Thursday 23 May 2013

Kembara ke Bumi Nepal (2)



 Terngiang-terngiang juga di telinga saya satu pesan Nabi yang diajarkan oleh Habib Muhammad as-Saqqaf, “Kalau menaiki tempat tinggi atau ketika kapal terbang berlepas, sunat menyebut Allahu Akbar. Jika menuruni bukit atau ketika kapal terbang mendarat, sunat menyebut Subhanallah." Di mana sahaja kita pergi, pastikan Allah ‘dibawa’ bersama.

Saya kongsikan kekaguman itu kepada seorang sahabat dari Nepal yang bekerja di Hotel Hyatt Regency, tempat saya menginap. Namanya Annal Kumar. Katanya, “Kamu beruntung, aku sendiri seumur hidup tak pernah melihat Gunung Everest dari dekat. Aku tidak rasa pun ia sesuatu yang hebat. Bagiku, pantai-pantai yang ada di Malaysia lagi cantik.”

Upacara Pembakaran Mayat
Tak sah kalau mengunjungi negeri kelahiran Gautama Buddha ini jika tidak mengunjungi Kuil Pashupatinath. Kuil ini adalah salah satu antara tempat paling suci bagi masyarakat Hindu di seluruh dunia. Hanya orang Hindu yang dibenarkan masuk. Non-Hindu dibenarkan berada di seberang sungai.

 
Dari jauh, kami melihat upacara pembakaran mayat diadakan. Bau asap mayat menusuk lubang hidung. Suasana yang agak menakutkan dengan awan berarak mendung dan pekikan daripada keluarga si mati kedengaran di mana-mana. 

Mengikut budaya Hindu, anak lelaki sulung yang akan melakukan upacara pembakaran mayat kemudian abu akan dicampakkan ke dalam sungai. Setelah selepas upacara, si anak tadi akan membuka pakaiannya lalu mandi di satu kawasan di situ. Seminggu sebelum berangkat ke sini, saya juga kehilangan ayah tercinta. Dalam hati saya terfikir, “Syukurnya aku dilahirkan Islam!”

Rahmatnya Islam, manusia dimuliakan sehinggalah saat kematian. Haram kita menyakitkan mayat apatah lagi membakarnya. Makruh bagi wanita menghantar jenazah ke kubur. Haram berpekik melolong meratapi jenazah (an-niyahah) seolah-olah tidak dapat menerima qada’ dan qadar Allah. Dan yang lebih penting, tiada syarat anak lelaki perlu menanggalkan pakaian selepas menyempurnakan pengebumian. 
 
Menurut pengiring kami Mr. Shusil Nepal yang beragama Hindu, setiap waktu akan ada sahaja mayat akan dibakar di situ. Sebelum ini, kerajaan pernah mengusulkan pembakaran secara krematorium seperti kebanyakan negara moden tetapi kebanyakan ‘ulama-ulama’ Hindu di Nepal membantahnya.
Bagi mereka, pembakaran sebegini akan menyebabkan mayat itu tidak mendapat ‘samsara’ atau disebut sebagai dihidupkan semula (reincarnation). Ini kerana abu tersebut perlu dicampak ke dalam Sungai Bagmati yang mengalir lesu terus ke Sungai Gangga.

Saya perasan sesuatu pada pengiring kami ini. Dia seorang yang sangat berbudi bahasa. Iya, seperti kebanyakan masyarakat Nepal yang kami temui sepanjang perjalanan. Ketika memasuki masjid, dia sama-sama beriktikaf di dalamnya. 
 
Lebih daripada itu, setiap kali dia bercerita tentang tuhan-tuhannya, dia akan berkata, “Menurut kepercayaan nenek moyang kami...” Seolah-olahnya dia sendiri seperti tidak yakin dan menganggapnya satu kepercayaan nenek moyang. Selaku seorang Islam, saya sentiasa berdoa agar dengan kebanjiran pelancong Islam ke Nepal, masyarakat di sana akan lebih tertarik dengan Islam.

Monday 13 May 2013

Mengembara ke Nepal (1)


Kata orang, kita selalunya susah menghargai apa yang ada di samping. Apabila ia hilang, barulah kita terasa keberadaannya dan betapa ia sangat penting. Mungkin itu sebabnya kita dianjurkan agar banyak mengembara. Biar dapat merasai sukarnya hidup di bumi orang lalu dengan sebaik mungkin nikmat di tempat sendiri kita syukuri. 
Imam asy-Syafi’i setelah berumur 40 tahun dia keluar berkelana bersama khadamnya. Apabila ditanya mengapa, ia menjawab, “Untuk mengingatkan diriku bahawa aku seorang pengembara.”
bersarapan chipsmore di dalam fokker..mase ni baru 6.30 pagi
Baru-baru ini saya berpeluang mengembara ke bumi Nepal. Sebuah negara yang agak mundur tetapi penuh dengan khazanah budaya, agama dan alam. Apa yang terbayang di otak saya hanyalah lakaran ‘bumbung dunia’ iaitu banjaran Himalaya serta gunung Everest. Kisah Raja Zulqarnain dan Yakjuj dan Makjuj yang tercatat di dalam surah Kahfi ayat 93 membuatkan saya amat teruja untuk datang ke sini. 

“Sehingga apabila dia sampai dia antara dua gunung, dia mendapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak memahami perkataan. Mereka berkata, "Wahai Zul-Qarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"
  
melihat dari pit hadapan tsebelah pemandu
Ada sesetengah pengkaji mendakwa dua gunung yang dimaksudkan ialah Gunung Chatkal dan Gunung Fergana yang terletak di sekitar kawasan pergunungan Himalaya, Asia Tengah. Tempat tembok dibina disebut Lembah Fergana manakala bangsa Yakjuj dan Makjuj ialah bangsa Scythian Asiatik dan Scythian Eropah yang mendiami kawasan tesebut. (Alexander Adalah Zulqarnain oleh Muhammad Alexander)
 
tersenyum melihat pekerja yang mukanya macam orang Melayu
Saya berpeluang menaiki kapal terbang Fokker ‘Buddha Air’ untuk melihat pemandangan indah pergunungan Everest dari dekat. Perjalanan tersebut walaupun hanya sejam tapi benar-benar mengesankan. Subhanallah, gunung-gunung yang sebegini tinggi dan kukuh mengingatkan  saya akan dialog Allah di dalam surah al-Azhab ayat 33,  
"Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil." 

Terngiang-terngiang juga di telinga saya satu pesan Nabi yang diajarkan oleh Habib Muhammad as-Saqqaf,...apakah sunnah tersebut? dapatkan majalah Q&A bilangan 19 kisah seterusnya!!haha..

Monday 6 May 2013

kapsul kitab: Bahasa Kencana



Siapakah penceramah atau pendakwah kesukaan anda? Pasti ramai yang akan menyebut nama Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Kazim Elias, dan beberapa tokoh agamawan lagi. Dimana sebenarnya kekuatan mereka? 

Antara perkara yang menjadi kekuatan mereka adalah kerana perumpamaan atau contoh yang digunakan sangat mudah dan dekat dengan jiwa. Hasilnya, ilmu yang hendak disampaikan walaupun berat terasa ringan dan tidak membosankan.

Sebenarnya cara yang sama telah digunakan oleh ulama-ulama murabbi terdahulu seperti Imam al-Ghazzali dalam mendidik jiwa manusia. Contohnya dalam sebuah kitab kecil karangan beliau yang masyhur, Ayyuhal Walad al-Muhib (Wahai Anakku Yang Tercinta).

Ketika mengingatkan pelajarnya bahawa berilmu sahaja tanpa amal masih tidak memadai, beliau berkata:

“Wahai anakku, kalaulah seorang lelaki berada di dataran Sahara, memiliki sepuluh bilah pedang yang canggih-canggih dan senjata yang lainnya. Dia juga seorang yang  berani lagi handal dalam peperangan. Tiba-tiba dia diterkam oleh seekor singa yang besar lagi garang. Maka apa andaian kamu? Apakah senjata-senjatanya dapat menahan serangan itu tanpa menggunakannya? Tentulah tidak kecuali dengan mengayun dan menetakkannya.”

Begitu juga dalam menasihati pelajarnya tentang keistimewaan menjadi alim dan keburukan jahil, beliau berpesan:

“Wahai anakku, orang-orang jahil itu ialah orang-orang yang kalbu mereka sedang sakit. Sementara orang alim pula ialah doktor. Orang alim yang kurang matang, tidak layak untuk menjalankan rawatan. Akan tetapi, orang alim yang sempurna juga masih tidak mampu untuk merawat segala penyakit. Dia hanya boleh merawat mereka yang mahu berubat.”

Ketika beliau ingin mengajak  pelajarnya supaya berjaga malam dan menjauhi tidur yang berlebihan, beliau menulis:

Wahai anakku, sabda Nabi SAW: “Ada tiga jenis suara yang disukai Allah; Kokokan ayam, suara orang membaca al-Quran dan suara orang-orang yang memohon ampun pada waktu pagi.”
Diriwayatkan dalam wasiat Lukman al-Hakim kepada puteranya, beliau berkata: “Jangan biarkan bapa ayam itu lebih bijak daripadamu. Ia mengejutkan manusia pada awal-awal pagi sedang engkau masih lena diulit mimpi.”

Setelah banyak nasihat disampaikan oleh Imam al-Ghazali, akhir sekali beliau menyarankan pelajarnya agar sentiasa bersedia untuk bertemu Allah

“Wahai anakku, andai kata engkau diberitahu seminggu lagi sultan akan melantikmu menjadi menteri atau sultan akan mengunjungimu. Aku percaya dalam masa tersebut engkau akan berusaha memperbaiki apa-apa yang akan dilihat sultan termasuk pakaian, tubuh, rumah tangga, hamparan dan lain-lain. Nah, sekarang fikirkan baik-baik apa yang aku maksudkan ini kerana perkataan yang ringkas sudah mencukupi untuk orang yang bijak.

Dalam sedar tak sedar, banyak perkara yang kita lakukan hari ini adalah hasil kitar semula perbuatan orang-orang yang terdahulu. Betapa beruntungnya kita, jika apa yang kita lakukan adalah amalan yang diwarisi daripada para alim dan ulama. Pepatah Arab menyebutkan, 
“Tirulah, jika tak mampu seperti mereka,
Sesungguhnya meniru orang yang mulia itu satu kejayaan.”
-Anis-

Adab: Duduk Dalam Majlis.


Beruntunglah jika kita seorang guru dan akan bertambah lagi keberuntungannya jika kita dikurniakan murid yang pintar dan taat. Antara rutin mingguan saya adalah mengadakan kuliah tafsir kepada sebuah keluarga di Shah Alam. Audiensnya terdiri daripada seorang anak kecil, lima orang anak dewasa berserta kedua-dua ibu bapa mereka.

 Inspirasi al-Lahab
Suatu malam, seorang murid yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir tahun berkata, “Semalam dalam peperiksaan ada satu soalan yang berbunyi, apakah bukti al-Quran itu satu mukjizat. Apa jawapannya, ustaz?”

“Apa jawapan kamu?” tanya saya semula.

“Saya tulis, di dalam surah al-Lahab, Allah mengatakan celaka ke atas Abu Lahab kerana telah menghina Nabi Muhammad. Ini adalah satu mukjizat yang besar kerana pada zaman Nabi, terdapat ramai kaum Musyrikin Quraisy yang menghina Nabi Muhammad tetapi Allah tidak menyebut nama-nama mereka dengan jelas.” jawab murid saya tadi.

“Mengapa pula begitu? Saya tidak fahamlah,” saya cuba memancingnya.

“Ustaz kan pernah cakap, walaupun surah ini turun ketika Nabi mula-mula berdakwah, tetapi ia telah menyatakan dari awal bahawa Abu Lahab itu memang akan dilaknat sampai akhirat. Kalau Allah melaknat orang kafir lain yang akhirnya memeluk Islam seperti Sayidina Umar, Abu Sufian, dan Khalid al-Walid, bukankah itu bererti al-Quran itu lemah?” terang murid saya yang baru berumur 13 tahun tadi dengan lancar dan petah. Seolah-olah apa yang saya pernah ajarkan dahulu dihadam dan dihayati sepenuhnya.

 “Jawapan kamu memang betul tetapi saya rasa itu tiada dalam silibus buku teks sekolah.”

“Betul, saya dah belajar dan hafal tetapi lupa,”  jawab murid saya dengan jujur.

Sebenarnya, bukan tafsir surah al-Lahab yang ingin saya perpanjangkan tetapi saya ingin mengajak para pembaca berfikir mengapa kadang-kadang apa yang kita pelajari susah melekat di kepala? 


Belajar Ilmu Adab 
Dalam kitab Ta’alim Muta’alim, Imam az-Zurnuji menceritakan tentang dua orang lelaki yang telah keluar ke negeri asing kerana menuntut ilmu. Mereka adalah rakan seperjuangan dalam ilmu tersebut. Setelah beberapa tahun, mereka pulang ke tanah air. Seorang daripadanya menjadi sangat alim dalam ilmu fikah manakala seorang lagi sebaliknya. 

Ahli-ahli negeri itu pelik lalu meneliti dan bertanya bagaimana cara mereka belajar, mengulangkaji dan cara duduk dalam majlis ilmu. Tahulah mereka bahawa orang yang memahami ilmu fikah tadi berjaya kerana sentiasa belajar, mengulangkaji dengan menghadap Kiblat dan duduk dengan mengikut sunnah dan penuh tertib di dalam majlis ilmu. 

Bagaimana cara duduk dalam majlis ilmu yang terbaik? Sayidina Umar r.a. menceritakan dalam sebuah hadis, bagaimana ketika mereka sedang bersama Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak dikenali, berpakaian serba putih dan kemas kemudian duduk di hadapan Nabi SAW. Apa yang dilakukannya? Dia merapatkan lututnya dengan lutut Nabi SAW dan meletakkan tangannya di atas pahanya barulah dia bertanya tentang permasalahan agama.

Setelah lelaki tadi berlalu pergi, para Sahabat masih lagi kehairanan dan tertanya-tanya. Nabi SAW bersabda, “Itulah dia Jibril, dia datang untuk mengajarkan kamu urusan agamamu!” Sayidina Jibril bukannya datang bertanya untuk dirinya tetapi untuk mengajarkan umat Nabi Muhammad SAW tentang ilmu dan adab.


Di mana kedudukan kita?
Kesimpulannya, belajarlah secara bersemuka (talaqi) dan  carilah kedudukan yang paling hampir dengan guru. Biar telinga kita adalah telinga kedua (selepas telinga guru) yang menangkap mutiara hikmah daripada  mulut guru. Bukannya duduk berhampiran dengan bakul sampah di belakang kelas bagi murid-murid sekolah atau di sebalik tiang masjid bagi orang-orang dewasa.

Duduklah dengan elok. Sebaik-baiknya kedudukan guru lebih tinggi daripada murid ketika belajar. Menyentuh soal kedudukan ini, pernah seorang tuan guru berkata, “Pelajar-pelajar sekarang terutamanya yang belajar di universiti tidak mampu memahami dengan baik berbeza ulama terdahulu. Lihat sahaja kedudukan guru dan pelajar di dalam dewan kuliah. Pelajarnya berada di atas, manakala pengajar pula sendirian di bawah. Mungkin di situ sudah terhakis sedikit ‘barakah’.” Dalam diam, saya mengakui kebenaran kata-katanya.

Setiap hari sebelum memulakan kelas, adab-adab sebeginilah yang sering ditekankan oleh keluarga yang saya ajar tadi. Justeru, tidak hairanlah jika mereka sekeluarga mendapat manfaat adab lebih daripada ilmunya.Wallahu a’lam.