Musa dan Khidir
Dalam satu kuliah
Subuh, saya menyampaikan tafsir surah al-Kahfi tentang kisah perjalanan Nabi
Musa a.s. menemui Nabi Khidir a.s. untuk menuntut ilmu. Saya mulakan dengan
satu teka-teki Imam Syafi’i, “Apakah yang nilainya lebih daripada 100 tetapi
jika dibahagi dua menjadi kurang 20?” Teka teki tak terjawab sehingga ke
penghujung. Alhamdulillah, bukti jemaah saya kurang ber’whatsup’ kerana
teka-teki ini tersebar di sana!
Pertamanya, Musa yang
dimaksudkan ialah Musa bin Imran yang merupakan seorang nabi dan rasul. Pada zaman
itu juga, ada seorang lagi Musa iaitu Musa as-Samiri yang membuat patung lembu
sembahan Bani Israel. Ada riwayat yang lemah menyatakan nabi tersebut ialah Musa
bin Mansha yang juga merupakan nabi keturunan Nabi Yusuf yang hidup sebelum
itu. Insya-Allah saya kongsikan dengan pembaca beberapa ibrah perjalanan Musa
dan Khidir ini.
Berilmu Biar
Tawaduk
Nabi Musa merupakan
nabi yang menduduki lima ranking teratas carta para nabi dan rasul manakala Nabi Khidir
pula tidak mencapai tahap seorang rasul. Sebahagian ulama berpendapat Nabi Khidir bukan
seorang nabi pun sebaliknya hanya seorang wali dan hamba Allah yang soleh.
Nabi
Musa apabila diberitakan kepadanya bahawa ada lagi hamba Allah yang lebih
berilmu daripadanya, baginda dengan tawaduknya memulakan misi pengembaraan .
Sebahagian ulama
menyatakan, secara zahirnya ilmu Musa itu bukanlah lebih rendah daripada Khidir
tapi ilmu mereka dalam bidang yang berbeza. Musa menguasai ilmu syariat tetapi
Khidir menguasai ilmu hakikat. Nabi Musa meraikan perbezaan itu serta cuba
mendalaminya, tetapi tidak berjaya.
Hari ini, ramai orang
yang tidak meraikan perbezaan dalam
ilmu. Semua ingin menjadi juara dalam semua perkara. Seorang pakar ekonomi
dengan sesuka hati memberikan komentar dalam ilmu hadis dan begitulah
sebaliknya. Ilmu sudah tidak diserahkan kepada ahlinya dan tiada rasa hormat
terhadap ilmu orang lain. Hakikatnya, semuanya boleh selesai dengan tawaduk.
Guru yang mulia,
Syeikh Yusuf Bakhour al-Hasani pernah berkata, sekarang terdapat ramai orang
yang berlagak alim dan bercakap tentang agama sesuka hati. Namun jika
diselidiki, mereka itu sangat jahil sehingga jika ditanya tentang perbezaan
tentang istinjak dan istibrak pun tidak tahu!! (jika pembaca yang membaca
tulisan ini pun tidak tahu beza kedua-duanya, hentikanlah perbuatan berlagak
alim dan segeralah mencari guru).
Empat Fatwa Songsang
Syeikh Yusuf turut bercerita tentang
empat fatwa ajaib daripada orang yang mengaku sebagai ulama sekarang.
1.
Seorang perempuan haram memasuki rumahnya melalui pintu tetapi perlu
masuk melalui tingkap. Dalilnya kerana kalimah pintu dalam bahasa Arab
(al-bab) adalah muzakkar (untuk lelaki) manakala tingkap (nafizah) adalah
muannas (untuk perempuan).
2.
Sepasang suami isteri yang makan aiskrim dalam satu bekas akan terjatuh
talaknya dan haram bersama suaminya. Ini kerana di dalam aiskrim terdapat
susu dan jika diminum bersama akan menyebabkan mereka menjadi mahram iaitu
adik beradik susuan.
3.
Memakai ‘seatbealt’ di dalam kenderaan adalah haram. Dalilnya,
perbuatan itu seolah-olah cuba melawan ketentuan Allah Taala yang
mentakdirkan kita ditimpa kemalangan dan sebagainya.
4.
Perbuatan ‘setting’ jam loceng untuk bangun Subuh adalah haram kerana kita
menjadi lebih yakin kepada jam loceng untuk membangunkan kita serta tidak
bertawakal kepada Allah. Ia mempunyai unsur syirik kepada Allah.
|
Berguru Biar
Berbekal
Dalam perjalanan
mencari ilmu, Musa bersama pembantunya Yusya’ bin Nun membawa ikan sebagai
bekal. Ada yang mengatakan ikan tersebut diasinkan dan ada yang mengatakan ia dibakar.
Tempat ikan tersebut melompat ke dalam laut itulah yang menjadi tempat
pertemuan mereka. Ia suatu petunjuk bahawa sunnah dalam menuntut ilmu itu perlu
ada bekal sama ada dari segi kewangan atau makanan. Tidak boleh semata-mata
tawakal tanpa usaha.
Benarlah syair Imam Syafi’i yang berbunyi:
أَخي لَن تَنالَ العِلمَ إِلّا بِسِتَّةٍSaudaraku, takkan tercapai ilmu kecuali dengan enamسَأُنبيكَ عَن تَفصيلِها بِبَيانِAkan kukhabarkannya beserta keteranganذَكاءٌ وَحِرصٌ وَاِجتِهادٌ وَبُلغَةٌKecerdikan, usaha, kesungguhan,bekalanوَصُحبَةُ أُستاذٍ وَطولُ زَمانِMendampingi guru serta masa yang panjang
Perbuatan Musa yang berbekal ini sekaligus
menolak pandangan sebahagian ulama sufi mengatakan kembara tanpa bekal itu
lebih baik tanda tawakal kita kepada Allah. Nabi Musa lebih mengenal Allah
serta mendapat gelaran Kalimullah pun berbekal, apatahlagi orang biasa.
Abu
Fadhl al-Jauhari menyebut pandangan yang agak berbeza. Katanya, Nabi Musa
berjalan ketika munajat empat puluh hari bertemu Tuhannya tidak perlukan
makanan (tidak lapar), namun ketika berjalan menemui manusia (Khidir) beberapa
hari sudah terasa lapar.
Kesusahan Biar
Dikongsi Bersama
Sebelum mengembara,
Nabi Musa sudah diberitahu bahawa tempat pertemuan mereka ialah di pertemuan
dua laut. Petandanya ialah ikan yang dibawa akan melompat ke laut. Ketika
berehat di atas sebuah batu besar, ikan tersebut telah melompat dan tidak
disedari Nabi Musa. Setelah menyambung perjalanannya, Nabi Musa berasa lapar
dan berkata, “Keluarkan bekal kita. Sesungguhnya perjalanan kita kali ini
sungguh sukar dan memenatkan!”
Kata ulama, ucapan itu
satu dalil bahawa harus kita mengadu dan menceritakan penderitaan, penyakit,
kemiskinan, dan lain-lain ujian yang menimpa kita. Itu tidak akan menafikan
redha kita terhadap ujian Allah ataupun menjadikan kita seorang yang melawan
takdir. Kecualilah jika kita mengadu dengan penuh rasa marah dan dengan
kata-kata yang kasar.
Kadang-kadang, seseorang itu berkongsi masalah
bukan untuk dapatkan penyelesaian cuma sekadar berkongsi semata-mata. Dengan berkongsi masalah boleh meringankan
beban di dada. Ada kalanya, jika kita
memberi jalan penyelesaian, kita pula dipersalahkan kerana tidak memahami. Justeru mungkin di sini juga hikmahnya kita
diseru agar memilih teman yang baik ketika kembara. Wallahu a’lam.
Jawapan teka teki:
surah al-Quran. Ada 114 surah tetapi jika dibahagi dua, ditengah-tengahnya
surah ke 18 iiatu surah al-Kahfi.
Majalah QA ruangan Senyum Sokmo
4 comments:
terbaik..!!
hmm..lama juga tiada update diblog ini ye..
hmm..lama juga tiada update diblog ini ye..
Iya..sudah basi
Post a Comment