Saturday 29 August 2009

buatlah minuman yang sedap dari limau nipis yang masam

orang cerdik akan berusaha mengubah kerugian menjadi keuntungan.manakala orang bodoh akan membuat suatu musibah menjadi tertakluk dan bertompok-tompok.

ketika baginda Rasullulah SAW dihalau dari Makkah, beliau memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian berjaya membinanya menjadi satu negara yang sangat popular di telinga dan mata sejarah.

Ahmad bin Hanbal pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi sebab itu pulalah ia kemudian menjadi imam salah satu mnazhab. Ibnu Taimiyyah pernah dipenjara, tetapi di penjara itulah ia banyak menghasilkan karya yang bermutu. As-Sarkhasi pernah dikurung di dasar perigi selama bertahun-tahun lalu di tempat itulah ia berjaya mengarang buku sebanyak dua puluh jilid.

Apabila Ibnu Athir dipecat dari jawatannya, ia berjaya menyelesaikan karya besarnya yang bertajuk Jami’ul Ushul dan An-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam bidang hadis. Demikianlah juga halnya dengan Ibnu Jawzi, beliau pernah diasingkan dari baghdad, dan kerana itu beliau menguasai Qiraat Sab'ah.

Malik bin Ar-Raib mengalami sejenis penyakit yang boleh membunuh, namun ia mampu menggubah puisi-puisi yang sangat bagus yang tidak kalahnya dengan karya-karya para pujangga besar lainnya pada zaman Abbasiyyah. Ketika semua anak Abu Zuaib Al-Zuhaili mati meninggalkanya seorang diri, sebaliknya pada masa itulah ia mampu menghasilkan nyanyian-nyanyian puitis yang mampu menutup mulut zaman, membuat setiap pendengarnya tertarik, memaksa sejarah untuk tetap bertepuk tangan setiap kali diperdengarkan semula.

Demikianlah hendaknya ketika anda ditimpa suatu musibah, anda perlu melihat aspek yang paling terang dan sudut positifnya; ketika seseorang memberi anda segelas air limau, anda perlu menambah sesudu gula kedalamnya; ketika mendapat hadiah seekor ular, ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain; ketika disengat kala jengking, ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberi kekebalan pada tubuh anda dari bahaya bisa ular.

"orang yang cerdik akan berusaha mengubah kerugian menjadi keuntungan. Manakala orang yang bodoh akan membuat satu kerugian menjadi kemuflisan."

kawallah diri anda dalam apa jua bentuk dan jenis kesusahannya yang anda hadapi. Dengan begitu, anda akan dapat menghadiahkan bunga mawar dan melati yang harum kepada dunia.

Sebelum tercetusnya revolusi besar di Perancis, kononya dua negara itu pernah memenjara dua sasterawan terkenal. Seorang daripada kedua-duanya bersikap sangat optimis dan yang seorang lagi bersifat sangat pesimis tentang kemungkinan tercetusnya revolusi dan perubahan akan segera berlaku.

tiap- tiap hari kedua-duanya melonggokkan kepala melalui celah-celah jerjak penjara. Cuma, si sasterawan yang optimis sentiasa memandang ke atas dan melihat bintang-bintang yang bergemerlapan di langit. dan kerana itu ia selalu nampak tersenyum riang. manakala sasterawan yang pesimis tadi, ia selalu melihat tanah hitam di depan penjara, dan kemudian menangis kerana sedih.

begitu jugalah sepatutnya sikap anda, iaitu selalu melihat sudut lain dari kesedihan itu. kerana belum tentu semuanya menyedihkan, pasti ada kebaikan, secercah harapan, jalan keluar serta pahala.

edit by,
-Tanpanama-

-rujukan-La Tahzan(Aidh Qarni)

Tuesday 25 August 2009

Warkah dari penjara

Buat orang yang asyik dalam dunianya, serta orang yang fakir dan miskin
Bismillahirrahmanirrahim…

Saudara, saudari, serta orang-orang yang kucinta dari golongan yang asyik dengan dunianya. Juga golongan fakir dan miskin yang sombong dengan nikmat-nikmat Allah SWT tanpa mereka sedari.

Sahabatku yang berada di kediaman yang indah, di jalan yang luas, sahabat yang sentiasa ketakutan sehingga bumi menjadi sempit kepada mereka, serta mereka yang disempitkan oleh diri mereka sendiri lalu mereka mencari tabib atau pemudahcara bagi menghilangkan dunia yang menyesakkan mereka.

Wahai orang-orang yang memiliki kemampuan untuk menetapkan perjalanan hidup mereka dengan sendiri, mampu untuk keluar masuk ke rumah serta bergerak bebas ke sana ke mari.
Wahai orang-orang yang mendiami bumi Allah yang mulia, bersedap-sedap dengan nikmat Allah dengan memiliki kebebasan serta dapat memenuhi kehendak mereka dan seumpamanya.
Wahai orang-orang yang meninggalkan kediaman dan anak-anak, lalu duduk berjauhan entah di mana tempatnya.

Aku menulis kepada kalian, warkah ini dari sangkar yang sempit di penjara usang yang menggerunkan di bawah tanah. Kutulis ia sebagai pemindahan gelodak jiwaku, keperitanku, juga impianku yang telah tersekat dari segala kebebasan dan kehendak di balik pintu hitam lagi suram, yangmana pintunya besi, tingkapnya besi,serta dikelilingi oleh hati-hati yang keras seperti besi bahkan lebih keras dari batu dan besi.

Kami di sini tanpa kesalahan yang mendakwa juga tanpa sebab yang kami ketahui, kami dihalang dari memandang siang seperti pandanganmu, merenung bulan seperti renunganmu, berhubung dengan sekalian manusia serta bergerak bebas di jalanan sepertimu.

Dari bukaan sempit di celah pintu besi kejam yang jarang terbuka di depanku, aku sebarkan pandangan. Pandanganku jatuh pada merpati-merpati yang berterbangan dan menari-nari di tempat laluan keluar masuk di bahagian hadapan. Aku lihat kedua-duanya gembira berpatukan, terbang lalu hinggap, bergerak jauh kemudian datang kembali. Dari sini juga kudengar sahutan mendayu-dayu sang helang yang bertenggek di bumbung penjara mendendangkan lagu-lagu pilu. Seolah-olahnya memberi isyarat pada dunia luar dengan berkata,

“Tempat ini tiada irama yang lain melainkan irama kesedihan, tiada lagu yang sempurna melainkan lagu pilu”

Aku terkenang akan helang yang hampir sama duduk bertenggek di atas sebatang pokok di taman tempat tinggalku. Ia juga mengeluarkan bunyi yang sama tapi bukan irama kesedihan. Aku masih ingat pada burung belatuk yang mematuk dinding rumah kami. Ia terbang ke sawah dan akan kembali dengan makanan buat anak-anaknya. Lalu ia hulurkan paruhnya ke dalam lubang yang dibuat pada dinding tanpa ragu-ragu. Kemudian ia bergegas meninggalkan tempat itu seolah-olahnya ia berkejaran dengan masa serta bimbang akan berlalunya siang.

Aku masih ingat lagi pohon Tut(pohon ulat sutera)yang cantik sekeliling taman rumah kami serta pohonan tamar yang berbuah lebat di situ. Aku memandang ke luar jendela memerhatikan rumah bapa saudaraku yang menghadap ke arah rumah kami. Tak pernah terlintas bahawa besi-besi dari tingkap sebegini yang akan mengikat kebebasan anak saudaramu ini suatu hari nanti. Hati kecilku sering bersuara:

“Betapa indahnya jika memiliki kebebasan serta dapat menunaikan kehendak diri. Betapa manisnya hidup sebagaimana yang telah diaturkan oleh Sang Pemberi dan Pencipta Kehidupan”

Aku duduk berlantaikan tanah penjara lalu kupandang pada pintu yang tertutup. Ia tak pernah dibuka melainkan ketika menghantar makanan. Seolahnya aku ini dengan sifat kemanusiaanku, dengan perangaiku, dengan peganganku tak lebih dari seekor binatang buas. Mereka mengurungnya di dalam sangkar besi yang gelap, mereka menjaga dan mengikatnya untuk menjaga manusia dari keganasannya.

Aku sekarang berada di bumi yang meruntuhkan segala helah. Di sini aku rindukan kebebasan, rindu untuk pulang, keluar bekerja, berjalan di jalanan, serta mengucapkan salam kepada manusia lain. Aku rindu pada udara yang damai, kanak-kanak yang riang berkejaran, pohon kayu yang menghijau, burung-burung yang berkicauan, peniaga-peniaga yang berteriak melariskan barang jualan mereka, kedai-kedai yang terang bercahaya, penjual kitab, pemandu teksi, pengumpul sampah, pemandu bas, serta pemeriksa tiketnya. Air mataku kembali bergenangan bila mengenang itu semua. Kukatakan pada diri,

“Betapa aku telah putus asa bila terlalu jauh ditinggalkan”

Ingatanku kembali tumpah pada rumahku yang bersih, anak-anak serta isteri yang kukasih, bagaimana mampu kulihat mereka seperti sebelumnya. Mereka di belakangku bermain-main di rumah, bebas bergerak ke mana sahaja, membuka tingkap dan pintu, masuk ke dalam bilik air dan dapur, makan apa sahaja yang mereka inginkan, mereka berada dalam nikmat yang tak terhitung. Sesiapapun takkan menyedarinya melainkan bila sudah kehilangan.

Diceritakan kepadaku pada suatu hari, ada seorang banduan yang menghidap kanser dan akan dipindahkan ke hospital setahun untuk mengubatinya. Percayalah, aku dapati dalam diriku apa rasa dengki yang amat padanya bila dia berjaya keluar dari bayangan besi ini. Jika kami mendapat tahu ada seseorang yang akan dikenakan hukuman gantung sampai mati, aku juga dengkikannya kerana dia akan bebas dari derita ini…
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Itulah antara sepuluh halaman kutaib(buku kecil) yang kugelar terjemahan. Itu hanya muqaddimahnya justeru ia seolah-olah tak punya apa-apa. Cuma kusiar sebagai ganti lelah otak yang telah diperah, serta letih tangan yang menulis.

Tak sanggup lagi rasanya untuk aku teruskan memandangkan bahasa yang digunakan penulis iaitu Akhi Nazmi Khalil Abul ‘Ato sangat tinggi. Tak terkejar aku dengan vocab yang tak seberapa, juga dengan penguasaan nahu yang lintang pukang. Tak tergamak juga aku dengan bunga-bunga bahasa yang kutambah dan kureka sendiri yang walau pada zahirnya menambah wangian tapi jelas menjejaskan keaslian.

Sebenarnya niat untuk menterjemah buku ini timbul bila terbaca blog Ustaz Saari Sungib tentang kisahnya sewaktu berada di tahanan Kamunting.
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=category&sectionid=4&id=35&Itemid=80

Banyak benda bermanfaat yang boleh dipelajari. Yer!bila seseorang bercakap atas dasar pengalaman,cara menulisnya lain, cara penghayatannya juga lain. Bukti paling kukuh sesuatu benda yang diluah, diucap, ditulis itu ikhlas dari hati..ia juga akan tajam menusup hati, juga mudah diambil pengajaran.

Peringatan buat diri, buatlah sesuatu sepenuh hati tapi jangan mengharap balasan, ia mungkin menusup hati cuma kita tidak perasan.Aii, berpantun lah plak! Apa-apapun, beberapa kesimpulan yang aku buat setelah beberapa kali cuba menterjemah ialah,

1-sebelum buat apa-apa kena sedar diri! Sedar kemampuan di tahap mana. Kalau lidi panjang sejengkal jangankan buat penyapu, nak buat penebah lalat pun tak mampu(lalat mesir terkecuali sebab lalat mesir jinak).

2-membuat karya sendiri adalah jauh lebih mudah..jadikan karya lain sebagai rujukan atau sekadar rumusan.ibaratnya kalau memasak ape2, pastikan semua bahan2 milik kita, cuma resepinya boleh mintak dengan RAUF..(resepi internet )

3-akhir sekali..nak terjun ke dalam kolam kena pandai berenang..kalau setakat tahu cara mengapungkan badan baik mandi dalam kolah je. Nanti kalau lemas, menyusahkan orang. kalau tak lemas pun..ia MEMALUKAN.

-tanpanama-
4Ramadhan1431

Saturday 15 August 2009

hidup ini adalah syurga..


Hidup adalah kumpulan hari, bulan, dan tahun yang berputar tanpa pernah kembali, Setiap hari umur bertambah dan usia berkurang.

Hal itu bererti kematian kian dekat. Semestinya kita kian arif dan bijak menjalaninya, tetap dalam kesolehan, bertambah kuat akidah, semakin khusyuk dalam beribadah, dan mulia akhlak.

Pada puncak kebaikan itu lalu kita mati, itulah dia husnul khatimah…..

Hidup ini tak ubahnya seorang musafir yang berteduh sesaat di bawah pohon yang rendang untuk menempuh perjalanan tanpa batas. Karena itu, bekal perjalanan mesti disiapkan semaksima mungkin.

Sebaik-baik bekal adalah takwa. Orang bertakwa adalah orang yang sangat cerdas. Ia tidak mau terjebak pada ''keenakan'' sesaat, tetapi menderita berpanjangan.

Karenanya, ia mengolah hidup yang sesaat ini menjadi bererti untuk kehidupan panjang tanpa akhir nanti.
وما الحيوة الدنيا الا لهو ولعب
وان الدار الأخرة لهي الحيوان
Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.

Hidup ini di bawah tatapan dan aturan Allah, Segalanya datang bergiliran: hidup, lalu mati; kecil, akhirnya membesar; muda, lama-lama tua; dan muncul kesenangan, terkadang berganti kesedihan. Semuanya fana.
انما الدنيا فناء ليس للدنيا ثبوت
انمل الدنيا كبحر يحتوي سمك وحوت
واغتنم وقتك فيها قبل ما فيها يفوت

sesungguhnya dunia ini fana' , ia takkan tetap
dunia seumpama laut,
terkandung bermacam ikan dan hut(ikan lumba-lumba)
gunakan waktumu padanya
sebelum ianya luput
Tetapi, di tengah kefanaan itu, Sebaik baik manusia adalah orang yang paling banyak mengingat mati, lalu mempersiapkan hidup setelah mati.

Akhirnya, kita akan tahu, sedar, dan yakin bahwa hidup bukan untuk mati, tetapi mati itulah untuk hidup.

Hidup bukan untuk hidup, tetapi untuk Yang MahaHidup. Karenanya, jangan takut mati, jangan cari mati, jangan lupa mati, dan rindukanlah mati.

Mengapa?

Karena, kematian adalah pintu berjumpa dengan-Nya. Perjumpaan terindah antara kekasih dengan Kekasihnya. Maha suci Tuhanku.

hidup ini adalah syurga..

edit by,
Tanpanama

Friday 14 August 2009

Duhai angin, sampaikan rinduku pada Ramadhan

aku jadi malu
October 8th, 2007 by teratakwaza

Hari ini sudah menyusul 27Ramadhan.Satu perjalanan hidup yang begitu singkat kurasakan.Mengisi ruang-ruang hidup dengan melambai kepada kebaikan yang bertandang sudah jadi satu tabiat buatku di sini.Walaupun hampir sempurna tiga Ramadhan aku mencari,kemanisan berpuasa itu masih tampak janggal untuk hadir berdamping.

kata orang,kemanisan berpuasa tu hadir bila ada kemanisan iman,kemanisan iman datang bila kita berilmu dan ilmu yang terbaik adalah yang disertai dengan amal.Mesti bermula dari bawah jika ingin ke atas,tapi tak semestinya jika bermula dari bawah akan sampai ke atas.kadang2 semakin kebawah.

terasa sangat yang diri ini semakin jauh.pokok-pokok yang dulumya hijau merimbun kini dah tak berdaun.dahan-dahan yang sebelumnya jadi tempat teduhan kini mula ditumbuhi cendawan.terasa tiada lagi tempat bergantung melainkan kembali bertanam jagung.

Tapi,apa kata mereka yang mengukur aku dengan pembaris masa?Apa kata mereka yang memandang aku dengan besarnya kota?takkan diterima lagi alasan-alasan suasana dan persekitaran.sudah tentu ditolak jauh-jauh alsan nafsu dan perasaan.Ahh!lantaklah mereka.sudah kubilang aku tak mampu,aku hanya mampu jadi lilin yang tersipu-sipu bila di tiup angin bukan lampu yang memberi kepanasan di kala udara mendingin.

Pengalaman aku di sini hanya lah pengalaman berjalan.bukan kembara bukan belajar.pelajaran hanya sekali-sekala menumpang lalu di tengah perjalanan,itupun jarang sekali menjadi iktibar kerana aku sifatnya sombong dan tidak sabar.Bila aku berjalan aku lebih gemar memerhati kelibat manusia yang kewujudannya tidak kekal.Jarang sangat ada pengalaman yang boleh kujadikan bekal.Di mana aku lelah di situ aku singgah,persinggahan yang tidak lebih dari duduk dan menanti.Umpama pisau tak bermata perjalanan aku terlalu banyak yang sia-sia.

memang kalau boleh aku ingin jadi seperti inginmu.melangkah tidak melatah,berpaling tidak rungsing,tapi dayaku tiada upaya.akalku tewas dengan yag namanya nafsu,sekali digertak akal membisu memandang dengan lesu.

Lalu,bila aku berbicara denganmu….aku menjadi malu

-waza-
p/s-tahun ni tahun ke-5 puasa di mesir..moga Ramadhan menerima aku sebagai tetamu

Wednesday 12 August 2009

pantun buat diri sendiri

kalau ingin lenyapkan bayang
biarkan cahaya tegak berdiri
kalau ingin lenyapkan sayang
biarkan saya semarak benci

bayang yang panjang menjadi pendek
bila mentari beralih mengufuk
sayang bergunung menjadi berbukit
bila diri diperlekeh dikutuk

paku bukan seumpama pahat
pahat bertaji tapi tak tajam
aku bukan sekadar jahat
jahatku keji bercampur kejam

paku dan pahat bila melayang
terkena perut membawa tangis
aku yang jahat bisa kau sayang
karena mulut, terlalu manis

antara bayang dan silau mentari
tiada kaitan paku dan pahat
bila sayang sudah kau beri
masa yang panjang, itulah ubat

tunggulah teduh sebelum memahat
nanti hitam tak nampak dipandang
maafkanlah si bodoh karena jahat
janji tak kejam di masa mendatang

-tanpanama-
dalam kelas ustaz Syed Qadir

p/s-maafkan ambe yang jahat ini,kak!halalkan segala makan pakai,doakan kejayaan ambe,selamat berangkat pulang dan selamat menyambut Eidul Fitri,dan..selamat pengantin baru.

Tuesday 11 August 2009

pungguk rindukan bulan



Aku dari kalangan pungguk yang terbuang.
Terbang sendiri meredahi awan.
Selari merentasi angkasa biru nan luas.

Pungguk lain sudah jauh melepasi.
Di wajah mereka terselit suka.
Mereka mengibarkan sayap ke puncak bahagia.
Bulan igauan mereka,
sudi menemani perjalanan.

Aku ketinggalan di dahan ini
reput dan kulat bisa bersatu.
Menjadi asam garam
penyambung nurani luhur.

Selama ini aku berteduh
di bawah rimbunan cinta usang
di atas sarang bertitipkan
himpunan rumput-rumput sayu.
Memori duka semalam masih
tegar dalam ingatan.

Aku dengan tiba-tiba
menjadi pemuisi
lantas seraya merayu:



Bulan jelitawan lagi rupawan
munculkan dirimu
usah biar diri ini merindu

Bulan penyantun bagaikan penyair
bicarakan kata rindu
romantis idamanku

Bulan pemanis ibarat madu
marilah bersama daku
menemani perjalanan ini selamanya

Bulan itu tidak berperasaan
Jauh benar untuk ketawa suka
Jauh pula untuk membenci rindu
Aku rupanya perasan sendiri.

Di saat bulan belum menjelma
aku hanya bisa bertenggek.
Biar apa yang terjadi
aku tetap setia menanti.

-tanpanama-

Monday 10 August 2009

demi masa..kita menderita

sahabatku
apa-apa yang berlaku
pada hari ini
sungguh akan buatku terkenang
pada hari kelmarin yang telah berlalu
tapi tak tercatat dalam diari hidupku

manusia akan terus sedih
daun yang gugur turut merintih
lalu menangis
semuanya menyanyikan lagu sendu
bila bicara soal waktu

di balik ombak ia bergerak
ditiup bayu ia mendingin

bila layu ia pun mengering
karena pada makhluk yang namanya waktu itu
tuhan hadirkan bersamanya nikmat
juga sajikan dengannya azab
pada waktu juga
bermula saat bahagia dan derita

sahabatku
jangan jadikan salah itu satu kebetulan
karena dalam kehidupan ini
banyak salah dan sikit betulnya

jangan jadikan yang betul satu kesalahan
karena hanya pada itu kita membina keyakinan

hakikatnya sebelum memulakan pemanduan
kita sudah diberi peta
cuma terkadang angin yang kencang
buat kita kabur melihat jalan

waza
March 19th, 2007 by teratakwaza.blogspot.com

copy by tanpanama

Sunday 2 August 2009

ketikamana seorang mukmin merasai kemanisan iman

Bismilahirrahmanirrahim…
Dengan nama Allah yang Maha Penyayang serta yang amat cinta pada hambanya yang cinta padanya, hanya padamu aku mengadu. Campakkan padaku sedikit rasa cinta agar aku terasa hampir denganMu.

Aku mengadu perihal dunia yang semakin kucinta bila aku cuba untuk tinggalkan serta isinya yang sentiasa mengekor aku dari belakang. Aku perhatikan teman-teman lain yang berada di sekitar yang telah melepasi peringkat cinta pada dunia.

MasyaAllah, orang-orang seperti ini ibadat mereka tidak lagi dikerjakan tapi dinikmati. Seumpama seseorang yang menikmati makanan bahkan seperti seorang yang menikmati bulan madu dan segala yang wajar dikatakan nikmat.

Sahabat sekalian,
Bila difikir-fikir sejenak, terlalu banyak benda yang kita terlepas pandang dalam mentafsirkan istilah dalam ibadat harian kita. Secara tak langsung ia mencerminkan hubungan kita dengan Allah Taala.

Bagaimana kita sebagai seorang hamba boleh membeza-bezakan antara nikmat yang diberikan dengan neraca akal semata-mata. Kalau sesuatu itu punya kebaikan untuk dunia, kita biarkan ia selesa di depan tapi jika tiada , kita biarkan. Sedangkan semuanya adalah nikmat. Nikmat adalah satu rahmat dan ia adalah dari Allah belaka.

Jadinya kita begini, lantaran kita tidak merasai kemanisan dalam ibadat kita, kemanisan yang hanya akan dinikmati bila kita punya kemanisan iman. Apa itu kemanisan iman? Bagaimana untuk kita mendapatnya? Semuanya terungkai di dalam buku kecil ini...

Kitab-Ketikamana seorang mukmin merasai kemanisan iman
Pengarang- Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Bismillahirrahmanirrahim…
-Wahai saudaraku yang mulia, aku mengucapkan syukur kepada Allah yangmana tiada tuhan selain Dia, dan aku ucapkan solawat dan salam ke atas junjunagan besar Nabi Muhammad SAW. Dan keluarganya serta sahbatnya dan sema yang mengikuti kebaikannya sehingga hari pembalasan.maka pembicaraanku kepada kamu semua pada malam ini(1):

Ketikamana seorang muslim merasai kemanisan iman.

-Sebagaimana yang kita yakini, wahai sahabat yang tercinta, sesungguhnya keimanan kepada Allah yang maha Esa apabila telah meresap ke lubuk hati dan menetap di sanubari…ia menjadi senjata pertama orang mukmin untuk menghadapi rintangan hidup dan tipudaya dunia.

-Samaada seorang muslim itu sedang mempertahankan diri atau dalam posisi menyerang. Samaada memperolehi kemenangan atau sedang diuji. Samaada mereka itu orang yang menghukum atau yang dihukum, samaada fakir mahupun kaya. Maka tanpa iman, akan terbatallah semua senjata, persiapan dan bekalan.

1-Wahai hadirin sekalian, yang aku maksudkan dengan iman ialah I’tikad seorang mukmin dengan sebulat hatinya bahawa setiap yang berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah.

-Setiap apa yang betul mengena pada diri hamba tak akan jadi satu kesilapan dan setiap apa yang menimpanya(kesilapan) tak akan jadi sesuatu yang betul. Dan sesungguhnya umat ini andai bersepakat untuk memberi manfaat kepadanya dengan sesuatu pasti takkan mampu melainkan apa yang telah ditentukan Allah baginya.

-Andai seluruh umat bersepakat untuk memudharatkannya dengan sesuatu pasti takkan mampu melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah keatasnya. Maka, sayugialah bagi orang mukmin itu untuk meletakkan pandangan matanya pada firman allah Taala:



(surat Taubat Ayat 51)

maksudnya-Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".

-Serta mengulangi setiap pagi dan petang firman Allah Taala yang berbunyi:


(surah Al-A’raf ayat 3)

maksudnya-(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".


-maka dengan pegangan dan perasaan ini, akan membebaskan mukmin daripada rasa takut, sifat pengecut, serta rasa gentar. Ia akan menghiaskan jiwa mukmin dengan kesabaran, keberanian, dan semangat untuk maju ke depan.

-Sebagaimana yang dirasai oleh Imam Ali Karomallahu Wajhah ketika menjawab seruan musuh. Katanya:
mana satu antara dua hari kematian
akan kulari,
hari yang belum ada ketetapan
atau yang sudah punya,
hari yang tidak ditentukan
langsung tak kugerun padanya,
yang sudah tertentu…
tak selamat aku walaupun sentiasa berjaga

-Samalah juga seperti Fitri bin Al-fuja’ah ketika berbicara pada dirinya di dalam kegamatan medan perang. Katanya:

Aku katakan padanya lalu ia berterbangan
tersebar daripada pahlawan
ia sekadar menggaruk tidak menyambut
andai kau pinta untuk kekal sehari
dari masa yang ditetap untukmu
pintamu takkan diturut
sabar di saat kematian
itulah sebenarnya kesabaran
karena hakikatnya,
tiadalah beroleh keabadian itu
satu kemampuan

2-Wahai saudaraku yang beriman, yang kumaksudkan dengan iman juga, I’tikad seorang mukmin dari lubuk hatinya bahawa rezeki itu di tangan Allah. Dan sesungguhnya apa yang dihamparkan Allah keatas hambanya tidak dapat dihalang oleh sesiapapun.

-Manakala apa yang dihalang Allah tak siapa dapat memberinya pula. Sehinggalah jika seseorang itu ditakdirkan untuk memamah sesuatu maka tak dapat tidak dia akan memamahnya. Begitulah manusia, ia tidak akan mati selagi tidak diputuskan rezeki dan ajalnya.

- Maka, sayugialah bagi orang mukmin itu untuk meletakkan pandangan matanya pada firman allah Taala:

(Surah Al-Israk ayat 30)

maksud-Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.


-Serta mengulangi setiap pagi dan petang firman Allah Taala yang berbunyi:


(al-mulk ayat 21)

-Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.


-maka dengan pegangan dan perasaan ini, akan membebaskan mukmin daripada kecenderungan pada dunia, serta rasa berlebih dalam meminta. Dengannya juga terbebas kita dari belenggu kebakhilan dan kekikiran yang buruk lagi tercela.

-Ia akan hiasi diri manusia dengan kemurahan, serta rasa sanggup berkorban demi kebajikan orang lain. Bahkan seseorang itu akan berbahagia dengan apa yang ia ada lalu hidup dengan sekadarnya. Kerana hati ini bila sudah puas, keinginannya bila sudah terlunas, ia akan redha dengan barang yang sedikit.

- maka benarlah Imam Assyafie ketika berkata:

Nafsu itu bimbang menjadi fakir
Sedangkan kefakiran terlebih baik
dari kekayaan yang menyesatkan

Kaya jiwalah sebagai penghalang
Jika tidak,
maka segala yang di bumi
Pasti takkan mencukupi


-bersambung..

-tanpanama-
2-8-2009
Dish-Hayyu El-Asyier

Saturday 1 August 2009

Sambungan..
Jangan kamu gantungkan perancangan hidupmu dengan impian yang tak nyata. Sesungguhnya harapan sebegini sesekali takkan membawa kebaikan padamu

-Sesuatu yang ada di depan serta dekat dengan tangan dan hatimu, suasana yang indah dan gundah yang menyelubungi sekitarmu, itulah satu-satunya sandaran yang bisa menggerakkan masa depanmu. Maka tiada tempat untuk kamu melambat-lambatkan atau menunggu terlebih dahulu. Rasulullah SAW pernah bersabda,
“sesungguhnya Allah menghamparkan tangannya di malam hari untuk mengampunkan orang yang berbuat jahat di waktu siang, dan Dia hamparkan tangannya di siang hari untuk mengampunkan orang yang berbuat jahat di waktu malam”-muslim
-Adapun semua benda yang kamu lengahkan untuk mencari manhaj bagi memperbaharu hidupmu serta memperbaik amalanmu takkan ada maknanya, melainkan ia hanya akan memanjangkan lagi tempoh penderitaan yang kamu ingin lari darinya. Hasilnya kamu akan kekal tertewas tatkala berdepan dengan tarikan hawa nafsu dan kelalaian. Bahkan, kadang-kadang ia akan membawa kepada bahaya yang lebih besar lagi.

-Dek kerana itu, Nabi SAW telah bersabda,
“orang yang menyesal, menunggu dari Allah kerahmatan, dan orang yang sombong menunggu dari Allah kemurkaan. Dan ketahuilah wahai hamba Allah, sesungguhnya setiap pelaku akan didatangkan dengan perlakuannya. Dan tidaklah dia(hamba)keluar dari dunia sehinggalah setelah melihat kebaikan dan keburukan amalannya. Adapun amalan-amalan itu adalah pada penghujung kedua-duanya. Malam dan siang saling berganti maka perbaikkan perjalananmu pada kedua-duanya sampai ke hari akhirat. Berhati-hatilah dari bertangguh-tangguh!sesungguhnya mati itu datangnya mengejut. Tidak seorang pun di kalangan kamu yang akan ditipu dengan kelembutan Allah SWT. Maka sesungguhnya syurga dan neraka itu terlebih hampir kepada seseorang lebih dari pasangan seliparnya”
-Kemudian Nabi SAW membaca ayat,

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”- ayat 7-8, Surah Al-Zalzalah
-Alangkah indahnya jika manusia dapat kembali mengatur dirinya dari semasa ke semasa. Kemudian, dia biarkan orang-orang di sekitar untuk memberi kritikan bagi mengenal pasti keaiban dan kesilapan. Lalu dia merangka satu rancangan jangka pendek dan rancangan jangka panjang bagi membebaskan dirinya dari beban yang menyesakkan dadanya.



-Beberapa hari sekali, aku akan memeriksa laci mejaku untuk menghilangkan debu-debu yang melekat padanya, mengemas fail-fail yang berselerakan, serta membuang kertas –kertas tak berguna yang bersepah di situ. Aku perlu menyusun semuanya di tempatnya yang betul dan membuang ke dalam tong sampah apa yang kufikir tak ada gunanya andai disimpan.

-Di rumah, bilik dan ruang tamu seseorang mungkin jadi tidak teratur dan bersepah setelah digunakan seharian. Jika ada tangan-tangan yang rajin merayap di sini sana bagi membersihkan perabot-perabot yang berdebu, membuang segala sampah sarap maka keadaan akan kembali kepada asal semula.

-Maka , tidakkah hidup manusia ini berhak untuk memiliki kesungguhan yang sama? Adakah diri kamu tidak berhak untuk membuat ketetapan sebegitu dari semasa ke semasa, biar nampak apa yang celaru maka kamu hilangkan, apa yang melekat bersamanya dosa maka terus kau singkirkan. Ya! Sebagaimana kamu singkirkan sampah dari ruang yang bersih.

-Tidakkah manusia juga berhak setelah menghadapi setiap peringkat yang melumpuhkan hidupnya untuk kembali merenung apa yang menyebabkannya sedih dan keliru? Lalu ia jadikan ia sebagai neraca bilamana kembali diuji dan mengingatinya agar tidak terperangkap buat kali kedua dengan dunia yang menipu itu.

-Manusia ni adalah makhluk yang paling berhajat kepada pengawasan dalam memenuhi tuntutan jiwanya serta pengawasan dalam mencorak arah hidup agar bersih dari kekekurangan dan kelemahan.

terpegun melihat kertas jawapan periksa yang dilonggok di tepian koridor

-Yang demikian adalah kerana fitrah semulajadi jiwa dan akal manusia adalah suci. Namun, terlalu sedikit yang mampu berpegang teguh bila digosok didesak dengan lantunan nafsu dan umpanan yang banyak dan pelbagai. Jikalau dibiarkan, ia akan membuat onar dan kerosakan yang nyata. Pada ketika itu, manusia akan terungkai dari naluri semulajadi yang sebenar sebagaimana terungkainya biji-biji kalung bila terputus talinya.

-Keadan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalm firmannya,

Maksudnya, “dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
-Kalimah ‘Furuto’ dalam ayat ini boleh kita sama-sama kita perhatikan padanya. Secara umumnya, dari sudut bahasa, ada yang menafsirkan buah anggur yang terungkai dari gugusannya atau buah kurma yang terungkai dari tangkainya sebagai ‘furuto’.

-Begitu juga jiwa manusia, jika ia telah terputus dari bebanan lalu tidak diikatkan dengan peraturan yang sempurna serta teguh pasaknya, maka jadilah jiwa dan fikirannya seumpama biji-biji yang terungkai yang tidak memberi sebarang kebaikan.

Oleh kerana itu, kita dapat lihat betapa pentingnya amalan yang berterusan dalam mengatur kehidupan serta betapa perlunya untuk kita mengawasi diri setiap masa. Maka Allah SWT telah menyampaikan berita gembira -sebelum datangnya subuh-supaya manusia dapat memperbaharu hidup mereka untuk hari yang bakal menjelma...bersambung

-tanpanama-
1/8/2009
DISH, Hayyu El-Asyier