Saturday, 16 January 2010

KUDB

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi Maha Pengaseh, aku mulakan kata-kata ini. Ucapan yang bagaimana lagi harus keluar dari detikan jariku malam ini. Tahun baru mengingatkan aku akan keperluan untuk maju setapak. Ke atas untuk peringkat yang lebih tinggi. Ke depan untuk matlamat yang lebih dekat. Ke kanan untuk ruang yang lebih lapang. Tahun lalu aku pernah menterjemah kata-kata Syeikh Muhammad Ghazali dari kitab ‘Jaddid Hayatak’.

Katanya, “tak perlu menunggu tahun baru, hari lahir, atau waktu-waktu tertentu untuk berubah. Seperti kita mengemas meja tempat kita bekerja atau belajar. Kita akan menyusun buku dan fail bila sedar ia berselerak. Kertas tak berguna perlu kita buang kerana mencacatkan pemandangan. Debu-debu juga perlu dibersihkan demi keselesaan.”

Demikian juga hati. Ia terlebih patut dibersih dan dikemaskini. Ia tumbuh dengan ranting yang banyak. Pangkaslah ia dengan bentuk yang menarik sebelum membesar menjadi dahan. Bila timbul kesedaran, kita patut berubah sebelum ia tenggelam.

Tadi, aku solat di surau Kpt. Lama tak singgah di sana. Mungkin permaidani yang pernah menjadi tempat sujud itu sudah tak mengecam dahi dan hidung ini. Selesai solat, tak tahu ke mana lagi mana harus pergi. Rumah pusaka Nawwar, masjid Muhammady,cyber café Tornado, atau kedai runcit sebelahnya. Tempurung hidup semakin sempit. Entahlah..aku sudah cemuh bercakap tentang ruang!

Akhirnya aku tersandar di dinding kiri surau. Mata berpusing memerhati mata-mata lain yang memerhati mata yang lain. Tiada mata yang menentang pandangan kuyu ini. Aku hanya ingin bersedekah. Tiada siapa yang sudi menerima. Akhirnya aku tersenyum menatap tiang. Aku gantungkan padanya cermin imaginasi. Jadilah aku si gila yang bersedekah untuk diri sendiri.

Di sebelahku meja amplifier. wayar-wayar bersimpang siur disitu. Alangkah indahnya jika aku seperti wayar-wayar itu. Berebut-berebut untuk memberi kebaikan. tiap yang mendengar laungan azan itu, lalu bangkit menghadap tuhan, sudah tentu ada bahagiannya untukku. Tak berkurang walaupun satu. Nampak pelik bagi akal yang sekular tapi bagi mukmin itulah rahmat.

Aku mencapai sebuah buku berwarna putih yang mendampingi al-quran di atas meja. Buku Majdi Hilali “Asbabu Dho’fin nafsi’ memang menarik. Aku tertarik pada putihnya. Seminit membelek, aku menyimpulkan. putih adalah kulit. Quran adalah isi. Meja adalah dunia. aku adalah manusia biasa yang memandang pada putih lebih dari segalanya.

Menurutku, putih bukan sekadar hiasan yang cantik. aku pengejar ketenangan yang wujud di balik putihnya. Ia membangkit seri meja yang kusam. ketahuilah,
sesiapa yang cuba mencorakkan putih selain quran, bererti dia
melukaiku.”

Otakku ligat membuat perumpamaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. mulanya tak pasti. Akhirnya tak tahu. Kemuncaknya sekarang. Seolahnya, semua benda yang berlaku di dunia ada ada tali yang mengikatnya. aku suka jadi salah satu tangan yang mengikat kemudian kembali merungkaikan

Barangsiapa yang kenal dirinya, maka dia akan kenal tuhannya”

Ia mungkin bermula sewaktu mendengar pengajian kitab mauizatul Mu’minin karya besar Al-Qasimiey. Tok Guru Nik Aziz telah mengindahkan pengertiannya. Selepas itu, aku terbeli tafsir juzuk Amma Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan buku pendakwah terkenal Mesir, Amru Khalid lalu terbacanya pula. Penuh dengan perumpamaan yang santai lagi sampai. Begitu juga dalam kitab terjemahan Al-munthalaq. Kitab Syeikh muhammad Ahmad arrasyid walaupun bercerita tentang haraqi tetap terjumpa di dalamnya pembawakan yang sama.

Akhir sekali, tadi aku dihadiah seorang teman sebuah kitab. ‘Iman dan manusia’. Koleksi dari ‘Risalah Nur’ karya agung Bediuzzaman Syed Nursi. Kitab ini buatku terkapai-kapai di lautan bahasa. Rupanya, terlalu banyak kitab yang indah susunan katanya. Ia terhasil dari tangan pengarang-pengarang Murabbi sepanjang zaman.justeru, aku kagum dengan kehebatan mereka sekaligus kebodohan diriku.

Aku jatuh cinta pada pekerjaan ini bila aku lihat ada kepuasan padanya. aku boleh mengecilkan keluasan langit dan bumi dengan berkata,
“langit ibarat suami, bumi ibarat isteri, manusia adalah anak-anaknya.
Matahari dan hujan adalah nafkah yang dibahagi. Hasil dari gaji yang diberikan
majikan suami. Darinya, isteri menghidangkan masakan yang sedap-sedap untuk
anak-anak. "

Manusia yang baik adalah mereka yang mengenang jasa setelah kenyang. Dengan nikmat yang diturunkan dari langit dan yang ditumbuhkan dari bumi. Tubuhnya mesti berbakti pada bumi sambil tangan sentiasa menadah ke langit. Bukan bererti dia bertuhankan langit atau percaya bahawa zat yang memberi rezeki itu berada di langit. Allah itu majikan sekalian makhluk yang sekali-kali tidak bertempat.

Dia anak-anak yang baik. Dia tahu ayahnya tiada kuasa. Ibunya tiada kuasa. Yang berkuasa mesti lebih hebat dari ayahnya. Langit lambang ketinggian dan kebesaran. Lalu, dia mengangkat tangannya menadah bagi membangkit kehinaan diri dan ketinggian kuasa Allah. Dia seperti si miskin yang kelaparan. Dengan menadahkan tangan ke atas sambil meminta, dia merasa lebih pantas permintaannya diterima.

Kalam sebegini tentu akan ditentang oleh puak Wahabi yang mengatakan Allah ada di langit. Aku bukan mereka. Aku sekadar meminjam nama.

Aku juga boleh membesarkan watak manusia mengikut kesesuaian. Contohnya,
manusia umpama besi yang biasa. Iman adalah karya seni yang unik. Pasar
budaya adalah kemuliaan yang diperolehi (syurga). Kedai besi buruk adalah
kekafiran.
Bukan sesuatu yang jarang terjadi sepotong besi memiliki nilai seni dan keindahan yang sangat tinggi. Sebuah karya seni unik yang bernilai ribuan ringgit dapat lahir meskipun dari sepotong besi yang biasa. Ketika barang itu dipasarkan di pasar budaya, kemudian mereka tahu pembuatnya mahir dan terkenal, ia jadi bernilai. Tempat duduknya di dalam cermin kaca bersama perhiasan yang senilai dengannya. Adapun jika dibawa ke kedai besi buruk, maka tak seorang pun berminat untuk membeli.

Apabila cahaya keimanan bersemayam dalam diri manusia, maka seluruh pahatan yang penuh hikmah padanya dapat dibaca dengan cahaya itu. Orang beriman membacanya dengan penuh kesedaran bahkan menarik orang lain untuk membacanya juga. Seolah-olah dia berkata,
aku adalah ciptaan Sang pencipta yang Maha Mulia. Lihatlah bagaimana rahmat
dan kemurahannya terserlah dalam diriku dengan makna-makna yang luas”.
Itulah karya seni Rabbani. Jika kekafiran yang merupakan pemutus hubungan dengan Allah itu menyelinap dalam diri manusia, maka hikmah akan jatuh dalam kegelapan. Ia tak mungkin mampu ditelaah dan dibaca. Karya- karya yang tinggi itu akan pupus. Apa yang tersisa di depan mata hanyalah dinisbahkan kepada dunia dan hukum kebetulan.
Seperti mutiara yang berkilauan apabila pecah, ia jadi kaca yang tak bercahaya. Demikanlah kekafiran merosakkan hakikat kemanusiaan.

Nilai komersial sesuatu karya manusia akan selalu berbeza baik nilai estetika mahupun kualitinya. Terkadang kedua nilai itu tampak sama terkadang nilai komersialnya lebih tinggi berbanding nilai seninya. Contohnya filem keluaran barat dan sekarang. Penuh dengan kebobrokan akhlak dan ketandusan seni tapi mempunyai nilai komersial yang tinggi. Bandingkan sahaja dengan filem Majid Majdi, pengarah dari Iran. Filem seperti Children of Paradise, Colours of paradise, Father dan lain-lain. sarat dengan seni yang membudayakan.

Karya yang hebat tak perlu menyentuh sentiviti agama atau kaum. Tampilkan keindahan agama dan kaum dengan jujur. Aziz M. Osman, Erma fatima, Prof Madya, Bade azmi dan pengarah yang lain patut sedar. Nilai seni Malaysia hampir pupus. Agama jadi bahan komersial untuk menghalau hantu. Tak lama lagi, ketamadunan manusia akan diganti hantu-hantu yang tidak menakutkan.

Akhir sekali, pekerjaan ini buatku bebas menulis tentang apa. Pembaca boleh menghukum sesedap rasa. Kalau yang mengenal aku dengan jiwangnya, maka bacalah dengan nada begitu. Setelah faham, cuba bebaskan perumpamaan ini untukku;

Kalau kamu menanam ubi, jangan biar dikekoh babi
Kalau kamu membuat pagar, jangan sampai dilanggar babi
kalau kamu disentuh babi, jangan salahkan pagar dan ubi



-waza-
15-1-2010
rumah pusaka Nawaar

p/s- KUDB- Ketika Ubbiey Dikekoh Babbiey

No comments: