Sekarang, saya
menulis bertemankan zikir alam. Ternyata tangki bocor yang menitiskan air ke
lantai punya peranannya malam ini. Zikir yang serupa seingat saya pernah
digunakan oleh pegawai-pegawai penjara untuk menyeksa minda penghuninya. Menurut
Mr. Wiki, zikir sebegini digelar ‘Chinese water torture’.
Dahulu, pertama
kali diduga begitu, hanya Allah yang tahu deritanya. Sesiapa yang pernah
menonton drama bersiri British Spook, atau filem Bollywood Guzaarish,
atau filem animasi Kung Fu Panda mungkin akan memahami.
Sekarang, rumah
sewa saya sekarang adalah rumah flat bujang. Bilik saya sekarang berjirankan
koridor pejalan kaki. Suara tangisan anak-anak, rengekan mak-mak, hatta desakan
bapak-bapak semua bisa didengar. Pintu bilik pula menghadap terus ke arah jamban. Tempat beradunya jin dan
syaitan. Juga tempat berzikirnya air sepanjang malam.
Dahulu, bunyinya
mengganggu gugat ketenangan saya di kala jaga dan lena. Apabila siang tidak
membantu, pada ketenangan malam saya mula menaruh harapan. Sebelum ini saya
mampu bertasamuh apabila malam-malam yang sepatutnya dihiasi dengan gelap yang
total sudah tercemar dengan lampu koridor yang menorobos masuk menembusi
tingkap lutcahaya.
Sekarang lain.
Titisan air tadi mula menceroboh masuk ke dalam mimpi. Setiap hari mimpi saya
bertemakan alam sekitar. Drama cinta, drama perang, drama sedih, drama seram,
semuanya berlatarkan air terjun. Pernah saya bermimpi bersama para tentera
Islam yang berjuang di bumi Palestin menentang zionis Laknatullah. Tiba-tiba saya
terfikir, “Aku sedang berada di padang pasir, dari mana pula datangnya bunyi air
terjun ini?! Lalu.. seperti biasa, bila sudah sedar bahawa kita di alam mimpi,
kita akan terjaga. Pasrahnya aku kerana terlentang sebelum sempat berjuang.
Dahulu, saya
terkesan dengan satu tulisan yang menarik. Katanya, “Pernahkah anda masuk ke
hutan? Anda akan dengar bunyi-bunyi unggas, binatang rimba, sungai dan hujan. Walaupun
bising, ketenangan ada di mana-mana. Cuba pula duduk di tepi jalan mendengar
deruman enjin motosikal dan motokar. Bisingnya sama tapi ketenangannya tiada.
Apa puncanya? Ini kerana bunyi makhluk sekalipun bersifat jamadat adalah
zikir. Dengan berzikir mengingati Allah hati-hati akan tenang. Hati mereka hati
kita.
Sekarang,
saya cuba mempraktikkannya. Namun sebanyak mana aura positif cuba diadakan,
sebanyak itulah pergerakan negatif yang
tercipta. Kadang-kadang saya terfikir, mungkin positif dan negatif itu saling merindu dan ingin
selalu bersemuka. Seperti rindunya saya untuk ketemu isteri tercinta..
-waza-
21/11/2012
No comments:
Post a Comment