Beruntunglah jika kita seorang guru dan akan bertambah lagi keberuntungannya jika kita dikurniakan murid yang pintar dan taat. Antara rutin mingguan saya adalah mengadakan kuliah tafsir kepada sebuah keluarga di Shah Alam. Audiensnya terdiri daripada seorang anak kecil, lima orang anak dewasa berserta kedua-dua ibu bapa mereka.
Inspirasi al-Lahab
Suatu
malam, seorang murid yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir tahun
berkata, “Semalam dalam peperiksaan ada satu soalan yang berbunyi, apakah bukti
al-Quran itu satu mukjizat. Apa jawapannya, ustaz?”
“Apa
jawapan kamu?” tanya saya semula.
“Saya
tulis, di dalam surah al-Lahab, Allah mengatakan celaka ke atas Abu Lahab
kerana telah menghina Nabi Muhammad. Ini adalah satu mukjizat yang besar kerana
pada zaman Nabi, terdapat ramai kaum Musyrikin Quraisy yang menghina Nabi
Muhammad tetapi Allah tidak menyebut nama-nama mereka dengan jelas.” jawab
murid saya tadi.
“Mengapa
pula begitu? Saya tidak fahamlah,” saya cuba memancingnya.
“Ustaz kan pernah
cakap, walaupun surah ini turun ketika Nabi mula-mula berdakwah, tetapi ia
telah menyatakan dari awal bahawa Abu Lahab itu memang akan dilaknat sampai
akhirat. Kalau Allah melaknat orang kafir lain yang akhirnya memeluk Islam
seperti Sayidina Umar, Abu Sufian, dan Khalid al-Walid, bukankah itu bererti
al-Quran itu lemah?” terang murid saya yang baru berumur 13 tahun tadi dengan
lancar dan petah. Seolah-olah apa yang saya pernah ajarkan dahulu dihadam dan
dihayati sepenuhnya.
“Jawapan kamu memang betul tetapi saya rasa
itu tiada dalam silibus buku teks sekolah.”
“Betul,
saya dah belajar dan hafal tetapi lupa,”
jawab murid saya dengan jujur.
Sebenarnya,
bukan tafsir surah al-Lahab yang ingin saya perpanjangkan tetapi saya ingin
mengajak para pembaca berfikir mengapa kadang-kadang apa yang kita pelajari
susah melekat di kepala?
Dalam kitab
Ta’alim Muta’alim, Imam az-Zurnuji menceritakan tentang dua orang lelaki
yang telah keluar ke negeri asing kerana menuntut ilmu. Mereka adalah rakan
seperjuangan dalam ilmu tersebut. Setelah beberapa tahun, mereka pulang ke
tanah air. Seorang daripadanya menjadi sangat alim dalam ilmu fikah manakala
seorang lagi sebaliknya.
Ahli-ahli
negeri itu pelik lalu meneliti dan bertanya bagaimana cara mereka belajar, mengulangkaji
dan cara duduk dalam majlis ilmu. Tahulah mereka bahawa orang yang memahami
ilmu fikah tadi berjaya kerana sentiasa belajar, mengulangkaji dengan menghadap
Kiblat dan duduk dengan mengikut sunnah dan penuh tertib di dalam majlis ilmu.
Bagaimana
cara duduk dalam majlis ilmu yang terbaik? Sayidina Umar r.a. menceritakan
dalam sebuah hadis, bagaimana ketika mereka sedang bersama Nabi SAW, tiba-tiba
datang seorang lelaki yang tidak dikenali, berpakaian serba putih dan kemas
kemudian duduk di hadapan Nabi SAW. Apa yang dilakukannya? Dia merapatkan
lututnya dengan lutut Nabi SAW dan meletakkan tangannya di atas pahanya barulah
dia bertanya tentang permasalahan agama.
Setelah
lelaki tadi berlalu pergi, para Sahabat masih lagi kehairanan dan tertanya-tanya.
Nabi SAW bersabda, “Itulah dia Jibril, dia datang untuk mengajarkan kamu urusan
agamamu!” Sayidina Jibril bukannya datang bertanya untuk dirinya tetapi untuk
mengajarkan umat Nabi Muhammad SAW tentang ilmu dan adab.
Di mana kedudukan kita?
Kesimpulannya,
belajarlah secara bersemuka (talaqi) dan carilah kedudukan yang paling hampir dengan
guru. Biar telinga kita adalah telinga kedua (selepas telinga guru) yang menangkap
mutiara hikmah daripada mulut guru. Bukannya
duduk berhampiran dengan bakul sampah di belakang kelas bagi murid-murid sekolah
atau di sebalik tiang masjid bagi orang-orang dewasa.
Duduklah dengan
elok. Sebaik-baiknya kedudukan guru lebih tinggi daripada murid ketika belajar.
Menyentuh soal kedudukan ini, pernah seorang tuan guru berkata, “Pelajar-pelajar
sekarang terutamanya yang belajar di universiti tidak mampu memahami dengan
baik berbeza ulama terdahulu. Lihat sahaja kedudukan guru dan pelajar di dalam
dewan kuliah. Pelajarnya berada di atas, manakala pengajar pula sendirian di
bawah. Mungkin di situ sudah terhakis sedikit ‘barakah’.” Dalam diam, saya
mengakui kebenaran kata-katanya.
Setiap hari
sebelum memulakan kelas, adab-adab sebeginilah yang sering ditekankan oleh
keluarga yang saya ajar tadi. Justeru, tidak hairanlah jika mereka sekeluarga
mendapat manfaat adab lebih daripada ilmunya.Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment