Wednesday, 19 December 2012

qad kafaani..



Bismillahirrahmanirrahim..
Saat ini jam menunjukkan pukul 3.45 pagi. Aku jarang berjaga begini. Kali terakhir ketika di Mesir dahulu. Tidur lewat-lewat malam dengan bertemankan si putih. Masihkah saudaraku Ustaz Hambali memegang janji-janjinya dahulu. Berjanji untuk menjaga si putih tersayang lebih daripada apa yang mampu aku lakukan.
 Si putih sangat memahami. Dia akan nyanyikan padaku setiap malam dengan Qasidah  Qod Kafani karangan Imam Abdullah Haddad. Maha suci Allah yang memberikan ilham sebegini kepada seorang Qutub di zamannya. Banyak sekali air mata ini mengalir kerananya. Aku bisa kembali ke setiap penjuru di Rumah Pusaka Nawwar, (rumah sewa belakang rumah Selangor) lewat syair ini. 

Bait-bait kata seperti,
 
masih terngiang-ngiang dahulu, banyak kali  ketenangan ketika mendengar syair ini terganggu dengan bunyi telefon bimbit teman sebilik. 
Hoi, ada orang nak cakap dengan mung!
siapa?
ntah, cakaplah...

 Assalamualaikum.
Waalaikumussalam, siapa ni?
Ini ana...
siapa?
tak apa lah tak kenal pun. 
ada apa, ustazah tepon?
Ustaz sihat? 
Kenapa tiba-tiba tanya khabar ni?
ana dengar ustaz tak sihat?
tak sihat? mana ada. siapa yang bawak cerita ni.
ustaz dah makan belum?
kenapa tanya gitu?
Ana kasihan kat ustaz. mesti tak makan lagi kan. ana ada buat nasi ayam ngan kek. ustaz datanglah ambil yer.
err, nasi ayam..kek..kenapa nak bagi kat ana? 
saja ana masak lebih
tak payah la. k la ustazah, ana ada keja ni.
baik, maaf ganggu ustaz
salam

 tit!tit!tit!tit! telepon kawan tadi berbunyi lagi.
"salam. Ustz, ns aym tu ana ltk kt dpn rmh, ustz mkn la yer. ana doakn mga ustz  cpt smbh spt biasa."

aduii!! rohok-rohok. dah tahu makan sikit, masak je la sikit-sikit. ni nak main bagi-bagi la pulak.
bukan kau tulis dalam fb kau lapar ke?
ye ke?
iyer..
aku tulis bukan lapar nasi ayang, aku lapar kasih sayang!
tu kira satu pakej la kot. tak baik hampakan harapan orang
mu jangan buat hal, ni bagi ada makna ni!

tit!tit!tit!tit!
"salam. ustz, igt ye. kna ambk tu nnt mmbzir. bks tlng hntr smla, jngn lpa bsuh tau"

"ustzh, lain kli jngn bt lgi. nnt ana ambl, stu lagi, bekas tu tak pesan pun ana akan basuh la!

" :-) "

itulah sebahagian kenangan dahulu. malam ini aku dengarkan kembali syair lama. sudah tidak menuntun jiwa. boleh jadi hati ini sudah tak selembut dulu. boleh jadi juga iramanya tak lagi mendayu-dayu..


Tuesday, 18 December 2012


Sepanjang hidup ini, saya mempunyai beberapa catatan. Satunya, buku kecil berwarna hijau. Pada bahagian luarnya saya tampal sekeping gambar kartun dari Majalah Gila-Gila. Saya gunting dan tampal beberapa huruf yang membentuk satu frasa: Ada Apa Dengan Waza!

saya masih ingat, buku ini saya beli setelah tamat peperiksaan PMR tahun 2001. Ketika itu, saya meminati seorang budak perempuan. sebelum tamat sesi persekolahan, saya berikan buku ini kepadanya.
"Ini diari saya. tulislah nama, tarikh lahir, alamat, hobi dan makanan kegemaran awak di dalamnya, sebagai tanda ingatan." di penghujungnya saya menulis satu prinsip. 'nothing precious than friendship'.  Lalu kekallah satu dekad persahabatan itu, tidak melangkaui prinsip frienship yang tak pernah saya maksudkan.

Buku itu sekarang, setelah dua belas tahun masa berlalu, masih tersimpan usang di kampung di celahan rak buku. menjadi tatapan adik-adik dan anak-anak saudara yang pulang sekali sekala. Pantang terjumpa dan terbaca, mereka pasti berkata, "Adakah ini namanya cinta?"

Dua, blog saya yang pertama. namanya Diari Waza. Blog ini dibina ketika di bumi Mesir. bumi yang digelar ardul kinanah atau bumi sumpahan. diari ini sangat bermakna. di dalamnya ada kisah-kisah yang membahagiakan, sebagai pelajar yang dahagakan ilmu dan sebagai anak yang sarat merindu.Tak kurang beberapa kisah sumpahan, sebagai kekasih yang sentiasa cemburu juga sebagai manusia yang tercari-cari hala tuju.
sampai satu ketika, kerana  diari itu bersifat terlalu terbuka dan dibaca oleh ramai yang berfikiran tertutup, saya hapuskannya. Sekarang, apabila bergelar seorang editor, timbul secuit penyesalan di jiwa. kalaulah ia masih ada, tentu bisa menjadi buku best seller. Blog ini adalah sebahagian 'kalau' yang saya inginkan.

tiga, blog saya yang kedua. namanya Rahsia Waza. blog ini juga tak lama. saya tenggelamkannya bersama-sama rahsianya.  kapal yang tenggelam bersama muatan akan menjadi impian para penyelam. di dasarnya mungkin ada harta atau khazanah yang berharga. tapi pada kapal yang satu ini, muatannya bertaburan di merata-rata. mungkin menjadi sampah lalu membunuh ikan di lautan, mungkin menjadi lumut yang melekat di celah terumbu karang. 'segalanya maybe, wala ubaali!' (saya tak kisah)

empat, blog saya sekarang. Di Mana Bidadari. Blog ini tak dikongsi dengan sesiapa. saya penulis dan pembacanya. kebetulan jika ada pejalan kaki melintas jalan, kereta yang sedang laju akan berhenti dan memandang papan tanda. kadang-kadang mereka akan komen, "jalan ini sangat ganjil bunyinya!"
Banyak kali kaki tersadung akar, hampir-hampir kepala tersembam ke bumi. dengan bantuan tangan ini, kesakitan bisa dikurangkan. tulisan saya kerap juga menyimpang. iman memimpin geraknya.
tahun baru 2013,  blog ini tetap akan saya teruskan. hari ini saya berazam untuk menarikan jari ini, dengan tarian yang lebih rancak. dengan irama waza style, juga dengan rentak yang diredhai.Insya-Allah.

-waza-
19/12/2012

Friday, 14 December 2012

Assalamualaikum w.r.t.

Sekarang saya menulis dari ruang meja editor. Meja ini dihiasi dengan buku-buku ilmiah. Komputer ini juga dipenuhi artikel-artikel majalah. Ilmiahnya buku dan artikel di sekeliling, belum mampu menghilangkan asyik saya dengan perkara yang sedikit manfaatnya.

Hati ini sangat mudah futurnya. majalah, artikel, buku, dan segala macam maklumat yang ada tidak banyak memberikan himmah. maklumat ini mudah dibaca tapi jarang-jarang sahaja menjadi ilmu. jika menjadi ilmu, kadang-kadang sahaja menjadi amalan, jika menjadi amalan, hampir tiada yang berkekalan. kata mereka, "belajar dengan buku, gurunya adalah syaitan."

Kata orang dulu-dulu, belajar begini hanya "melepaskan batok di tangga."
mengapa batok? kata mereka, batok itu adalah gayung yang digunakan untuk mencebok air di dalam tempayan. letaknya di tepi tangga rumah. setiap kali naik rumah, batok digunakan. orang yang meletakkan batok di tangga bukan di dalam tempayan semula adalah orang malas. kerja  jarang sempurna.

Kata orang dulu-dulu lagi, belajar begini hanya "Hangat-hangat taik ayam!"
Itulah gambaran kehangatan yang saya ada. kuat baunya tapi hangatnya seketika. Kadang-kadang terfikir juga di hati besar ini, mengapa orang dulu-dulu memperkecilkan sesuatu kerja yang tidak berpanjangan dengan ungkapan ini.

Sesiapa yang pernah diberakkan ayam, pasti memahami. Tahi ayam itu hangat ketika mula-mula keluar dari pungkoknya. namun ia cepat sejuk. Adakah ayam sahaja yang tahinya begitu? Sebenarnya hampir semua tahi itu panas. habis mengapa ayam dapat nama?

Saya tahu tabiaat ayam kerana saya orang kampung. tinggal di rumah bertongkatkan tiang-tiang kayu, berdindingkan papan dan yang paling penting beratapkan zink yang sifatnya menyerap haba. Kepanasan mentari pada tengah hari akan menyelinap ke segenap ruang sehingga anggota menjadi lemah lalu terlena tanpa dipaksa.biasanya tempat tidur adalah di lambur rumah. Berbicara soal tidur, saya yang menulis lantas menguap dengan sendirinya. Subhanallah begitu hampir ia dengan saya. seperti saka yang mendampingi tuannya.

Waktu itu, ayam yang soleh akan berkeliaran di sekeliling rumah mencari tuah yang nampak di kaki. Ayam yang zalim pula akan memanjat ke bumbung atau bermain-main di tempat terlarang. Falsafah ayam sering menyebut, "Di mana bumi dipijak, di situlah aku akan berak." Kita yang sedang mamai kerana terjaga dari tidur, akan terpijak tahi ayam tadi. Silap-silap hari bulan, kita sempat merasa kehangatannya juga.

Jumaat yang mulia ini, saya menulis bukannya apa.sekadar merehatkan fikiran. menulis apa sahaja yang membujur lalu di ruang hati sebelum melintangnya dateline2 yang bisa mematahkan sendi2 yang biasanya tegak berdiri.

-waza-