Wednesday, 29 August 2012

Episod Luga Nan Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah. Ini tulisan pertama saya setelah tamatnya kisah pencarian bidadari.  Bidadari saya, tak perlu dicari-cari lagi di mana kerana walaupun berjauhan, dia senantiasa berlegar di ruang mata. Maka sesudah ini bermulalah pula episod-episod luga nan bahagia versi saya.

Setelah bertamu di alam yang berbeza, saya merasakan 1001 kebaikan mendatangi dan didatangi. Saya menyedari bahawa kebaikan itu bisa menempati semua ruang. Terpulang kepada hati untuk memberi penafsiran. Saya mulai sedar juga bahawa hati ini akan teguh dengan memiliki rasa redha serta memandang sesuatu dengan pandangan yang indah dan bahagia.

Seseorang yang menaiki kereta bersama sahabatnya, tiba-tiba terhidu bau durian. Ketika ditanya, sahabatnya mengatakan itu bau durian yang gugur di tepi jalan. Sahabatnya dengan tenang menarik nafas yang dalam menikmati bau durian yang menggiurkan tadi walhal ia adalah bau kentut sahabatnya di sebelah  yang kekenyangan. Ahh, betapa hebatnya kuasa redha!

Hati yang bersih dan redha akan menjernihkan kata-kata busuk dan berkarat menjadi teguran yang berguna. Kata-kata yang baik sekalipun jika keluar dari bibir seseorang yang kita benci kewujudannya akan ditafsir sebagai perli, hina dan mengada-ngada.

Ketika dikatakan kepada kamu, "Apa lah kamu ni, simple sangat. Nikah ni bukan sokmo-sokmo. buatlah besar-besar biar nampak hebat. " Biarkan mereka berbangga dengan kata-kata mereka kerana kita berpegang kepada kata-kata yang lebih layak untuk dibanggakan.

Hakikatnya, tubuh kita ini cuma bayang-bayang. Hati itulah manusia yang sebenarnya. Bayangan yang timbul di balik cahaya tidak sakit bila dicubit. Tidak pula mencongket jika dicuit. Selawa mana pun tubuh cuba kita make-upkan, seputih mana pun kulit cuba kita touch-upkan, dalam bayang-bayang kita tetap hitam tanpa warna.

waza

Monday, 13 August 2012

Majlis Pengajian Rahmatan Lil ‘Alamin

Ilmu  ibarat bunga yang tiada layu, bunga dicium kerana wanginya walau dahan dan rantingnya berduri.” (Syeikh Ahmad al-Fathani)
Seorang sahabat mencadangkan agar saya menjejaki seorang tuan guru bernama Ustaz Azhar Hasyim al-Hadrami yang sering ditontonnya dalam rancangan ‘Turath Ulama’ di TV1. Saya juga sering kali menontonnya kira-kira dua tahun yang lalu. Saat itu, hidup penuh ruang yang kosong serta masih dalam perantauan di desa Hulu langat yang damai lagi membahagiakan.

Subhanallah, betapa dunia ini hakikatnya begitu kecil tetapi kesibukan dan ketidakcaknaan telah membuatkan ia besar pada mata pencintanya.
Rumah Ustaz Azhar Hasyim yang sekaligus dijadikan tempat pengajiannya terletak sangat hampir dengan pejabat  dan kediaman baru saya Kota Damansara. Hanya kira-kira 8km dan mengambil masa 10 minit perjalanan.

Istiqamah Belajar Bersama Isteri
Ketika ditemui, Ustaz Azhar Hasyim menceritakan bahawa pada peringkat awalnya beliau bersama isteri memulakan pengajian kitab turats di beberapa pondok sekitar Kelantan dan Kedah. Kemudian beliau mengembara ke Pattani bersama isteri dan belajar di Pondok Tuan Guru Haji Abdullah selama 20 tahun di sana. Oleh kerana kecintaannya kepada ilmu, beliau bersama isteri menyambung lagi pengajian di Yaman selama 4 tahun. 
Setelah pulang ke tanah air, beliau meneruskan kesinambungan ilmu ulama silam dengan mengajar kitab-kitab turats di masjid, surau dan rumah beliau sendiri. Majlis pengajian berlandaskan Ahli Sunnah wal Jamaah yang diasaskan beliau dinamakan Rahmatan Lil ‘Alamin. Apa yang istimewanya, nama ini diberikan oleh guru beliau sendiri iaitu al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz.
Ketika menghadiri pengajian mingguannya, beliau sangat menekankan adab. Pesan beliau, “Belajar berguru itu seperti kita melalui lebuhraya. Sebagaimana lebuhraya itu ada divider ada signboard begitu jugalah dalam menuntut ilmu, ada adab-adabnya. Kita tidak boleh berhenti di tengah-tengah jalan. Tetaplah dalam menuntut ilmu, insya-Allah Allah tetapkan hati kita.”

Jadual Pengajian
Pengajian Talaqqi Kitab Turats
Setiap Ahad: 9.00 – 11.30 pagi di rumah beliau sendiri di Subang Bestari.
Kitab: Bidayatul Hidayah, Pelita Penuntut (terjemahan  Taalim Mutaalim), dan Bakuratul Amani.
Kuliah Muslimat
Setiap Selasa: 3.00 - 4.30 petang di Surau Al-Hakim, Subang Bestari.
Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Ghazzali (fikah).
Turats Ulama di TV1
Setiap Selasa: 6.30 - 7.00 petang.
Kitab Faridatul Faraid (tauhid) karangan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Radio Salam FM
Setiap Jumaat: 12.15 - 12.30 pagi.
Kitab Faridatul Faraid (tauhid).


Bingkisan Ta’alim Muta’alim karangan Imam az-Zurnuji
 
Bab: Adab Memilih Guru
Dalam memilih guru, hendaklah mengambil yang lebih alim, warak dan juga lebih tua usianya. Sebagaimana Abu Hanifah setelah lebih dahulu memikir dan mempertimbangkan lebih lanjut, maka menentukan pilihannya kepada Syeikh Hammad bin Sulaiman.
Dalam hal ini beliau berkata, "Aku mengenalnya sebagai orang tua yang berbudi luhur, lembut serta penyabar.” Katanya lagi: “Aku berguru di pangkuan Syeikh Hammad bin Sulaiman, dan ternyata aku makin berkembang."
Al-Hakim berucap: "Jikalau engkau pergi ke Bukhara, janganlah engkau ikut-ikut perselisihan para imam. Tenanglah dahulu selama dua bulan untuk membuat pertimbangan dalam memilih guru. Mungkin engkau pergi kepada orang alim dan mula belajar kepadanya, tiba-tiba pelajarannya tidak menarik dan tidak sesuai untukmu, akhirnya belajarmu pun tidak dapat berkah. Oleh itu, pertimbangkanlah dahulu selama dua bulan untuk memilih gurumu itu, dan bermusyawarahlah agar tepat, serta tidak lagi ingin berpindah atau berpaling daripada guru tersebut. Dengan begitu, engkau mendapat berkah dan manfaat ilmu yang banyak."

-waza-
Artikel Q&A bilangan 9

Saturday, 11 August 2012

makhluk yang takkan memudahkan..


Saat ini, saya bersama dua orang teman sedang terbaring lesu di ruang tamu rumah sewa. Hebatnya ulama itu, umpama rahib di malam hari, kuda di siangnya (rubhanul lail wa fursanul nahar), tapi kami syahid siang dan malam. Menariknya walaupun enam biji mata kami  menatap tv, kami seolah-olah berkongsi satu telinga dan satu mulut untuk mendengar semata-mata tanpa berkata apa. Masing-masing berbicara dengan perantaraan sendiri. Tanpa perlu rasa untuk difahami. Betapa mudahnya hidup sesama lelaki!

Tak lama lagi, hidup akan diserikan dengan makhluk dari jenis yang berbeza. Istilah berbeza itu sendiri membawa makna tidak sama. Saya dibayangi dengan satu ungkapan yang agak menakutkan, "wanita adalah makhluk yang takkan memudahkan sesuatu yang mudah. mereka bahkan menganggap mudah dan susah satu benda yang sama." itulah pepatah yang baru saya cipta.

Nampaknya, bahasa-bahasa hidup yang susah seperti hari ini perlu diolah semula. Jalan penceritaan hidup tak boleh lagi bersimpang-simpang. setiap simpang ada lampu jalan yang seolahnya membantu tetapi membazirkan masa dan usia. hidup perlu dimudaahkan. untuk kebaikan saya yang utamanya. dan kebaikan orang yang berbeza yang akan bernaung di bawah payung yang sama.

Walau sesempurna bidadari cuba saya gambarkan, hakikatnya mereka tetap manusia yang cepat melatah dengan perkara di luar kebiasaan. saya hanya mampu berdoa,
Ya Allah, , panjangkan langkahku, mudahkan hidupku, ringankan tubuhku agar cepat aku  sampai pada-Mu, tanpa menyusahkan sesiapa, tanpa merosakkan  rumput-rumput lembut tempat kuberadu..

 -WaZa-

Friday, 10 August 2012

adab ziarah


Pernah suatu ketika, Nabi SAW mengunjungi rumah seorang Sahabat bernama Sa’ad bin Ubadah. Setibanya di muka pintu Baginda mengucapkan salam. Sa’ad menjawab salam Baginda dari dalam tetapi dengan suara yang perlahan. Nabi tidak mendengarnya lalu memberi salam lagi sehingga tiga kali. 

Apabila mendapati salamnya tidak berbalas, Baginda berpaling untuk beredar. Sa’ad segera keluar mendapatkan Baginda. Katanya, “Wahai Rasululullah, demi Allah aku telah mendengar dan menjawab salammu. Cumanya aku menjawab dengan suara yang perlahan. Aku mahu kamu mengulangi ucapan salam sejahtera itu agar bertambah keberkatannya untukku.”

Lihatlah adab Nabi SAW bersama para Sahabat. Baginda mengunjungi rumah para Sahabat, mengetuk pintu, memberikan salam, menunggu dan beredar apabila salam tidak dijawab. Walaupun begitu tinggi kedudukan Baginda di sisi Allah, namun tidak dirasakan dirinya istimewa berbanding manusia yang lain.
Fiman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu masuk rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.” (An-Nur 24: 27)

Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam tafsirnya menyebut bahawa menjadi satu budaya bagi masyarakat Arab Jahiliah apabila mengunjungi rumah seseorang, mereka akan terus masuk ke rumah dan berkata, “Aku telah datang!”
Suasana ini kurang disenangi kerana ia boleh memalukan tuan rumah atau tuan rumah mungkin bersama keluarga dan tidak bersedia untuk menerima kehadiran tetamu.

Oleh itu antara adab yang dianjurkan ketika kita berziarah ialah:
1.      Mengetuk pintu rumah tiga kali dengan sederhana. Boleh ditambah sekiranya yakin bahawa tuan rumah tidak mendengar ketukan tadi. Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW berpesan, 
“Jika seorang daripada kamu meminta izin sebanyak tiga kali dan tidak diizinkan maka hendaklah dia pulang.” (Riwayat Abu Daud)
 Para Sahabat sangat berhati-hati apabila mengetuk pintu rumah Nabi SAW. Mereka akan menggunakan hujung kuku mereka kerana menjaga adab dengan Nabi.  

2.      Menyatakan nama sebenar.
Nabi sangat membenci orang yang  tidak memperkenalkan dirinya ketika mengetuk pintu. Begitu juga orang yang memperkenalkan dirinya dengan ‘aku’. Jabir r.a. pernah datang ke rumah Nabi SAW untuk menjelaskan hutang ayahnya. Dia mengetuk pintu kemudian Nabi bertanya, “Siapa kamu?” Katanya, “aku.” Kata Nabi, “aku! aku!” Seolah-olah Baginda tidak menyukai ucapan sebegitu.

3.      Tidak berada di muka pintu.
Hendaklah berada di sebelah kiri atau kanan pintu. Tujuannya apabila pintu dibuka, kita tidak akan terus melihat ke dalam ruang rumah yang terbuka sehingga ternampak perkara yang tidak sepatutnya dilihat.
4.      Memberi isyarat ketika memasuki rumah sendiri.
Ini adalah amalan para Sahabat seperti Abdullah ibnu Mas’ud. Isterinya mengatakan bahawa  jikalau Ibnu Mas’ud ingin masuk ke rumah, beliau akan berhenti di depan pintu dan berdehem-dehem sebelum masuk. 

5.      Tidak sedih jika kunjungan tidak diterima.
Bersangka baiklah kerana tidak semua orang mampu menyatakan keuzuran mereka. Boleh jadi tuan rumah tidak perasan, mungkin mereka bersama keluarga atau tidak bersedia menerima tetamu kerana keadaan rumah mereka tidak begitu sempurna. 

Hayati kata-kata seorang Tabiin iaitu Qatadah bin Di’amah as-Sadusi, “Jangan berdiri di depan rumah orang yang tidak menerima ziarahmu. Mungkin kamu ada urusan dan mereka juga ada urusan. Ketahuilah, bahawa urusan mereka itu lebih utama.”

Apabila tidak diterima sebagai tetamu, contohilah akhlak ulama sufi. Ada sesetengah ulama sufi gembira dan berharap agar mereka disuruh pulang. Mereka beramal dengan sepotong ayat al-Quran  dalam yang bermaksud,  
“Sekiranya dikatakan kepada kamu ‘pulang’, maka pulanglah. Sesungguhnya itu adalah terlebih baik bagimu.” (An-Nur 24: 28)

Sebenarnya mereka adalah pencinta kebaikan dan mereka mencari-cari pahala kesabaran dan keikhlasan di sebalik kalimah ‘terlebih baik’ itu. Wallahu ‘alam.

-waza-

Monday, 28 May 2012

Ramadhan satu bulan tapi bukan sekadar bulan

Sekarang musim mengawan (perkahwinan). Sudahkah anda memenuhi undangan perkahwinan kawan-kawan? Sudah tentu majlisnya penuh dengan perkara-perkara yang indah. Keindahan bukan sahaja terserlah pada wajah si pengantin, bahkan terpalit juga pada pengapit-pengapit yang menyamping. Begitulah gambarannya Ramadhan. Kemuliaan dan keindahannya  turut dikongsi dengan bulan-bulan sebelumnya.

Keterkaitan dalam keberkatan Ramadhan dan bulan-bulan sebelumnya terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a. daripada Rasulullah SAW yang bererti,
 “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.” (Riwayat Baihaqi, Ibn Abi ad-Dunya dan Ibn Sunniy)
Allah SWT  menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu medan untuk membersihkan diri setelah 11 bulan bekerja, juga persediaan untuk menghadapi 11 bulan yang akan datang. Di dalamnya terkandung fadhilat yang cukup besar. Justeru amalan-amalan sebelum Ramadhan amat penting sebagai membina momentum ke arah membina Ramadhan yang lebih cemerlang.

Pertama: At-Takhalliy
Ertinya membersihkan dan mengosongkan. Inilah antara amalan yang dianjurkan ulama pada bulan Rejab. Satu bulan yang digelar bulan istigfar. Ia satu daripada empat bulan haram yang dihormati (asyhurul hurum) selain  Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Dari segi bahasa, Rejab bermaksud memuliakan dan mengagungkan. Bangsa Arab sangat memuliakan bulan ini sehingga ada satu peribahasa Arab menyebut,
عش رجبا ترى عجبا
“Hiduplah kamu daripada Rejab ke Rejab nescaya kamu akan lihat keajaiban.”

(Diceritakan pada suatu ketika, ada seorang lelaki menceraikan isterinya. Tidak berapa lama kemudian, isterinya berkahwin dengan lelaki lain. Bekas suaminya tadi menemui lelaki yang baru berkahwin. Katanya, “Bagaimana hidupmu dengan bekas isteriku? Kata lelaki tadi, “Baik-baik sahaja. Kemudian bekas suami tadi berkata, “kamu hiduplah dengan dia daripada rejab ke rejab (setahun) kamu akan tengok keajaiban (perangai yang sebenar)..)

Orang-orang Melayu dahulu juga menyebutkan syair yang cukup indah apabila berbicara tentang bulan suci ini. Menurut mereka,
“Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, manakala Ramadan bulan menuai. Rejab menyucikan badan, Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan rohnya.. .”
Pada bulan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan istigfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Hati juga perlu dikosongkan daripada sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riak, takabbur dan sebagainya. Pembersihan hati adalah langkah pertama bagi seseorang yang ingin mendapatkan kurniaan daripada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW, “Ketahuilah dalam tubuh itu ada seketul daging, jikalau baik ia maka akan baiklah seluruh anggota. Jikalau buruk ia maka akan buruklah seluruh anggota. Ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua: At-Tahalliy
Al-Tahalliy bererti mengisi atau menghiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat. Setelah hati benar-benar bersih, barulah mudah untuk mengerjakan sesuatu perintah dengan ikhlas dan penuh kerelaan. Bagaimana menghiasinya? Sudah tentulah dengan ilmu-ilmu fikah berkaitan Ramadhan. Antaranya, bab puasa, iktikaf, al-quran, tarawih, sedekah dan qiamullail. Ilmu inilah yang akan menjamin kesempurnaan ibadah Ramadhan seseorang kelak.

Kadang-kadang amalan yang dilakukan, walaupun telah sempurna pada zahirnya, tetapi tetap tidak diterima Allah. Itulah amalan-amalan yang berpenyakit. Kita perlu juga mempelajari ilmu hati atau ilmu tasawuf. Imam Abul Hasan asy-Syazili berkata,
 “Sesiapa yang tidak mendalami ilmu ini(tasawuf), dikhuatiri akan mati dalam keadaan melakukan dosa-dosa besar sedangkan dia tidak menyedarinya.”
Dengan persediaan ilmu dan pembersihan bekas tadahannya, kita harapkan ibadah Ramdhan kita bukan sekadar sempurna menjadi bahan santapan, tetapi juga mampu membangkitkan selera juga mengenyangkan.

Ketiga: At-Tajalliy
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita mendekatkan diri secara langsung dengan Allah SWT dengan ibadah-badah sepanjang Ramadan nanti. Itulah yang dimaksudkan dengan at-Tajalliy. Ibadat yang dilakukan akan terasa manis dan tidak membebankan. Puasa bukan lagi suatu perintah bahkan satu keperluan. Seperti kata Prof Hamka,
 “Apabila sudah benar-benar mengenal Allah maka ibadah-ibadah tidak lagi dilakukan tetapi dinikmati.”
Allah menjadikan sesuatu perkara dengan begitu sempurna. Hikmahnya hanya dapat dibaca oleh hati-hati yang benar-benar inginkan kesempurnaan . Jika direnungi, anjuran para ulama di atas adalah sangat mendalam falsafahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.

Jika menjadi keyakinan setiap Mukmin bahawa dunia ini umpama satu medan peperiksaan besar, maka Ramadhan serta segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.

Muhasabah
Terkadang, ada umat Islam yang langsung tidak menyedari kehadiran Rejab dan Sya’ban  kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Sedar tak sedar mereka sudah berdepan dengan Ramadhan. Tidak kurang yang menyambut kedatangan dua bulan ini dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.

Ada juga segelintir masyarakat kita yang terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaan dan kewajaran menambahkan amalan pada bulan-bulan tersebut. Orang yang paling beruntung adalah mereka yang memahami hakikat sebenar di sebalik ibadah-ibadah yang dilakukan menjelang Ramadhan lalu menunaikan hak-haknya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.Wallahu a’lam.

Monday, 21 May 2012

Anis,anis..anis jadi manis (bulan Mei)



Semua orang inginkan ketenangan di dalam rumahnya. Ingin rumah yang selesa, isteri yang memahami, anak-anak yang taat, jiran-jiran yang peramah dan lain-lain. Itu adalah fitrah. Manusia yang sempurna takkan menafikannya kerana sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.
Kebahagiaan bukan terletak pada warna yang kita tentukan pada dinding-dinding rumah. Tetapi pada roh yang kita  celupkan pada dinding-dinding hati penghuninya.
Sebaik-baik rumah adalah rumah Allah. Dalam hadis riwayat Abu Nu’aim, Nabi SAW bersabda, “Masjid adalah rumah bagi orang beriman.” Justeru, hidupkanlah rumah kita sebagaimana selayaknya kita memakmurkan rumah Allah.

Q Bagaimana menghidupkan rumah dengan roh masjid?
A Datangi masjid.
Jadikan solat berjemaah di masjid atau surau sebagai rutin harian. Biar hati kita sentiasa diikat dengan perasaan cinta pada masjid. Bukan sekadar mempersembahkan ibadah sebaliknya bergaul dengan dengan ahlinya, memenuhi taman-taman syurga serta menghayati ketenangan yang ada di dalamnya.

Ada sesetengah orang yang inginkan kebaikan tetapi mereka menjauhi masjid. Bahkan ada yang memusuhinya juga. Mereka sebenarnya orang yang tertipu.
Firman Allah, “Hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat sahajalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah.”
Hadirilah masjid.
Kata penyair, “Kamu inginkan kejayaan tetapi tidak mengikut jalannya, ketahuilah sesungguhnya kapal itu tidak akan belayar di tempat yang kering.” 
Kita tak mampu menghayati sesuatu kebaikan  dengan sempurna jika tidak berada di tempat asasnya. Bak kata ulama sufi, “Sesiapa yang tidak merasai, pasti dia tidak akan memahami.”

Jadikan rumah seperti masjid
Pepatah Arab menyebut, “Setiap bekas akan basah dengan apa yang memenuhinya.” Bila hati mula sukakan kebaikan, sudah tentu kita ingin kongsikannya. Orang yang hatinya dekat dengan masjid akan membawa ‘aura’ masjid pulang ke rumah. Mereka akan hidupkan suasana rumahnya seperti masjid. Kita akan dapat membezakan antara rumah yang dihidupkan dengan roh masjid dengan rumah-rumah yang lain.

Rumah dengan roh masjid
Rumah tanpa roh masjid
Rumah hidup dengan ibadah seperti solat fardu berjemaah, bacaan al-Quran, zikir dan doa.
Meriah dengan perkara yang melalaikan seperti bunyi muzik yang bingit dan percakapan yang sia-sia dan tidak sopan.
Segala benda dilakukan berjemaah seperti makan,  mengemas rumah, menonton televisyen dan berbual-bual.
Setiap penghuni sibuk dengan urusan sendiri dan tidak mengambil tahu urusan ahli keluarga yang lain.
Rumah sentiasa bersih dan dihiasi dengan perhiasan yang sederhana. Apa yang paling penting, perhiasan menepati kehendak syariat.
Rumah penuh dengan patung, gambar  yang tidak menutup aurat dan perhiasan yang diharamkan seperti pinggan mangkuk daripada emas dan lain-lain.
Anak-anak dan isteri akan lebih taat dan hormat kepada ketua keluarga, menghormati keputusan yang dibuat dan lebih menghargai apa yang ada.
Anak-anak bersifat kurang sopan, isteri tidak memberi penghormatan yang selayaknya kepada suami dan kesefahaman susah dicapai ketika membuat keputusan.
Wujud budaya amar makruf nahi mungkar sesama keluarga. Anak-anak yang lewat mengerjakan solat akan ditegur sebaiknya.
Ibu bapa memberi kebebasan mutlak kepada anak-anak untuk membuat keputusan tanpa mengira dosa dan pahala.
Batas-batas pergaulan dan aurat sentiasa dijaga di rumah dan luar rumah. Contohnya, pergaulan sesama adik-beradik, mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan, serta aurat bersama bukan mahram seperti sepupu dan ipar duai.
Pergaulan yang bebas dan aurat tidak dijaga. Anak-anak dan isteri dibiarkan tidak menutup aurat. Adat dan adab diutamakan melebihi agama dan syariat. Contohnya, anak disuruh beradab dengan menyalami ipar dan sepupu yang jelas bukan mahram baginya.
Media dan hiburan Islam menjadi pilihan seperti menonton TV al-Hijrah, mendengar nasyid dan qasidah, membaca majalah berunsurkan Islam dan memantau CD- CD yang ditonton oleh keluarga.
Hanya hiburan semata-mata dengan menjadikan nafsu dan akal sebagai rujukan. Bahan-bahan untuk tatapan keluarga pula tidak dikawal sepenuhnya.

Q Kenapa pentingnya ‘roh’ masjid di rumah?
A Hati tanpa iman umpama orang yang mati. Begitu juga dengan rumah tanpa ‘roh’ atau ‘aura’ masjid. Rumah akan sepi daripada bacaan-bacaan al-Quran, zikir dan peringatan agama. Nabi SAW  mengibaratkannya seperti kubur.
 “Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya sekadar tempat tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah.” (Riwayat Tirmizi)
Apabila rumah seperti kubur, penghuninya pula akan menjadi ‘hantu-hantu’ yang kepanasan. Mereka tidak berasa tenang dan bahagia di rumah lalu terjadilah seperti apa yang kita baca di dada-dada akhbar sekarang. “Haruan Makan Anak”, “Anak Lari Dari Rumah”, Anak Kecil Mati Didera”, kes-kes perceraian dan pelbagai masalah sosial lagi. Semuanya berpunca daripada keruntuhan institusi rumah tangga.

Benar, dalam urusan dunia manusia semakin hari semakin bijak. Tetapi, dalam urusan agama, manusia semakin jahil. Kita semakin jauh daripada rahmat Allah. Kembalilah kepada pesanan Nabi SAW  dalam membina rumah tangga.

Dahulu, sewaktu mula-mula berkahwin kita sering berkata, “Aku ingin mendirikan sebuah masjid!” Maka hari ini, tanyakan kembali kepada diri kita, “Di mana masjid yang aku janjikan?!

Thursday, 17 May 2012

Sekolah Kecil nan Indah

SK Bukit tadok
Bismillahirrahmanirrahim..
Dua jari telunjuk kiri dan kanan mengambil peranannya malam ini. Banyak butang backspace yang ditekan berbanding huruf-huruf yang disusun membentuk perkataan.

Inilah kelemahannya bila terlalu banyak didedahkan dengan penulisan orang ternama. Inilah masalahnya juga bila kita mula menjadikan seseorang sebagai idola. Paling tidak, kita ingin apa yang kita lakukan sama seperti yang mereka ada.

Padahal kita diciptakan berbeza-beza. Dan di balik perbezaan itulah, terselitnya keindahan yang sebenar.
Mujurlah zaman sudah berubah. Kesalahan dalam mengatur perkataan tidak memerlukan kita memadamkannya dengan liquid atau pemadam. Tidak perlu menggumpal kertas kemudian  menjadi ahli sihir yang kejam. Aku sumpah kau jadi sampah! Lalu sumpahan tadi melata di mana-mana.

Sekrang lain. Tiada pembaziran sumber alam. Melainkan pembaziran umur, masa dan tenaga sekiranya apa yang kita buat tidak mencambahkan kebaikan.

“Eh, kenapa tulisan kamu buruk sangat? Sudah la kecil, ayat pun pendek-pendek.” tegur seorang sahabat yang buruk juga tulisannya kepadaku.
Pada buruk itu tiada jawapannya. Tulisan yang kecil dan pendek-pendek pula, ada cerita di sebaliknya.  Bahkan banyak watak penting dalam hidup ini, berlegar-legar di balik tulisan yang hodoh ini.
Saya pelajar kampungan. Kecil di kampung, membesar di kampung dan insya-Allah jikalau diberikan peluang ingin mati di kampung. Kampung Paloh Nyior.

Sebuah kampung yang kecil. Jikalau menunggang motosikal menjadi ukuran, nescaya jaraknya lebih mudah untuk digambarkan. Apa tidaknya, sebelum sempat menekan gear tiga, signboard kampung sebelah sudah melambai-lambai manja.

Kampung Bukit Tadok. Nama kampung yang berjiran. Kalau tidak kerana sekolah, sudah tentu saya tak mahu meyebut namanya bahkan tak ingin mengiktiraf kewujudannya. Tempat ini membina pelbagai rasa. Ada suka, cinta, marah, benci dan dendam. Berkat lamanya masa, rasa itu diadun menjadi satu. rindu. Betapa hidup ini umpama jeput pisang.Asalnya gandum yang tawar, ditambah garam, pewarna, pisang,daan dibiarkan beberapa ketika, barulah terbentuk rasa yang sebenar. Sedap.

“Karangan itu seperti manusia. Perlu ada kepala perut dan kaki.”
“Baiklah semua, sekarang kita akan menulis karangan. Keluarkan kertas kajang masing-masing,” Guru Bahasa Melayu memberi arahan. Namanya Gu-Bes. Bukan menghina tapi memang mahu dipanggil begitu. Singkatan daripada Guru Besar. Seorang guru tua yang menjadikan kelas Bahasa Melayu seperti kelas sains. Suka membandingkan setiap benda yang diajar dengan alam sekitar. Perbandingannya melampau.

“Eh, jauh terbang..mana kepala, perut dan kaki yang saya suruh buat tadi!” Gu-Bes mendekatiku.
“Saya tak ada kertas cikgu!”
“Dah lama cikgu suruh beli kertas. Ada sape-sape nak pinjamkan kertas  untuk kawan kita ni?”
Semua diam. Diam tandanya tak ada. hakikatnya tak mahu.
Tiba-tiba teman yang baik di belakang menghulurkan kertas. Bukan tiba-tiba tetapi seperti biasa. Dan keterbiasaan yang memalukan itu tidak lagi membuat saya teruja.
“Terima kasih.”
Dia tersenyum. Barangkali hati kecilnya berkata, "Kasihmu kuterima!" atau "Ahh, kasihan!"

 "Ya Allah, kalau saya ditakdirkan menjadi guru, saya takkan minta kertas daripada pelajar! saya takkan paksa pelajar membeli buku latihan! Saya takkan marah kalau pelajar itu, bajunya tak bergosok!" banyak lagi doa saya ketika itu.

Saya suka menulis tapi saya benci subjek penulisan. Saya benci diterima kasih kerana kasihan. Kasih yang begitu, tak lama. Penghujungnya menyedihkan. Kafaa sudah, teman yang baik sebagai bukti.

Saya benci dipandang-pandang. Bahasa tubuh  tidak menipu. 16 pasang mata yang berpaling memandang saya ketika itu pasti terangsang hati  mereka untuk mengatakan sesuatu. Cuma bibir sahaja tidak berbicara. Mungkin masing-masing sibuk memikirkan perihal kepala, perut dan kaki.

Kertas  kajang perlu dibeli sendiri. Koperasi sekolah menjualnya 10 sen 2 keping. Sayalah juga yang menjaga koperasi sekolah dan menjualnya. Kuncinya saya simpan. Bukan sekadar koperasi, kunci pintu pagar sekolah, kunci perpustakaan, kunci kelas dan kunci makmal sains, saya yang memegangnya. Besar sekali kepercayaan sekolah kepada saya. (dulu tiada penyakit lupa)

“Karangan kamu mesti lebih 80 patah perkataan.Perlu ada satu kepala,perut kena ada empat isi, satu makan pagi, makan, tengahari, makan petang, makan malam. Kalau ada lebih, boleh tambah makan tengah malam. Pastikan ada kaki. Faham semua?” Gu-Bes berfalsafah lagi.
“Pahang..”
Ah, berlakon semuanya.

Tahun 1998, (walaupun ekonomi Malaysia meleset ketika itu) 20 sen sudah tidak tinggi nilainya. Gula-gula ketika itu 3 biji seposen (kecuali gula-gula susu yang ada gambar lembu di kulitnya). Bagi kebanyakan murid yang hanya dibekalkan dengan doa (tak dibekalkan dengan duit belanja), ia tetap merungsingkan.

Kertas kajang yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam menghasilkan satu karangan, saya perlu kecilkan tulisan seboleh mungkin. Satu halaman ada 20 baris. Dalam 20 baris ini perlu ada manusia yang sempurna kepala perut dan kaki. Halaman sebelah, akan digunakan semula untuk manusia yang seterusnya.


Apa tujuan saya menulis malam ni? Jauh benar menyimpangnya..saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua yang pernah saya ambil ilmu daripada mereka… itu sahaja! Terutamanya Gu-Bes.
Kalau Tuhan masih memberi kesempatan waktu insyaallah waktu itu akan menyambung perjuangan waktu sekarang untuk menceritakan waktu-waktu dahulu.
 ####################################

Saya sudah ketemu banyak guru, tapi tak ramai yang sepertinya. Kesilapan pelajar ditegur dengan motivasi bukan caci maki. Pelajar yang keliru akan ditunjukkan jalan keluar bukannya dihalau keluar.

Saya sendiri pernah menjadi guru. sekolah tadika, sekolah india, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah swasta, semuanya saya lakukan dalam tempoh kurang dua tahun. Setiap kali menyuruh pelajar membuat kerja rumah, saya akan sediakan kertas. Saya dahulukan wang sendiri untuk membeli buku latihan bagi pelajar yang tak mampu.
Lazimnya merekalah budak-budak yang paling nakal dan  kelas mereka paling hujung. Tetapi, di dalam kelas, saya dapati mereka paling bersungguh melakukan kerja. (biarpun salah) Mereka menghargai apabila dihargai.
Saya pernah ditugaskan untuk menggantikan kelas lukisan. saya tanya guru panatia, "Ada tak sekolah bekalkan kertas lukisan?"
jawabnya, "Ada.. tapi baik tak payah beri. suruh budak-budak bawa sendiri. sebab budak-budak ni, kalau bagi pun tak buat kerja. membazir harta sekolah je!"
"Baiklah!" kata saya seraya melangkah keluar menuju kelas.

Di dalam kelas, ternyata beberapa orang pelajar sahaja yang membawa kertas. masing-masing sibuk bersembang sesama mereka.
"memang macam ni ke setiap kali waktu lukisan?" tanya saya.
"Ye cikgu. budak-budak ni bukan minat pun melukis."
"habis tu, cikgu kelas tak marah ke?"
"dah puas marah. kami pun dah lali dengar."
"baiklah, awak pergi ke koperasi, beli kertas lukisan  sorang satu! nah, ambik duit ni!"Saya menghulurkan duit dari poket. pelajar tadi berlari keluar dan masuk semula beberapa minit selepas itu.
"cikgu, duit tak cukup. saya hutang dulu kat koperasi!" kata pelajar tadi.
 "Tak apa lah, esok saya bayar balik. saya pun tak bawa duit lebih!" jawabku ringkas.
pelajar tadi dan beberapa pelajar yang berada di situ berubah sedikit wajah mereka. saya faham apa yang mereka fikirkan dan itulah yang cuba saya timbulkan. moga mereka menghargai.

Pelajar-pelajar yang mendapat kertas, masih tidak hairan. masing-masing sibuk bersembang.
"baiklah pelajar semua, setiap orang ambil satu kertas. sekarang saya nak ajar kamu lukisan Abstrak!
Tahu tak apa itu lukisan abstrak?"
"Tak tahu"
"bagus! tak tahu tu sebahagian daripada abstrak la! abstrak ni benda yang kamu tahu tapi orang lain tak tahu! kamu buat la apa-apa pun janji kamu faham. Beritahu perasaan hati atau impian kamu dalam bentuk yang kamu rasa orang lain tak faham. nanti saya akan suruh kamu ke depan dan ceritakan kepada orang lain."
sebahagian pelajar nampak berminat. yang lain tetap sama. bahkan ada yang pelajar yang menconteng-conteng kertas yang saya beri.
"Eh, janganlah conteng kertas yang cikgu beri ni! cikgu guna duit dia sendiri tau!" pelajar tadi menegur kawan sebelahnya.
"ikut suka akulah, cikgu dah bagi kan. bukan luak pun duit cikgu!" dia membalas kasar. Hati kecilku berkata, "tentu dia anak orang kaya."
"Reti bahasa lah sikit. orang beri satu-satu benda tu, hargailah. kalau tak nak buat, pergi hantar balik kertas tu!" pelajar tadi marah. suaranya didengari oleh pelajar yang lain. hasilnya, walaupun suasana kelas seperti pasar ikan, pelajar menyiapkan kerja yang diberikan. contengan mereka mungkin tiada nilai kormesial atau estetika, yang penting ada nilai penghargaan.

Setiap hari, walaupun berada di meja guru di depan, tapi saya selalu bayangkan saya berada di meja kayu kecil sebelah kiri bahagian paling hadapan bersebelahan dengan pintu masuk kelas. Sesekali terimbau kenangan pahit nan indah di sana, " Awak eh, pinjam kertas kajang se!"
-waza-

Wednesday, 18 April 2012

Kitab paling mudah: kitab al-Aghani

Berkata pembesar Andalus, Abu Bakar Muhammad bin al-Wazir Abi Marwan Abdul Malik bin Zahr:
Suatu ketika, aku duduk di depan rumahku bersama seorang lelaki yang aku tugaskan untuk menyalin semula kitab “al-Aghani” karangan Abul Farj al-Isfahani, kemudian penyalin datang membawa kertas-kertas yang disalinnya. Aku berkata kepadanya, "Di mana kitab yang asli untuk aku semak balik apa yang sudah kamu tulis?"

Katanya, "Aku terlupa bawanya bersama."

Sedang aku bercakap dengannya, melintas seorang lelaki di depan rumah kami. Pakaiannya daripada kain kasar. Serbannya tidak dililit kemas. Pertama kali memandangnya, aku dapat mengagak bahawa dia tentu datang daripada desa. Dia berhenti dan mengucapkan salam. Sambil memandang kepadaku, dia berkata,

"Wahai anak, izinkan aku bertemu dengan Tuan Abi Marwan."

Aku berkata, "Dia sedang tidur." Lelaki tadi terdiam seketika kemudian bertanya,

"Kitab apa di tangan kamu?"

Aku bertanya semula, "Kenapa kamu ingin tahu?"

"Aku cuma ingin tahu namanya. Aku ini tahu banyak nama kitab," jawab lelaki tadi.

Kataku, "Ini kitab al-Aghani!

"Sudah sampai di mana si penyalin ini menulisnya?" dia bertanya lagi.

Kataku, "Sudah selesai pada bab sekian sekian.."Aku memberitahu beberapa bab dan bercakap dengannya dengan acuh tak acuh dan bersahaja.

Tanyanya lagi, "Kenapa tak dihabiskan sahaja menyalinnya?"

"Aku meminta naskhah yang asli untuk aku bandingkan dengan kertas yang ditulis tetapi si penyalin ini terlupa membawanya bersama." Lelaki tadi kelihatan begitu berminat sekali dengan salinan kitab di tanganku.

Katanya, ""Wahai anak, ambil kertas yang sudah disalin dan bandingkanlah?"

Kataku, "Dengan apa?mana yang asli?"

"Aku pernah hafal kitab ini semasa kecil dahulu." Aku tersenyum mendengar kata-katanya. Apabila dia melihat senyumanku yang seakan menghina itu dia berkata,

"Cepat pegang kertas itu dan teliti bacaanku."

Aku mendengar bacaannya dan ternyata setelah hampir dua helaian, tiada satu pun yang silap. Dia menyemak bahagian tengah dan penghujungnya pula, Ternyata semuanya seperti dalam naskhah yang disalin.

Aku bertambah taajub. Cepat-cepat aku masuk ke rumah menemui ayahku dan menceritakan padanya. Ayahku segera bangun. Dengan hanya memakai selendang di bahu, tanpa baju, tanpa serban dan tanpa selipar. Apabila bertemu, dia memeluk dan mencium lelaki tadi.

Kata ayahnya, "Wahai tuan, maafkan aku! Budak ini tidak menghormati kamu.

"Tak mengapa. Dia tidak mengenaliku." ujar lelaki tadi sambil tersenyum.

"Ya, itu memang benar. Tetapi walaupun tidak kenal, apa salahnya jikalau beradab mulia dengan orang lain." Ayahku masih menyalahkan aku kerana tidak menghormati lelaki tadi. Kemudian, dibawanya ke rumah dan sangat-sangat memuliakan lelaki tersebut. Setelah beberapa lama, lelaki tadi ingin beredar. Ayahku memberikannya seekor tunggangan dan mengiringinya sampai ke penghujung jalan.

"Siapa lelaki yang ayah begitu muliakan tadi?" tanyaku setelah lelaki tadi hilang dari pandangan.

Katanya ,

"Diam kamu! Itulah dia sasterawan paling masyhur di Kota Andalus. Namanya Ibnu Abdun. Kitab paling mudah yang dihafalnya ialah kita al-Aghani!"

(Kitab al-Mu’jab fi Talkhis Akhbar al-Maghrib karangan Abdul Wahid al-Marakusyi)

terjemahan: waza

........................................////////////////............................................

Menurut Tok Guru Wiki:

Kitab al-aghani (Arabic: كتاب الأغاني, The Book of Songs), is an encyclopedic collection of poems and songs that runs to over 20 volumes in modern editions by the 10th-century litterateur Abu l-Faraj al-Isfahani (var. al-Isbahani).[1] Abu l-Faraj claimed to have taken 50 years in writing the work, which ran to over 10 000 pages. It can be seen as having three distinct sections: the first dealing with the '100 Best Songs' chosen for the caliph Harun al-Rashid, the second with royal composers and the third with songs chosen by the author himself.[2] It spans the period from the Jahiliyya to the end of the 9th century CE.

Q&A 5: Tuhan Merahmati Cinta

Sekiranya terdapat seorang lelaki dan perempuan saling mencintai antara satu sama lain, perbuatan itu tidaklah salah menurut agama. Perasaan cinta itu bukanlah dibuat-buat sebaliknya telah ditanam oleh Allah SWT. Ketahuilah bahawa cinta itu mulia dan suci.
Sabda Rasulullah SAW, “Barang siapa yang bercinta, dan merahsiakannya dan tidak berbuat maksiat kemudian mati, dia akan masuk syurga.” (Hadis dipetik daripada kitab Bidayah wan Nihayah karangan Ibnu Katsir)
Ubat Cinta
Ada seorang lelaki kaya yang mempunyai seorang anak lelaki yang sakit tenat. Puas diubatinya tetapi tidak juga sembuh. Akhirnya beliau memanggil Harits ibn Kaladah, seorang tabib yang masyhur dari Taif.

Ibn Kaladah masuk ke kamar dan memeriksanya. Sesudah itu, beliau keluar dan meminta kepada ayah pesakit untuk menyediakan senarai nama-nama gadis di kampung itu. Ayahnya terus mengusahakannya. Setelah beberapa lama, dikirimkan nama-nama itu kepada Ibn Kaladah.

Ibn Kaladah pun masuk kembali ke kamar putera lelaki kaya itu dan dan mula membaca nama-nama gadis dalam senarainya. Sambil membaca, beliau memerhatikan wajah putera itu.
Tiba pada satu nama, wajah anak ini berubah. Ibn Kaladah pun berhenti. Dia keluar dan berkata kepada si ayah, “Cari gadis ini dan kahwinkannya dengan anakmu. Insya-Allah dia akan sembuh!”

Ayahnya pun mencari gadis yang disebutkan dan terus dipinangnya. Sebaik sahaja mereka berkahwin, puteranya pun sembuh.

Kesan Cinta
Khalifah Yazid ibn Abdul Malik pernah membeli seorang hamba bernama Habbabah dengan harga 100,000 dinar. Baginda sangat menyayangi Hababah namun begitu dengan takdir Allah, Habbabah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Cinta Yazid yang sangat mendalam menyebabkan baginda tidak sanggup mengebumikan jenazah Habbabah. Jenazahnya terbujur berhari-hari sehingga ditegur oleh saudara baginda yang bernama Maslamah. Akhirnya baginda akur dan mengebumikannya.

Disebabkan terlalu cinta, baginda sanggup menggali kubur Habbabah semata-mata untuk menatap wajahnya. Setelah dipujuk agar mengebumikannya semula, baginda setuju namun selepas itu baginda tidak keluar-keluar lagi dari biliknya. Pada hari ke-17, Khalifah Yazid meninggal dunia.

Hakikat cinta
Abu Nasir as-Sarraj berkata, “ Sesungguhnya orang yang bercinta, akan taat kepada orang yang dicintainya.”
Kecintaan di sini termasuklah cintanya seorang makhluk kepada Tuhannya. Dia akan taat sepenuhnya perintah Tuhan tanpa dipersoalkan. Suami isteri yang saling mencintai juga sebegitu. Hayatilah cinta Rasulullah SAW dan Sayidatina Khadijah. Tidak kira siapa yang berada di hadapannya, Rasulullah SAW tetap akan mengenangkan Khadijah dan menceritakan kisahnya kepada mereka. Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya Allah SWT telah menanamkan rasa mahabbah di dalam kalbuku terhadap Khadijah.”
Tazkirah Habib Hasan al-Attas, susunan Waza.

Q&A: Kitab Ayyuhal Walad al-Muhib

Kitab ini juga dinamakan Risalah al-Waladiah (Warkah buat anak). Kitab ini pada asalnya dikarang dalam bahasa Parsi, kemudian diterjemah oleh para ulama ke dalam bahasa Arab.
Sejarah ternukilnya kitab ini apabila Imam al-Ghazzali menjawab kepada sepucuk surat yang dihantar oleh seorang muridnya. Murid tersebut meminta al-Imam menulis sepucuk surat sebagai satu nasihat khusus kepadanya. Lalu, terhasillah nasihat yang begitu mahal harganya ini.

Q Siapakah Imam al-Ghazzali?
A Nama sebenarnya al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad at-Thusi al-Ghazzali. Seorang faqih dan tokoh pemikir Islam yang mendapat gelaran Hujjatul Islam, Siraj ad-din, Syaraful A’immah dan Zain al-Abidin. Dilahirkan di di Thus, Khurasan pada tahun 450 Hijrah (1059 Masihi).
Ayahnya seorang penenun bulu binatang dan bukan seorang yang alim tetapi sangat mencintai ilmu dan ulama. Sebelum meninggal, beliau dan saudaranya Ahmad dijaga oleh seorang sufi yang soleh. Setelah habis bekalan wang yang ditinggalkan dan tidak mampu menyara mereka lagi, mereka dinasihati supaya menuntut ilmu kerana penuntut ilmu akan diberikan makanan percuma.
Kata al-Imam, “Aku menuntut ilmu (pada awalnya) bukan kerana Allah tetapi ilmu mengubah pandanganku sehingga aku benar-benar menuntut kerana-Nya.”
Di situlah bermulanya pengembaraan ilmunya sehingga berjaya menguasai dan mengarang dalam pelbagai disiplin ilmu. Beliau meninggal ketika berumur 55 tahun pada 505 Hijrah (1111 Masihi).

Q Apakah keistimewaan kitab ini?
A Walaupun ia sekadar surat yang mengandungi 25 buah wasiat buat muridnya, namun isi dan kandungannya adalah sangat diperlukan oleh semua lapisan masyarakat, sama ada besar mahupun kecil. Ia menyentuh perihal ilmu, nafsu, akhlak dan lain-lain.
Dalam muqaddimah Siraj az-Zulumat, Syarif Mustafa Hanafi menyebut,
"Kitab ini mengajarkan kepada kita bahawa orang yang benar-benar inginkan kesempurnaan dalam hidupnya akan mendatangi seseorang dan meminta nasihat. Mereka tidak hanya menunggu untuk dinasihatkan."
Q Adakah ulama yang mensyarahkan dan menterjemahkan kitab ini?
A Kehebatan kitab kecil ini juga membuatkan ramai ulama mensyarahkannya. Antaranya:
1. Ayyuhal Akhi fi Syarhi Ayyuhal Walad karangan Abdur Rahman bin Ahmad bin Umar ar-Rumi al-Hanafi.
2. Siraj az-Zulumat fi Syarhi Ayyuhal Walad karangan al-Imam Muhammad bin Mustafa Abu Said al-Khadimi.
3. Syarh Ayyuhal Walad karangan Hasan bin Abdullah.
4. Minhah as-Somad Syarh Ayyuhal Walad dan lain-lain.
Kitab kecil ini turut diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Antaranya kitab terjemahan Abu Ali al Banjari an-Nadwi Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam dan Drs. al-Ustaz Pauzi Haji Awang.

P/s: Pernah beli kitab ni dengan harga 50 qurusy(sen). Syarahnya Siraj az-Zulumat dibeli di maktabah depan Masjid Soleh Jaafari. Pernah belajar kitab ni dengan Ustaz Fuad di Hayyu Asyir. Dek keberkatan pengarang juga kebesaran ilmu guru, tak terasa pun kemurahan dan kekecilan kitab ini.

Rindunya zaman musafir. Tak banyak yang berjaya dikutip. Dalam tak banyak itu, dah banyak yang berciciran. Waktu mampu tak mahu. Bila mahu, waktu pula tak mampu.

-waza-

warak ketika menuntut ilmu


Warak ketika menuntut ilmu
Penuntut ilmu yang warak itu, ilmunya lebih bermanfaat. Belajarnya lebih mudah dan faedahnya lebih besar. Antara warak yang paling sempurna adalah mengelakkan diri daripada terlalu kenyang, tidur yang panjang, dan pembicaraan yang tidak bermanfaat. Dia juga perlu mengelakkan diri daripada memakan makanan dari pasar sekiranya mampu.

Makanan pasar lazimnya lebih dekat kepada najis dan kotoran. Ia jauh daripada zikrullah dan lebih dekat kepada kelalaian. Ini kerana orang fakir telah memandangnya tetapi mereka tidak mampu membelinya lalu berdukacita. Ia akan menghilangkan (sebahagian) keberkatannya.

Diceritakan bahawa Syeikh Muhammad Fadl tidak pernah memakan makanan dari pasar ketika masih belajar. Ayahnya tinggal di dusun dan menghantar makanan setiap Jumaat. Suatu ketika, ayahnya melihat sebuku roti pasar di biliknya. Ayahnya marah dan enggan bercakap dengannya.

Dia memohon maaf seraya berkata, “Aku tidak membelinya dan tidak mahu memakannya, tetapi ia diberikan oleh temanku.”
Jawab ayahnya, “Apabila kamu berhati-hati dan warak, nescaya temanmu takkan sembarangan memberikan roti tersebut.”

(Kitab Ta’lim al-Muta’allim karangan Imam az-Zurnuji)

terjemahan: waza

Tuesday, 6 March 2012

setahun sebuah sketsa


“Kalau sudah cukup segala keperluanku,kalau sudah tertunai segala tanggungjawabku, aku ingin mendiami desa ini!”
Itulah ungkapan pertama saya sewaktu berangkat meninggalkan Madrasah al-Jenderami. Ketika diminta membuat liputan Program Maulid al-Kubra di sana, ada tersimpan sedikit cuak di hati. Sepatutnya malam-malam minggu begini dibazirkan dengan bermain badminton bersama rakan-rakan.

Ketika ditanya seorang teman berpangkat ketua, seikhlas mungkin saya menjawab, “Tak kisah pun kerja hujung minggu, saya anggap ni mengaji bukan mengharap gaji!” saat itu terasa seperti merekah bibir ini dengan beberapa batang tebu yang ditanam di pangkalnya.

Sejujurnya, saya belum pernah melihat pengasas desa ilmu ini. Bagaimana persisnya? Keturunan Nabikah dia? Ketika melangkah ke masjid, pandangan saya tumpah pada seorang lelaki yang mengemas bahagian depan. Begitu tekun dia dengan kerjanya. Beruntungnya orang yang menjadi wasilah kepada sesuatu kebaikan. Boleh jadi ada hati yang khusyuk solat kesan dari kemasnya masjid, maka itu sudah menjadi pahala baginya.

“Ustaz, itulah Syeikh Hafiz Selamat, pengasas al-Jenderami!” beritahu seorang lelaki yang berdiri di depan pintu masjid. Subhanallah! Berganda-ganda keberuntungan hamba Allah ini daripada yang saya jangkakan! Setiap yang datang dan memuji Rasul SAW, pasti ada bahagian untuknya. Sama dan tak mungkin berkurang.

Mungkin sibrah (celupan) inilah yang menjadikan tempat ini begitu bersih. Lazimnya, kalau diadakan majlis keramaian, pasti sampah menjadi sebahagian daripada tetamu yang tidak diundang. Tetapi di sini semuanya berbeza. Lantai dan longkang sentiasa dibersihkan sehingga air yang mengalir disangka suci dan mampu menyucikan (air mutlak).

Sambil menunggu bacaan Ratib Haddad sebelum Maghrib, beberapa lelaki memberi salam dan memperkenalkan diri. Wajah mereka mungkin tak cerah tapi senyuman yang terukir membuatkan saya seperti melihat cahaya. Sungguh murah mereka dengan sedekah!

Mereka hadir ke sini kerana cinta dan rindu. Semua rasa bahagia dapat melakukan sesuatu yang disukai kekasih mereka. Kebersihan.Senyuman. Sepanjang dua hari, inilah buah mulut dan pencuci mata yang paling mengenyangkan. Melebihi kari kambing yang menjadi juadah utama. Melebihi penjaga gerai sirap bandung biji selasih yang agak mempersona.

Ketika makan, saya dan beberapa tetamu biasa dilayan dengan luar biasa. Kata seorang petugas , “Nabi berdakwah selama 40tahun bilhal(dengan akhlak), ditambah 23tahun dengan kata-kata. Kita pun sepatutnya begitulah. Tunjukkan akhlak Islam. Tetamu-tetamu kehormat, kita sudah tahu keteguhan hati mereka. Tetamu biasa inilah mad’u sebenar. Kita kena layan mereka dengan baik biar teguh hati mereka di jalan orang yang mencintai Nabi SAW.”

Itulah Ustaz Adib Razib, pembantu kepada Syeikh Hafiz. Dia mengingatkan saya kepada Anas bin Malik r.a. Khadam nabi yang mewarisi dan mewariskan ilmu yang banyak .Kata Anas, “ betapa hampir sepuluh tahun aku menjadi khadam Nabi, tapi kudapati Nabi lebih banyak berkhidmat untukku.

Syeikh Yusuf Bakhour al-Kanadi, ketika tausiahnya di malam penutup menyebut, "Nabi itu sifatnya al-Halim. Al-Habib Ali Zainal Abidin selaku perantara menterjemahkannya dengan Penyantun. Justeru setiap yang mengaku mencintai Nabi pasti mewarisi sifat yang sama.

Banyak kenangan yang ingin saya ceritakan. Semuanya indah. Bercerita tentang keindahan takkan memudarkan keindahannya. Menceritakan keindahan juga takkan ada penghujungnya. Itu baru akhlak para pencinta rasul. Bayangkan, andai yang dibicarakan itu adalah makhluk yang terindah akhlaknya! Muhammad Sollalahu alaihi wa alihi wasohbihi wabaaroka wasallam.
Benarlah kata-kata Imam Bushiri:
فان فضل رسول الله ليس له حد
فيعرب عنه ناطق بفم
Sesungguhnya kelebihan Rasul itu tiada batasan
Maka semanis mungkin bibir mengungkapkan

Friday, 3 February 2012

Bismillahirrahmanirrahim..


"ingat Ust, sblm pergi settelkan keje dulu!"

Akhirnya, tiba hari terakhir saya berkhidmat di Sekolah Menengah Sri Bestari. Iaitu kelmarin. Saya mahu sebutkan yang manis-manis sahaja di sini, walaupun yang pahit itu ada. Biarlah saya pergi dengan sesuatu yang manis untuk diingat-ingatkan.
لم ار في عيوب الناس عيبا
كنقص القادرين على التمام
tak kulihat pada diri seseorang itu aib yang lebih besar
spt lemahnya orang yg sebenarnya mampu untuk sempurna


Saya akui, saya bukan guru yang terbaik, yang punya kelemahan dalam pelbagai aspek. Himmah saya, komitmen saya, sebahagian besarnya pada mempertingkatkan penguasaan ilmu agama, dan yang bakinya, mungkin pada tanbih; memberi peringatan pada perkara yang sensitif sahaja, seperti hak Tuhan dan hak Baginda s.a.w. Adapun bakinya, saya lebih banyak mendiamkan diri, walaupun saya punya banyak pendapat.

Walaupun begitu, jauh di hati kecil ini, saya masih belum begitu berjaya mendidik dan mengajar. Sebetulnya saya segan dengan guru-guru berpengalaman yang bijak menangani teknik mengajar dengan berkesan. Dengan keterbatasan sekalipun, mereka berjaya mencapai maksimum. Mungkin yang dikesalkan adalah, anak-anak buah yang menjadi mangsa percubaan saya, untuk menyampaikan sedikit pengetahuan.

Untuk anak-anak murid yang bakal dirindu, terutamanya kelas form 5 yang yang paling saya tunggu untuk masuk mengajar, kalian semua sangat istimewa. Kalian tentu akan sempurna jika Allah menghendakinya. Bila mata ini nampak banyak kekhilafan yang berlaku, rasa marah dan kesal membuak-buak. sedikitnya pada kalian. banyaknya pada orang-orang yang turut berkongsi dosa tatkala tanggungjawab mendidik kalian diabaikan.(keluarga)

Untuk rakan-rakan sekerja, staff dan kakitangan, setiap watak adalah pelakon utama yang protagonis. semuanya memainkan peranan dengan baik untuk mengindahkan cerita hidup saya. Nanti di waktu yang sangat singkat, ombak-ombak kesibukan akan menghakis istana kenangan ini. Itu lumrah. Dunia bukan sekadar tempat mengumpul kenangan. kita pendatang dengan izin yang mencari syurga dengan tiket ilmu, iman dan amal.

Terima kasih semua. semoga Allah menemukan kita kembali. kalau di dunia ini dengan sedikit kegembiraan, biarlah di tempat sesudah dunia nanti dengan penuh gelak ketawa. Ameen.

Demi Allah, di saat itu saya ingin ketawa lebih kuat dari kalian..

-tanpanamatetapsama-