Setiap hari, kita semakin sibuk. Masa-masa bersama keluarga semakin singkat. Dalam sehari, berapa kali si ayah sempat menatap wajah anak kesayangan mereka. Kadang-kadang dengan emak si anak pun sukar untuk ketemu. Apatah lagi untuk berbual-bual tentang persekolahan, masalah rumah tangga dan lain-lain. Waktu paling relevan, pastinya selepas solat Isyak.
Larangan Sembang Selepas
Isyak?
Memang ada hadis yang melarang kita bercakap selepas
Isyak. Contohnya hadis daripada Sayyar bin Salamah, katanya, “Aku dan ayahku
masuk menemui Abi Barzah lalu aku dengar dia berkata bahawa Rasulullah SAW
tidak suka tidur sebelum Isyak dan bercakap-cakap sesudahnya.” (Riwayat
Bukhari)
sembang selepas isyak dengan receptionist di Hotel Hyatt Regency, Kathmandu
Namun begitu, menurut Imam Syaukani dalam Nail
al-Authar, ahli ilmu di kalangan Sahabat Nabi dan para tabiin sendiri
berbeza pendapat dalam masalah ini. Sebahagian mereka mengatakan makruh dan
sebahagian yang lain mengharuskan sekiranya ada tujuan ilmu dan ada urusan-urusan
tertentu.
Lagipun ada banyak hadis menceritakan memang banyak
terjadi perbualan antara Rasulullah SAW dan para Sahabat selepas Isyak. Contohnya, pada suatu malam, Rasullullah SAW
bercerita kepada isteri-isteri Baginda. Seorang daripada mereka berkata,
"Cerita itu seperti cerita khurafah (dongeng).”
Maka Rasullullah
SAW bertanya mereka, 'Tahukah kamu apa itu khurafah? Khurafah adalah seorang
lelaki dari Bani Uzrah (suku terkenal di Yaman). Suatu ketika, dia ditawan oleh
bangsa jin sehingga dia tinggal bersama mereka dalam waktu lama. Kemudian para
jin itu mengembalikannya ke dunia manusia. Dia menceritakan kepada orang lain
tentang perkara-perkara yang ajaib yang dilihat di dunia jin. Maka orang ramai
pun berkata, “Ini cerita Khurafah.'" (Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Mr Sushil Nepal bercerita tentang alat tradisional orang Nepal
Sunnah BerceritaDi dalam kitab as-Syamail al-Muhammadiah, Imam Tirmizi meletakkan hadis ini di bawah tajuk ‘Nabi bercerita pada waktu malam’. Imam Tirmizi meletakkan hadis ini di dalam kitab Sunannya di bawah tajuk ‘Pergaulan yang baik’. Ertinya berbual-bual dengan isteri selepas waktu Isyak adalah termasuk daripada sunnah Nabi SAW dan ia menunjukkan satu contoh pergaulan yang baik semasa ahli keluarga.
Dalam kisah yang lain, Nabi SAW pernah mengunjungi
rumah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan bercakap-cakap dengannya tentang hal
ehwal umat Islam selepas waktu Isyak. Hadis-hadis ini menjadi sebahagian hujah bahawa
bercakap-cakap sesudah Isyak adalah dibenarkan dalam Islam.
Inilah kelebihan belajar dan berilmu. Andai sebelum
ini kita duduk bersama keluarga selepas Isyak, berkongsi dengan mereka sesuatu
cerita atau menonton cerita-cerita yang baik di televisyen bersama, pasti kita
tidak merasakan dekatnya Rasulullah SAW dengan kita. Namun, apabila kita tahu
bahawa Nabi yang kita cintai juga pernah melakukan perbuatan yang sama, sudah
tentu terasa keberadaan Rasulullah dalam amalan dan hati kita.
Mengapa makruh?
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari
mengatakan bahawa kebanyakan yang mengatakan makruh kerana dibimbangi perbualan
itu akan menghalang dan menyusahkan kita untuk bangun Qiamullail.
Ada pula yang berkata bahawa sepatutnya solat menjadi
ibadah terakhir dilakukan oleh seorang hamba, sebab itulah disunatkan tidur
selepasnya. Akhirnya seorang hamba itu tertidur dalam keadaan zikir bukannya
dalam keadaan lalai. Sekiranya perbualan selepas Isyak itu melalaikan, buruk
dan menghina orang lain maka ia sememangnya dibenci tanpa sebarang syak.
-anis-
No comments:
Post a Comment