Keterkaitan dalam keberkatan Ramadhan dan bulan-bulan sebelumnya terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a. daripada Rasulullah SAW yang bererti,
“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.” (Riwayat Baihaqi, Ibn Abi ad-Dunya dan Ibn Sunniy)Allah SWT menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu medan untuk membersihkan diri setelah 11 bulan bekerja, juga persediaan untuk menghadapi 11 bulan yang akan datang. Di dalamnya terkandung fadhilat yang cukup besar. Justeru amalan-amalan sebelum Ramadhan amat penting sebagai membina momentum ke arah membina Ramadhan yang lebih cemerlang.
Pertama: At-Takhalliy
Ertinya membersihkan dan mengosongkan. Inilah antara amalan yang dianjurkan ulama pada bulan Rejab. Satu bulan yang digelar bulan istigfar. Ia satu daripada empat bulan haram yang dihormati (asyhurul hurum) selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Dari segi bahasa, Rejab bermaksud memuliakan dan mengagungkan. Bangsa Arab sangat memuliakan bulan ini sehingga ada satu peribahasa Arab menyebut,
عش رجبا ترى عجبا
“Hiduplah kamu daripada Rejab ke Rejab nescaya kamu akan lihat keajaiban.”
(Diceritakan pada suatu ketika, ada seorang lelaki menceraikan isterinya. Tidak berapa lama kemudian, isterinya berkahwin dengan lelaki lain. Bekas suaminya tadi menemui lelaki yang baru berkahwin. Katanya, “Bagaimana hidupmu dengan bekas isteriku? Kata lelaki tadi, “Baik-baik sahaja. Kemudian bekas suami tadi berkata, “kamu hiduplah dengan dia daripada rejab ke rejab (setahun) kamu akan tengok keajaiban (perangai yang sebenar)..)
Orang-orang Melayu dahulu juga menyebutkan syair yang cukup indah apabila berbicara tentang bulan suci ini. Menurut mereka,
“Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, manakala Ramadan bulan menuai. Rejab menyucikan badan, Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan rohnya.. .”Pada bulan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan istigfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Hati juga perlu dikosongkan daripada sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riak, takabbur dan sebagainya. Pembersihan hati adalah langkah pertama bagi seseorang yang ingin mendapatkan kurniaan daripada Allah SWT.
Sabda Nabi SAW, “Ketahuilah dalam tubuh itu ada seketul daging, jikalau baik ia maka akan baiklah seluruh anggota. Jikalau buruk ia maka akan buruklah seluruh anggota. Ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kedua: At-Tahalliy
Al-Tahalliy bererti mengisi atau menghiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat. Setelah hati benar-benar bersih, barulah mudah untuk mengerjakan sesuatu perintah dengan ikhlas dan penuh kerelaan. Bagaimana menghiasinya? Sudah tentulah dengan ilmu-ilmu fikah berkaitan Ramadhan. Antaranya, bab puasa, iktikaf, al-quran, tarawih, sedekah dan qiamullail. Ilmu inilah yang akan menjamin kesempurnaan ibadah Ramadhan seseorang kelak.
Kadang-kadang amalan yang dilakukan, walaupun telah sempurna pada zahirnya, tetapi tetap tidak diterima Allah. Itulah amalan-amalan yang berpenyakit. Kita perlu juga mempelajari ilmu hati atau ilmu tasawuf. Imam Abul Hasan asy-Syazili berkata,
“Sesiapa yang tidak mendalami ilmu ini(tasawuf), dikhuatiri akan mati dalam keadaan melakukan dosa-dosa besar sedangkan dia tidak menyedarinya.”Dengan persediaan ilmu dan pembersihan bekas tadahannya, kita harapkan ibadah Ramdhan kita bukan sekadar sempurna menjadi bahan santapan, tetapi juga mampu membangkitkan selera juga mengenyangkan.
Ketiga: At-Tajalliy
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita mendekatkan diri secara langsung dengan Allah SWT dengan ibadah-badah sepanjang Ramadan nanti. Itulah yang dimaksudkan dengan at-Tajalliy. Ibadat yang dilakukan akan terasa manis dan tidak membebankan. Puasa bukan lagi suatu perintah bahkan satu keperluan. Seperti kata Prof Hamka,
“Apabila sudah benar-benar mengenal Allah maka ibadah-ibadah tidak lagi dilakukan tetapi dinikmati.”Allah menjadikan sesuatu perkara dengan begitu sempurna. Hikmahnya hanya dapat dibaca oleh hati-hati yang benar-benar inginkan kesempurnaan . Jika direnungi, anjuran para ulama di atas adalah sangat mendalam falsafahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap Mukmin bahawa dunia ini umpama satu medan peperiksaan besar, maka Ramadhan serta segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Muhasabah
Terkadang, ada umat Islam yang langsung tidak menyedari kehadiran Rejab dan Sya’ban kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Sedar tak sedar mereka sudah berdepan dengan Ramadhan. Tidak kurang yang menyambut kedatangan dua bulan ini dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada juga segelintir masyarakat kita yang terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaan dan kewajaran menambahkan amalan pada bulan-bulan tersebut. Orang yang paling beruntung adalah mereka yang memahami hakikat sebenar di sebalik ibadah-ibadah yang dilakukan menjelang Ramadhan lalu menunaikan hak-haknya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.Wallahu a’lam.
3 comments:
singgah sebentar,pekena kopi..
ternyata kopi yang dihirup tersangat sedap!
teruskan menulis,wahai penulis!
saje kongsi, ini artikel anis julai yang direject awal..sbb lari dri tajuk
jalan je tajuknye..ape yg larinye?
Post a Comment