Wednesday, 25 January 2012

Risalah min sijjin..

Bismillahirrahmanirrahim…

Saudara, saudari, serta orang-orang yang kucinta dari golongan yang asyik dengan dunianya. Juga golongan fakir dan miskin yang sombong dengan nikmat-nikmat Allah SWT tanpa mereka sedari.

Sahabatku yang berada di kediaman yang indah, di jalan yang luas, sahabat yang sentiasa ketakutan sehingga bumi menjadi sempit kepada mereka, serta mereka yang disempitkan oleh diri mereka sendiri lalu mereka mencari tabib atau pemudahcara bagi menghilangkan dunia yang menyesakkan mereka.

Wahai orang-orang yang memiliki kemampuan untuk menetapkan perjalanan hidup mereka dengan sendiri, mampu untuk keluar masuk ke rumah serta bergerak bebas ke sana ke mari.
Wahai orang-orang yang mendiami bumi Allah yang mulia, bersedap-sedap dengan nikmat Allah dengan memiliki kebebasan serta dapat memenuhi kehendak mereka dan seumpamanya.
Wahai orang-orang yang meninggalkan kediaman dan anak-anak, lalu duduk berjauhan entah di mana tempatnya.

Aku menulis kepada kalian, warkah ini dari sangkar yang sempit di penjara usang yang menggerunkan di bawah tanah. Kutulis ia sebagai pemindahan gelodak jiwaku, keperitanku, juga impianku yang telah tersekat dari segala kebebasan dan kehendak di balik pintu hitam lagi suram, yangmana pintunya besi, tingkapnya besi,serta dikelilingi oleh hati-hati yang keras seperti besi bahkan lebih keras dari batu dan besi.

Kami di sini tanpa kesalahan yang mendakwa juga tanpa sebab yang kami ketahui, kami dihalang dari memandang siang seperti pandanganmu, merenung bulan seperti renunganmu, berhubung dengan sekalian manusia serta bergerak bebas di jalanan sepertimu.

Dari bukaan sempit di celah pintu besi kejam yang jarang terbuka di depanku, aku sebarkan pandangan. Pandanganku jatuh pada merpati-merpati yang berterbangan dan menari-nari di tempat laluan keluar masuk di bahagian hadapan. Aku lihat kedua-duanya gembira berpatukan, terbang lalu hinggap, bergerak jauh kemudian datang kembali. Dari sini juga kudengar sahutan mendayu-dayu sang helang yang bertenggek di bumbung penjara mendendangkan lagu-lagu pilu. Seolah-olahnya memberi isyarat pada dunia luar dengan berkata,

“Tempat ini tiada irama yang lain melainkan irama kesedihan, tiada lagu yang sempurna melainkan lagu pilu”

Aku terkenang akan helang yang hampir sama duduk bertenggek di atas sebatang pokok di taman tempat tinggalku. Ia juga mengeluarkan bunyi yang sama tapi bukan irama kesedihan. Aku masih ingat pada burung belatuk yang mematuk dinding rumah kami. Ia terbang ke sawah dan akan kembali dengan makanan buat anak-anaknya. Lalu ia hulurkan paruhnya ke dalam lubang yang dibuat pada dinding tanpa ragu-ragu. Kemudian ia bergegas meninggalkan tempat itu seolah-olahnya ia berkejaran dengan masa serta bimbang akan berlalunya siang.

Aku masih ingat lagi pohon Tut(pohon ulat sutera)yang cantik sekeliling taman rumah kami serta pohonan tamar yang berbuah lebat di situ. Aku memandang ke luar jendela memerhatikan rumah bapa saudaraku yang menghadap ke arah rumah kami. Tak pernah terlintas bahawa besi-besi dari tingkap sebegini yang akan mengikat kebebasan anak saudaramu ini suatu hari nanti. Hati kecilku sering bersuara:

“Betapa indahnya jika memiliki kebebasan serta dapat menunaikan kehendak diri. Betapa manisnya hidup sebagaimana yang telah diaturkan oleh Sang Pemberi dan Pencipta Kehidupan”

Aku duduk berlantaikan tanah penjara lalu kupandang pada pintu yang tertutup. Ia tak pernah dibuka melainkan ketika menghantar makanan. Seolahnya aku ini dengan sifat kemanusiaanku, dengan perangaiku, dengan peganganku tak lebih dari seekor binatang buas. Mereka mengurungnya di dalam sangkar besi yang gelap, mereka menjaga dan mengikatnya untuk menjaga manusia dari keganasannya.

Aku sekarang berada di bumi yang meruntuhkan segala helah. Di sini aku rindukan kebebasan, rindu untuk pulang, keluar bekerja, berjalan di jalanan, serta mengucapkan salam kepada manusia lain. Aku rindu pada udara yang damai, kanak-kanak yang riang berkejaran, pohon kayu yang menghijau, burung-burung yang berkicauan, peniaga-peniaga yang berteriak melariskan barang jualan mereka, kedai-kedai yang terang bercahaya, penjual kitab, pemandu teksi, pengumpul sampah, pemandu bas, serta pemeriksa tiketnya. Air mataku kembali bergenangan bila mengenang itu semua. Kukatakan pada diri,

“Betapa aku telah putus asa bila terlalu jauh ditinggalkan”

Ingatanku kembali tumpah pada rumahku yang bersih, anak-anak serta isteri yang kukasih, bagaimana mampu kulihat mereka seperti sebelumnya. Mereka di belakangku bermain-main di rumah, bebas bergerak ke mana sahaja, membuka tingkap dan pintu, masuk ke dalam bilik air dan dapur, makan apa sahaja yang mereka inginkan, mereka berada dalam nikmat yang tak terhitung. Sesiapapun takkan menyedarinya melainkan bila sudah kehilangan.

Diceritakan kepadaku pada suatu hari, ada seorang banduan yang menghidap kanser dan akan dipindahkan ke hospital setahun untuk mengubatinya. Percayalah, aku dapati dalam diriku apa rasa dengki yang amat padanya bila dia berjaya keluar dari bayangan besi ini. Jika kami mendapat tahu ada seseorang yang akan dikenakan hukuman gantung sampai mati, aku juga dengkikannya kerana dia akan bebas dari derita ini…
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Itulah antara sepuluh halaman kutaib(buku kecil) yang kugelar terjemahan. Itu hanya muqaddimahnya justeru ia seolah-olah tak punya apa-apa. Cuma kusiar sebagai ganti lelah otak yang telah diperah, serta letih tangan yang menulis.

Tak sanggup lagi rasanya untuk aku teruskan memandangkan bahasa yang digunakan penulis iaitu Akhi Nazmi Khalil Abul ‘Ato sangat tinggi. Tak terkejar aku dengan vocab yang tak seberapa, juga dengan penguasaan nahu yang lintang pukang. Tak tergamak juga aku dengan bunga-bunga bahasa yang kutambah dan kureka sendiri yang walau pada zahirnya menambah wangian tapi jelas menjejaskan keaslian.

Sebenarnya niat untuk menterjemah buku ini timbul bila terbaca blog Ustaz Saari Sungib tentang kisahnya sewaktu berada di tahanan Kamunting.

Banyak benda bermanfaat yang boleh dipelajari. Yer!bila seseorang bercakap atas dasar pengalaman,cara menulisnya lain, cara penghayatannya juga lain. Bukti paling kukuh sesuatu benda yang diluah, diucap, ditulis itu ikhlas dari hati..ia juga akan tajam menusup hati, juga mudah diambil pengajaran.

Peringatan buat diri, buatlah sesuatu sepenuh hati tapi jangan mengharap balasan, ia mungkin menusup hati cuma kita tidak perasan.

-tanpanama-
4Ramadhan1431

Friday, 18 November 2011

Assalamualaikum..

Aku ingin menulis. Gerak tangan ini selalu terhenti pada tajuknya. Mata ini akan terpaku mendongak ke atas. Kalau tak berbumbung, pandangan pasti menerjah ke langit yang luas lagi berat.

Keluasannya kurang sedepa dari keluasan nafsu manusia. Beratnya pula, walau berapa nilai yang diberikan, tetap tiada terbanding dengan kalam Zikrullah. Subhaanallah tamlaul mizan walhamdulillah tamlaani ma bainas samaa'i wala rd! Dek kerana bumbung yang menghalang, pandangan ini masih belum sampai-sampai.

Ya Allah, sampaikan aku pada satu tujuan. biar tulisanku sekarang dan sesudahnya, bukan hanya menjadi penglipurlara korup tapi bisa juga merencana hidup..

Malam ini mata tak bisa pejam. Terkenang-kenang akan pisang yang sudah berbuah dua kali. Bilalah aku perlu berhenti makan, atau kekal sehingga mati kekenyangan. Dulu, di saat menjelang Aidilfitri ia pernah terjadi dan tadi, di satu keramaian yang menghiburkan, banyak mata menjadi saksi.

Seorang non-muslim wanita menyampaikan hadiah, lalu dia mengunjukkan salam. Aku menolaknya dengan mengangkat tangan ke dada serta gaya yang seadanya. Tapi ketika mengambil hadiah, tetap dijabatnya tangan ini dan akhirnya..tergadailah beberapa prinsip yang sepatutnya dijaga.

Bagi yang biasa, ia adalah perkara biasa. Bagi yang tak biasa, ia adalah luar biasa. Aku memandangnya sesuatu yang sangat memalukan. Sangat memalukan kerana tak dapat menyatakan satu pendirian serta manggadaikan beberapa prinsip agama yang patut dipertahankan.

Satu pertanyaan mempunyai beberapa tujuan. Mungkin inginkan jawapan, mungkin inginkan kepastian, mungkin ingin berkongsi pengalaman dan mungkin juga untuk menyatakan jawapan. Aku inginkan semua. Para sahabat yang tak keliru dengan ilmunya, aku mohon pencerahan kalian.

Mata ini sangat ingin lena..Ya Allah, ampunilah hambamu ini. besok pabila terjaga, aku berjanji akan lebih berjaga-jaga!

-Waza-

18/11/2011

Wednesday, 5 October 2011


5/10/2011- Bismillahirrahmanirrahim. Hari ini Allah mendetikkan hati untuk menulis. Jiwaku aman tapi maseh tak tenang. Mungkin penghijrahan dari Istana Kota Damansara ke Teratak Aman Puri sebahagian dari alasannya.

Bagi mereka yang menganggap ketenangan itu milik orang yang hidup dalam sebuah rumah yang sunyi dari keriuhan, atau dikelilingi oleh insan-insan yang dicintai, atau memiliki segala apa yang ingin dimiliki; mereka silap. Fahaman mereka tak kurang dari fahamanku justeru jiwa mereka tak mungkin lebih selesa dari apa yang kurasa. Kosong.

Benar, aku dikelilingi oleh orang-orang yang baik. Hati,tutur,dan akhlak mereka, semuanya membantu dan membina. Kebaikan mereka padaku seperti air sirap ais pada menghilangkan dahaga, umpama air kopi panas pada mengurangkan kantuk mata, ibarat air asam jawa pada melegakan sakit tekak dan selesema.

sirap, kopi, asam jawa, walau dinisbahkan air padanya ia tetap kurang, ia bukan lagi air mutlak. Maseh suci tapi tak bisa menyucikan. Bagi yang tak biasa, untuk memahaminya mungkin memerlukan masa.

Tadi terlepas satu kelas agama. Pelajar menanti dengan harapan. Bila saja aku mendepani mereka, jelas terpampang raut wajah yang hampa,
“kenapa ustaz lewat?lama kami tunggu?sekarang dah habis masa..”

Aku hanya diam. Jauh di hati ada kekesalan tapi jauh lagi di sebalik kekesalan ada sedikit rasa teruja. Pelajar mungkin memandang ringan pada pelajaran tapi setidak-tidaknya pelajar mahu belajar. Lebih utama, pelajar tidak kurang ajar.

Satu kenyataan yang perlu kuterima,pelajar Muslim di sini memang pandai. Pendidikan Islam menurut persepsi mereka, satu subjek yang terlalu mudah untuk berjaya; dari peperiksaan dunia. Lalu tiadalah cenderung lagi hati mereka untuk menggapai bintang yang berselindung di balik awan yang muram.

Cara untuk mengikat hati mereka adalah dengan memecahkan ego yang ada. Buat mereka rasa bodoh. Ajar sesuatu yang baru, ajar sesuatu yang tiada di dalam buku. Justeru mereka terasa pentingnya hidup berguru.

Betapa ramai guru-guru di luar sana yang tak dapat merasai nikmat menjadi seorang pendidik. Masuk ke kelas seperti masuk ke reban itik. silibusnya saya tulis kamu catit, saya bersuara kamu menjerit, sya marah kamu menyampah lalu menyumpah. Akhirnya guru keluar dengan hati yang carik. Masuk dengan tasbih dan zikir keluar merintih dan berfikir,

“Ah, betapa aku sudah serik! Andai yang namanya waktu itu mampu pergi dan kembali, aku akan pastikan apa-apa yang aku usahakan dulu takkan menatijahkan aku menjadi guru!”( versi guru BM)

“saya mintak maaf. Saya telah mencuri masa awak, halalkan masa yang dibazirkan untuk menunggu saya. Hakikatnya, penantian awak jika betul kerana ilmu, ia takkan sia-sia. Penantian awak jika tak diselangi dengan kata-kata yang buruk pasti ada pahalanya. Kesetiaan awak adalah bukti kesabaran juga rupa hati awak yang sebenar. Pembaziran itu boleh bertukar menjadi satu pelaburan. Maka keberuntungan itu milik orang yang setia dalam penantiannya..fasobrun jamiiil!

من سلك طريقا يلتمس فيه علما..سهل الله له طريقا الى الجنة
Brgsiapa memilih satu jalan untuk mencari ilmu
Allah mudahkan baginya, jalan untuk menuju ke syurga

Kelas kedua juga ditakdirkan Allah ada masyaqah. seorang budak merajuk, asalnya berjalan dipaksa duduk. Kerna bising didenda berdiri. Bila disuruh duduk kembali dia tunduk menyepi.Seorang pelajar berkata padaku,

“Ustaz kena pujuk dia!”
“Aik, dia yang nakal,saya pulak yang kena pujuk!”
“Ustaz ni…patutlah tak ada orang nak, tak gentleman langsung”
“memang kena pujuk ke,saya tak pandai,saya buat sakit hati orang pandai la”
“Iyer, kena pujuk. kalau tak dia tak nak belajar dah, saya tak tahu. ustaz kena bertanggungjawab”
"ooo, rajuk pelajar macam tu eh! kalau cikgu?"
'ntah, tak nak mengajar kot?"
"bukan..tapi berhenti mengajar!

Aku menarik nafas panjang-panjang. Kalau mampu, aku ingin hembusannya nanti mengena seluruh tubuh manusia. Biar semuanya tahu tika ini ada seorang guru mewakili semua guru di dunia yang sangat kecewa dengan akhlak pelajarnya . Jika ingin teruskan,banyak benda perlu ada dan tiada. Mungkin sampai satu ketika, aku perlu tunjukkan mereka rajuk yang sebenar.

-tanpanamatetapsama-
4.30 pm at Sri bestari