Friday 29 January 2010

“Ciptalah kenangan yang halal dan enak”

Itu pesan aku pada diri sendiri. Manis atau pahit itu bukan yang utama. Itu hanya perkiraan yang boleh diubah mengikut acuan hati. Kalau hari ini kita memandang peristiwa kelmarin itu pahit, boleh jadi ia jadi manis keesokannya. Atau pahit kembali selepas itu. Peristiwa seperti masakan. Manis atau pahit kita yang tentukan. Halal atau haram, kita mengikut acuan tuhan.

Untuk menjadikan semua makanan itu enak, bukan payah. Kita perlu lidah yang peka. Sebelum makanan masuk ke kerongkong, lidah perlu meneliti bahan-bahan yang diterima. Kerongkong juga perlu peka, ada bahan yang diterima lidah tapi tak sesuai untuk perut. Lidah yang peka dapat menjaga badan dari penyakit.

Kenangan yang halal pun begitu. Ia adalah hasil dari perbuatan kita dulu dan sekarang. Ia akan disoal dan dinilai sekarang dan akan datang. Kalau dari sekarang kita berazam untuk menjauhi perkara yang haram, itulah dia kenangan yang halal untuk kita.

Banyak caranya untuk menjadikan kenangan itu jadi halal lagi indah. Yang utama semestinya takwa.takwa adalah ibu segala kebajikan. Sifat- sifat terpuji yang lain adalah anak cucunya.

Terkadang orang sekarang suka dengan ungkapan yang berprinsip atau berfalsafah. Mereka adalah kebanyakan kita yang lahir sesudah perkembangan Islam ke serata dunia. Ilmu falsafah Yunani diterjemahkan ke dalam bahasa arab dan disebarkan . kemudian muncullah beberapa sosok ilmuan islam yang mengambil peranan memurnikan ilmu ini . sampah-sampah syirik, khurafat dibersihkan sehingga sesuai digunapakai oleh orang islam. Antaranya , Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullah.Apa yang aku cuba buktikan? Sekadar mencari alas buat hamparan kata-kataku selepas ini.

Bagiku, untuk jadikan kenangan sesuatu yang enak, biar kita yang cipta kenangan itu(dengan izin Allah). Jangan biar kenangan kita hanya sebahagian kecil dari diari hidup orang lain. Ketahuilah, pelakon tambahan itu meramaikan. Pelakon jemputan pula sekadar meraikan. Jadilah pelakon utama. Kita akan punya kekuatan dalam memutuskan sesuatu.

Kita memang terikat dengan kemahuan pengarah tapi pengarah tak menghalang pelakon dari menonjolkan identiti diri. Bila kita ada kekuatan, kita akan berjalan beriringan dengan fatamorgana yang mencantikkan dunia. enak dan bahagia.

Kenangan yang enak itu sekiranya halal akan menukarkan famorgana jadi mahligai yang besar, taman yang rimbun daunnya, bidadari sebagai isteri yang suci. Di sudut matanya penuh keindahan, sebaya umurnya, sangat putih, cantik berseri wajahnya, gadis-gadis remaja, dan sekiranya bidadari ini meludah di samudera nescaya airnya menjadi tawar, kerana tawarnya air ludah bidadari. Subhaanallah!

Kita kembali kepada kisah mencipta kenangan. Bagaimana jika kita telah mencipta pelbagai kenangan yang haram? Adakah layak untuk kita mencicip perbendaharaan kenikmatan syurga yang ghaib dan misteri ini? adakah layak untuk mendampingi kekasih yang sentiasa menanti dan merindui kita di sana?

Jawab ulama’ dengan ilmu,


“ kenangan itu prestasi manusia dalam memanipulasikan nikmat tuhan. Bertaubatlah atas nikmat yang disalahguna. Kita berdosa dengan Allah dan Allah punya banyak nama.selain Ar-Rahman, Allah juga adalah At-Tawwab. Menyesallah kemudian meninggalkan dosa kemudian berazam untuk tidak mencipta kenangan sebegitu.”

Bagaimana dengan kenangan yang tidak enak? Apakah ada cara untuk memaniskannya?
Jawabku dengan pengalaman,
“Kalau kamu tak mampu mengubah sesuatu benda, ubahlah pandangan kamu terhadapnya”
Pernah sekali, aku jadi pejalan kaki yang secara tak sengaja masuk dalam cerita seseorang. Kiranya aku pelakon sampingan. Aku rasa sangat bengang sebab watak yang aku lakonkan agak banyak. Lebih banyak dari hero. Sama banyak dengan heroin. Sekali pandang, aku seperti watak utama. Itu pengakuan dari teman yang turut sama mengikuti sinetron sedih luga ini. Aku bahkan tak meminta imbuhan, tak minta dikenang jasa pun. Cuma kesal sebab heroinnya cantik!
Dulu, sebelum sinetron ini disiar, sang hero pernah mendatangiku. Heroin sembunyi di belakang. Malu. Katanya seraya memujuk,

” sebenarnya ini adalah ceritamu. Ia berlaku tanpa disengajakan. Maafkan kami kerana membuat saudara terasa ditipu.”

Mula-mulanya aku tak boleh menerima. Aku marah bagai nak rak. Aku minta dikembalikan pita asal rakaman. Semua orang tak setuju dengan tindakanku.kata mereka aku ego lagi tak dapat menerima hakikat. aku katakan pada hero,

“kamu tak tahu apa yang aku rasa! bagaimana rasanya kalau kamu ditipu begini!”
“sabarlah..aku faham perasaanmu. Aku juga pernah ditipu. Tapi aku boleh menerimanya dengan hati yang lapang,”
balas sang hero. Kata-kata itu buat aku tercabar.

Tak lama kemudian, si heroin yang cantik keluar tiba-tiba. Dia meminta maaf sampai menangis teresak-esak. Dia memujukku dengan airmatanya. Aku tersentuh atas kelembutan jiwanya tapi tetap tak peduli. Aku terus membebel tak henti-henti. Si heroin hilang sabar.

“hei, saudara! Sedarlah sikit, kamu tu hanya pelakon sampingan. Kamu muncul secara tak sengaja je pun.Kalau boleh, kami tak nak pun kamu masuk dalam cerita ini! yang sudah tu, sudah la. Tak malu betol!”

Aku terdiam. Aku pergi dan sekarang antara aku dan pelakon-pelakon dalam cerita ini telah terputus hubungan. Dulu memang ia pahit. Pantang disebut, aku terasa. Lama-lama ia manis. beban jadi sumber kekuatan. Masa jadi satu penukul yang besar yang memecahkan batu jadi debu yang suci. Bila perlu, ia yang kuguna untuk menyucikan.

Kalau ada teman yang menonton cerita tadi bertanya, aku sudah tak segan untuk berkata,
itulah cerita pejalan kaki yang yang tak sedarkan diri”

Kemudian, kami semua ketawa sesama sendiri mengenang kejahilan diri. Masing-masing punya kenangan. Semanis mungkin, mereka cuba ungkapkan.

-Waza-
28-1-2010
p/s- terima kaseh di atas kebesaran jiwamu!

Wednesday 27 January 2010

Semanis Sukkari, Setawar Sukkar

Sukari adalah sejenis limau di Mesir. Limau yang paling kusuka. Rasanya lemak-lemak manis. Harganya murah. Buahnya juga kecil berbanding Safandi(limau kulit keriput) dan Abu Surrah(limau besar). Buah ini walau kecil, manis dan murah tapi tidak berapa diminati berbanding limau yang lain. Sehingga namanya juga dilupakan oleh kebanyakan orang.

Kadang- kadang terfikir juga di hati. Yang dikatakan nikmat itu, dimana letaknya? Bukankah nikmat limau pada manisnya? Nikmat membeli pada murahnya. Adakah orang-orang yang membeli telah tersilap?

Ya, orang yang membeli semuanya bersalah mengikut seleraku. Tapi benar pada selera mereka. Selagimana selera itu tak memabukkan, mempunyai banyak pilihan, ia adalah milik semua, aku tak layak memaksa orang mengikut mahuku. Kalau ada yang mahu memaksa, berikan hak yang batil itu pada mereka, hakku adalah menikmati. Kalau mereka mendepa tangan, aku si bongkok yang menundukkan kepala.

Di Mesir, sukkar(gula) dihasilkan dari tebu dan ubi. Tebunya tawar ubinya belum pernah dirasa. Gulanya kurang manis. Kenyataan yang boleh diterima bahasa. Pepatah di sini menyebut, manis seperti ‘asal (madu) bukannya gula. Walaupun tak manis, harganya mahal membedil.

Harga sekilo gula di Mesir sekarang 5 genih illa rub’(kurang 25sen). Untuk menghasilkan seteko teh susu yang power memerlukan 8sudu besar gula, 3sudu penuh the ‘arusa, satu paket susu cair. Itu pusaka peninggalan Kamal, diturunkan daripada Haadi kepada Sham. Sanadnya rosak bila sampai kepadaku. Alasannya, perubahan zaman!

Semua orang menderita akibat serpihan bedil itu. Tiada pula yang berhenti dari membeli. Gula adalah dhoruriat, hajjiyat, dan tahsiniyyat; biarpun telah tertanggal sebahagian sifat asalnya iaitu manis.

Kehidupan sekarang banyak berubah. Satu benda yang pada suatu ketika jadi kehendak sekarang sudah menjadi keperluan. Contohnya kenderaan, telefon(selain aku), peti sejuk dan lain-lain. Boleh jadi zaman akan datang kita semakin berhajat kepada sesuatu. Atau mungkin kita kembali kepada zaman lama.kita hanya perlu air, udara, makanan, pakaian, dan tempat tinggal atau lebih kurang dari itu.

Sekarang adalah zaman yangmana kebendaan menduduki tempat tertinggi dalam jiwa manusia. Biarpun kebendaan itu membuatkan semua orang susah, tertekan, terpaksa berkorban masa, ia tetap dikejar. Kebendaan itulah gula Mesir. Mahal tapi tawar.

-waza-
26-1-2010

Wednesday 20 January 2010

iman (1)

Iman adalah cahaya yang menyinar. Ia akan menampakkan dengan jelas seluruh tulisan yang sedia ada dan tertulis dalam diri manusia. Iman juga menyinari alam semesta. Ia membuat masa lalu dan masa akan datang selamat dari gelap gelita.

Rahsianya tersembunyi dalam sebuah perumpamaan berdasarkan satu rahsia ayat yang mulia:


“Allah pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan(kekafiran) kepada cahaya(iman)...” Al-baqarah-257

Aku melihat dua buah gunung menjulang tinggi yang saling berhadapan. Di atasnya telah dibangunkan sebuah jambatan besar yang mencengangkan. Di bawahnya ada sebuah lembah yang sangat dalam. aku berdiri di atas jambatan itu dan dunia diselimuti oleh kegelapan yang tebal dari setiap arah. Hingga tak satupun benda yang terlihat.

Lalu aku menoleh ke kanan. Tiba-tiba terlihat kuburan besar yang diselimuti kegelapan yang tak berhujung. Kemudian aku menoleh ke samping kiriku. Seolah-olah aku melihat gelombang kegelapan yang begitu dahsyat. Musibah dan bencana siap untuk menerkam. Aku lalu melihat ke bawah jambatan itu, nampaklah di mataku jurang yang sangat dalam.

Ketika itu aku tak memilki sesuatupun kecuali lampu suluh yang suram. Aku pun menggunakannya sehingga terserlah pemandangan yang menakutkan. Aku melihat singa- singa, binatang buas dan liar serta bayangan seram menghantui setiap tempat.

Aku akhirnya berkata,

“seandainya aku tak memiliki lampu suluh yang memperlihatkan semua makhluk yang menakutkan itu”. Kerana ke manapun lampu itu diarahkan ia tetap menampakkan hal-hal yang mencengkam.kemudian aku menyesal dalam lubuk hati dan mengaduh seraya berkata,

“sungguh lampu suluh itu musibah dan bala terhadap diriku”.

Kemarahanku pun membara.kulemparkan lampu itu ke tanah sampai hancur sehingga dengan pecahnya ia, seakan-akan aku menekan butang lampu elektrik ajaib yang tiba-tiba menyinari alam. Sampai kegelapan itu sirna selamanya. Cahaya memenuhi setiap tempat dan arah sehingga hakikat segala sesuatu nampak jelas.

Akhirnya aku mengetahui bahawa jambatan gantung yang luar biasa itu hakikatnya adalah sebuah jalan yang membentang dari sebuah lembah yang luas. Kuburan besar yang aku saksikan di kananku adalah taman-taman yang hijau nan indah, majlis ibadah, pengabdian yang dipimpin oleh orang-orang nurani.

Sementara lembah yang begitu dalam, puncak yang menyeramkan, peristiwa aneh di sebelah kiriku tak lain hanyalah gunung yang dipenuhi pepohonan hijau yang menarik pandangan. Di belakangnya terdapat jamuan besar yang mempersonakan dan tempat rekreasi yang indah. Benar, itulah yang aku saksikan dalam imaginasiku.

Adapun makhluk yang menyeramkan itu, pada dasarnya hanyalah haiwan jinak seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing. Saat itu aku melantunkan ayat Allah Taala.
Aku pun mengulang “segala puji adalah milik Allah atas cahaya iman.” Kemudian aku pun tersedar dari lamunan yang panjang.

Demikianlah kedua gunung tersebut adalah awal dan akhirnya kehidupan. Alam dunia dan barzakh. Jambatan itu adalah jalan kehidupan. Sisi kanannya adalah masa lampau. Sisi kirinya adalah masa depan. Lampu suluh adalah egoism manusia yang angkuh serta membangga-banggakan ilmunya sehingga tidak mengendahkan wahyu dari langit. Binatang buas adalah peristiwa alam dan makhluk ajaib di dunia.

Manusia yang bergantung kepada keegoannya semata-mata akan terjerat dalam gelapnya kelalaian dan belenggu kesesatan. Cahaya lampu yang suram adalah pengetahuan yang terbatas dan menyimpang.

Ia menggambarkan masa depan bagai tempat asing yang dipermainkan oleh malapetaka dan bencana alam. Caranya denganmengembalikan masa depan kepada prinsip kebetulan yang yang buta.ia juga menggambarkan semua peristiwa dan makhluk-yang hakikatnya tunduk pada Allah Taala- bagai bintang buas yang mematikan.

Inilah bukti ayat-ayat Allah yang mulia,

“dan orang-orang kafir, pelindung-pelindungnya adalah syaitan. Yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan(kekafiran)” al-baqarah-257

Adapun jika pertolongan Allah menemui manusia, iman menemukan jalan menuju hatinya. Keangkuhan jiwa hancur serta mengikuti petunjuk Alquran. Maka hal-hal tersebut semuanya menyerupai keadaan yang ada dalam imaginasiku. Hingga alam semesta diselimuti dengan cahaya yang terang.


“Allah pemberi cahaya kepada langit dan bumi” -Annur:35

Masa lalu bukanlah sebuah kuburan yang menyeramkan seperti yang diduga. Setiap fasa dari masa lalu- sebagaimana yang disaksikan oleh mata hati- penuh dengan tugas penghambaan di bawah telunjuk seorang Rasul atau sejumlah wali yang soleh yang mengembangkan dakwah islam serta mengukuhkan tiangnya dalam bentuk yang sangat sempurna.

Tatkala ia memandang kearah kiri yang merupakan masa depan, di sebalik dahsyatnya proses perputaran hidup terdapat istana kebahagiaan syurga. Di dalamnya terdapat jamuan Allah yang dibentang luas tak berhujung.

Setiap peristiwa alam pada hakikatnya hanyalah petugas yang diperintah dan patuh. Taufan, hujan dan semacamnya yang namapak sedih dan naïf hanyalah manifestasi hikmah-hikmah Ilahi yang mulia. Kematian adalah awal dari kehidupan yang abadi dan perkuburan sebagai pintu kebahagiaan yang kekal.

Bandingkanlah sisi yang lain dengan cara seperti ini dengan menerapkan hakikat pada perumpamaan tersebut.

-waza-
20-1-2010
p/s-terjemahan Risalah Nur Bediuzzaman Said Nursi

Saturday 16 January 2010

KUDB

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi Maha Pengaseh, aku mulakan kata-kata ini. Ucapan yang bagaimana lagi harus keluar dari detikan jariku malam ini. Tahun baru mengingatkan aku akan keperluan untuk maju setapak. Ke atas untuk peringkat yang lebih tinggi. Ke depan untuk matlamat yang lebih dekat. Ke kanan untuk ruang yang lebih lapang. Tahun lalu aku pernah menterjemah kata-kata Syeikh Muhammad Ghazali dari kitab ‘Jaddid Hayatak’.

Katanya, “tak perlu menunggu tahun baru, hari lahir, atau waktu-waktu tertentu untuk berubah. Seperti kita mengemas meja tempat kita bekerja atau belajar. Kita akan menyusun buku dan fail bila sedar ia berselerak. Kertas tak berguna perlu kita buang kerana mencacatkan pemandangan. Debu-debu juga perlu dibersihkan demi keselesaan.”

Demikian juga hati. Ia terlebih patut dibersih dan dikemaskini. Ia tumbuh dengan ranting yang banyak. Pangkaslah ia dengan bentuk yang menarik sebelum membesar menjadi dahan. Bila timbul kesedaran, kita patut berubah sebelum ia tenggelam.

Tadi, aku solat di surau Kpt. Lama tak singgah di sana. Mungkin permaidani yang pernah menjadi tempat sujud itu sudah tak mengecam dahi dan hidung ini. Selesai solat, tak tahu ke mana lagi mana harus pergi. Rumah pusaka Nawwar, masjid Muhammady,cyber café Tornado, atau kedai runcit sebelahnya. Tempurung hidup semakin sempit. Entahlah..aku sudah cemuh bercakap tentang ruang!

Akhirnya aku tersandar di dinding kiri surau. Mata berpusing memerhati mata-mata lain yang memerhati mata yang lain. Tiada mata yang menentang pandangan kuyu ini. Aku hanya ingin bersedekah. Tiada siapa yang sudi menerima. Akhirnya aku tersenyum menatap tiang. Aku gantungkan padanya cermin imaginasi. Jadilah aku si gila yang bersedekah untuk diri sendiri.

Di sebelahku meja amplifier. wayar-wayar bersimpang siur disitu. Alangkah indahnya jika aku seperti wayar-wayar itu. Berebut-berebut untuk memberi kebaikan. tiap yang mendengar laungan azan itu, lalu bangkit menghadap tuhan, sudah tentu ada bahagiannya untukku. Tak berkurang walaupun satu. Nampak pelik bagi akal yang sekular tapi bagi mukmin itulah rahmat.

Aku mencapai sebuah buku berwarna putih yang mendampingi al-quran di atas meja. Buku Majdi Hilali “Asbabu Dho’fin nafsi’ memang menarik. Aku tertarik pada putihnya. Seminit membelek, aku menyimpulkan. putih adalah kulit. Quran adalah isi. Meja adalah dunia. aku adalah manusia biasa yang memandang pada putih lebih dari segalanya.

Menurutku, putih bukan sekadar hiasan yang cantik. aku pengejar ketenangan yang wujud di balik putihnya. Ia membangkit seri meja yang kusam. ketahuilah,
sesiapa yang cuba mencorakkan putih selain quran, bererti dia
melukaiku.”

Otakku ligat membuat perumpamaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. mulanya tak pasti. Akhirnya tak tahu. Kemuncaknya sekarang. Seolahnya, semua benda yang berlaku di dunia ada ada tali yang mengikatnya. aku suka jadi salah satu tangan yang mengikat kemudian kembali merungkaikan

Barangsiapa yang kenal dirinya, maka dia akan kenal tuhannya”

Ia mungkin bermula sewaktu mendengar pengajian kitab mauizatul Mu’minin karya besar Al-Qasimiey. Tok Guru Nik Aziz telah mengindahkan pengertiannya. Selepas itu, aku terbeli tafsir juzuk Amma Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan buku pendakwah terkenal Mesir, Amru Khalid lalu terbacanya pula. Penuh dengan perumpamaan yang santai lagi sampai. Begitu juga dalam kitab terjemahan Al-munthalaq. Kitab Syeikh muhammad Ahmad arrasyid walaupun bercerita tentang haraqi tetap terjumpa di dalamnya pembawakan yang sama.

Akhir sekali, tadi aku dihadiah seorang teman sebuah kitab. ‘Iman dan manusia’. Koleksi dari ‘Risalah Nur’ karya agung Bediuzzaman Syed Nursi. Kitab ini buatku terkapai-kapai di lautan bahasa. Rupanya, terlalu banyak kitab yang indah susunan katanya. Ia terhasil dari tangan pengarang-pengarang Murabbi sepanjang zaman.justeru, aku kagum dengan kehebatan mereka sekaligus kebodohan diriku.

Aku jatuh cinta pada pekerjaan ini bila aku lihat ada kepuasan padanya. aku boleh mengecilkan keluasan langit dan bumi dengan berkata,
“langit ibarat suami, bumi ibarat isteri, manusia adalah anak-anaknya.
Matahari dan hujan adalah nafkah yang dibahagi. Hasil dari gaji yang diberikan
majikan suami. Darinya, isteri menghidangkan masakan yang sedap-sedap untuk
anak-anak. "

Manusia yang baik adalah mereka yang mengenang jasa setelah kenyang. Dengan nikmat yang diturunkan dari langit dan yang ditumbuhkan dari bumi. Tubuhnya mesti berbakti pada bumi sambil tangan sentiasa menadah ke langit. Bukan bererti dia bertuhankan langit atau percaya bahawa zat yang memberi rezeki itu berada di langit. Allah itu majikan sekalian makhluk yang sekali-kali tidak bertempat.

Dia anak-anak yang baik. Dia tahu ayahnya tiada kuasa. Ibunya tiada kuasa. Yang berkuasa mesti lebih hebat dari ayahnya. Langit lambang ketinggian dan kebesaran. Lalu, dia mengangkat tangannya menadah bagi membangkit kehinaan diri dan ketinggian kuasa Allah. Dia seperti si miskin yang kelaparan. Dengan menadahkan tangan ke atas sambil meminta, dia merasa lebih pantas permintaannya diterima.

Kalam sebegini tentu akan ditentang oleh puak Wahabi yang mengatakan Allah ada di langit. Aku bukan mereka. Aku sekadar meminjam nama.

Aku juga boleh membesarkan watak manusia mengikut kesesuaian. Contohnya,
manusia umpama besi yang biasa. Iman adalah karya seni yang unik. Pasar
budaya adalah kemuliaan yang diperolehi (syurga). Kedai besi buruk adalah
kekafiran.
Bukan sesuatu yang jarang terjadi sepotong besi memiliki nilai seni dan keindahan yang sangat tinggi. Sebuah karya seni unik yang bernilai ribuan ringgit dapat lahir meskipun dari sepotong besi yang biasa. Ketika barang itu dipasarkan di pasar budaya, kemudian mereka tahu pembuatnya mahir dan terkenal, ia jadi bernilai. Tempat duduknya di dalam cermin kaca bersama perhiasan yang senilai dengannya. Adapun jika dibawa ke kedai besi buruk, maka tak seorang pun berminat untuk membeli.

Apabila cahaya keimanan bersemayam dalam diri manusia, maka seluruh pahatan yang penuh hikmah padanya dapat dibaca dengan cahaya itu. Orang beriman membacanya dengan penuh kesedaran bahkan menarik orang lain untuk membacanya juga. Seolah-olah dia berkata,
aku adalah ciptaan Sang pencipta yang Maha Mulia. Lihatlah bagaimana rahmat
dan kemurahannya terserlah dalam diriku dengan makna-makna yang luas”.
Itulah karya seni Rabbani. Jika kekafiran yang merupakan pemutus hubungan dengan Allah itu menyelinap dalam diri manusia, maka hikmah akan jatuh dalam kegelapan. Ia tak mungkin mampu ditelaah dan dibaca. Karya- karya yang tinggi itu akan pupus. Apa yang tersisa di depan mata hanyalah dinisbahkan kepada dunia dan hukum kebetulan.
Seperti mutiara yang berkilauan apabila pecah, ia jadi kaca yang tak bercahaya. Demikanlah kekafiran merosakkan hakikat kemanusiaan.

Nilai komersial sesuatu karya manusia akan selalu berbeza baik nilai estetika mahupun kualitinya. Terkadang kedua nilai itu tampak sama terkadang nilai komersialnya lebih tinggi berbanding nilai seninya. Contohnya filem keluaran barat dan sekarang. Penuh dengan kebobrokan akhlak dan ketandusan seni tapi mempunyai nilai komersial yang tinggi. Bandingkan sahaja dengan filem Majid Majdi, pengarah dari Iran. Filem seperti Children of Paradise, Colours of paradise, Father dan lain-lain. sarat dengan seni yang membudayakan.

Karya yang hebat tak perlu menyentuh sentiviti agama atau kaum. Tampilkan keindahan agama dan kaum dengan jujur. Aziz M. Osman, Erma fatima, Prof Madya, Bade azmi dan pengarah yang lain patut sedar. Nilai seni Malaysia hampir pupus. Agama jadi bahan komersial untuk menghalau hantu. Tak lama lagi, ketamadunan manusia akan diganti hantu-hantu yang tidak menakutkan.

Akhir sekali, pekerjaan ini buatku bebas menulis tentang apa. Pembaca boleh menghukum sesedap rasa. Kalau yang mengenal aku dengan jiwangnya, maka bacalah dengan nada begitu. Setelah faham, cuba bebaskan perumpamaan ini untukku;

Kalau kamu menanam ubi, jangan biar dikekoh babi
Kalau kamu membuat pagar, jangan sampai dilanggar babi
kalau kamu disentuh babi, jangan salahkan pagar dan ubi



-waza-
15-1-2010
rumah pusaka Nawaar

p/s- KUDB- Ketika Ubbiey Dikekoh Babbiey

Sunday 3 January 2010

SELAMAT TAHUN BARU

Tahun 2009 telah berlalu. Aku namakannya tahun kesedihan. Namanya begitu, tak menggambarkan apa yang kurasakan sekarang. Ia adalah kesimpulan dari perasaan setahun. setelah dibanding dengan rasa yang dibentuk semenjak bertahun-tahun.

Tahun lalu adalah tahun tanpa cita-cita, tanpa harapan, tanpa perasan, tanpa banyak benda. Dalam serba kekurangan, aku tercungap-cungap. Letih menerima perkataan yang menenangkan. Dari teman dan lawan. kalau seekor pungguk bahagia dengan bulan, berjuta burung yang lainnya berkicau riang bila bulan diganti matahari. Lama mana sangat ia mampu tetap di atas dahan? Menahan telinganya yang besar itu dari cemuhan. realiti perjalanan yang menentang arus, kayu-kayu dan sampah akan dibawa sama.

Dimana bidadari adalah antara tempat pembuangan rasa. Walaupun ada sesuatu, tetap hijrahnya seperti penghijrah Ummu Qais. Nasibnya akan ditentukan. Samada penghujungnya seperti teratak waza atau rahsianya atau menunggu; sampai yang dikendong berciciran. Sampah yang terkumpul walaupun bernilai tetap sampah. Pesan orang lama, kamu datang untuk bersuci, kamu tak mampu untuk bersihkan, jangan kotorkan.

Tahun ini, aku lagi bimbang. Tiada lagi peluang untuk meluahkan perasaan di balik lembaran yang susah difaham begini. Orang-orang akan menduga perasaan lewat kata-kata dan pergerakan. Kata-kata kita akan ditafsirfaham dengan sekali dengar. Pergerakan kita akan disebut-sebut. Aku bimbang perasaan kembali berbunga, buah mulut akan kembali menguning. ia memang dilahirkan untuk berbunga dan berbuah. Musim-musim di alam realiti takkan sama dengan musim di hati.

Sungguh aku telah letih. Perjalanan ini telah mencuri separuh dari hidupku. Separuh yang lain aku tak kira. Kalau tidak kerna terlalu banyak yang telah aku bazirkan, sudah tentu aku akan meminta banyak benda. kalau sudah cukup bekalanku, selesai sudah hutangku, mahu sahaja kupinta agar semuanya terhenti di sini.

Tapi aku sedar, kematian hanyalah istirehat untuk orang yang menganggap dunia seperti penjara.Terlalu lama singgah di satu tempat kadang-kadang buat kita malas mencelik mata. Tambah pula tempat itu ada pesonanya. Persinggahan seterusnya belum tentu.

Udara walaupun bergerak pantas nampak seperti tak bergerak. Seperti kitalah. Kita telah melakukan banyak benda.kita bergerak ke sana sini. sampai berlalu satu hari, dan kita tak tahu apa yang sebenarnya kita lakukan.selama kita hidup, berapa kali kesedaran ini kita hidupkan.

Setiap kita menghirup udara itu tapi ia tak berkurang. Kerana sebanyak yang dihirup sebanyak itulah yang dilepaskan. Kalau kita pernah merancang untuk melakukan sesuatu pada masa tertentu, mungkin ada yang terlepas dari pandangan kita. Tak sempat kita lakukan taklah bermakna kita akan kehilangannya terus. Kita masih boleh menghirup udara yang sama di masa yang lain.

Kita sebenarnya memproses udara yang sama. Kalau inginkan udara yang segar, pilihlah tempat yang selesa. Asap-asap kereta, kilang, rokok mencemarkan udara. Nanti bila wap-wap udara disedut matahari, ia akan berkumpul menjadi awan hitam. Air yang sepatutnya ubat menjadi racun.

Rosaknya sistem kerana kita yang memilih untuk jadi begitu. Kita juga memilih untuk berada di situ. Bahkan kita boleh untuk tidak menjadi awan hitam. Kita boleh lari bila-bila masa yang kita mahu. Kerana kita adalah udara yang bergerak melalui angin.

Kalau udara ini tiba-tiba berhenti bergerak adakah kita terpaksa mengaut ia dengan tangan sendiri kemudian mencucuk tangan ke dalam mulut agar ia dikeluarkan kembali. Kenapa perlu berfikir tentang itu? Manusia memang suka menyusahkan diri untuk mengusahakan sesuatu yang sudah dijamin untuknya.

Menyedari bahawa udara akan sentiasa ada dan diri tak perlu berusaha sebegitu rupa untuk hidup jadi apa yang payahnya hidup ini. Boleh bernafas itu satu nikmat yang terlebih besar yang patut dihargai. Mengapa terlalu memilih dalam hidup. Mengapa? Sehingga pilihan terakhirnya adalah inginkan ia terhenti dengan sendiri..

waza

surat jiwang terakhir untuk bidadari

Assalamualaikum,

Apa agaknya khabarmu di sana? angin sekarang begitu dingin untuk bercerita padaku. Burung-burung juga tak pantas untuk menjejakimu. Kamu terbang lebih tinggi dari mereka. Sekali sayapmu mengerbang, bumi langsung gelap terpenuh dengan bayang-bayang.

Sungguh, aku sudah tawarkan semua kemanisan yang ada. Antara aku dan kamu sudah ada pagar tanpa pintu. Aku palitkan pada dindingnya racun-racun yang berbisa. Bersinar-sinar ia bila dipanah mentari. Ulat-ulat bulu sudah berhenti melaungkan cinta. Sebahagiannya mati keracunan, sebahagian yang lain berjaya melepasi; terbang menjadi kupu-kupu rindu.

Di syurga mana kamu beradu? Mungkinkah kamu di tempat terbit mentari? Angin di sana bisa bersatu dengan kulitmu. Dengarnya sekarang sakura di situ maseh segar dan kembang. Di sini, usahkan bunga. Daun yang hijau pun sudah menyenangkan. Kamu memang beruntung.

Ceritakanlah padaku, untuk apa kamu ke sana? Kalau benar kamu sudah tak punya masa untuk bercerita soal pesona, khabarkan sahaja baunya. Antara sakura dan kamu mana lebih wangi? Semestinya kamu. Keindahan sakura hanya diungkap di bibir-bibir manusia. Pujian dari manusia bermusim. Bila musim gugur, pujian jadi seperti sampah.

Wangiannya? kalau hidung boleh berkata-kata, tentulah ia takkan memuji. Mana mungkin ada wangian yang setanding kasturi. Mata dan hidung bukan seperti bibir. Bibir itu makhluk yang ditolak menyaksiannya. kelak, bibir sekadar ternganga. Yang akan bercerita tentang hidup adalah yang menjalankan kehidupan. Tangan, kaki,telinga, hidung, mata, dan sekalian anggota.

Tapi kamu, bidadariku sayang! Keindahanmu adalah janji tuhan. memilikimu juga adalah sebahagian dari perjanjian. Kamu milik;

-orang-orang yang bangkit di hujung malam untuk berbicara dengan zat yang mengerti segala bahasa,
- orang yang bangkit di awal pagi untuk bekerja lalu tawakkal dengan zat yang empunya segala rezeki,
-milik orang yang bangkit dari kelalaian lalu memperbaharui perjanjian di depan zat yang keampunannya mengatasi kemurkaan.

Kamu milik orang yang setia pada janji. justeru, Allah melebihkan manusia dengan mengikat perjanjian. Allah tidak mengharap apatahlagi kerugian. Semuanya kerana zatNya yang Maha Pengaseh lagi Maha Penyantun. Allah suka hambanya membersih hati dengan berdoa dan meminta ampun.

Bidadari-san,
Begitukah panggilan untukmu sekarang? khabarnya, orang sana gemar memanggil begitu. Eloklah. Tapi ingat, jangan sekadar nama tapi pinjamlah semangat. Orang sana hidup dengan semangat. Mereka telah maju. Mereka tak ada agama. Mereka tidak bahagia. Untuk seperti mereka, pastikan tiada ruang antara masa dan perasaan. Engkau telah buktikan. Untuk lebih dari mereka, ciptakan dimensi keempat. Ibadat. Semangatmu nanti kalau melarut bersamanya, pasti lebih sempurna.

Disini bagaimana? Alhamdulillah. Aku maseh lagi hidup. aku maseh dalam kembara yang tak pernah selesai. Kamu maseh teman kembaraku. Bertemankan kamu, kembara kita sampai ke mana-mana. Aku mampu kembali ke masa lalu dan pergi ke masa akan datang. Gantinya, dua pertiga dari masa sekarang. Bila terjaga, kamu jadi mimpi yang ngeri.

Waalaikumussalam. ini siapa? pertanyaan yang cukup menenangkan. Diammu menyentap hati. sekali sekala, aku terpaksa menjadi pencuri. bicaramu umpama bulu-bulu yang menyelimutkan anak mata. Kelembutanmu bukan dibuat-buat. Kamu adalah bidadari yang menari riang.

Kamu tahu, hari ini seorang gadis tersenyum padaku. Taklah berapa manis senyuman itu. kelihatan biasa sahaja tapi bibirnya mengingatkan aku pada ulas Safandi(sejenis limau di mesir) milikmu. Dia nampak pendiam. Tika bersama kawan-kawan dia tidak banyak bercakap.

Sewaktu ketemu, ada wayar-wayar putih keluar dari tudungnya, ia menjulur sampai ke telapak tangan. Di situlah jari jemarinya yang gebu dari tadi tak berhenti-henti menekan butang. Barangkali dia sedang bermain game sambil mengulang al-quran.

Bidadari-san,
Katakan padaku, apakah berdosa memiliki hati yang mudah jatuh cinta? Kalau kupandang sepuluh gadis, semua buatku terpikat dan suka. Kalau tiba-tiba pandangan itu berakhir dengan senyuman, pandangan tadi cepat menghantarnya ke otak dan menafsirkannya sebagai cinta. Otak akan segera mengarahkan mata untuk terus memandang dan begitulah seterusnya. Keserasian otak dan mata dalam soal ini benar-benar membimbangkan.

Ketika ketemu, dia memakai baju kurung merah,bertudung gelap separa labuh. Itu tidaklah menarik perhatian sangat kalau dibandingkan kasut yang dipakainya. Kasutnya berwarna biru. Serupa dengan kasut yang biasa kupakai untuk berjoging setiap pagi. Langsung tak cocok dengan baju kurung miliknya. Nampak janggal.

Dia duduk di kerusi batu setentangku. Antara aku dengannya kira-kira dua meter jarak yang memisahkan. Ada sebuah meja kecil di tengah-tengah. Gunanya untuk mengisi borang. Kita tak pernah sedekat itu, kan? kata-kata mungkin pernah mengikat kita. ia pernah memenuhi ruang udara. Aku bernafas dan menulis dengannya. kamu sesak lalu mula menyusun meja.

Di kerusi panjang yang sama, ada kira-kira enam orang yang duduk menanti giliran. Bila sahaja dia datang,kelibat yang lain langsung kabur.wajah yang menyamping jadi pucat dan muram. Ah, auranya menenggelamkan teman-teman. Tapi kalau ada kamu, bara sepertinya tentu terpadam bersama abu.

Bila duduk,kakinya tak boleh diam.lagaknya seperti budak-budak yang sedang enak menikmati aiskrim. dia memang kebudak-budakan. aku terperasan sesuatu, dia memakai seluar jean biru di sebelah dalam. Aku tersenyum seorang. Senyuman yang jahat ini membuatnya tersipu malu.Aku sedar dia turut merasai kewujudan aku di situ.

Kamu tahu, dia seperti seseorang yang aku kenal di alam maya. Ringan sahaja mulut ini untuk bertanya tapi jarak yang dekat itu seperti jauh bila dikali bahagi dengan tebal maluku. Agak lama zaman yang tak selesa ini berlalu. Aku berlagak setia pada buku di tangan sambil cuba mencari jawapan dengan mencuri pandang.

Seorang teman memanggil namanya dengan tiba-tiba. Suara itu dari arah kiriku. Lalu dia berpaling ke sebelah kanannya. Ya, asyan kami duduk bertentangan. Ternyata firasatku tak sesat. Nama itulah yang aku berikan untuknya ketika pertama kali pandang.Tapi dia lain yang aku gambarkan sebelumnya. Orangnya lebih tenang lagi menyenangkan. Tak sangka, ada juga rupa yang lebih indah dari perkhabaran.

Dia ditanya temannya tentang sesuatu. Dia pun kelihatannya menjawab sesuatu.Di tangannya ada sebuah buku. Tajuknya kelihatan memeningkan. Jawapannya tentu lebih memeningkan. Aku tak faham kerana mungkin tak sealiran.

Bidadariku sayang,Ini adalah surat terakhir. Aku bercerita padamu bukan untuk meraih cemburu atau simpati. Tiada bangga padanya. aku sekadar mencipta ruang untuk berkongsi dengan pemerhati yang mendiam diri.

-waza-