Wednesday 27 January 2010

Semanis Sukkari, Setawar Sukkar

Sukari adalah sejenis limau di Mesir. Limau yang paling kusuka. Rasanya lemak-lemak manis. Harganya murah. Buahnya juga kecil berbanding Safandi(limau kulit keriput) dan Abu Surrah(limau besar). Buah ini walau kecil, manis dan murah tapi tidak berapa diminati berbanding limau yang lain. Sehingga namanya juga dilupakan oleh kebanyakan orang.

Kadang- kadang terfikir juga di hati. Yang dikatakan nikmat itu, dimana letaknya? Bukankah nikmat limau pada manisnya? Nikmat membeli pada murahnya. Adakah orang-orang yang membeli telah tersilap?

Ya, orang yang membeli semuanya bersalah mengikut seleraku. Tapi benar pada selera mereka. Selagimana selera itu tak memabukkan, mempunyai banyak pilihan, ia adalah milik semua, aku tak layak memaksa orang mengikut mahuku. Kalau ada yang mahu memaksa, berikan hak yang batil itu pada mereka, hakku adalah menikmati. Kalau mereka mendepa tangan, aku si bongkok yang menundukkan kepala.

Di Mesir, sukkar(gula) dihasilkan dari tebu dan ubi. Tebunya tawar ubinya belum pernah dirasa. Gulanya kurang manis. Kenyataan yang boleh diterima bahasa. Pepatah di sini menyebut, manis seperti ‘asal (madu) bukannya gula. Walaupun tak manis, harganya mahal membedil.

Harga sekilo gula di Mesir sekarang 5 genih illa rub’(kurang 25sen). Untuk menghasilkan seteko teh susu yang power memerlukan 8sudu besar gula, 3sudu penuh the ‘arusa, satu paket susu cair. Itu pusaka peninggalan Kamal, diturunkan daripada Haadi kepada Sham. Sanadnya rosak bila sampai kepadaku. Alasannya, perubahan zaman!

Semua orang menderita akibat serpihan bedil itu. Tiada pula yang berhenti dari membeli. Gula adalah dhoruriat, hajjiyat, dan tahsiniyyat; biarpun telah tertanggal sebahagian sifat asalnya iaitu manis.

Kehidupan sekarang banyak berubah. Satu benda yang pada suatu ketika jadi kehendak sekarang sudah menjadi keperluan. Contohnya kenderaan, telefon(selain aku), peti sejuk dan lain-lain. Boleh jadi zaman akan datang kita semakin berhajat kepada sesuatu. Atau mungkin kita kembali kepada zaman lama.kita hanya perlu air, udara, makanan, pakaian, dan tempat tinggal atau lebih kurang dari itu.

Sekarang adalah zaman yangmana kebendaan menduduki tempat tertinggi dalam jiwa manusia. Biarpun kebendaan itu membuatkan semua orang susah, tertekan, terpaksa berkorban masa, ia tetap dikejar. Kebendaan itulah gula Mesir. Mahal tapi tawar.

-waza-
26-1-2010

No comments: