Jarum jam berada antara nombor lima dan enam. Bermakna lebih kurang lima belas minit lagi akan Syuruk. Lazimnya musim sejuk Subuhnya awal lagi pendek. Tak terkejar aku dengan tidur yang lewat serta badan yang penat.
Mujurlah pagi di Mesir tak perlu bermula dengan mandi. Cukup sekadar bersugi, membasuh muka, tangan, kepala, dan kaki. Ditambah dengan niat ketika permulaan, air yang nampaknya biasa langsung menghapuskan dosa-dosa kecil manusia. Sebagaimana niat membezakan adat dan ibadat, bersugi di waktu pagi juga membezakan orang Melayu dan kebanyakan Arab
Subhaanallah, betapa Allah terlalu suka lagi ingin mengampunkan dosa manusia tetapi hambanya yang sombong ini, hatinya tiada ruang untuk memikirkan akibat sesuatu tindakan.
Semuanya sudah penuh dengan perancangan yang bakal mendatang. Apa gunanya perancangan pada yang namanya membazir dan israf. Orang merancang pada belanja. Semua sudah sedia tahu, dunia itu jambatan, mengapa sampai begitu indah kita hiaskan? Jambatan itu tempat melintas.
Orang biasa tak tidur di situ apatahlagi menghiasinya. Orang yang tidur di jambatan mungkin sebab miskin tak berharta. Jikalau tertidur, mungkin sebab letih berkereta. Pesan nabi, dengan adanya ilmu kita selamanya takkan miskin dan sesat di jambatan mahupun daratan. Dengan syarat, kita beramal dengannya.
Kelas bermula 7.15 pagi. Bermakna banyak benda yang perlu dikorbankan terutamanya tenaga. Untuk sampai ke Azhar biasanya mengambil masa 45minit. Tanpa kesesakan mungkin 20minit. Kesesakan mencuri separuh dari masa perjalanan. Kesesakan tidaklah terlalu menakutkan berbanding penantian. Nikmatnya penantian ini, hanya perindu yang memahami. Benar kita yang memulakan, tapi penamatnya bukan kita yang tentukan.
Kesesakan boleh dijangka waktunya tapi bas di Mesir tiada jadual yang tetap. Kalau awal bangkit si saaik dari jaga, belum tentu sang kumsari sudah selesai menunaikan hajatnya. Dinding-dinding batu yang memagari perhentian bas adalah mangsa. Mata dan hidung ini pula, adalah saksi yang malang.
Hebatnya mereka itu, dunia sepertiga rakyat mesir ada di tangan mereka. Kalau masa itu pedang, mereka umpama tukang besi yang degil; bisa mencorakkan pedang sesuka hati. Menariknya di mesir ini, tiada istilah samseng jalanan selain saaik dan kumsari. Mereka tak pernah tewas kecuali pada yang namanya Masriah.
Mereka masyarakat yang mengagumi sejarah. Mereka menghafal sejarah lalu hidup dengannya. Pemudanya bangga digelar Abna’u Faroinah. Ruh Cleopatra menyerap masuk ke dalam tubuh wanita Mesir sampai sekarang. Seorang isteri boleh marah dan menjerit sesuka hati. suami yang baik sekadar mendengar, walau hati menjerit tak suka. Dalam banyak benda,mereka lebih berkuasa dari lelaki.
Hakikatnya, di mana-mana zaman pun begitu. Sudah tercatat di peradaban sejarah, peranan wanita dalam membina dan menghancurkan sebuah negara. Mereka permaisuri kepada raja tapi adalah raja kepada kerajaan. Sebabnya, yang sebenar-benar raja dan menguasai diri manusia adalah hati. wanita ini diciptakan dari rusuk lelaki yang letaknya dekat dengan hati. jadi, soal-soal menundukkan hati adalah kepakaran mereka hatta ia milik seorang raja. Ahh, tasyaum lagi aku dengan wanita!
bersambung..
-tanpanama-
5-11-2009
No comments:
Post a Comment