Tuesday 29 October 2013

Tetamu dan Tuan Rumah



Dalam satu majlis ilmu, saya ditanya oleh seorang wanita, “Ustaz, betulkah jika kita mengunjungi seseorang tanpa memaklumkannya terlebih dahulu itu lebih baik daripada kita memaklumkannya?” Saya terdiam lama lalu membalas, “Puan, saya tak tahu jawapannya. Apa yang saya tahu, kita dituntut agar tidak menyusahkan tuan rumah.”

Kata saya lagi, “Mungkin jika dengan tidak memaklumkannya, itu menyebabkan tuan rumah serba salah lebih baik dimaklumkan dahulu. Jika kita tahu mereka bersedia malahan jika dimaklumkan tuan rumah akan membuat persiapan yang melampau dan memberatkan diri, maka lebih baik usah dimaklumkan.”

Sekembalinya ke rumah, saya rujuk semula kitab Mauizatul Mukminin tulisan al-Qasimi yang merupakan ringkasan daripada karya agung Imam al-Ghazzali rahimahullah. Dalam bab ‘Keutamaan Menjamu Makanan’ disebutkan adab-adab dalam menjamu ada dua. Satu bahagian mengenai tetamu itu sendiri dan bahagian yang lain mengenai orang yang menyambut tetamu.

 
Tetamu- Tidak datang pada waktu makan.
Bukanlah suatu perkara sunat mendatangi seseorang pada waktu makan agar dia dapat diterima menjadi tetamu. Mendatangi seseorang pada waktu makan akan memeranjatkan tuan rumah. Itu adalah dilarang sebagaimana firman Allah SWT:
“Janganlah kamu mendatangi rumah-rumah Nabi, melainkan sesudah diizinkan untuk makan tanpa menanti-nanti makanan itu masak.”  (Al-Ahzab 33: 53)

Maksudnya menunggu-nunggu waktu makan atau menanti sampai makanan masak supaya mereka dapat makan bersama-sama.

Tetapi jika orang itu memang terlalu lapar, sengaja dia mendatangi rumah sesetengah kawan untuk mendapat sedikit makanan, tetapi tidak pula menunggu sampai tiba waktu makan, maka hal serupa itu tidaklah menjadi salah. Malah harus sebab ada semacam pertolongan kepada seorang saudara untuk mendapat pahala memberi makanan.

Demikianlah caranya para Salaf selalu lakukan. Sekiranya mereka sampai di rumah kawan tadi sedang kawannya tiada di rumah; jika dia yakin keikhlasan hati kawannya itu dan mengetahui  bahawa kawan itu akan berasa gembira jika dia memakan dari makanannya, maka bolehlah dia memakan tanpa izinnya.

Maksud keizinan di sini ialah keredhaan kawan tadi, terutama sekali pada makanan-makanan, dan perkara ini bergantung pula pada kelapangan hatinya. Allah SWT telah berfirman, “Atau di rumah kawan kamu (iaitu memakan di rumahnya).” (An-Nur 24: 61)

Berkata al-Hasan: Yang dikatakan kawan di sini ialah orang yang jiwa anda berasa senang kepadanya dan kalbu anda berasa tenang kepadanya.

Makan Tanpa Izin
Muhammad bin Wasi’ dan sahabat-sahabatnya sering berkunjung ke rumah al-Hasan, kemudian makan-minum apa yang ada dalam rumah itu tanpa keizinan al-Hasan. Apabila al-Hasan pulang, beliau terserempak dengan mereka. Beliau merasa gembira seraya berkata: “Ya, beginilah sepatutnya kita semua!”
Diceritakan lagi, ada beberapa orang telah berkunjung ke rumah Sufyan as-Tsauri, tetapi dia tiada di rumah ketika itu. Mereka pun masuk ke dalam rumah, lalu menyediakan makanan-makanan yang ada dan mereka pun makan-minum. Tidak lama kemudian, Sufyan pun kembali dan berkata: Kamu sekalian telah mengingatkan aku kelakuan para Salaf, beginilah mereka itu semua.

 
Tuan Rumah: Tidak memaksa diri dalam menghidangkan sesuatu.
Al-Fudhail berkata: Penyebab putusnya hubungan antara dua saudara, ialah jika seseorang mengundang saudaranya, dia menghidangkan makanan secara memaksa diri. Oleh itu saudaranya tidak suka datang lagi selepas undangan itu bimbang akan memberatkan.

Antara cara memaksa diri ialah dengan menghidangkan semua makanan yang ada di rumah, sehingga ahli rumah tidak dapat merasa lagi. Cara begini tentulah menghampakan hati ahli rumah yang menyediakan makanan itu.

Setengah orang berkata: Kami pergi ke rumah Jabir r.a. lalu dihidangkan kami roti dan cuka (acar). Berkata Jabir: Kalaulah tidak kerana aku dilarang daripada memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam makanan kepada kamu.

Begitulah para Salaf dahulu. Mereka sangat mengambil berat soal tetamu dan makanan. Para sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun ringan.

Kisah Al-Mahdi dan Tetamu Badwi.
Suatu hari Amirul Mukminin Khalifah Al-Mahdi dan tenteranya bersiar-siar di luar dari kota Baghdad. Al-Mahdi meninggalkan tenteranya lalu berjalan menghampiri khemah Arab Badwi dan memberi salam. Melihatkan tetamu yang datang, tanpa bertanya banyak lelaki Badwi tadi terus masuk ke khemah kemudian keluar semula dengan membawa tiga biji tamar dan secawan susu di tangan.
Orang Arab Badwi sangat memuliakan tetamu. Mereka tidak akan bertanya sesuatu tentang tetamu mereka sebelum berlalunya tiga hari. “Tahukah kamu siapa aku?” tanya Amirul Mukminin.
“Tidak,” jawab lelaki Badwi tadi. Katanya, “Aku ini sebenarnya daripada tentera Amirul Mukminin.”
“Benarkah begitu? Kalau begitu tunggu sekejap,” kata Arab Badwi tadi lalu masuk ke khemah semula. Dibawakannya sebekas tamar dan segelas susu lagi. Amirul Mukminin terus meminumnya.
“Tahukah kamu siapa aku?” tanya Amirul Mukminin semula seusai makan. “Bukankah kamu katakan tadi, kamu ini tentera Amirul Mukminin?’
“Tidak. Sebenarnya aku adalah salah seorang panglima besar dalam tentera Amirul Mukminin.”
“Oh, benarkah? Kalau begitu, tunggu sekejap..” Arab tadi kembali ke khemah dan datang dengan tamar dan susu lagi. Selepas makan, Amirul Mukminin bertanya lagi, “Tahukah kamu siapa aku?”
“Bukankah tadi kamu kata kamu panglima tentera?”
“Bukan..sebenarnya akulah Amirul Mukmin!” Terkejut lelaki Badwi tadi lalu dia terus masuk ke khemah dan memikul keluar semua tamar dan susu yang ada.
“Untuk apa semua ini,wahai Badwi?”
“Ini semua kurma dan susu yang aku ada. Ambillah semuanya, aku tak ada yang lain lagi. Aku harap selepas ini kamu tidak akan mengaku pula bahawa kamu ialah Rasulullah!!”


No comments: