) itu bisa mengenyangkan. Kalaulah ada yang sanggup menghadapinya, takkan si kafir-kafir di situ bisa berkata,

“Robbi, ya laitani..kuntu turooba!” (tuhanku, alangkah baiknya kalau dulu aku diciptakan sebagai tanah)

Beratnya azab itu, sehingga mereka tak berhasrat untuk diciptakan sebagai manusia! Mengapa tak ingin jadi manusia? Bukankah dunia ini terkumpul segala nikmat untuk mereka? Di dunia ada cinta! Ada perempuan! anak! harta! emas!perak! kuda-kuda yang cekap(kenderaan)! binatang ternakan! Kebun!

Segagah-gagah manusia, bila diuji dengan kesakitan mereka ingin sembuh. cuma antara rajin atau malas mencari ubat .sejahat-jahat manusia bila didatangkan kebaikan mereka takkan menolak cuma mahu atau tidak untuk meninggalkan kejahatan yang kebanyakkannya adalah menyeronokkan itu.

Melakukan kebaikan juga seronok sebenarnya malah terlebih seronok dari berbuat jahat. Cuma keseronokan berbuat baik itu tersembunyi di beberapa tempat rahsia lagi terceruk. Tempat itu nama pendeknya Ihsan. Nama panjangnya,

‘kita beribadat pada Allah seolah-olah kita melihatNya, walaupun kita tak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kita.’

Untuk sampai kepadanya, kita boleh melalui banyak jalan tapi tiada jalan yang dekat. Antaranya jalan khusyuk, jalan tenang, jalan ilmu, jalan amal,jalan ikhlas dan sebagainya.

Untuk sampai kepada jalan itu, kita disekat oleh samseng-samseng jalanan. Ada seorang yang digelar nafsu. Nafsu ini samsengnya tak pernah habis sejak dari awal ia diciptakan. Ia pernah beberapa kali direndam di dalam neraka kerana samsengnya tak mengaku tuhan sebagai pencipta,tak sedar diri sebagai hamba. Kata tuhan,

“Sesungguhnya nafsu sentiasa mendorong ke arah keburukan”

Untuk melepasinya, tuhan kurniakan satu bulan. RAMADHAN. Nafsu di bulan ini kurang bekerja kerana mereka diperintahkan untuk berpuasa.

Berkat Ramadhan juga, dimudahkan kita untuk melintasi jalan kerana ketua segala samseng-samseng turut diikat dengai rantai-rantai yang teguh dari tuhan. Samseng ini dulunya sangat warak dan baik. Antara segala makhluk sebelum diciptakan manusia, samseng ini paling tinggi ilmunya, paling hampir ia dengan tuhan. Bila sahaja manusia pertama diciptakan, mereka menunjuk samseng dengan enggan sujud pada Adam . Kata mereka,

“Kau ciptakan aku dari api, kau ciptakannya dari tanah, maka aku terlebih mulia”

Lalu Allah laknat pada mereka serta dikeluarkan dari syurga. maka lekatlah gelaran padanya Iblis laknatullah. Anak-anaknya Syaitan, sekarang mengganggu setiap perjalanan di setiap saat,setiap hari,setiap bulan kecuali Ramadhan.

Kalau difikir sejenak, iblis dikeluarkan dari syurga dan dilaknat Allah sepanjang masa hanya kerana enggan sujud pada Adam bukan Allah. Entah bagaimanalah pula anak-anak Adam yang enggan sujud kepada Allah Taala! Justeru, tak terkira besarnya kesalahan manusia dan kemurkaan Allah pada mereka.

{sebenarnya iblis dan syaitan takut kepada anak-anak Adam yang engkar kepada tuhan setiap masa. Pernah satu masa syaitan cuba untuk berkawan dengan anak adam di dalam satu perjalanan musafir. Syaitan menjelma sebagai manusia lalu mendekati hamba itu ketika waktu solat. Syaitan terkejut melihat manusia tidak solat. Setelah beberapa lama melihat hamba ini langsung tidak solat, syaitan ingin menjauhinya. Lalu hamba ini bertanya pada syaitan. Kata syaitan,

“Aku ini adalah syaitan. Aku ingin mengajakmu berbuat jahat ternyata engkau sekali-kali tidak pernah solat. Engkau adalah lebih jahat dariku! Aku dikeluarkan dari syurga kerana tidak sujud pada Adam tapi kamu anak-anak Adam tak pernah sujud pada tuhan. Maka aku takut bersahabat dengan orang jahat sepertimu.” }

Itu sekadar cerita, tak tahu dimana hujung ke mana pangkalnya. tapi yang paling penting kita sekarang berada di bulan Ramadhan. Penuh dengan nikmat dan kelebihan. Sedarlah, kita ini hidup,

“kalau tak kerana rahmat dan kelebihan yang Allah berikan pada kita sudah tentu kita telah lama ditimpakan azab yang pedih atas apa yang kita kerjakan.”

Hari ini akan tenggelam. Semua benda yang manis, indah, sedih, gundah akan hanyut bersamanya. Ia akan berlalu seperti berlalunya iddah aku dan iddah orang-orang perempuan.

Demi kemuliaan Ramadhan yang masanya semakin singkat, demi kemuliaan yang dilebihkan Allah kepada lelaki, jadikan iddah ini yang pertama dan terakhir. Tak ingin aku berkongsi hak dengan mereka untuk kali kedua.

Kenangan kita di hari ini, akan ada yang kita ingat dan banyak yang kita lupa. Kenang-kenangkanlah barang pahala yang telah kita beli, penjimatan dosa yang kita telah buat. Kita beruntung tapi tak sedar dek untung.

Sekarang masa untuk mengaut keuntungan semakin berkurang. Sekarang sudah sempit pintu rahmah, dan pintu maghfirah, tapi pintu untuk berlepas dari api neraka masih luas terbuka.

Teruskan berbelanja dan berjimat, sehingga kita punya cukup bekal untuk melintasi jalan yang dipenuhi samseng jalanan bagi sampai kepada ihsan itu. Apabila telah ketemu, sampaikan salam hamba dan pesankan padanya,


“simpankan satu untuk hamba, anak kunci syurga”

-Tanpanama-

10-9-2009

1 comment:

WaZa said...

baru tahu rupa2nya lelaki pun ada iddah dlm 2keadaan//
1. suami yang berkahwin 4. tidak boleh berkahwin lain setelah mnceraikan salah seorang isteri sblm tamat idahnya.

2. lelaki yang ingin berkahwin dengan adik/kakak kpda isterinya . kena tunggu idah isterinya tamat dhulu..

waza