Friday, 12 August 2011

11 Ramadan

Assalamualaikum,

Saat menulis titipan ini, masih ada satu jam lagi untuk menyempurnakan ibadah puasa hari ke 11. Ausatuhu margfirah. Apa-apa pun, permulaan pagi tadi sangat membahagiakan. Tidur sekejap seusai sahur menghadiahkan aku mimpi yang indah tapi penuh tanda tanya.

Kesannya,sejak 10 jam yang lalu, aku hadiahkan senyuman pada tiap mata yang menentang mataku. Kebahagiaan ini, sesuatu yang berbaloi untuk dikongsi;

Pada pemandu kereta yang parkingnya menghadangi jalanku, pada lampu jalan yang memerahkan punch card ku, pada guru-guru yang lazimnya memandang sinis pada kelibat seorang guru agama, juga pada pelajar-pelajar Islam yang sentiasa muram di kala kelas agama hampir bermula.

Ternyata di dunia yang mengagungkan kebendaan sebagai wasilah bahagia ini, aku tak pernah tewas dengan mereka dalam pertandingan mengukir senyum. Sainganku hanya mak cik cleaner yang menyapu di depan surau merangkap pejabatku. senyumannya yang semulajadi jadi inspirasi lantas mengiakan apa yang selama ini aku pegang.
لا تحقرن صغيرة فان الجبال من الحصى

8 jam yang lalu, ketika di kelas, seorang pelajar bertanya,

“ustaz ni kenapa ceria sangat hari ni?senyum je manjang?”
“laa, senyum pun tanya!Nabi kan suka senyum”
“no you really look different today”
“ntah la, nak kata kenyang perut, saya puasa. mungkin sebab pagi tadi kot!”
“Kenapa dengan pagi tadi, ustaz?”
“sebab pagi tadi saya ketemu bidadari. Dia senyum kat saya. Dia nak ucap sesuatu pada saya. Saya tengok mata dia bersinar-sinar. Tangan dia melambai-lambai memanggil saya..”
“Waa, so lovely! Of course she’s beautiful right? Did you really meet her,ustaz?”
Amboi, banyak tanya nampak? Dah la datang tak bawak buku?
Kalau bawak buku ustaz bagi homework. Kalau tak bawak, boleh dengar ustaz bercerite. Ust kan suka cerite. tentang syurgalah, nerakalah. ustaz cerita lah pasal bendahari yang ustaz jumpa tadi tu"
"bidadari la..korang ni, bahasa melayu memang failed la. memang sah tak tahu bidadari tu ape. meh nak cite.."
"ce citter ce citter"

Begitu la berlalunya jam-jam di kelas. Budak-budak menentukan tajuk apa perlu diajar. Budak- budak maseh mampu tersenyum bila dimarahi. Kalau senyuman dibalas senyuman, dikatanya aku nak menggatal. Kalau dileteri, aku akan segera diingatkan dengan ganjaran pahala bagi orang yang sabar.

Alahai, betapa aku tak mampu menahan mereka. kadang-kadang melintas satu kata-kata,”apa yang kamu lakukan dulu, itu jugalah yang akan dibuat oleh orang kepadamu”. Lalu, kenangan indah zaman persekolahan akan kembali berbunga.

Dulu aku selalu terkilan. Rasa putaran hidup terlalu pendek dan tak berkembang. hanya ada 2 sekolah dalam hidup ini. SKBT dan SMAASZA. 12 tahun di dua tempat. sangat mengecewakan bagi aku yang sukakan sesuatu yang baru. Tapi apakandaya, waktu itu aku masih kecil untuk menggunakan kuasa membuat pilihan.

Mesir adalah antara bumi yang memberikan seribu harapan.orang yang ingin keluar dari kepompong boleh bermula di sini. Orang yang ingin membina kepompong sendiri juga boleh bermula di sini. dengan kuasa pilihan yang ada, aku akan berubah angin dengan berpindah ke rumah yang berbeza.

tahun pertama di Kompleks pelajar Terengganu, tahun kedua di Rumah Melayu Abbasiah,tahun ketiga di Gamik, tahun keempat di rumah sewa Hayyu Asyier dan tahun terakhir(tahun kesedihan) aku merempat di rumah-rumah teman. Sepanjang 4 tahun 8bulan di sini, separuh darinya aku habiskan dengan membina kepompong sendiri(tidur).

Bila pulang ke Malaysia, aku benar-benar rasa nikmatnya kuasa membuat pilihan. Dalam masa setahun, sudah 3 sekolah jadi tempat persinggahanku. Sk taman kosas,smk taman tasik dan sekarang menunggu masa, sekolah sri bestari.

Dalam 1 jam yang berbaki ini, mimpi pagi tadi yang penuh tanda tanya terjawab sudah. Fb menafsirkannya dengan tafsiran yang cukup sempurna. ternyata senyuman itu bukan sekadar sedekah. Mata yang bersinar menyerlahkan makna kebahagiaan. Lambaian itu pula satu panggilan yang wajib untuk aku tunaikan…penyatuan dua jiwa

betapa kuasa membuat pilihan yang diagung-agungkan tadi, hilang dengan tiba-tiba. Boleh jadi ia malu dengan kesombongannya. Atau mula belajar untuk hidup lebih sederhana.

-Waza-

Saturday, 2 July 2011

sia-sia

Salam..Terbaliknya malas. Sebagaimana ungkapan salam yang melazimi bibir di awal dan akhir pertemuan , lawannya pula adalah jin yang mendampingiku . Ada banyak benda berlaku. Banyak sekali yang tak sempurna . semuanya berpunca dari malas. malas menurut kamus hidup ku bererti tak mampu, tak mahu dan tak perlu.

Aku sudah sampai kepada satu ketika yang disebut-sebut oleh PakCik Waza,
“kamu boleh cintai apa saja. Cintalah selagi ada rasa dan masa. kamu takkan bersama dengan yang kamu sukai hanya semata-mata kamu suka dengannya. kelak kamu akan lupakan jiwamu demi memuaskan duniamu. Cinta lama(hobi) akan mendatangimu sebagai beban bukan kekasih yang membahagiakan”

Ikutkan kepuasan hati, aku suka menulis, menulis dan menulis. Tapi terhalang dek malas; menurut kamus yang sama.

-waza-
happy becoming besday
..tak bersambung(malas nak sambung)

Monday, 9 May 2011


10 Mei 2011- Allah Taala menciptakan manusia dari tanah. Sifat-sifat yang ada pada diri manusia mempunyai banyak persamaan dengan sifat tanah. Dengan sifat-sifat ini, manusia akan menjalani penghidupan dan kelak setelah mati, jasad manusia akan bersatu dengan unsur asalnya. Tanah.

Pernahkah suatu ketika, di saat kamu ketawa dengan rakan-rakan, bergurau senda dengan keluarga, kamu fikirkan bahawa kamu takkan lama dengan mereka. Kamu bakal meninggalkan mereka dan mereka takkan kekal mendampingimu. Mereka bahkan tak memberi kesan padamu setelah mati dan kamu juga sama.

Pernahkan suatu ketika, kamu terfikir untuk meninggalkan sesuatu yang boleh kamu banggakan. Disebut-sebut oleh sekalian makhluk di langit. Dikenang-kenang oleh makhluk yang pelupa di bawahnya. Tak salah berbangga dan memuji diri dalam beberapa keadaan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ulamak-ulamak silam. Syeikh Ahmad al-Fathani dalam muqaddimah kitab Faridatul Faraid melakukan perkara yang sama. Cuma tujuannya takkan sama dengan barang yang terlintas di fikiran. Ia lebih dekat dengan apa yang disebut dalam Al-Quran.

“Dan adapun dengan nikmat tuhanmu maka perkatakanlah”

3tahun berlalu. Hidup ini jadi lebih realistik bila dapat menerima erti ada dan tiada. Adanya kamu tapi tak memberi sebarang guna, samalah seperti tiada. Wujudkan dirimu dengan menjadikannya bermakna kepada orang lain. sebagaimana bermaknanya orang lain pada kamu bila dia tak wujud lagi. waima orang kebanyakan mahupun orang ternama.
خيركم انفعكم للناس
Dulu, sekalian umat manusia berduka bila wafatnya Rasul agung, Muhammad SAW. Berakhirlah segala wahyu dari Allah tapi pujian terhadap Baginda tetap berpanjangan.
فان فضل رسول الله ليس له حد
فيعرب عنه ناطق بفم
Dulu, Anas ibnu malik, seorang sahabat yang pernah berkhidmat hampir 10tahun untuk nabi SAW selalu mengulangi kata-kata ini,
“sesungguhnya aku melihat nabi SAW hari baginda mendatangi kami dan aku melihatnya hari baginda dipisah dari kami. Tiada hari yang menyamai kedua-duanya. Ketika datang, bercahaya segenap ruang dan ketika hampir-hampir ia menemui tuhannya, cahaya menjadi kelam dan gelap seolah turut sama menanggung kesedihan”

Dulu, Hasan Al-Basri, tokoh Tabi’en terulung, menghembuskan nafas yang terakhir di kota Basrah. Saat itu awal bulan Rejab malam Jumaat 110 Hijrah. Besoknya, seusai solat Jumaat, seluruh jemaah mengiringi jenazahnya sehinggalah dicatatkan dalam kitab sirah bahawa tak pernah pun solat Asar dilewatkan di masjid Basrah melainkan hari tersebut, lantaran tiada sesiapa yang ada di masjid ketika itu. Itulah orangnya yang disebut-sebut selalu oleh pujangga Arab Bani Umayyah, Khalid ibnu Sofwan,
انه امرؤ سريرته كعلانبته وقوله كفعله
Dulu, di Hayyu Sabi’ (sebuah perkampungan yang tak asing bagi rakyat Malaysia di Kota kaherah), pemergian Sayid Sabik pengarang kitab fiqh al-sunnah membuatkan manusia keluar beramai-ramai memenuhi jalan. Begitu juga saat perginya syeikh Mutawalli Sya’rawi di Mansurah. Suasananya begitu sayu dan menyebakkan. Kesedihan sentiasa mengiringi kehilangan orang yang alim lagi berjasa. Terutama tempat yangmana ilmu dan ulama dibesarkan melebihi raja dan kerajaan.

Alangkah besarnya keberuntungan, andai kita menyumbang kepada turunnya rahmat tuhan. Setidaknya, jadi penyebab kepada turunnya hidayah Allah dalam jiwa seseorang. Kamu boleh tinggalkan ilmu yang kelak jadi pedoman, sedekah yang seperti sungai pada mengalirnya atau zuriat yang baik yang selalu basah bibir dengan doa.

aku masih tak mengharap banyak. motivasiku kurang, cita-citaku pun tak pernah tinggi. Cukup jika ada sedikit ole-ole untuk dititipkan ketika bertemu tuhan, raja segala raja,pemilik segala kerajaan.

-Waza-

Tuesday, 15 March 2011

خطرات

15.3.2011- Angka ini tiada ajaibnya melainkan permulaan yang baru untuk satu tempoh yang panjang. Akan kumulakan dengan cinta sebagai menyambung cinta-cinta dulu yang aku abaikan. Menulis, membaca dan merenung adalah sebahagiannya.

Sebelum lahirnya cinta ini, aku berusaha sepenuh hati. Bila aku abaikan, hati dipenuhi dengan usaha; yang tak tahu kemana hasil tuaiannya.Ssesekali bila pagi diselimuti kabus, ia tampak menyenangkan. Bila hari-hari kabus berpanjangan, kita mula mengungkit kesejukannya. begitulah aku, dalam mengejar cinta, banyak benda yang menjadi ganti namun istilah pengganti tetap takkan bertukar kepada makna yang lebih baik.

Di luar sana hujan lebat. Hujan di tengah malam. Sesekali kilat menyabung lalu terciptalah gelap yang seram. Aku di balik dalam, tidak menikmati lagi rasa itu. Cahaya malap yang ada masih mampu menampakkan bayang-bayang. Ia buatku selesa seketika.

Hujan-hujan begini, keinsafan akan datang mengaku sahabat. Aku tahu, bahawa sesungguhnya cahaya malap yang kumiliki takkan lama. Bila-bila masa ia akan padam. Aku perlukan minyak.

Bila binatang disebut حيوان(hidupan), ia menggambarkan betapa mereka itu hidup sebenar-benar hidup. Tiada kehidupan sesudah kematian. Bila pokok disebut نبات (tumbuhan), mereka menjalar meladeni sifat yang diberi. Lalu bila manusia digelar dengan انسان(lupa), ertinya mereka sentiasa berhajat kepada peringatan…Mungkin peringatan itu minyak yang kuperlu.

Aku tak perlu seseorang temankanku bila aku teringatkannya. Cuma kalau dia benar-benar seorang teman, berikan aku peringatan! -waza-

Saturday, 30 October 2010

Alhamdulillah. Semuanya baru selesai. Baru pulang dari sekolah. Baru selesai makan tengahari berlaukkan ikan singgang. Baru memijak-mijak baju di dalam baldi. Baru selesai menjemurnya. Baru mandi. Baru selesai solat dan terus memanjatkan doa.

اللهم اني اشكو اليك ضعف قوتي وقلة حيلة وهواني على الناس
انت رب العالمين وانت رب المستضعفين وانت ربي
الى من تتركني ..الى من تكلني..
الى بعيد يتجهمني ام الى عدو ملكته امري
ان لم يكن بك علي غضب لا أبالي

Perjalanan hidup yang tak menentu benar-benar membuatkan aku terkesan dengan doa ini. Doa Nabi Muhammad SAW ketika pulang dari Thaif. Sangat menyentuh hati. Dalam satu majlis di Mesir, Ustaz Amru Khalid mengulas doa ini dengan cara dan bahasa yang cukup indah. Sehinggakan Abnaul Faro'inah yang terkenal dengan sekular dan keras hati bisa mengalirkan air mata.


Setiap hari berlalu dengan semakin banyak umur semakin banyak pengalaman semakin banyak membaca semakin banyak pengetahuan semakin banyak janji semakin banyak rahsia semakin banyak ujian.

Setiap hari juga semakin kurang amalan, semakin kurang keimanan, semakin kurang kecintaan pada Rasul, semakin kurang mendampingi orang soleh, semakin kurang menghargai kitab,semakin kurang menunaikan janji semakin kurang memahami tanggungjawab.
Hipotesisnya, semakin meningkat sesuatu kebaikkan semakin merendah pula nilainya.
Segala yang beredar di orbit yang songsang ini seolah satu semboyan yang menggerunkan dari Yang Maha Kaya buat si faqir yang berlagak pencinta,

"APAKAH KAMU TELAH MELUPAKAN ALLAH DALAM URUSANMU SEHINGGA ALLAH MELUPAKANMU DALAM URUSANNYA?!¨

-waza-

Thursday, 2 September 2010

wahesytini awi-awi




Pagi ini bangun lewat. Sudah cuba untuk bangkit lebih awal tapi tak ada alasan untuk itu. merdeka bukan satu alasan. Tambahan lagi, orang yang sentiasa menyediakan alasan atas sesuatu kekurangan bukanlah orang yang baik.Teman serumah aku yang baik sudah hilang pagi-pagi lagi. Kini aku bertemankan lantai yang licin tak berbaju, dinding-dinding batu yang berwajah muram, serta hiasan-hiasan rumah yang kian terhakis sifat menghias dan adanya .

Lama merenung sudut-sudut rumah yang kaku, aku tersenyum sendiri. Ia mengingatkan aku pada kepribadian manusia.sifat malu kita seperti dinding pada hakisan atau seperti hiasan pada adanya. ia sedang dimakan oleh kulat-kulat masa.
“lamanya tempoh bagi kita yang dipenjara jadi sekejap bagi kulat-kulat yang merdeka”. Waduh, sebelum sempat menggenyeh mata, aku sudah punya satu pujangga kemerdekaan!

Teman yang paling baik adalah yang tidur di penjuru kananku. Dia lebih kuat tidur dariku. Bila aku tidur,ia akan tidur bersama,bila aku jaga, dia maseh tidur. Hanya bila aku menyapanya, ia akan segera bangun. Bercerita padaku tanpa henti, melembutkan jiwaku dengan puisi-puisi yang mengasyikkan. Tangisan,ketawa,sedih jenaka semua mampu ia lakukan. Bila aku sedih aku dakap ia ke dada. ia tadah airmataku sampai bengkak urat kulitnya. kadang-kadang ia menangis bersama. kebaikannya kadang-kadang sampai membuat aku keliru untuk berlaku saksama. Temanku ini atau aku yang lebih utama.

Yang paling kucinta namanya Shofahaat min sobril Ulama’. Kulitnya yang sawo matang menambah keistimewaan. Aku mengenalinya sudah lama tapi terlalu sibuk untuk bertegur sapa. Ramai orang jatuh cinta padanya, aku belajar mencintainya dari mereka. dia banyak bercerita padaku kisah orang dahulu mengenal erti hidup dan mengejar cinta.

Cinta yang mereka kejar sangat tulus. Memang tak lari gunung dikejar,tapi takkan datang gunung mengadap. Mereka mengembara sebulat dunia untuknya.Soal-soal cinta dan kehidupan mereka sangat susah untuk diertikan. Hidup dimulai apabila nafas sudah berhenti. Hidup yang dibelakang ini itulah hidup yang sebenarnya. Alangkah ganjilnya kata-kata ini.Jadi hidup yang sekarang ini untuk apa? Hidup dengan mengumpulkan apa yang disukai dengan apa yang tidak disukai. Hidup untuk membentang pula apa yang disukai dengan apa yang tidak disukai. Terlalu banyak dihidangkan dengan kisah-kisah pengembaraan, membuat aku susah untuk berpijak di bumi yang nyata.

Setiap saat, teman-temanku yang jujur ini seolah berbisik,


“kata-kata bukan sekadar untuk didengar!bangkitlah..kejar impianmu. Perjalananamu maseh jauh, kakimu maseh gagah, mulutmu maseh petah, hatimu maseh banyak ruang-ruang yang lapang..”

Benar, hidup jadi kosong bila kita tak punya impian. Impian bagiku bukan untuk dipenuhi. Ia sekadar penguat. Bilamana kita lemah dek impian, tinggalkan ia.Kalau tak mampu, sekurangnya kita patut sedar. Terlalu banyak impian buat dada kita sesak untuk bernafas di ruang yang lapang.

-waza-
31-8-2010

Tuesday, 10 August 2010

kekaseh yang setia..

Di desa Hulu Langat, sebuah desa yang berada di barat Semenanjung, tinggallah seorang pencari yang kelak berangan menjadi pencinta. Itulah diri ini. Desa tempat aku tinggal adalah sebuah desa terpencil di kaki gunung yang hijau, tempat itu, seolah-olah dekat dengan awan dan selalu diselimuti kabut.

Di sebelah timur desa, ada lembah yang indah. Di sana, terdapat kebun durian, manggis, cempedak, duku, langsat dan juga sayur-sayuran. Bila hujan turun, maka mengalirlah sungai yang ada di bawahnya, sehingga terdengarlah gemercik air seiring dengan sunyinya aktiviti penghuni desa. Bila terjadi banjir, dan orang ramai mendengar gemuroh air turun dari gunung, mereka hanya berdiam diri di tempat tidur mereka.


hari ini berkat kemurnian desa, hujan turun mengiringi Ramadhan. Ramadhan dan hujan antara kekasehku yang istimewa. Mereka kekaseh yang baik lagi mengerti, buktinya mereka selalu datang tanpa perlu didatangi. api kerinduan ini sudah lama membara tak menyala. Pada kalian kumohon kehangatan lalu dengan senyum semekar mampu, tangan kudepangkan lebar-lebar tanda redha. Selebar senyuman bunga saat dikunjungi pagi. Ya, kerana pagi adalah cinta si bunga.

Bertemu denganmu Ramadhan dan hujan, mengingatkanku akan kekaseh lain yang belum tiba lagi detik pertemuannya. Juga pada kekaseh yang pertemuan dengannya kini jadi mimpi yang ngeri..

Aku cintakan Allah dan Rasulnya. Aku cintakan syurga. Aku cintakan bidadari di dalamnya. Aku cintakan buku, dan aku mencintai kalian. Aku cintakan semua yang bisa mencambah kebaikan! Kalian bukti cinta tuhan. Tak salah kan untuk aku mencintai hadiah dari zat yang paling layak untuk dicintai. Aku mahu mengubah kesilapan yang lalu. Aku pernah diberi banyak benda. Aku tak hargainya sehinggalah aku kehilangan. Ia hilang dalam ada. Di depan ia tunduk membisu, di belakang ia rancak menari gembira. Hilang yang begitu, sangat menyeksakan. Justeru, bila kalian datang, aku bahagia


Suasana pagi di desa ini begitu indah. Desa ini bersama rumah-rumahnya yang rapat dan tersusun seolah-olah berbaris menyambut mentari yang bersinar. Cahaya mentari itu terus menerobos ke penjuru desa itu laksana seorang Marilyn Madeline Midoh(seorang gadis Kadazan yang mempunyai rambut yang cantik) yang melepas ikatan rambutnya dan menguraikannya di atas bahu. Aduh, kenapa dia yang mendapat nama!

Desa Hulu langat sememangnya mirip apa yang pernah dilukiskan oleh Abu Thayyib Al-Mutanabbi dalam bait-bait syairnya:

“suatu malam, gadis itu melepas tiga ikatan rambutnya. Di kegelapan malam, aku lihat seolah gadis itu mempunyai empat ikatan rambut yang hitam dan indah. Kemudian, dia menghadap kearah bulan purnama dan tiba-tiba aku melihat seolah-olah ada dua purnama yang sedang bersinar.”



Desa ini begitu semerbak. Begitu indah baunya dihiasi dengan bunga-bungaan yang harum. Desa ini ibarat taman dari sutera hijau, terlebih di musim semi. Setiap pagi, apa yang terdengar hanyalah suara merpati, nyanyian burung, irama tuwwu, dan siulan bulbul(belatuk).

Malam paling indah di desa ini adalah ketika kita tidur dalam keadaan sihat, aman dan tenteram. Sambil mendengar rintik-rintik hujan, turunnya salju dan embun, serta suara-suara titisan hujan di atas bumbung rumah. Keesokkannya, setelah hujan reda kita akan terbangun dan melihat jalan-jalan menjadi anak sungai dan lembah pun berubah menjadi sungai yang besar.

-Waza-
Ekstrak drp: ‘Asyik karya aidh qarni

Tuesday, 3 August 2010

makanlah durian dan duku



Beberapa bulan berlalu. bulan tak banyak,cuma satu. ia takkan berubah menjadi dua.yang berubah adalah warnanya. yang berubah adalah manusia yang keliru akan sinar dan sirnanya.

beberapa bulan yang satu ini, aku maseh cuba membiasakan diri.cuma, kadang2 keliru tak tahu apa yang patut dikejar. cahayanya sungguh menawan. dunia di sini selalu memujinya. bukan sekadar memuji, mereka mengejarnya. harta ,pangkat dan nama. itu tafsiran cahaya mengikut kamus hidup mereka.

aku berdiri di tengah mereka. aku pernah cuba berdiri di depan, aku langsung dihina oleh ilmuku. katanya,

"dunia takkan membawamu ke mana-mana".

aku akur lalu mengundur. sambil menunduk malu, aku mengheret kaki ke belakang. kebaikkan mula bertepuk tangan.mulanya bahagia tapi berubah menjadi suram dan sepi. belakang yang sepatutnya memberi cahaya tiba-tiba gelita. gelap memenuhi ruang sampai aku tak nampak apa-apa. Ahh, aku sudah ketinggalan!

aku teliti kalam Allah. aku halusi pesan nabi. aku tanyai para ulamak.
kata Quran,

"carilah apa yang telah diberikan Allah pada kehidupan akhirat, dan jangan lupa bahagianmu dari dunia."

kata Nabi,

"khoirul umuuri ausaatuha"
sebaik perkara adalah yang pertengahan.

kata ulamak,
"cukuplah dengan kalam Allah dan nabi. sekarang masa untuk beramal."

"manusia sekarang adalah manusia yang banyak mempersoal tapi tak pernah menyediakan bekal"


Ya Allah, kalau aku di batas yang licin, lalu tergelincir. sedang yang dijinjing adalah durian, yang dijunjung adalah duku, teguhkan hati untuk memimpin tangan menjaga duku. walaupun durian sedap, tapi aku tak tahan dengan kepanasannya nanti. duku itu walau tak berbau, tapi jangan pandang ia sebelah mata.

aku lontarkan dunia, kerana aku tahu dunia itu curang. ia tinggalkan kekasih hatinya. dunia itu penipu. ia gambarkan penjara bagai sebuah syurga.

Ya Allah, berkatilah Rejab dan Sya'banku..Sampaikan aku pada Ramadhan. ketemukan aku dengannya dengan rasa penuh rindu! Ameen!

-waza-
3-8-2010
-kebun durian, cempedak dan duku.

p/s- durian itu dunia, duku itu akhirat. makanlah dunia akhirat.

Thursday, 1 April 2010

Lamahaat Min Thoriikil Qaul



ما لذة العيش الا صحبة الفقراء
Tiada kelazatan hidup melainkan yang mendampingi si fakir

هم السلاطين والسادات والأمراء
Merekalah sultan, ketua dan pemimpin

فاصحبهموا وتأدب في مجالسهم
Bersahabatlah dan beradab dalam majlis mereka

وخلي حظك مهما قدمدمواك وراء
Lupakan bahagiannmu: yang boleh jadi kamu dahulukannya

واستغني من وقتك واحضر دائما معهم
Perkayakan waktumu dan sentiasalah mendatangi mereka

واعلام بأن الرضى يختص من حضر
Ketahuilah, sesungguhnya keredhaan itu
Khusus untuk mereka yang berdampingan

-Imam Abi Madyan Al Ghauth-

p/s-fakir di sini adalah fakir khayaali. Iaitu orang sentiasa berhajat kepada sesuatu. Dan tiadalah yang paling berhajat kepada sesuatu melainkan penuntut ilmu. wallahua'lam.