Orang-orang Islam terdahulu sangat membesarkan sunnah Nabi SAW. Sesiapa pun yang mengetahui satu sunnah, mereka akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakannya. Tak kira lelaki mahupun wanita. Walaupun perkara tersebut bukanlah perkara yang digemari dan disukai mereka.
Mereka juga tidak membezakan antara perkara kecil dan besar. Bagi mereka, tiada istilah kecil jikalau ia daripada Allah dan Rasul-Nya. Antara sunnah yang selalu diamalkan orang terdahulu adalah bersiwak. Ini kerana Nabi SAW bersabda, “Kalaulah tidak menjadi bebanan kepada umatku, sudah tentu aku wajibkan mereka bersiwak setiap kali solat.” (Riwayat Bukhari)
Keajaiban Siwak
Seringkali kita mendengar siwak
digunakan untuk membersihkan mulut sebelum solat dan ketika bangun daripada
tidur. Dalam sejarah Islam, siwak juga boleh menggerunkankan orang kafir dan
menjadi sebab sebuah negara dapat ditawan.
Dalam buku Qisas as-Solihin,
Syeikh Hamed Ahmad Tahir, membawakan satu kisah tentang keistimewaan orang yang
mengamalkan siwak. Pada kurun kelapan hijrah, kerajaan Islam di bawah
pemerintahan Abbasiah telah menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk alam.
Pada suatu
ketika, orang Islam telah memerangi musuh di negara Samarkand (ibu negara Uzbekistan
sekarang). Tentera Islam telah berjaya membuka negara-negara yang berjiran
dengan Samarkand yang berhampiran dengan China.
Ketika peperangan berlaku, umat Islam
tidak dapat menembusi benteng yang dibuat oleh musuh. Benteng yang menjadi
penghalang itu adalah tentera-tentera yang berdiri di sepanjang pintu dan
dinding kota. Tiada sesiapa yang dibenarkan keluar dan masuk. Mereka seperti
satu dinding yang tidak dapat dirobohkan. Akibatnya, peperangan berlarutan
untuk satu tempoh yang panjang.
Keadaan ini merungsingkan panglima
tentera Islam. Salah seorang panglima tentera Islam di situ mengumpulkan semua
tentera di suatu kawasan kemudian bertanya, “Adakah sesiapa di kalangan kita
yang tidak menunaikan solat?”
Kata mereka, “Tidak!”
“Adakah sesiapa di kalangan kita ini
yang ada meninggalkan satu daripada sunnah Nabi SAW?” tanya panglima tentera
itu lagi.
Semuanya terdiam. Setelah berfikir dan
bertanya sesama sendiri, barulah mereka sedar bahawa sepanjang peperangan, mereka
terlupa sunnah bersiwak ketika wuduk dan solat. Cepat-cepat mereka panjat pohon
kurma dan beberapa pohon kayu berhampiran dan mengambil kayu yang sesuai untuk
bersiwak.
Tidak lama kemudian, muazzin melaungkan
azan dan semua tentera bersedia untuk menunaikan solat. Ketika itu, seorang
musuh (mata-mata) menyelinap masuk ke khemah tentera Islam untuk mengintip dan
mendapatkan berita tentang tentera Islam.
Pengintip tersebut melihat orang Islam
sedang bersedia menunaikan solat dan tiba-tiba hatinya menjadi gementar dan
menggigil ketakutan. Cepat-cepat dia berlari kepada kaumnya untuk membawa satu
berita yang dahsyat.
Apakah yang ditakutkan itu? Dengarlah
apa yang diceritakan pengintip tersebut kepada teman-temannya. “Sesungguhnya musuh kita bukanlah
sembarangan manusia. Aku lihat orang Islam sekarang ini sedang mengasah
gigi-gigi mereka dengan kayu untuk makan kita seorang demi seorang. Maka
bersedialah kamu semua untuk diratah mereka!”
Dia menyangka perbuatan siwak yang dilakukan tentera Islam
itu seperti orang mengasah sesuatu. Mereka tidak mengenali Islam dan orang Islam sehingga menganggap
orang Islam adalah sejenis kaum yang memakan daging manusia.
Kaumnya percaya dan mereka menjadi gerun
lalu berundur serta merta dari medan perang. Akhirnya tentera Islam berjaya
menawan negara tadi dengan cepat dan mudah. Setelah menangkap salah seorang
daripada mereka, mereka menceritakan apa yang berlaku lalu ketawalah tentera
Islam mendengarnya.
Tahulah mereka bahawa sunnah itu bermanfaat
kepada manusia pada setiap waktu. Sesungguhnya kebaikan itu sentiasa mengiringi
orang yang melazimi sunnah Nabi SAW. Apa yang peliknya lagi, penduduk kota tersebut
setelah memeluk Islam dan menggunakan siwak sebagai sunnah harian, mereka akan
ketawa jika mengenangkannya.
Kata mereka, “Kami dikurniakan Islam dengan berkat
sunnah bersiwak, maka hidupkanlah kami ya Allah dalam agama Islam dan dalam keadaan
sentiasa melazimi sunnah.”
Apa
itu siwak?
Menurut
sejarah, terdapat pelbagai bahan yang digunakan untuk membersihkan mulut dari
sisa-sisa makanan. Bermula dari batang kayu, ranting pohon, kain, bulu burung, tulang
haiwan sehingga duri landak.
Antara
peralatan tradisional yang perlu diketahui sebagai pembersih gigi dan mulut masyarakat
dahulu adalah kayu siwak (Salvadora persica). Siwak (Chewing Stick)
telah digunakan oleh masyarakat Babilion semenjak 7000 tahun yang lalu. Ia
kemudiannya digunakan pula pada zaman Kerajaan Yunani dan Romawi, Yahudi, Mesir
dan Islam.
Penggunaan
chewing stick atau kayu kunyah
ini berasal daripada tanam-tanaman yang berbeza-beza di setiap negara. Di Timur
Tengah, sumber utama yang sering digunakan adalah pohon arak (Salvadora
persica), di Afrika Barat yang digunakan adalah pohon lemon (Citrus
aurantifolia) dan pohon limau (Citrus sinesis).
Akar tanaman Senna (Cassiva
vinea) digunakan oleh orang Amerika berkulit hitam, Laburnum Afrika (Cassica
sieberianba) digunakan di Sierre Leone serta Neem (Azadirachta indica)
digunakan secara meluas di benua India.
-Anis-
No comments:
Post a Comment