Siapakah penceramah atau pendakwah kesukaan anda? Pasti ramai yang akan menyebut nama Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Kazim Elias, dan beberapa tokoh agamawan lagi. Dimana sebenarnya kekuatan mereka?
Antara
perkara yang menjadi kekuatan mereka adalah kerana perumpamaan atau contoh yang
digunakan sangat mudah dan dekat dengan jiwa. Hasilnya, ilmu yang hendak
disampaikan walaupun berat terasa ringan dan tidak membosankan.
Sebenarnya
cara yang sama telah digunakan oleh ulama-ulama murabbi terdahulu seperti Imam
al-Ghazzali dalam mendidik jiwa manusia. Contohnya dalam sebuah kitab kecil karangan
beliau yang masyhur, Ayyuhal Walad al-Muhib (Wahai Anakku Yang
Tercinta).
Ketika
mengingatkan pelajarnya bahawa berilmu sahaja tanpa amal masih tidak memadai,
beliau berkata:
“Wahai
anakku, kalaulah seorang lelaki berada di dataran Sahara, memiliki sepuluh
bilah pedang yang canggih-canggih dan senjata yang lainnya. Dia juga seorang
yang berani lagi handal dalam
peperangan. Tiba-tiba dia diterkam oleh seekor singa yang besar lagi garang.
Maka apa andaian kamu? Apakah senjata-senjatanya dapat menahan serangan itu
tanpa menggunakannya? Tentulah tidak kecuali dengan mengayun dan
menetakkannya.”
Begitu juga dalam menasihati pelajarnya tentang keistimewaan
menjadi alim dan keburukan jahil, beliau berpesan:
“Wahai
anakku, orang-orang jahil itu ialah orang-orang yang kalbu mereka sedang sakit.
Sementara orang alim pula ialah doktor. Orang alim yang kurang matang, tidak
layak untuk menjalankan rawatan. Akan tetapi, orang alim yang sempurna juga masih
tidak mampu untuk merawat segala penyakit. Dia hanya boleh merawat mereka yang
mahu berubat.”
Ketika beliau ingin mengajak pelajarnya supaya berjaga malam dan
menjauhi tidur yang berlebihan, beliau menulis:
Wahai
anakku, sabda Nabi SAW: “Ada tiga jenis suara yang disukai Allah; Kokokan ayam,
suara orang membaca al-Quran dan suara orang-orang yang memohon ampun pada
waktu pagi.”
Diriwayatkan
dalam wasiat Lukman al-Hakim kepada puteranya, beliau berkata: “Jangan biarkan
bapa ayam itu lebih bijak daripadamu. Ia mengejutkan manusia pada awal-awal
pagi sedang engkau masih lena diulit mimpi.”
Setelah banyak nasihat disampaikan oleh Imam
al-Ghazali, akhir sekali beliau menyarankan pelajarnya agar sentiasa
bersedia untuk bertemu Allah:
“Wahai
anakku, andai kata engkau diberitahu seminggu lagi sultan akan melantikmu
menjadi menteri atau sultan akan mengunjungimu. Aku percaya dalam masa tersebut
engkau akan berusaha memperbaiki apa-apa yang akan dilihat sultan termasuk
pakaian, tubuh, rumah tangga, hamparan dan lain-lain. Nah, sekarang fikirkan
baik-baik apa yang aku maksudkan ini kerana perkataan yang ringkas sudah
mencukupi untuk orang yang bijak.
Dalam sedar tak sedar, banyak perkara yang kita
lakukan hari ini adalah hasil kitar semula perbuatan orang-orang yang
terdahulu. Betapa beruntungnya kita, jika apa yang kita lakukan adalah amalan
yang diwarisi daripada para alim dan ulama. Pepatah Arab menyebutkan,
-Anis-“Tirulah, jika tak mampu seperti mereka,Sesungguhnya meniru orang yang mulia itu satu kejayaan.”
No comments:
Post a Comment