Monday 23 December 2013

Usrah Galeri



Petang tadi  sekitar jam 6-7petang baru sahaja selesai program Usrah Fikrah. Usrah mingguan yang diwajibkan setiap Rabu, ke atas setiap warga Galeri Ilmu Sdn. Bhd yang bekerja kurang daripada 3 tahun. Perbicaraan usrah kami adalah berlegar sekitar fardu ain, sunnah dan motivasi.

Selalu saya nasihatkan kepada sahabat bahawa anda beruntung kerana bekerja di sebuah tempat yang membudayakan ilmu dan amalan. Ada orang yang sangat suka belajar tetapi setelah memasuki dunia kerja, mereka dihimpit masa. Ada yang sangat ingin beramal tetapi mereka tiada ruang dan peluang.

Malu Bertanya Sesat Jalan
Tuan Haji Mislan, seorang senior graffic designer yang saya kagumi dengan kesungguhannya belajar agama tiba-tiba mengajukan pertanyaan, “Ustaz,  apa hukumnya seseorang itu makan dengan mengeluarkan bunyi yang kuat ketika mengunyah sehingga menghilangkan selera orang lain?” Ketika itu sedang dibicarakan tentang adab-adab melayan tetamu.

Saya membelek semula kitab Ihya Ulumuddin dalam membicarakan perihal makan. Ada satu bab yang dinamakan ‘Bab Makan Bersama’. Subhanallah, begitu terperinci huraian Imam al-Ghazzali dalam masalah ini. Syeikh Jamaluddin al-Qasimi meringkaskan di dalam Mauizatul Mukminin beberapa adab utama. 

Adab yang terakhir secara umumnya menjawab persoalan Haji Mislan tadi iaitu jangan melakukan sesuatu yang menjijikkan ketika makan bersama orang lain. Contohnya:

1.      Mencelupkan tangan ke dalam bekas makanan.
2.      Jangan terlampau menundukkan kepala ke bekas makanan tatkala mahu menyuap.
3.      Jika mahu mengeluarkan sesuatu dari mulut, hendaklah memalingkan muka daripada bekas makanan itu, kemudian diambil dengan tangan kiri.
4.      Jangan dicelupkan suapan yang berlemak ke dalam cuka (atau sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak diingini oleh orang lain.
5.      Jangan dicelupkan lebihan makanan yang telah digigit ke dalam lauk-pauk atau cuka.
6.      Jangan pula menyebut-nyebut hal-hal yang boleh menjijikan ketika makan.

Nasihat Habib Umar
Baru-baru ini, seorang pendakwah terkenal dari bumi Hadhramaut, Yaman telah datang ke Malaysia. Dalam satu tausiahnya (nasihat) di Masjid Muaz bin Jabal, Kuala Lumpur beliau berpesan: “Jadikanlah ilmumu seumpama garam dan adabmu seumpama tepung.”

Satu kalam yang cukup indah dan mendalam maksudnya. Setinggi manapun ilmu kita pastikan adab kita lebih banyak daripada ilmu tersebut. Ibarat garam dan tepung. Ilmu yang banyak tetapi tiada adab hanya akan menimbulkan rasa sombong dan takabur dalam diri. 

Apabila bercakap soal hukum halal haram berkaitan makan, ramai yang mampu menjawabnya. Tetapi jikalau diperhalusi sunnah Nabi SAW dan adab para Salafussoleh dalam bab makan, belum tentu kita tahu. Kalau tak percaya, cuba lihat adab ini:

Adab Makan Bersama
1.              Jangan mula makan dahulu apabila ada orang yang mesti didahulukan, seperti orang tua atau orang  yang lebih utama daripadanya.
2.              Janganlah semua orang berdiam diri ketika makan. Nabi SAW pernah dilihat berbual ketika makan. Apa yang dilarang ialah berbual ketika makanan penuh di dalam mulut.
3.              Jika kawan kita menolak untuk makan, bolehlah dipujuk hingga tiga kali. Tidak lebih daripada itu, kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu sebagai memaksanya.
4.              Dilarang bersumpah ketika makan. Menurut al-Hasan bin Ali r.a.: “Makanan itu lebih ringan daripada seseorang yang bersumpah untuk memujuk kawannya supaya makan lagi.” Maksudnya jika tidak dihabiskan pun tak mengapa, tetapi jangan bersumpah untuk menyuruh orang lain memakannya.
5.               Janganlah terlalu menggesa kawan untuk memakan sehingga ketara seolah-olah ia amat memerlukan makanan itu.
6.              Jangan pula meninggalkan lebihan makanan di tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih ada, kerana takut orang mengatakan gelojoh. Tetapi hendaklah dia makan seperti biasa, seperti makan seorang diri di rumah.
7.              Sebaik-baiknya melatihkan diri bersopan-santun ketika makan bersendirian di rumah, supaya nanti tidak teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan dengan orang ramai.
8.              Kalau boleh sewaktu makan beramai-ramai itu, dikurangi sedikit dari kadar makananan biasa untuk melebihkan kawan-kawannya.
9.              Janganlah tuan rumah memerhati kelakuan tetamu-tetamunya ketika makan kelak dikhuatirinya mereka akan berasa malu. Sebaiknya bersikap pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala perhatian pada dirinya sendiri lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan.
10.          Tuan rumah perlu makan lebih dengan niat menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan semangat mereka untuk menambah lagi.
11.          Jangan berhenti dahulu tetapi hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-tetamu itu berasa puas dengan makanan yang dihidangkan. Andai kata kerana sesuatu sebab, ia tidak dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta izin berhenti terlebih dulu, supaya mereka tidak berasa malu makan sendirian.
12.          Tuan rumah sendiri yang patut menuangkan air untuk membasuh tangan untuk tetamu-tetamunya.

Menurut Anas bin Malik, “Andai kata saudaramu mengundangmu untuk makan, hendaklah engkau menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya.”
Diriwayatkan, pernah Khalifah Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Muawiyah yang buta matanya. Apabila selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu Muawiyah. Dia menjawab: “Tidak!” Khalifah membalas, “Yang membasuh tanganmu ialah Amirul Mukminin (dirinya sendiri).”
Kata Abu Muawiyah: “Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya tuan hamba telah memuliakan ilmu pengetahuan dan meletakkanya di tempat yang tinggi, maka Allah akan meninggikan kedudukan tuan hamba dan memuliakan tuan hamba, sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan ahlinya.”

Demikianlah yang dilakukan oleh imam-imam besar seperti Imam Malik dan Imam Syafi’i r.hma jika ada tetamu tinggal bersama mereka. Mereka berkata:

“Janganlah engkau terperanjat pada apa yang engkau lihat daripadaku ini, sebab memberi khidmat kepada tetamu adalah suatu kewajiban.”

Dari Bumi Penyu Menetas





Bismillahirrahmanirrahim. 

Hari ini dari bumi penyu bertelur saya menulis. Saat ini, angin sepoi-sepoi beribu bahasa meniup lembut rambut ini. Rambut yang tadinya tidak disapu minyak, ternyata bagai orang gila yang baru bangkit dari lena di celah semak. Tak apalah, rambut macam manapun tetap ada yang sayang. Haha. Alasan paling ringkas untuk orang yang malas.
 
Tadi, menghantar isteri tercinta ke tempat kerjanya. Isteri yang begitu penyayang lagi memahami. Memilikinya buat diri ini terasa begitu berharga. Memilikinya buat hati terasa penuh sehingga tak mampu lagi diisi dengan yang lain.

Dari bumi penyu menetas, saya tak lihat cengkeram-cengkeram telur di pasir. Tiada kesan tapak Sulaiman Akhlakein. Saya tak lihat kesan sirip penyu merangkak.. Apatah lagi jejak pencari telur penyu yang kelaparan. Apa yang ada, bekas minuman yang dibuang, bekas makanan dengan sejumlah besar lebihan yang tersisa. Apa yang ada, bekas tayar motor dan kereta pencari kesempatan dan pencinta kedamaian. Sejujurnya, kedamaian di sini tak pernah hilang.

Aku seperti yang lain. Mencintai dan memuja kejujuran dan kestiaan angin. Dari sejak ia dijadikan, ia sentiasa memberi. Perintah Tuhan tak pernah dikesampingkan. Ia makhluk yang baik.

Pernah suatu ketika, aku bencikan angin. Aku benci pada yang tenang. Kerna tenang buatku sepi. Tika di pantai aku sendiri. Menatap pada ombak yang berhempas, aku bagaikan tidak waras. Aku lebih gemar suasana yang binger. Sebolehnya di pasar. Kerna di sana walaupun aku tidak membeli, aku bias jadi pejalan kaki. Sekurang-kurangnya aku tak perlu menatap pantai yang suka bersaksi tapi tak pernah mengotakan janji.

p/s: nota ini ditulis ketika berehat-rehat di Pantai Batu Nuruk setelah menghantar isteri bekerja di Hospital Kuala Terengganu. nota ini disembunyikan di dalam laci kereta. hampir setahun sesudah itu, nota ini dijumpa semula lalu saya tuliskan kembali sekadar kenang-kenangan. 

Abu Azhan al-Habibi

Wednesday 20 November 2013

Mimpi Hasan al-Basri

Semalam, saya pergi mengambil capal saya yang dibaiki tukang kasut lalu ia mengingatkan saya dengan kisah dua orang tabiin iaitu al-Hasan al-Basri dan Ibnu Sirin. Di dalam kitab al-Wafi bil Wafiyat tulisan as-Sofadi menceritakan, pernah suatu ketika, mereka berdua tidak berlaga angin (bahasa paling lembut untuk perkataan 'gaduh').

..Al-Hasan al-Basri apabila ditanya tentang mimpi, dia akan berkata, "kamu pergilah tanya kepada al-Haakah (si tukang baiki kasut)!" Maksudnya Ibnu Sirin kerana keluarga Ibnu Sirin ramai yang menjadi tukang baiki kasut. Ibnu Sirin seorang ulama hadis yang hebat tetapi dia terkenal dengan tafisr mimpi.

..Suatu malam, al-Hasan bermimpi dalam keadaan tidak berpakaian, di tempat pembuangan sampah, di tangannya ada kayu gaharu dan digunakannya untuk memukul orang. Tidak tenteram hatinya memikirkan mimpi itu. Lalu diceritakan mimpi tersebut kepada salah seorang sahabatnya dan dia memimta supaya ditanya kepada Ibnu Sirin. tetapi jangan diberitahu bahawa dia yang bertanyakan mimpi tersebut.

..Apabila diberitahu kepada Ibnu Sirin, dia berkata, "katakan kepada orang yang bermimpi ini, jangan tanya pada si tukang kasut!" Apabila al-Hasan mendengar jawapan sahabatnya tadi, dia terkejut apabila Ibnu Sirin tahu tentangnya dan segera pergi menemui Ibnu Sirin. Mereka bersalaman dan duduk menyebelah. Kata al-hasan, "Tolonglah jelaskan maksud mimpiku!" Jawab Ibnu Sirin:

"kamu jangan bimbang, ia mimpi yang baik. Kamu dalam keadaan telanjang gambaran bahawa kamu meninggalkan segala kenikmatan dunia. Tempat pembuangan sampah itulah dunia. Kamu dibukakan Allah pandangan yang kashaf sehingga melihat dunia ini seperti sampah. Kayu gaharu yang digunakan untuk memukul orang itu ialah bicara yang keluar dari mulutmu. ia begitu wangi dan indah sehingga menyentuh hati manusia."

..Kagum al-Hasan mendengar jawapan tadi lalu bertanya, "Bagaimana kamu tahu yang aku bertanyakan mimpi itu, padahal aku tidak ceritakan kepada sesiapa?" jawab Ibnu Sirin, "Apabila aku mendengar mimpi sebegitu, aku tidak nampak orang lain di zaman ini yang lebih layak mendapatnya kecuali kamu!"


Abu Azhan al-Habibi,
Galeri Ilmu Sdn. Bhd

Tuesday 29 October 2013

Tetamu dan Tuan Rumah



Dalam satu majlis ilmu, saya ditanya oleh seorang wanita, “Ustaz, betulkah jika kita mengunjungi seseorang tanpa memaklumkannya terlebih dahulu itu lebih baik daripada kita memaklumkannya?” Saya terdiam lama lalu membalas, “Puan, saya tak tahu jawapannya. Apa yang saya tahu, kita dituntut agar tidak menyusahkan tuan rumah.”

Kata saya lagi, “Mungkin jika dengan tidak memaklumkannya, itu menyebabkan tuan rumah serba salah lebih baik dimaklumkan dahulu. Jika kita tahu mereka bersedia malahan jika dimaklumkan tuan rumah akan membuat persiapan yang melampau dan memberatkan diri, maka lebih baik usah dimaklumkan.”

Sekembalinya ke rumah, saya rujuk semula kitab Mauizatul Mukminin tulisan al-Qasimi yang merupakan ringkasan daripada karya agung Imam al-Ghazzali rahimahullah. Dalam bab ‘Keutamaan Menjamu Makanan’ disebutkan adab-adab dalam menjamu ada dua. Satu bahagian mengenai tetamu itu sendiri dan bahagian yang lain mengenai orang yang menyambut tetamu.

 
Tetamu- Tidak datang pada waktu makan.
Bukanlah suatu perkara sunat mendatangi seseorang pada waktu makan agar dia dapat diterima menjadi tetamu. Mendatangi seseorang pada waktu makan akan memeranjatkan tuan rumah. Itu adalah dilarang sebagaimana firman Allah SWT:
“Janganlah kamu mendatangi rumah-rumah Nabi, melainkan sesudah diizinkan untuk makan tanpa menanti-nanti makanan itu masak.”  (Al-Ahzab 33: 53)

Maksudnya menunggu-nunggu waktu makan atau menanti sampai makanan masak supaya mereka dapat makan bersama-sama.

Tetapi jika orang itu memang terlalu lapar, sengaja dia mendatangi rumah sesetengah kawan untuk mendapat sedikit makanan, tetapi tidak pula menunggu sampai tiba waktu makan, maka hal serupa itu tidaklah menjadi salah. Malah harus sebab ada semacam pertolongan kepada seorang saudara untuk mendapat pahala memberi makanan.

Demikianlah caranya para Salaf selalu lakukan. Sekiranya mereka sampai di rumah kawan tadi sedang kawannya tiada di rumah; jika dia yakin keikhlasan hati kawannya itu dan mengetahui  bahawa kawan itu akan berasa gembira jika dia memakan dari makanannya, maka bolehlah dia memakan tanpa izinnya.

Maksud keizinan di sini ialah keredhaan kawan tadi, terutama sekali pada makanan-makanan, dan perkara ini bergantung pula pada kelapangan hatinya. Allah SWT telah berfirman, “Atau di rumah kawan kamu (iaitu memakan di rumahnya).” (An-Nur 24: 61)

Berkata al-Hasan: Yang dikatakan kawan di sini ialah orang yang jiwa anda berasa senang kepadanya dan kalbu anda berasa tenang kepadanya.

Makan Tanpa Izin
Muhammad bin Wasi’ dan sahabat-sahabatnya sering berkunjung ke rumah al-Hasan, kemudian makan-minum apa yang ada dalam rumah itu tanpa keizinan al-Hasan. Apabila al-Hasan pulang, beliau terserempak dengan mereka. Beliau merasa gembira seraya berkata: “Ya, beginilah sepatutnya kita semua!”
Diceritakan lagi, ada beberapa orang telah berkunjung ke rumah Sufyan as-Tsauri, tetapi dia tiada di rumah ketika itu. Mereka pun masuk ke dalam rumah, lalu menyediakan makanan-makanan yang ada dan mereka pun makan-minum. Tidak lama kemudian, Sufyan pun kembali dan berkata: Kamu sekalian telah mengingatkan aku kelakuan para Salaf, beginilah mereka itu semua.

 
Tuan Rumah: Tidak memaksa diri dalam menghidangkan sesuatu.
Al-Fudhail berkata: Penyebab putusnya hubungan antara dua saudara, ialah jika seseorang mengundang saudaranya, dia menghidangkan makanan secara memaksa diri. Oleh itu saudaranya tidak suka datang lagi selepas undangan itu bimbang akan memberatkan.

Antara cara memaksa diri ialah dengan menghidangkan semua makanan yang ada di rumah, sehingga ahli rumah tidak dapat merasa lagi. Cara begini tentulah menghampakan hati ahli rumah yang menyediakan makanan itu.

Setengah orang berkata: Kami pergi ke rumah Jabir r.a. lalu dihidangkan kami roti dan cuka (acar). Berkata Jabir: Kalaulah tidak kerana aku dilarang daripada memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam makanan kepada kamu.

Begitulah para Salaf dahulu. Mereka sangat mengambil berat soal tetamu dan makanan. Para sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun ringan.

Kisah Al-Mahdi dan Tetamu Badwi.
Suatu hari Amirul Mukminin Khalifah Al-Mahdi dan tenteranya bersiar-siar di luar dari kota Baghdad. Al-Mahdi meninggalkan tenteranya lalu berjalan menghampiri khemah Arab Badwi dan memberi salam. Melihatkan tetamu yang datang, tanpa bertanya banyak lelaki Badwi tadi terus masuk ke khemah kemudian keluar semula dengan membawa tiga biji tamar dan secawan susu di tangan.
Orang Arab Badwi sangat memuliakan tetamu. Mereka tidak akan bertanya sesuatu tentang tetamu mereka sebelum berlalunya tiga hari. “Tahukah kamu siapa aku?” tanya Amirul Mukminin.
“Tidak,” jawab lelaki Badwi tadi. Katanya, “Aku ini sebenarnya daripada tentera Amirul Mukminin.”
“Benarkah begitu? Kalau begitu tunggu sekejap,” kata Arab Badwi tadi lalu masuk ke khemah semula. Dibawakannya sebekas tamar dan segelas susu lagi. Amirul Mukminin terus meminumnya.
“Tahukah kamu siapa aku?” tanya Amirul Mukminin semula seusai makan. “Bukankah kamu katakan tadi, kamu ini tentera Amirul Mukminin?’
“Tidak. Sebenarnya aku adalah salah seorang panglima besar dalam tentera Amirul Mukminin.”
“Oh, benarkah? Kalau begitu, tunggu sekejap..” Arab tadi kembali ke khemah dan datang dengan tamar dan susu lagi. Selepas makan, Amirul Mukminin bertanya lagi, “Tahukah kamu siapa aku?”
“Bukankah tadi kamu kata kamu panglima tentera?”
“Bukan..sebenarnya akulah Amirul Mukmin!” Terkejut lelaki Badwi tadi lalu dia terus masuk ke khemah dan memikul keluar semua tamar dan susu yang ada.
“Untuk apa semua ini,wahai Badwi?”
“Ini semua kurma dan susu yang aku ada. Ambillah semuanya, aku tak ada yang lain lagi. Aku harap selepas ini kamu tidak akan mengaku pula bahawa kamu ialah Rasulullah!!”


Tuesday 22 October 2013

kasih sayang

Bismillahirrrahmanirrahim..
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya mulakan kalam dengan kalimah ini. Harapnya kasih sayang Allah kekal meliliti saya. Kasih sayang manusia pun sama, akan terpalit jua. Kita hidup dengan kasih sayang, membesar dengan kasih sayang, bertemu kerana kasih sayang dan insya-Allah berpisah jua (walaupun menyakitkan) kerana kasih sayang.

Allah mahukan kita buat sesuatu dengan kasih sayang. Ayat pertama di dalam mashaf al-Quran ialah tentang kasih sayang. Solat kita tak sah tanpa dimulakan dengan ucapan kasih sayang. Itulah hikmah di sebalik ucapan Basmalah yang kita baca setiap kali mengerjakan sesuatu. Hadis Musalsal bil Awwaliah (hadis pertama dibaca) juga tentang kasih sayang.

Bukan itu sahaja, kenduri kahwin wajib dihadiri kerana kasih sayang. Bahkan semudah-mudah salam pun berdosa tak dijawab kerana kasih sayang. Banyak persoalan hukum berkisar sekitar masalah kasih sayang. Mari kita semaikan kasih sayang sesama kita; sahabat mahupun musuh.

Dakwah Kasih sayang
Bersama teman dari Nepal di restauran Nepali Chulo, kathmandu
Dakwah adalah untuk mengajak. Ia perlukan kasih sayang. Mengajak kanak-kanak yang cepat teruja untuk makan aiskrim pun perlu berhikmah. Inikan pula mengajak orang tua kepada yang cepat panas kepada Islam. Lihatlah hikmah yang diajarkan Allah kepada Nabi (juga untuk kita) dalam dakwah kepada mereka yang menentang agama.  Allah ceritakannya di dalam surah Saba':
قُل لَّا تُسْأَلُونَ عَمَّا أَجْرَمْنَا وَلَا نُسْأَلُ عَمَّا تَعْمَلُونَ

"Katakanlah: kamu (orang kafir) takkan ditanya tentang dosa kami dan kami juga tidak ditanya tentang apa yang kamu lakukan."

Digunakan perkataan 'ajromna' (apa yang kami berdosa) merujuk kepada diri kita. Sedangkan musuh pula, kita ucapakan 'ta'malun' (kamu lakukan).  Ia seolah-olah kita mengakui kelemahan kita, merendahkan diri serta kita boleh menerima pendapat dari musuh. Apabila musuh melihat toleransi sebegini pasti akan cair hatinya.

Ini untuk orang kafir. Kalau sesama Islam, lagilah patut kita utamakan.

Salam kasih sayang,
Abu Azhan al-Habibi


Thursday 17 October 2013

Cinta Jarak Jauh dan Zulhijjah



Saya suka menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung halaman sekali-sekala. Memandu kenderaan sendiri adalah pilihan terakhir yang sentiasa saya cuba elakkan. Bas ekspres walaupun tidaklah terlalu selesa namun ia sentiasa memberikan pengalaman yang menarik untuk dikongsikan. 



Hampir setiap kali musafir, ‘jiran’ kerusi saya adalah berstatus LDR atau dengan kata lain ‘Long Distance Relationship’. Sama seperti saya. Mereka bekerja di ibu kota dan pulang ke kampung halaman setiap hujung minggu. Sekilas riak di wajah yang sayu,  saya dapat rasakan bahawa mereka lakukannya dengan terpaksa. 

LDR di Mana-mana

Bagi saya, kenapa perlu memilih untuk ‘terpaksa’ padahal tinggal berjauhan bukanlah sesuatu yang memalukan. Dunia yang sudah sedia serabut ini, tak perlu kita tambahkan lagi dengan kata-kata penyesalan yang melemahkan jiwa. Orang-orang dulu pun selalu berjauhan dengan keluarga. Mereka positif lalu mencipta satu frasa, “Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal- tinggalkan..” 



Nabi SAW juga mengajar para Sahabatnya supaya jangan berfikir yang negatif dan sebaik-baiknya adalah ‘al-fa’lu (optimis). Para Sahabat bertanya, “Apa itu al-Fa’lu, wahai Rasulullah?” Jawab Baginda, “Kata-kata yang baik.”
bergambar dengan peserta dan ulama pondok dari Kedah dan Thailand
Berpisah sementara untuk bahagia yang berpanjangan. 

Sirah manusia terawal, Nabi Adam a.s. mungkin boleh dijadikan sebagai motivasi jika Allah mentakdirkan seseorang itu berjauhan dengan pasangannya. Dalam Tafsir Ibnu Katsir, ada dinukilkan pandangan Imam as-Suddi yang mengatakan bahawa ketika diturunkan ke bumi, Nabi Adam a.s. diturunkan di India manakala Hawa di Jeddah. Mereka hidup berjauhan untuk suatu masa yang lama sehinggalah Allah mempertemukan mereka semula di Jabal Rahmah, Arafah. 

Dikatakan perkataan Jeddah berasal daripada perkataan Jiddah yang bermaksud nenek. Manakala Arafah pula ada yang menafsirkannya sebagai ‘perkenalan’ iaitu perkenalan dan pertemuan semula Adam dan Hawa. Hebatnya aura pertemuan, tempat itu menjadi medan perhimpunan anak cucunya saban tahun.

Iman Ibrahim dan Tawakal Siti Hajar

Mungkin kita boleh meminjam semangat Nabi Ibrahim a.s. dan isterinya Siti Hajar. Boleh jadi para isteri yang duduk berjauhan dengan suami berasa hiba. Kata isteri, “Orang lain dapat hidup bahagia suami isteri, duduk serumah, ketawa bersama menangis pun bersama tapi kita berjauhan, duduk pun asing-asing...”
 
Hakikatnya, para isteri sepatutnya bersyukur ditinggalkan suami dalam rumah. Cuba bayangkan Siti Hajar yang ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah padang pasir kering kontang tanpa sebarang bekalan. Oleh kerana ia perintah Allah, maka Nabi Ibrahim hanya berdoa dan menyerahkan segala urusannya pada Allah.
"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di suatu lembah yang tiada benda yang tumbuh, dekat  dengan rumah-Mu yang suci (dihormati). (Ibrahim 14: 37)

Azab dan Nikmat
Perpisahan itu satu azab tetapi pertemuan sesudahnya adalah satu nikmat. Seumpama nikmat syurga yang membuatkan penghuni neraka berasa seperti tidak pernah diseksa. Di sebalik perpisahan yang sementara ini, banyak perkara yang boleh kita muhasabah bersama. 

Boleh jadi Allah ingin menguji kesetiaan pasangan terhadap pasangannya atau kasih sayang seorang ayah pada anak-anaknya.Mana tahu, mungkin ini ujian kita selaku anak yang bergelar suami! Mengikut hukum fikah, seorang suami tetap perlu mendahulukan ibu bapanya berbanding orang lain.
 
Satu muhasabah buat para anak yang bergelar suami di luar sana. Dahulu, ketika kita (lelaki) masih bujang, jika kita bekerja di Kuala Lumpur misalnya, berapa kali dalam setahun kita pulang menatap wajah ibu bapa. Rumah besar di kampung sana, tak ramai lagi yang bermukimnya. Semuanya pemastautin sementara. Hari raya, musim buah, musim banjir,musim kahwin, yang biasanya menjadi hari bersama keluarga pun belum tentu kita pulang. Alasannya, kita sibuk, jarak sangat jauh, minyak kereta dan tol mahal dan lain-lain.

Namun, setelah berkahwin dan duduk berjauhan..setelah kita semakin sibuk..setelah minyak dan tol juga tidak pernah turun; mampu pula kita pulang setiap minggu untuk menatap wajah isteri dan anak-anak tersayang. 

 
Doa jika meninggalkan anak dan Isteri.
Menurut Tuan Guru Dr. Harun Din, antara doa yang baik ketika seorang suami meninggalkan keluarganya ialah;

أسْتَوْدِعُكَ اللهَ الَّذِيْ لَا تَضِيْعُ وَدَاءِعُهُ
Aku tinggalkan kamu dalam pemeliharaan Allah yang tidak akan hilang pemeliharaannya.

Pada zaman Sayidina Umar, terdapat seorang lelaki menjulang anaknya yang masih kecil. Apabila sampai kepada Sayidina Umar dia menyuruh beliau memegang anak tersebut. Katanya, “Engkau ambillah anak ini.  Aku ambilnya dari dalam kubur, ibunya meninggal tetapi anak ini masih hidup.” Menurutnya lagi, isterinya sarat mengandung dan dia tinggalkan isterinya di rumah kerana urusan di luar. Ketika keluar dia telah silap dalam berdoa.katanya:
أسْتَوْدِعُ اللهَ مَا فِي البَطْنِ
Aku tinggalkan dalam jagaan Allah, apa yang ada di dalam perut
Ditakdirkan Allah, isterinya meninggal dunia sebelum sempat bersalin dan orang ramai telah mengebumikan isterinya. Malam harinya, dia pulang ke rumah. Apabila mendapat berita tersebut, dia bergegas ke kubur dan alangkah terkejutnya apabila dia melihat kubur isterinya terbuka dan anaknya di situ dalam keadaan masih bernyawa.

 # Inilah antara buah-buah nasihat saya kepada ‘jiran-jiran’ sebelah di dalam bas. Seperti biasa sebelum sempat menghabiskan kalam, mereka sudah terlena dibuai mimpi.

Abu Azhan al-Habibi 
Majalah Anis oktober