Pada suatu hari, Rasulullah sedang
berbaring dan kain Baginda terselak sedikit. Apabila Abu Bakar r.a. meminta
izin untuk lalu, Rasulullah mengizinkan sahaja, begitu juga Umar r.a. Apabila
Utsman r.a. meminta izin untuk lalu, Rasulullah segera bangun dan menutup kain
yang terselak tadi dan barulah memberi izin kepada beliau Perkara ini disedari
oleh Aisyah r.ha lalu ditanyakan kepada
Nabi SAW, mengapa berkelakuan sedemikian. Maka jawab Baginda, “Masakan aku
tidak malu pada manusia yang para malaikat juga malu kepadanya.”
Sayidina Uthman bin Affan mempunyai sifat pemalu dan sopan santun
sehingga para malaikat juga mencemburui sifat pemalunya. Dalam kitab Khuluqul Muslim (Akhlak
seorang Muslim), Syeikh Muhammad al-Ghazali
menghuraikan malu seperti berikut:
“Malu ialah sifat atau perasaan yang menimbulkan kengganan untuk melakukan sesuatu yang buruk atau kurang sopan. Orang yang memiliki rasa malu, apabila melakukan sesuatu yang tidak patut baginya, wajahnya serta merta berubah menjadi pucat, menandakan penyesalannya kerana terlanjur berbuat sesuatu yang tidak wajar. Itu menunjukkan hati kecil seseorang itu sentiasa hidup dan batinnya masih suci.
Nabi SAW
bersabda, “Iman itu memiliki tujuh puluh lebih cabang,
yang paling utama adalah Laa ilaaha illa Allah, dan yang terendah adalah
membuang duri di jalanan, dan malu juga merupakan salah satu cabang iman.” (Riwayat Bukhari)
Sifat malu terbahagi kepada tiga:
1.
Malu
kepada dirinya sendiri.
Seseorang itu patut malu kepada dirinya
sendiri apabila melihat dirinya amat sedikit amal ibadat dan ketaatan kepada
berbanding orang lain. Dari situlah akan timbulnya penyesalan. Rasa malu itu
mendorongnya untuk meningkatkan amal ibadat dan pengabdiannya kepada Allah SWT
dan umat Islam.
2.
Malu
kepada manusia.
Apabila seseorang itu malu kepada
manusia, dia dapat menjaga dirinya daripada melakukan kejahatan. Walaupun
pahalanya kurang sempurna kerana ia bukannya betul-betul kerana Allah, namun
dia tetap akan mendapat kebaikan juga kerana telah terpelihara daripada
melakukan kejahatan tadi. Ada orang yang
malu melakukan sesuatu kerana manusia lain tetapi tidak malu kepada dirinya
sendiri. Golongan sebegini telah merendahkan martabat sebagai hamba Allah serta
tidak menghargai dirinya sendiri.
3.
Malu
kepada Allah.
Sifat malu itu akan menimbulkan
kesan-kesan yang baik. Apabila seseorang malu kepada Allah, maka berbahagialah
hidupnya. Dengan adanya malu kepada Allah, dia tidak berani mengerjakan
kesalahan serta tidak berani meninggalkan kewajipan, kerana ia yakin dan
percaya bahawa Allah sentiasa memerhatikannya.”
Pada penghujung penulisannya, Syeikh
Muhammad al-Ghazali membawakan satu perumpamaan yang menarik, “Malu itu apabila
telah terhakis daripada diri seseorang, ia seperti hilangnya warna hijau pada sebiji
buah yang putik kerana telah masak ranum. Bukan sahaja warna hijaunya yang
hilang, sifat kekerasan yang ada pada buahnya turut hilang. Apabila ia masak
dan lembut, orang akan lebih teruja untuk memetiknya.”
Maksudnya, apabila
seseorang sudah tiada malunya, hilanglah kekebalan dirinya untuk menghalang
perbuatan orang lain kepada dirinya. Orang lain pun mudah tertarik untuk
mendekatinya serta melakukan sesuatu kepada dirinya.
Itulah kesimpulan yang disebutkan hadis
Nabi SAW, “Apabila kamu tidak berasa malu lagi, kamu akan membuat apa sahaja
yang kamu suka.” (Riwayat Bukhari)
-waza-
Ruangan kapsul kitab majalah anis
No comments:
Post a Comment