Thursday, 22 November 2012

Zikir Alam




Sekarang, saya menulis bertemankan zikir alam. Ternyata tangki bocor yang menitiskan air ke lantai punya peranannya malam ini. Zikir yang serupa seingat saya pernah digunakan oleh pegawai-pegawai penjara untuk menyeksa minda penghuninya. Menurut Mr. Wiki, zikir sebegini digelar ‘Chinese water torture’.

Dahulu, pertama kali diduga begitu, hanya Allah yang tahu deritanya. Sesiapa yang pernah menonton drama bersiri British Spook, atau filem Bollywood Guzaarish, atau filem animasi Kung Fu Panda mungkin akan memahami. 

Sekarang, rumah sewa saya sekarang adalah rumah flat bujang. Bilik saya sekarang berjirankan koridor pejalan kaki. Suara tangisan anak-anak, rengekan mak-mak, hatta desakan bapak-bapak semua bisa didengar. Pintu bilik pula menghadap terus ke  arah jamban. Tempat beradunya jin dan syaitan. Juga tempat berzikirnya air sepanjang malam.

Dahulu, bunyinya mengganggu gugat ketenangan saya di kala jaga dan lena. Apabila siang tidak membantu, pada ketenangan malam saya mula menaruh harapan. Sebelum ini saya mampu bertasamuh apabila malam-malam yang sepatutnya dihiasi dengan gelap yang total sudah tercemar dengan lampu koridor yang menorobos masuk menembusi tingkap lutcahaya. 

Sekarang lain. Titisan air tadi mula menceroboh masuk ke dalam mimpi. Setiap hari mimpi saya bertemakan alam sekitar. Drama cinta, drama perang, drama sedih, drama seram, semuanya berlatarkan air terjun. Pernah saya bermimpi bersama para tentera Islam yang berjuang di bumi Palestin menentang zionis Laknatullah. Tiba-tiba saya terfikir, “Aku sedang berada di padang pasir, dari mana pula datangnya bunyi air terjun ini?! Lalu.. seperti biasa, bila sudah sedar bahawa kita di alam mimpi, kita akan terjaga. Pasrahnya aku kerana terlentang sebelum sempat berjuang. 

Dahulu, saya terkesan dengan satu tulisan yang menarik. Katanya, “Pernahkah anda masuk ke hutan? Anda akan dengar bunyi-bunyi unggas, binatang rimba, sungai dan hujan. Walaupun bising, ketenangan ada di mana-mana. Cuba pula duduk di tepi jalan mendengar deruman enjin motosikal dan motokar. Bisingnya sama tapi ketenangannya tiada. Apa puncanya? Ini kerana bunyi makhluk sekalipun bersifat jamadat adalah zikir. Dengan berzikir mengingati Allah hati-hati akan tenang. Hati mereka hati kita.

Sekarang, saya cuba mempraktikkannya. Namun sebanyak mana aura positif cuba diadakan, sebanyak itulah  pergerakan negatif yang tercipta. Kadang-kadang saya terfikir, mungkin positif dan negatif itu saling merindu dan ingin selalu bersemuka. Seperti rindunya saya untuk ketemu isteri tercinta..

-waza-
21/11/2012

Tuesday, 30 October 2012

Juha dan Penuntut Ilmu



Suatu hari Juha bersiar-siar.
Dia berpakaian seperti seorang tuan guru yang hebat.
Dalam perjalanan, dia bertemu dengan beberapa orang penuntut ilmu.
Oleh kerana pakaiannya yang hebat, mereka menyangka Juha adalah seorang tuan guru yang alim.
Mereka bertemu dengannya seraya berkata, “Pasti tuan ini orang yang alim. Kami ingin berguru dengan kamu.”
 “Dipersilakan.” kata Juha ringkas. Lalu diajaknya mereka datang ke rumah.
menanti berita gembira daripada beberapa orang penuntut ilmu yang bersiar-siar mencari 'ibu'. terutama jejaka   tampan berbaju. Amin..

Sampai sahaja di hadapan rumah, Juha berkata, “Kamu semua tunggu di sini. Biar aku yang masuk dahulu.”
 Di dalam rumah, Juha berpesan kepada isterinya, “Di depan sana ada beberapa orang penuntut ilmu. Mereka baru melihat aku berpakaian begini lalu terus memanggil aku dengan panggilan tuan guru. Aku mahu memberi pengajaran kepada mereka. Nanti, aku mahu kamu usir mereka.”
Setelah lama menanti di luar rumah, mereka mula mengetuk pintu.
Semakin lama ketukan semakin kuat. Mereka memanggil, “Wahai Syeikh Juha! Wahai Syeikh Juha!”

Isterinya menyahut, “Siapa tu?”
“Tetamu.” jawab mereka.
Isterinya membalas, “Pulanglah kamu semua. Syeikh tiada di rumah.”
“Dia masuk ke dalam rumah di depan mata kami tadi. Mana boleh dia tiada di dalam rumah!!” teriak penuntut ilmu dengan nada tidak berpuas hati.
 Isterinya tetap berkeras bahawa Juha tiada di rumah.
Maka berlakulah perbalahan mulut antara isterinya dan murid-murid di luar.

Juha yang berada di dalam rumah mendengar perbalahan tadi lalu membuka tingkap dan berkata, “Kenapa kamu tak boleh menerima kenyataan bahawa aku tiada di rumah? Bukankah rumahku ada dua pintu. Satu di depan satu di belakang. Boleh jadi aku keluar melalui pintu belakang.”
“Perkara sekecil ini pun kamu tak dapat fikirkan. Ternyata kamu semua tidak layak menjadi anak muridku!!”

Moral: Berhati-hatilah dalam memilih tuan guru. Jangan melihat pada luarannya semata-mata. Sebaik-baiknya berbincanglah terlebih dahulu dengan orang yang lebih berilmu. Antara adab berkunjung pula, adalah mengetuk sebanyak tiga kali dengan sederhana serta tidak menanti jika disuruh pergi. Allah berfirman, “Jika dikatakan kepada kamu ‘pulang’, maka pulanglah. Sesungguhnya itu adalah terlebih baik bagimu.” (An-Nur: 28)

-waza-

Thursday, 11 October 2012

Malu



Pada suatu hari, Rasulullah sedang berbaring dan kain Baginda terselak sedikit. Apabila Abu Bakar r.a. meminta izin untuk lalu, Rasulullah mengizinkan sahaja, begitu juga Umar r.a. Apabila Utsman r.a. meminta izin untuk lalu, Rasulullah segera bangun dan menutup kain yang terselak tadi dan barulah memberi izin kepada beliau Perkara ini disedari oleh Aisyah r.ha lalu ditanyakan  kepada Nabi SAW, mengapa berkelakuan sedemikian. Maka jawab Baginda, “Masakan aku tidak malu pada manusia yang para malaikat juga malu kepadanya.”

Sayidina Uthman bin Affan mempunyai sifat pemalu dan sopan santun sehingga para malaikat juga mencemburui sifat pemalunya. Dalam kitab Khuluqul Muslim (Akhlak seorang Muslim), Syeikh Muhammad al-Ghazali menghuraikan malu seperti berikut:


“Malu ialah sifat atau perasaan yang menimbulkan kengganan untuk melakukan sesuatu yang buruk atau kurang sopan. Orang yang memiliki rasa malu, apabila melakukan sesuatu yang tidak patut baginya, wajahnya serta merta berubah menjadi pucat, menandakan penyesalannya kerana terlanjur berbuat sesuatu yang tidak wajar. Itu menunjukkan hati kecil seseorang itu sentiasa hidup dan batinnya masih suci.

Nabi SAW bersabda, “Iman itu memiliki tujuh puluh lebih cabang, yang paling utama adalah Laa ilaaha illa Allah, dan yang terendah adalah membuang duri di jalanan, dan malu juga merupakan salah satu cabang iman.” (Riwayat Bukhari)

Sifat malu terbahagi kepada tiga:
1.      Malu kepada dirinya sendiri.
Seseorang itu patut malu kepada dirinya sendiri apabila melihat dirinya amat sedikit amal ibadat dan ketaatan kepada berbanding orang lain. Dari situlah akan timbulnya penyesalan. Rasa malu itu mendorongnya untuk meningkatkan amal ibadat dan pengabdiannya kepada Allah SWT dan umat Islam.

2.      Malu kepada manusia.
Apabila seseorang itu malu kepada manusia, dia dapat menjaga dirinya daripada melakukan kejahatan. Walaupun pahalanya kurang sempurna kerana ia bukannya betul-betul kerana Allah, namun dia tetap akan mendapat kebaikan juga kerana telah terpelihara daripada melakukan kejahatan tadi.  Ada orang yang malu melakukan sesuatu kerana manusia lain tetapi tidak malu kepada dirinya sendiri. Golongan sebegini telah merendahkan martabat sebagai hamba Allah serta tidak menghargai dirinya sendiri.

3.      Malu kepada Allah.
Sifat malu itu akan menimbulkan kesan-kesan yang baik. Apabila seseorang malu kepada Allah, maka berbahagialah hidupnya. Dengan adanya malu kepada Allah, dia tidak berani mengerjakan kesalahan serta tidak berani meninggalkan kewajipan, kerana ia yakin dan percaya bahawa Allah sentiasa memerhatikannya.”

Pada penghujung penulisannya, Syeikh Muhammad al-Ghazali membawakan satu perumpamaan yang menarik, “Malu itu apabila telah terhakis daripada diri seseorang, ia seperti hilangnya warna hijau pada sebiji buah yang putik kerana telah masak ranum. Bukan sahaja warna hijaunya yang hilang, sifat kekerasan yang ada pada buahnya turut hilang. Apabila ia masak dan lembut, orang akan lebih teruja untuk memetiknya.”

Maksudnya, apabila seseorang sudah tiada malunya, hilanglah kekebalan dirinya untuk menghalang perbuatan orang lain kepada dirinya. Orang lain pun mudah tertarik untuk mendekatinya serta melakukan sesuatu kepada dirinya.

Itulah kesimpulan yang disebutkan hadis Nabi SAW, “Apabila kamu tidak berasa malu lagi, kamu akan membuat apa sahaja yang kamu suka.” (Riwayat Bukhari)

-waza- 
Ruangan kapsul kitab majalah anis

Friday, 21 September 2012

Haccum!!


Sesiapa yang pernah bermastautin atau bermusafir ke negara-negara Arab, pasti akan mengkagumi satu perkara. Masyarakat Arab tak kira apa jua golongan sama ada kaya atau miskin, orang tua atau anak kecil, alim ulama atau orang biasa; semuanya sangat murah dengan doa. 

Ketika  berada di bumi Mesir dahulu, antara perkara yang cuba saya elakkan adalah bersin di dalam tremco (prebet sapu), bas atau keretapi. Bayangkan sekiranya bersin, satu bas yang sesak dengan penumpang akan berpaling ke arah kita seraya berkata, Yarhamukallah!(semoga Allah merahmatimu). 

Hari pertama di Malaysia setelah beberapa tahun di perantauan, saya menaiki LRT. Tiba-tiba, seorang penumpang terbersin. Saya yang sudah terbiasa lantas menyebut Yarhamukallah!! Semua mata memandang ke arah saya seolah-olah satu kesalahan yang besar telah berlaku. Pandangan dari hujung mata bercampur senyuman yang sinis begitu, adalah amat menyakitkan.

 tahan bersin @ tahan kentut
Di negara Arab, amalan berdoa dan memohon untuk didoakan bukan sekadar satu sunnah tetapi sudah sebati menjadi satu budaya. Perkataan “Allahummaftah alaik” (Semoga Allah membukakan untukmu) atau “Robbuna Yusahhil” (Semoga Tuhan kita memudahkan) sudah seperti satu zikir harian. Hatta seorang tuan guru apabila ketemu pelajarnya tidak kekok untuk berkata, “La tansani fiddu’a!” (Jangan lupakan aku dalam doamu!)

ٍSuatu masa, ketika Sayidina Umar al-Khattab r.a. ingin menunaikan haji, beliau mendatangi Rasulullah SAW untuk meminta keizinan. Kata Nabi SAW, “Jangan kamu lupa untuk mendoakan aku, wahai Umar!”
 
Subhanallah. Inilah antara adab mulia yang diwarisi oleh para ulama daripada Nabi SAW. Memohon doa daripada seseorang walaupun kedudukan kita mungkin lebih baik daripadanya. Sebenarnya dengan kedudukan yang tinggi di sisi Allah, Baginda tidak berhajat pun kepada doa sesiapa. Para ulama menyatakan bahawa hadis  tadi menggambarkan kelebihan memohon doa terutama ketika musafir dan perlunya seseorang itu untuk bersifat merendah diri. 

Bayangkan seorang ahli maksiat yang insaf mendatangi seorang alim dan memohon doa agar hilang sifat buruknya itu. Kemudian si alim pula berkata, “Kamu telah bertaubat dan sekarang kamu seperti kain yang suci. Kamu yang sepatutnya berdoa untukku kerana kamu lebih hampir dengan Allah.” 
 Ketika itu, bagaimanakah perasaannya? Pasti akan terharu dan terus teguh hatinya untuk berubah.

Itulah kelebihan menuruti sunnah. Sunnah itu indah. Dalam sunnah ada dakwah. Allah tidak pernah memandang pada kecil atau besarnya sesuatu perkara, tetapi melihat sejauh mana kita berusaha melakukannya. 

Hal sebegini agak janggal dalam masyarakat kita sekarang. Sunnah yang mudah dan dekat dengan batang tubuh, selalu diabaikan. Sunnah yang besar pula dirumit-rumitkan sehingga mencambahkan bibit-bibit pertikaian. Akhirnya kita akan tenggelam  bersama masyarakat yang lebih suka menghukum daripada menggalakkan.
-waza-

Tuesday, 18 September 2012

Tinggalkan Perdebatan!


Seorang lelaki datang menemui Juha. Dengan gaya yang sombong dia berkata, “Wahai tuan, aku dengar kamu seorang yang hebat. Aku ada 40 persoalan dan aku ingin satu jawapan dari kamu yang merangkumi semua soalan ini.”
“Baiklah, sebutkanlah soalan-soalannya!” ujar Juha dengan yakin dan bersahaja. Lelaki itu pun mengemukakan soalan-soalannya. Setelah selesai, Juha berkata, “Jawapan yang satu untuk semua soalan kamu, aku tidak tahu!!”

Dalam Kitab Ayyuhal Walad, Imam al-Ghazzali telah memberikan beberapa nasihat yang sangat berguna kepada kita. Antaranya ialah, janganlah kamu berdebat dengan seseorang dalam sesuatu masalah selagi termampu.
Perdebatan itu lebih banyak keburukan berbanding kebaikannya. Dari situlah akan terbitnya perasaan yang negatif seperti riyak, dengki, takabur, dendam, dan permusuhan.
Sekiranya benar-benar ingin menyatakan kebenaran, dibenarkan berdebat tetapi mestilah memenuhi beberapa syarat.
  • Boleh menerima jika kebenaran itu berada pada pihak orang lain.
  • Seboleh-bolehnya dilakukan di majlis yang tertutup.
Sebenarnya, orang yang suka bertanya dan berdebat itu pula mempunyai empat jenis kejahilan. Tiga daripadanya tidak dapat diubati dan hanya satu yang boleh disembuhkan.

1.      Mereka yang mengemukakan soalan kerana dengki dan marah.
Orang seperti ini, sebaik mana pun jawapan kamu, semuanya tidak berfaedah baginya. Apa sahaja yang kamu lakukan takkan betul pada perkiraannya. Orang begini, tak usahlah engkau layan permintaannya.

2.      Mereka yang berdebat bertanya kerana kebodohan diri sendiri.
Orang sebegini juga tidak dapat dirawat. Sebagaimana Nabi Isa a.s. pernah menegaskan: “ aku mampu untuk menghidupkan orang yang mati tetapi aku tidak mampu untuk mengubati orang yang bodoh.’
Termasuklah juga dalam golongan ini, orang yang belajar dalam masa yang sekejap sahaja dan terlalu sedikit ilmunya namun kerana kebodohannya dia berani menentang ulama besar yang telah menghabiskan seluruh umurnya dalam menuntut ilmu.

3.      Mereka yang benar-benar inginkan jawapan tetapi kerana kurang daya kefahaman, mereka tidak mampu untuk memahaminya.

Akhir sekali, Imam al-Ghazzali menyatakan bahawa satu-satunya penyakit yang boleh diubati melalui perdebatan ialah orang yang boleh menerima tunjuk ajar, cerdik dan mampu memahami. Pertanyaannya juga bukan kerana dengki, marah, syahwat, atau harta benda. Hanya orang sebegini yang harus engkau layan dan jawab pertanyaannya.

Majalah Anis September
-waza-