Tahun 2009 telah berlalu. Aku namakannya tahun kesedihan. Namanya begitu, tak menggambarkan apa yang kurasakan sekarang. Ia adalah kesimpulan dari perasaan setahun. setelah dibanding dengan rasa yang dibentuk semenjak bertahun-tahun.
Tahun lalu adalah tahun tanpa cita-cita, tanpa harapan, tanpa perasan, tanpa banyak benda. Dalam serba kekurangan, aku tercungap-cungap. Letih menerima perkataan yang menenangkan. Dari teman dan lawan. kalau seekor pungguk bahagia dengan bulan, berjuta burung yang lainnya berkicau riang bila bulan diganti matahari. Lama mana sangat ia mampu tetap di atas dahan? Menahan telinganya yang besar itu dari cemuhan. realiti perjalanan yang menentang arus, kayu-kayu dan sampah akan dibawa sama.
Dimana bidadari adalah antara tempat pembuangan rasa. Walaupun ada sesuatu, tetap hijrahnya seperti penghijrah Ummu Qais. Nasibnya akan ditentukan. Samada penghujungnya seperti teratak waza atau rahsianya atau menunggu; sampai yang dikendong berciciran. Sampah yang terkumpul walaupun bernilai tetap sampah. Pesan orang lama, kamu datang untuk bersuci, kamu tak mampu untuk bersihkan, jangan kotorkan.
Tahun ini, aku lagi bimbang. Tiada lagi peluang untuk meluahkan perasaan di balik lembaran yang susah difaham begini. Orang-orang akan menduga perasaan lewat kata-kata dan pergerakan. Kata-kata kita akan ditafsirfaham dengan sekali dengar. Pergerakan kita akan disebut-sebut. Aku bimbang perasaan kembali berbunga, buah mulut akan kembali menguning. ia memang dilahirkan untuk berbunga dan berbuah. Musim-musim di alam realiti takkan sama dengan musim di hati.
Sungguh aku telah letih. Perjalanan ini telah mencuri separuh dari hidupku. Separuh yang lain aku tak kira. Kalau tidak kerna terlalu banyak yang telah aku bazirkan, sudah tentu aku akan meminta banyak benda. kalau sudah cukup bekalanku, selesai sudah hutangku, mahu sahaja kupinta agar semuanya terhenti di sini.
Tapi aku sedar, kematian hanyalah istirehat untuk orang yang menganggap dunia seperti penjara.Terlalu lama singgah di satu tempat kadang-kadang buat kita malas mencelik mata. Tambah pula tempat itu ada pesonanya. Persinggahan seterusnya belum tentu.
Udara walaupun bergerak pantas nampak seperti tak bergerak. Seperti kitalah. Kita telah melakukan banyak benda.kita bergerak ke sana sini. sampai berlalu satu hari, dan kita tak tahu apa yang sebenarnya kita lakukan.selama kita hidup, berapa kali kesedaran ini kita hidupkan.
Setiap kita menghirup udara itu tapi ia tak berkurang. Kerana sebanyak yang dihirup sebanyak itulah yang dilepaskan. Kalau kita pernah merancang untuk melakukan sesuatu pada masa tertentu, mungkin ada yang terlepas dari pandangan kita. Tak sempat kita lakukan taklah bermakna kita akan kehilangannya terus. Kita masih boleh menghirup udara yang sama di masa yang lain.
Kita sebenarnya memproses udara yang sama. Kalau inginkan udara yang segar, pilihlah tempat yang selesa. Asap-asap kereta, kilang, rokok mencemarkan udara. Nanti bila wap-wap udara disedut matahari, ia akan berkumpul menjadi awan hitam. Air yang sepatutnya ubat menjadi racun.
Rosaknya sistem kerana kita yang memilih untuk jadi begitu. Kita juga memilih untuk berada di situ. Bahkan kita boleh untuk tidak menjadi awan hitam. Kita boleh lari bila-bila masa yang kita mahu. Kerana kita adalah udara yang bergerak melalui angin.
Kalau udara ini tiba-tiba berhenti bergerak adakah kita terpaksa mengaut ia dengan tangan sendiri kemudian mencucuk tangan ke dalam mulut agar ia dikeluarkan kembali. Kenapa perlu berfikir tentang itu? Manusia memang suka menyusahkan diri untuk mengusahakan sesuatu yang sudah dijamin untuknya.
Menyedari bahawa udara akan sentiasa ada dan diri tak perlu berusaha sebegitu rupa untuk hidup jadi apa yang payahnya hidup ini. Boleh bernafas itu satu nikmat yang terlebih besar yang patut dihargai. Mengapa terlalu memilih dalam hidup. Mengapa? Sehingga pilihan terakhirnya adalah inginkan ia terhenti dengan sendiri..
waza
No comments:
Post a Comment