Pernahkah kalian dengar kisah Umair bin Abi Waqqas?
Kisahnya tercatat dalam kitab-kitab sirah seperti at-Thabaqat karangan Ibnu
Saad dan lain-lain. Menurut abangnya Saad bin Abi Waqqas,
“Aku lihat reaksi
adikku sebelum menawarkan dirinya berperang di dalam Perang Badar. Dia mundar mandir beberapa kali. Lalu
aku pun bertanya, ‘Kenapa dengan kamu ini?’ jawabnya, ‘Aku sangat bimbang jika
Rasulullah SAW melihatku, Baginda tidak akan membenarkan aku berperang’. Ternyata telahannya benar. Permintaannya ditolak kerana umurnya terlalu muda.
Dia menangis sehinggalah Rasulullah SAW mengizinkannya.
Kata Saad, “Aku yang membawa sarung pedangnya kerana dia masih terlalu
muda."
Begitu juga kisah Rafi’ bin Khudaij dan Samurah bin
Jundab yang menawarkan diri dalam perang Uhud. Nabi menolak permohonan mereka
kerana masih muda. Kemudian, Nabi diberitahu bahawa Rafi’ handal memanah lalu
dia diberikan pengecualian. Samurah menangis dan mengadu kepada ayah tirinya.
Katanya, “Nabi membenarkan Rafi’ berperang sedangkan saya lebih handal bergusti
daripadanya’.
Cerita ini sampai ke telinga Nabi. Nabi SAW yang
sentiasa bersikap adil pun memanggil kedua-duanya dan disuruh bergusti.
Akhirnya Samurah menang dan dibenarkan kedua-duanya ikut berperang.
Keberanian anak-anak Gaza
Membaca kisah-kisah keberanian orang terdahulu
sebegini mengingatkan saya akan pertemuan dengan seorang aktivis keamanan
Palestin baru-baru ini. Menurutnya, anak-anak kecil di Gaza jika ditanya kepada
mereka, “Apa cita-cita kalian?” Hampir kesemuanya menjawab, “Kami ingin jadi
syuhada di jalan Allah.” Jika ditanya pula siapa idola kalian? Mereka akan
dijawab, “As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin idola kami!”
Apa yang lebih mengejutkan saya, menurut beliau, hampir
kesemua kanak-kanak di Gaza mampu menghafaz al-Quran dalam usia yang muda
kira-kira 13 tahun. Bukan itu sahaja, menyertai tentera Palestin ‘Bridged
al-Qassam’ adalah satu impian bagi anak-anak Palestin. Syarat memasuki tentera
ini ialah hafiz al-Quran dan tidak meninggalkan Subuh berjemaah selama 60 hari
berturut-turut.
Betapa kesedaran Islam dan keberanian anak-anak Palestin ini sangat tinggi. Tentunya
ia tidak terbina sehari dua. Siapa yang mendidiknya? Bagaimana caranya? Jika
membandingkan mereka dengan anak-anak kecil di malaysia sekarang, pasti jauh
panggang dari api. Masyarakat kita, kecil besar, tua muda semuanya semakin jauh
dari agama.
Kita berasa sedih tatkala Zionis Yahudi mengebom
anak-anak kecil di Palestin sehingga hancur kepala. Tetapi dalam masa yang sama, kita bergelak
ketawa saat Zionis Yahudi mengebom kepala anak-anak kita di rumah dengan
televisyen, internet dan sebagainya.
Pemerintah Negara
Persekitaran sangat penting. Pemerintah negara memainkan
peranan dalam mencoraknya. Menurut sebuah kajian yang dibuat, ahli parlimen
yang memiliki PHD paling ramai di dunia ialah ahli parlimen Palestin iaitu
sebanyak 64 peratus. Manakala Perdana menteri dan kebanyakan ahli parlimennya hafiz
al-Quran. Justeru tidak hairan jika rakyatnya sedemikan. Bukankah manusia itu
akan mengikut ‘agama’ pemerintahnya? Anak-anak pula mengikut ‘agama’ ibu
bapanya..
Sejarah Islam zaman Bani Umayyah menjadi saksi. Ketika Khalifah Al-Walid
bin Abdul Malik menjadi pemerintah, beliau banyak menumpukan perhatian kepada
pembangunan dari segi fizikal. Akhirnya, mana-mana rakyat akan bercakap
soal pembangunan. Kata mereka, “Apa lagi yang masih tinggal untuk kamu bangunkan?”
Ketika
pemerintahan diganti oleh Sulaiman bin Abdul Malik, beliau gemar dengan
suasana yang meriah, hiburan dan pesta kerana kemakmuran negara yang telah
wujud. Rakyat jelata pun asyik bertanya sesama mereka, “Apa pula hiburan kita
pada hari ini? Namun, apabila pemerintahan dipegang oleh Khalifah Umar Abdul Aziz
yang terkenal dengan zuhud dan ibadahnya, rakyat akan sibuk bertanya apa ibadah
yang bakal dikerjakan.
Jika di rumah pula, pemerintah rumah tangga akan
mengambil peranan. Sekatan demi sekatan dari Zionis Yahudi seperti sekatan
bekalan elektrik menjadi sumber kekuatan bagi penduduk Palestin. Kesannya,
anak-anak Palestin tidak menghabiskan masa dengan menonton rancangan-rancangan
hiburan di televisyen. Apatah lagi untuk melayari internet, bermain facebook,
dan sebagainya.
Masa-masa itu digunakan oleh ibu bapa untuk mendidik
anak-anak mereka dengan al-Quran. Mereka juga selalu didendangkan dengan kisah
peperangan dalam Islam dan pejuang-pejuang Islam. Bukannya kisah-kisah cinta
yang meluatkan atau kisah hantu yang menakutkan. Bak kata Saad bin Abi Waqqas,
-Anis-“Kami ajarkan anak-anak kami kisah peperangan Nabi SAW sebagaimana kami ajarkan mereka surah dari al-Quran.”
No comments:
Post a Comment