Sabda Rasulullah SAW, “Barang siapa yang bercinta, dan merahsiakannya dan tidak berbuat maksiat kemudian mati, dia akan masuk syurga.” (Hadis dipetik daripada kitab Bidayah wan Nihayah karangan Ibnu Katsir)Ubat Cinta
Ada seorang lelaki kaya yang mempunyai seorang anak lelaki yang sakit tenat. Puas diubatinya tetapi tidak juga sembuh. Akhirnya beliau memanggil Harits ibn Kaladah, seorang tabib yang masyhur dari Taif.
Ibn Kaladah masuk ke kamar dan memeriksanya. Sesudah itu, beliau keluar dan meminta kepada ayah pesakit untuk menyediakan senarai nama-nama gadis di kampung itu. Ayahnya terus mengusahakannya. Setelah beberapa lama, dikirimkan nama-nama itu kepada Ibn Kaladah.
Ibn Kaladah pun masuk kembali ke kamar putera lelaki kaya itu dan dan mula membaca nama-nama gadis dalam senarainya. Sambil membaca, beliau memerhatikan wajah putera itu.
Tiba pada satu nama, wajah anak ini berubah. Ibn Kaladah pun berhenti. Dia keluar dan berkata kepada si ayah, “Cari gadis ini dan kahwinkannya dengan anakmu. Insya-Allah dia akan sembuh!”
Ayahnya pun mencari gadis yang disebutkan dan terus dipinangnya. Sebaik sahaja mereka berkahwin, puteranya pun sembuh.
Kesan Cinta
Khalifah Yazid ibn Abdul Malik pernah membeli seorang hamba bernama Habbabah dengan harga 100,000 dinar. Baginda sangat menyayangi Hababah namun begitu dengan takdir Allah, Habbabah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Cinta Yazid yang sangat mendalam menyebabkan baginda tidak sanggup mengebumikan jenazah Habbabah. Jenazahnya terbujur berhari-hari sehingga ditegur oleh saudara baginda yang bernama Maslamah. Akhirnya baginda akur dan mengebumikannya.
Disebabkan terlalu cinta, baginda sanggup menggali kubur Habbabah semata-mata untuk menatap wajahnya. Setelah dipujuk agar mengebumikannya semula, baginda setuju namun selepas itu baginda tidak keluar-keluar lagi dari biliknya. Pada hari ke-17, Khalifah Yazid meninggal dunia.
Hakikat cinta
Abu Nasir as-Sarraj berkata, “ Sesungguhnya orang yang bercinta, akan taat kepada orang yang dicintainya.”Kecintaan di sini termasuklah cintanya seorang makhluk kepada Tuhannya. Dia akan taat sepenuhnya perintah Tuhan tanpa dipersoalkan. Suami isteri yang saling mencintai juga sebegitu. Hayatilah cinta Rasulullah SAW dan Sayidatina Khadijah. Tidak kira siapa yang berada di hadapannya, Rasulullah SAW tetap akan mengenangkan Khadijah dan menceritakan kisahnya kepada mereka. Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya Allah SWT telah menanamkan rasa mahabbah di dalam kalbuku terhadap Khadijah.”
Tazkirah Habib Hasan al-Attas, susunan Waza.
No comments:
Post a Comment