Monday, 6 May 2013

Adab: Bercakap Sesudah Isyak


Setiap hari, kita semakin sibuk. Masa-masa bersama keluarga semakin singkat. Dalam sehari, berapa kali si ayah sempat menatap wajah anak kesayangan mereka. Kadang-kadang dengan emak si anak pun sukar untuk ketemu. Apatah lagi untuk berbual-bual tentang persekolahan, masalah rumah tangga dan lain-lain. Waktu paling relevan, pastinya selepas solat Isyak.

Larangan Sembang Selepas Isyak?
Memang ada hadis yang melarang kita bercakap selepas Isyak. Contohnya hadis daripada Sayyar bin Salamah, katanya, “Aku dan ayahku masuk menemui Abi Barzah lalu aku dengar dia berkata bahawa Rasulullah SAW tidak suka tidur sebelum Isyak dan bercakap-cakap sesudahnya.” (Riwayat Bukhari)

 
sembang selepas isyak dengan receptionist di Hotel Hyatt Regency, Kathmandu
Namun begitu, menurut Imam Syaukani dalam Nail al-Authar, ahli ilmu di kalangan Sahabat Nabi dan para tabiin sendiri berbeza pendapat dalam masalah ini. Sebahagian mereka mengatakan makruh dan sebahagian yang lain mengharuskan sekiranya ada tujuan ilmu dan ada urusan-urusan tertentu. 

Lagipun ada banyak hadis menceritakan memang banyak terjadi perbualan antara Rasulullah SAW  dan para Sahabat selepas Isyak.  Contohnya, pada suatu malam, Rasullullah SAW bercerita kepada isteri-isteri Baginda. Seorang daripada mereka berkata, "Cerita itu seperti cerita khurafah (dongeng).” 

Maka Rasullullah SAW bertanya mereka, 'Tahukah kamu apa itu khurafah? Khurafah adalah seorang lelaki dari Bani Uzrah (suku terkenal di Yaman). Suatu ketika, dia ditawan oleh bangsa jin sehingga dia tinggal bersama mereka dalam waktu lama. Kemudian para jin itu mengembalikannya ke dunia manusia. Dia menceritakan kepada orang lain tentang perkara-perkara yang ajaib yang dilihat di dunia jin. Maka orang ramai pun berkata, “Ini cerita Khurafah.'" (Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Mr Sushil Nepal bercerita tentang alat tradisional orang Nepal
Sunnah Bercerita
Di dalam kitab as-Syamail al-Muhammadiah, Imam Tirmizi meletakkan hadis ini di bawah tajuk ‘Nabi bercerita pada waktu malam’. Imam Tirmizi meletakkan hadis ini di dalam kitab Sunannya di bawah tajuk ‘Pergaulan yang baik’. Ertinya berbual-bual dengan isteri selepas waktu Isyak adalah termasuk daripada sunnah Nabi SAW dan ia menunjukkan satu contoh pergaulan yang baik semasa ahli keluarga.

Dalam kisah yang lain, Nabi SAW pernah mengunjungi rumah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan bercakap-cakap dengannya tentang hal ehwal umat Islam selepas waktu Isyak. Hadis-hadis  ini menjadi sebahagian hujah bahawa bercakap-cakap sesudah Isyak adalah dibenarkan dalam Islam.

Inilah kelebihan belajar dan berilmu. Andai sebelum ini kita duduk bersama keluarga selepas Isyak, berkongsi dengan mereka sesuatu cerita atau menonton cerita-cerita yang baik di televisyen bersama, pasti kita tidak merasakan dekatnya Rasulullah SAW dengan kita. Namun, apabila kita tahu bahawa Nabi yang kita cintai juga pernah melakukan perbuatan yang sama, sudah tentu terasa keberadaan Rasulullah dalam amalan dan hati kita.

Mengapa makruh?

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari mengatakan bahawa kebanyakan yang mengatakan makruh kerana dibimbangi perbualan itu akan menghalang dan menyusahkan kita untuk bangun Qiamullail. 
Ada pula yang berkata bahawa sepatutnya solat menjadi ibadah terakhir dilakukan oleh seorang hamba, sebab itulah disunatkan tidur selepasnya. Akhirnya seorang hamba itu tertidur dalam keadaan zikir bukannya dalam keadaan lalai. Sekiranya perbualan selepas Isyak itu melalaikan, buruk dan menghina orang lain maka ia sememangnya dibenci tanpa sebarang syak. 

-anis-

Adab: Bersiwak


Orang-orang Islam terdahulu sangat membesarkan sunnah Nabi SAW. Sesiapa pun yang mengetahui satu sunnah, mereka akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakannya. Tak kira lelaki mahupun wanita. Walaupun perkara tersebut bukanlah perkara yang digemari dan disukai mereka.

Mereka juga tidak membezakan antara perkara kecil dan besar. Bagi mereka, tiada istilah kecil jikalau ia daripada Allah dan Rasul-Nya. Antara sunnah yang selalu diamalkan orang terdahulu adalah bersiwak. Ini kerana Nabi SAW bersabda, “Kalaulah tidak menjadi bebanan kepada umatku, sudah tentu aku wajibkan mereka bersiwak setiap kali solat.” (Riwayat Bukhari)

Keajaiban Siwak
Seringkali kita mendengar siwak digunakan untuk membersihkan mulut sebelum solat dan ketika bangun daripada tidur. Dalam sejarah Islam, siwak juga boleh menggerunkankan orang kafir dan menjadi sebab sebuah negara dapat ditawan.

Dalam buku Qisas as-Solihin, Syeikh Hamed Ahmad Tahir, membawakan satu kisah tentang keistimewaan orang yang mengamalkan siwak. Pada kurun kelapan hijrah, kerajaan Islam di bawah pemerintahan Abbasiah telah menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk alam. 

Pada suatu ketika, orang Islam telah memerangi musuh di negara Samarkand (ibu negara Uzbekistan sekarang). Tentera Islam telah berjaya membuka negara-negara yang berjiran dengan Samarkand yang berhampiran dengan China. 

Ketika peperangan berlaku, umat Islam tidak dapat menembusi benteng yang dibuat oleh musuh. Benteng yang menjadi penghalang itu adalah tentera-tentera yang berdiri di sepanjang pintu dan dinding kota. Tiada sesiapa yang dibenarkan keluar dan masuk. Mereka seperti satu dinding yang tidak dapat dirobohkan. Akibatnya, peperangan berlarutan untuk satu tempoh yang panjang.

Keadaan ini merungsingkan panglima tentera Islam. Salah seorang panglima tentera Islam di situ mengumpulkan semua tentera di suatu kawasan kemudian bertanya, “Adakah sesiapa di kalangan kita yang tidak menunaikan solat?”
Kata mereka, “Tidak!”

“Adakah sesiapa di kalangan kita ini yang ada meninggalkan satu daripada sunnah Nabi SAW?” tanya panglima tentera itu lagi.

Semuanya terdiam. Setelah berfikir dan bertanya sesama sendiri, barulah mereka sedar bahawa sepanjang peperangan, mereka terlupa sunnah bersiwak ketika wuduk dan solat. Cepat-cepat mereka panjat pohon kurma dan beberapa pohon kayu berhampiran dan mengambil kayu yang sesuai untuk bersiwak.

Tidak lama kemudian, muazzin melaungkan azan dan semua tentera bersedia untuk menunaikan solat. Ketika itu, seorang musuh (mata-mata) menyelinap masuk ke khemah tentera Islam untuk mengintip dan mendapatkan berita tentang tentera Islam. 

Pengintip tersebut melihat orang Islam sedang bersedia menunaikan solat dan tiba-tiba hatinya menjadi gementar dan menggigil ketakutan. Cepat-cepat dia berlari kepada kaumnya untuk membawa satu berita yang dahsyat.

Apakah yang ditakutkan itu? Dengarlah apa yang diceritakan pengintip tersebut kepada teman-temannya. “Sesungguhnya musuh kita bukanlah sembarangan manusia. Aku lihat orang Islam sekarang ini sedang mengasah gigi-gigi mereka dengan kayu untuk makan kita seorang demi seorang. Maka bersedialah kamu semua untuk diratah mereka!”


Dia menyangka  perbuatan siwak yang dilakukan tentera Islam itu seperti orang mengasah sesuatu. Mereka tidak mengenali  Islam dan orang Islam sehingga menganggap orang Islam adalah sejenis kaum yang memakan daging manusia. 

Kaumnya percaya dan mereka menjadi gerun lalu berundur serta merta dari medan perang. Akhirnya tentera Islam berjaya menawan negara tadi dengan cepat dan mudah. Setelah menangkap salah seorang daripada mereka, mereka menceritakan apa yang berlaku lalu ketawalah tentera Islam mendengarnya. 

Tahulah mereka bahawa sunnah itu bermanfaat kepada manusia pada setiap waktu. Sesungguhnya kebaikan itu sentiasa mengiringi orang yang melazimi sunnah Nabi SAW. Apa yang peliknya lagi, penduduk kota tersebut setelah memeluk Islam dan menggunakan siwak sebagai sunnah harian, mereka akan ketawa jika mengenangkannya. 

Kata mereka, “Kami dikurniakan Islam dengan berkat sunnah bersiwak, maka hidupkanlah kami ya Allah dalam agama Islam dan dalam keadaan sentiasa melazimi sunnah.”

Apa itu siwak?
Menurut sejarah, terdapat pelbagai bahan yang digunakan untuk membersihkan mulut dari sisa-sisa makanan. Bermula dari batang kayu, ranting pohon, kain, bulu burung, tulang haiwan sehingga duri landak. 

Antara peralatan tradisional yang perlu diketahui sebagai pembersih gigi dan mulut masyarakat dahulu adalah kayu siwak (Salvadora persica). Siwak (Chewing Stick) telah digunakan oleh masyarakat Babilion semenjak 7000 tahun yang lalu. Ia kemudiannya digunakan pula pada zaman Kerajaan Yunani dan Romawi, Yahudi, Mesir dan Islam.

Penggunaan chewing stick  atau kayu kunyah ini berasal daripada tanam-tanaman yang berbeza-beza di setiap negara. Di Timur Tengah, sumber utama yang sering digunakan adalah pohon arak (Salvadora persica), di Afrika Barat yang digunakan adalah pohon lemon (Citrus aurantifolia) dan pohon limau (Citrus sinesis)

Akar tanaman Senna (Cassiva vinea) digunakan oleh orang Amerika berkulit hitam, Laburnum Afrika (Cassica sieberianba) digunakan di Sierre Leone serta Neem (Azadirachta indica) digunakan secara meluas di benua India.

-Anis-

Kapsul kitab: Anak-Anak Palestin


Pernahkah kalian dengar kisah Umair bin Abi Waqqas? Kisahnya tercatat dalam kitab-kitab sirah seperti at-Thabaqat karangan Ibnu Saad dan lain-lain. Menurut abangnya Saad bin Abi Waqqas,

“Aku lihat reaksi adikku sebelum menawarkan dirinya berperang di dalam Perang  Badar. Dia mundar mandir beberapa kali. Lalu aku pun bertanya, ‘Kenapa dengan kamu ini?’ jawabnya, ‘Aku sangat bimbang jika Rasulullah SAW melihatku, Baginda tidak akan membenarkan aku berperang’. Ternyata telahannya benar. Permintaannya ditolak kerana umurnya terlalu muda. Dia menangis sehinggalah Rasulullah SAW mengizinkannya. 

Kata Saad, “Aku yang membawa  sarung pedangnya kerana dia masih terlalu muda."

Begitu juga kisah Rafi’ bin Khudaij dan Samurah bin Jundab yang menawarkan diri dalam perang Uhud. Nabi menolak permohonan mereka kerana masih muda. Kemudian, Nabi diberitahu bahawa Rafi’ handal memanah lalu dia diberikan pengecualian. Samurah menangis dan mengadu kepada ayah tirinya. Katanya, “Nabi membenarkan Rafi’ berperang sedangkan saya lebih handal bergusti daripadanya’. 

Cerita ini sampai ke telinga Nabi. Nabi SAW yang sentiasa bersikap adil pun memanggil kedua-duanya dan disuruh bergusti. Akhirnya Samurah menang dan dibenarkan kedua-duanya ikut berperang.

Keberanian anak-anak Gaza
Membaca kisah-kisah keberanian orang terdahulu sebegini mengingatkan saya akan pertemuan dengan seorang aktivis keamanan Palestin baru-baru ini. Menurutnya, anak-anak kecil di Gaza jika ditanya kepada mereka, “Apa cita-cita kalian?” Hampir kesemuanya menjawab, “Kami ingin jadi syuhada di jalan Allah.” Jika ditanya pula siapa idola kalian? Mereka akan dijawab, “As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin idola kami!” 

Apa yang lebih mengejutkan saya, menurut beliau, hampir kesemua kanak-kanak di Gaza mampu menghafaz al-Quran dalam usia yang muda kira-kira 13 tahun. Bukan itu sahaja, menyertai tentera Palestin ‘Bridged al-Qassam’ adalah satu impian bagi anak-anak Palestin. Syarat memasuki tentera ini ialah hafiz al-Quran dan tidak meninggalkan Subuh berjemaah selama 60 hari berturut-turut.

Betapa kesedaran Islam dan keberanian  anak-anak Palestin ini sangat tinggi. Tentunya ia tidak terbina sehari dua. Siapa yang mendidiknya? Bagaimana caranya? Jika membandingkan mereka dengan anak-anak kecil di malaysia sekarang, pasti jauh panggang dari api. Masyarakat kita, kecil besar, tua muda semuanya semakin jauh dari agama.  

Kita berasa sedih tatkala Zionis Yahudi mengebom anak-anak kecil di Palestin sehingga hancur kepala.  Tetapi dalam masa yang sama, kita bergelak ketawa saat Zionis Yahudi mengebom kepala anak-anak kita di rumah dengan televisyen, internet dan sebagainya. 

Pemerintah Negara
Persekitaran sangat penting. Pemerintah negara memainkan peranan dalam mencoraknya. Menurut sebuah kajian yang dibuat, ahli parlimen yang memiliki PHD paling ramai di dunia ialah ahli parlimen Palestin iaitu sebanyak 64 peratus. Manakala Perdana menteri dan kebanyakan ahli parlimennya hafiz al-Quran. Justeru tidak hairan jika rakyatnya sedemikan. Bukankah manusia itu akan mengikut ‘agama’ pemerintahnya? Anak-anak pula mengikut ‘agama’ ibu bapanya..

Sejarah Islam zaman Bani Umayyah menjadi saksi. Ketika Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik menjadi pemerintah, beliau banyak menumpukan perhatian kepada pembangunan dari segi fizikal. Akhirnya, mana-mana rakyat akan bercakap soal pembangunan. Kata mereka, “Apa lagi yang masih tinggal untuk kamu bangunkan?”

Ketika pemerintahan diganti oleh Sulaiman bin Abdul Malik, beliau gemar dengan suasana yang meriah, hiburan dan pesta kerana kemakmuran negara yang telah wujud. Rakyat jelata pun asyik bertanya sesama mereka, “Apa pula hiburan kita pada hari ini? Namun, apabila pemerintahan dipegang oleh Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan zuhud dan ibadahnya, rakyat akan sibuk bertanya apa ibadah yang bakal dikerjakan.

 
Pemerintah Rumah Tangga
Jika di rumah pula, pemerintah rumah tangga akan mengambil peranan. Sekatan demi sekatan dari Zionis Yahudi seperti sekatan bekalan elektrik menjadi sumber kekuatan bagi penduduk Palestin. Kesannya, anak-anak Palestin tidak menghabiskan masa dengan menonton rancangan-rancangan hiburan di televisyen. Apatah lagi untuk melayari internet, bermain facebook, dan sebagainya. 

Masa-masa itu digunakan oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dengan al-Quran. Mereka juga selalu didendangkan dengan kisah peperangan dalam Islam dan pejuang-pejuang Islam. Bukannya kisah-kisah cinta yang meluatkan atau kisah hantu yang menakutkan. Bak kata Saad bin Abi Waqqas,

“Kami ajarkan anak-anak kami kisah peperangan Nabi  SAW sebagaimana kami ajarkan mereka surah dari al-Quran.”
-Anis-

Tuesday, 16 April 2013

asuh: belajar menulis gaya budak-budak

Assalamualaikum, adik-adik semua. Kali ini, Ustaz nak bercerita tentang pengalaman Ustaz dan Abang Nasri ke Kathmandu, Nepal.
Adik-adik tahu tak Nepal itu terletak di mana? Jikalau dilihat di dalam peta Dunia, negara Nepal berada di antara negara China (sebelah utara) dan negara India (sebelah selatan, timur dan barat).

Apa yang seronoknya di Nepal? Pertama sekali, apabila kita mengembara ke tempat orang, semua perkara yang kita temui adalah satu benda yang asing dan pengalaman yang baru. Itulah yang seronoknya. Kita boleh melihat cara hidup masyarakat luar, mendengar cara mereka bertutur, serta mempelajari kebudayaan mereka.


Oh My Malay
Tahukah adik-adik, masyarakat Nepal sangat ramah dan berbudi bahasa. Ke mana sahaja kami pergi, kami akan disambut dengan senyuman manis dan dengan ucapan ‘Namaste’. Sambutan yang mesra begini, sekurang-kurangnya mengurangkan sedikit rasa rindu kami pada keluarga di Malaysia.

Tambahan lagi, rupa orang Nepal terutamanya yang tinggal di sebelah utara, hampir sama dengan rupa orang Melayu. Mereka separa China dan separa India. Seringkali kalau berjalan ke kawasan-kawasan bersejarah di sana, kami disangka orang Nepal. Kadang-kadang, ada juga baiknya begitu. Paling tidak, kami dapat membeli barang dengan harga yang murah.

 

Sehelai mafla yang diperbuat daripada bulu kambing gurun biasanya dijual kepada pelancong luar dengan harga 300 rupee (RM10) tetapi kami dapat membelinya dengan harga 100 rupee (RM3 lebih). Amacam, pandai tak kami menyamar adik-adik?

 
Oh My English
Negara Nepal mempunyai lebih 101 etnik dan mempunyai hampir 92 bahasa. Bahasa kebangsaan mereka adalah bahasa Nepali.

Pemandu pelancong kami, Mr. Shusin Nepal berkata, “Kebanyakan penduduk Nepal boleh berbahasa Inggeris dengan baik kerana sepanjang tahun negara mereka menerima kedatangan ramai pelancong dari Eropah. Kebanyakan penduduk bekerja  sebagai penjual barangan kraf tangan, barangan kulit dan sebahagiannya menjadi pemandu pelancong. Jadi, secara tak langsung kami boleh berbahasa Inggeris.”

Apa yang menariknya, bukan sahaja orang dewasa, budak-budak kecil juga mahir berbahasa Inggeris. Satu ketika,ketika sedang asyik mendengar penerangan daripada pemandu pelancong, baju Ustaz ditarik oleh seorang anak kecil. Dia memakai baju sekolah yang agak lusuh. Boleh jadi dia baru sahaja pulang dari sekolahnya.

“Sir, you don’t have to listen to him. Just buy this book from me. You can get all things here. Only 200 rupee.. ” Katanya dengan petah  sambil menunjukkan buku kecil di tangannya, “The Magic, Mystery and The Mystique of Nepal.” Lantaran kagum dengan bahasanya dan kasihan dengan keadaan dirinya, Ustaz terus membelinya tanpa berfikir panjang.




Adik-adik sekalian, perjalanan kami  Nepal walaupun hanya lima hari tetapi banyak pengalaman menarik dan kenangan indah yang dapat dikutip. Berjalan di tempat orang mengajar kita erti syukur, sabar dan redha.

Akhir sekali pesan Ustaz untuk adik-adik, walau ke mana kita pergi, ingatlah satu pepatah Melayu yang berbunyi, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri.”



Wednesday, 20 February 2013

Setahun di Khazanatul Ilmi


20 Feb 2013- Bismillahirrahmanirrahim. Sudah genap setahun rupanya saya bernaung di bawah Teratak Astana Karya ini. Tempat pertama yang saya mampu bertahan lebih dua belas purnama. Malam ini sambil memikirkan apa yang ingin dilakukan, saya memulakan tulisan ini. 

Malam Khamis begini, sepatutnya saya di Monterez Golf Club, Shah Alam mengajar anak-anak kecil, adik- adik sederhana dan mak-mak besar. Kelas terpaksa saya batalkan sebentar tadi kerana jin batuk menguasai tengkuk dan bahagian sekitarnya. 
 
Sudah hampir sebulan begini. Sebelum subuh dan maghrib pasti batuk datang tak berhenti. Sebelum dan sesudahnya ok ok dan just nice sahaja. Mungkin kerana penyakit dan mungkin juga lantaran keterbiasaan berlagak batuk saat diminta menjadi imam.

Demi Allah, perjalanan hidup dalam beberapa bulan ini cukup membahagiakan. Walaupun batuk kadang-kadang agak kuat seperti guruh berdentum di langit, kadang-kadang tak berhenti-henti seperti duit yang mencurah keluar dari poket, saya seperti mencapai sebahagian dari matlamat kegembiraan yang saya gambarkan.

Ketika ketemu Syeikh Zainul Asri tahun lepas di Ijtimak Pondok Nusantara,Kota Bharu, saya masih mengingati ucapan beliau. 
 
“Kita selalu sebut orang ini alim, orang ini hebat, tapi sebenarnya alim dan hebat tu tak datang masa kita belajar. Ia datang selepas kita mengajar.” 
Baru-baru ini ketika mengedit satu buku anekdot ulama India, saya terbaca terjemahan penulis tentang ucapan Maulana Zakaria al-Kandahlawi, katanya, 
"Sebenarnya seorang ulama tidak akan lahir sebagai ulama dengan sendiri. Malah lahirnya seorang ulama adalah melalui keberkatan berhubungan dengan ulama yang lain. Ini kerana ilmu bukan hanya apa yang ada di atas kertas, malah ilmu itu nur atau cahaya yang terpancar daripada mereka yang menerima cahaya Nubuwwah."
Semenjak berada di Galeri Ilmu sebagai editor syariah Majalah QA, saya telah diberikan pelbagai peluang untuk mencapai sebahagian daripada matlamat kegembiraan yang saya dambakan. Saya diberi peluang berdamping dengan para tuan guru, habib, kiyai, baba dan masyaikh dari luar negara. saya juga dapat bersama menerima dan menadah kitab-kitab turats bersama.

Saya yang tidak pernah yakin dengan diri sendiri bahkan diberi kepercayaan untuk memberi. Kadang-kadang kuliah pagi, kuliah asar, kuliah maghrib, bicarawara QA, daurah Syamail dan tafsir. sampai sekarang. Penghalang terbesar saya adalah ilmu yang tiada amalnya dan malu yang tidak kena tempatnya.

Menyebut soal malu, saya pernah menulis tentang al-haya' (malu) menurut pemahaman Syeikh Muhammad al-Ghazali di Majalah Anis. Saya juga menulis tentang tentang al-khujul (segan) menurut pemahaman Dr. abdullah Naseh Ulwan. 

Terus terang saya katakan, saya tidak suka dan tidak berminat dengan penulisan ilmiah. Satunya kerana saya memang tidak suka membacanya. Duanya kerana saya tahu orang lain juga tidak suka dan tidak berminat membacanya. Contohnya artikel sebegini:

****************************************************
Khujul Sampai Kojol?
Ada malu yang perlu disimpan. Namanya al-Haya’. Imam Malik menyebut, “ Sesungguhnya bagi setiap agama itu ada akhlaknya dan akhlak bagi Islam adalah malu (al-haya’).“ Ada pula malu yang perlu dibuang iaitu al-Khujul. 

Malu yang kedua ini adalah tabiat semula jadi manusia sejak lahir. Tanda-tandanya muncul seawal empat bulan. Semakin bertambah usia, tanda-tanda malu ini semakin menonjol pada kanak-kanak. Mereka memusingkan mukanya, mengerdikkan mata atau menutup muka dengan kedua-dua belah tangan jika seseorang yang tidak dikenali menghampirinya.

Ketika berusia tiga tahun, jika dibawa berjalan ke rumah orang yang tidak dikenali, mereka akan duduk diam di pangkuan atau di sisi ibunya. Inilah yang disebut oleh Doktor Nabih al-Ghabrah tentang al-Khujul dalam bukunya al-Musykilah as-Sulukiah ‘Inda al-Athfal.

Syeikh Dr. Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya yang masyhur iaitu Tarbiatul Aulad fil Islam menyatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mengikis sifat malu ini daripada diri anak-anak. Caranya mudah. Didik anak-anak cara hidup bermasyarakat seperti  membiasakan diri membawa tetamu berkunjung ke rumah atau membawa anak-anak bersama ketika menziarahi jiran tetangga atau sahabat. 

Boleh juga sesekali,  anak-anak diajak menyertai perbualan orang dewasa.
Perkara sebegini akan memberi keyakinan diri  dan mempercepatkan proses kematangan kanak-kanak. Inilah baja-baja yang ditaburkan generasi terdahulu sehingga mampu melahirkan anak-anak yang ‘masak sebelum waktunya’ seperti Abdullah ibnu Umar, Abdullah ibnu Abbas,  Abdullah ibnu Zubair dan lain-lain lagi.
Belajar Daripada Dua Umar
Menurut Ibnu Umar, suatu ketika Nabi SAW duduk bersama para Sahabat dan berteka-teki, “Dalam banyak-banyak pohon, pohon apa yang tidak luruh daunnya. Pohon itu adalah seumpama orang-orang Islam. Ceritakan padaku, apakah ia?” Orang ramai meneka bahawa ia adalah pohon al-bawadi (sejenis pohon di padang pasir). 

Kata Ibnu Umar, “Dalam hati kecilku, aku merasakan ia adalah pohon kurma tapi aku segan untuk menjawab. Lalu para Sahabat berkata, “Beritahulah kami jawapannya, wahai Rasulullah.” Sabda Nabi SAW, “Ia adalah pohon kurma.” (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Ibnu Umar berkata, “Aku lihat Abu Bakar dan Umar tidak menjawab, justeru aku segan untuk bersuara. Ketika mana kami (Ibnu Umar dan ayahnya) duduk berdua, aku ceritakan apa yang aku fikirkan. Umar berkata, “Jikalau kamu sebutkannya (di hadapan Nabi SAW), itu lebih aku sukai daripada mendapat seekor unta merah.” Sayidina Umar menggalakkan anaknya agar tidak malu untuk menyuarakan pendapat walaupun di dalam majlis orang dewasa. 

Dalam peristiwa yang lain, Abdullah ibnu Abbas berkata, “Umar r.a. telah memasukkanku (dalam mesyuarat) bersama para Sahabat yang menyertai Perang Badar.” Sahabat-sahabat Nabi yang menyertai Perang Badar adalah golongan senior yang selalu dipanggil menghadiri mesyuarat sedangkan beliau masih kecil.
 
Sebahagian Sahabat senior tidak bersetuju dan berkata, “Kenapa dimasukkan budak ini bersama? Kami pun ada anak sebaya dengannya? Jawab Umar, “Ini kerana sesuatu sebab yang kamu sudah sedia maklum.” Ya, semua Sahabat tahu bahawa Nabi SAW pernah mendoakan Ibnu Abbas dengan satu doa yang cukup istimewa iaitu, “Ya Allah, berikanlah dia kefahaman dalam agama dan kepandaian dalam mentakwil (al-Quran).”
Setelah dibenarkan masuk, Umar telah bertanya kepada para Sahabat, “Apa kamu semua tahu faham tentang ayat Allah ini?”
                        “Sekiranya datang pertolongan Allah dan pembukaan.” (An-Nasr 110: 1)
Sebahagian mereka berkata, “Allah memerintahkan kita agar memujinya dan memohon keampunan jika telah mendapat pertolongan dan diberikan pembukaan.” Sebahagian yang lain hanya diam. Umar memandangku dan bertanya, “Adakah begitu menurut pandanganmu, wahai Ibnu Abbas?
“Tidak!”
“Habis, apa yang kamu faham?”

Aku menjawab, “Itu adalah petanda ajal Rasulullah SAW yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Oleh kerana ajal Baginda hampir tiba, maka diturunkan ayat seterusnya supaya Nabi membanyakkan pujian kepada Allah dan memohon istighfar:
“Maka bertasbihkan dengan memuji Allah dan beristighfar kepada-Nya, sesungguhnya Dia Maha Menerima Taubat.” (An-Nasr 110: 3)
Kata Umar r.a., “Aku tidak tahu yang lain selain daripada apa yang kamu katakan tadi.” Tindakan Sayidina Umar ini jelas menunjukkan betapa beliau mengiktiraf dan membenarkan kata-kata seorang kanak-kanak yang masih kecil. 

Khalifah Umar Abdul Aziz iaitu pemimpin zaman Bani Umayyah yang digelar sebagai Amirul Mukminin yang kelima juga mempunyai kisah yang menarik untuk jadikan teladan. Ketika baru dilantik menjadi khalifah, banyak rombongan datang menemuinya untuk mengucapkan tahniah.

Ada satu rombongan dari negeri Hijaz datang  menghadap beliau. Wakil yang dihantar adalah seorang kanak-kanak lelaki yang umurnya belum mencecah sebelas tahun.  Melihat wakil yang sangat muda untuk menjadi seorang jurucakap, Umar berkata, “Pulanglah kamu, bawakan orang yang lebih berusia untuk bercakap!”

Budak lelaki tadi berkata, “Semoga Allah memelihara kamu, wahai Amirul Mukminin. Ketahuilah bahawa seseorang itu dipandang kecil atau besar pada hati dan lidahnya. Jika Allah kurniakan seseorang itu hati yang besar dan lidah yang boleh berbicara dengan baik maka dia berhak untuk bercakap.”

Sambungnya lagi, “ Kalaulah usia yang menjadi ukuran tuanku dalam semua perkara, maka pasti di dalam majlis kita ini ada orang lain yang terlebih layak daripada tuanku untuk menjadi raja.”
Khalifah Umar berasa taajub dengan kata-kata budak lelaki tadi lalu memujinya dengan syair-syair yang indah.

Lihatlah, bagaimana golongan terdahulu mendidik dan membebaskan anak-anak mereka daripada sifat malu yang tak bertempat atau al-khujul ini. Anak-anak dibawa menyertai majlis umum, dibawa menziarahi sahabat, digalakkan bercakap di hadapan orang dewasa, diberi peluang untuk menyatakan pendapat bahkan dibawa sebagai wakil menghadap pemerintah. 

Anak-anak yang dilatih sebeginilah kelak membesar menjadi seorang pejuang yang berani mempertahankan agama dan tidak segan-segan untuk menyatakan kebenaran dan keadilan. Insya-Allah.