Sunday 22 November 2009

Perpisahan. Apa yang istimewanya perpisahan ini sampaikan terlalu banyak orang bercakap tentangnya? Di mana lebihnya perpisahan ini sehingga banyak airmata gugur kerananya.

Bukankah pertama kali kita dipertemukan oleh Allah taala kita telah tahu kita akan berpisah?bahkan sebelum bertemu lagi kita sudah tahu.

Siapa orang yang paling kita sayang dan cinta? Senaraikan nama-nama mereka dalam satu folder dalam telefon kita. Kemudian tunggu berapa ketika, nama-nama itu kita sendiri akan padamkan dari telefon kita. Lama kelamaan hati kita tak akan berfikir lagi tentangnya.

Nanti, bila kita kembali seorang,membelek kenangan yang terukir dimana-mana. Di kertas bergaris,kertas berwarna, dan sebagainya. cuba kenangkan akan air mata yang kita tumpahkan dahulu dan ketika ini. Apa kesannya untuk perjalanan hidup kita. Dunia dan akhirat. Sedikit sekali. Mungkin tiada.

Di dunia, air bersifat lembut dan menyenangkan. Bila ia mengena tubuh kita saat kita bangun dari lena dan bersuci ternyata ia melegakan. Tubuh kita jadi segar, hati jadi bersemangat untuk memulakan hidup yang baru.

Di dunia juga, bila kita diuji dengan kesedihan, kita seperti seorang yang terjaga dari tidur. Tubuh kita tak bermaya. Semangat kita pudar. Terkadang airmata menyegarkan kita. Bila kita menangis, kita melepaskan sesuatu yang terpendam tanpa perlu mengadu pada orang ketiga. Walau hakikatnya sentiasa ada pihak yang ketiga yang memerhati dan mengerti.

Ada orang mengambil semangat dari airmata. Ia adalah fitrah dan bukan memalukan.Tidakkah nabi mengalirkan air mata ketika kematian anak, isteri dan bapa saudara baginda?manusia diciptakan lemah dan sentiasa berdosa. Atas dasar ini, ulamak-ulamak sufi hidup dengan air mata.air mata membuat mereka kuat. Air mata mereka mengalir kena pada tempat, tepat pada ayat.

Kita bukan nabi untuk mengaku begitu tabah dan ego untuk tidak menangis. Kita juga bukan ulamak sufi yang sofi dari dosa. Kita hanya pendatang biasa yang lalu lalang di beberapa tempat dan bertemu dengan pelbagai benda. Di setiap tempat akan ada rasa sayang yang kita ukirkan. Pada beberapa benda yang berharga menurut pandangan kita, kita akan tumpahkan cinta padanya.antara benda berharga itu adalah manusia.

Kalau semata-mata urusan dunia, bila kita memberi kita akan kurang. Seperti gelas yang diminum airnya, ia akan menambahkan ruang-ruang kosong. Sebelum kita menumpahkan air mata fikirkan apa urusan kita dengannya. Dunia dan akhirat.

Adakah di akhirat, ia akan kekal dengan sifat airnya yang tenang dan memadamkan. mampukah air mata tadi memadamkan api-api neraka jika ia bukan tumpah untuknya. Air hanya berguna jika disimbah untuk memadamkan api.kadang-kadang,bukan di semua tempat air memadam dan menenangkan. Kadang-kadang air tidak boleh memadamkan bahkan api semakin lahap dan lahab(menjulang). Orang yang terluka dan patah-patah juga tak boleh terkena air.

Syariat memahami. Lalu memberi kelonggaran untuk menggunakan debu sebagai ganti. Dari sudut mana debu itu nampak bersih. apatahlagi membersihkan. Jauh lagi menghembuskan ketenangan.lalu untuk apa?

Soalkan pada diri kita? Siapa kita?untuk apa kita diciptakan? Kalau kita sudah bebal dan tuli untuk memahami soalan sebegini, masukkan jari kita kedalam lautan. Angkat jari dan lihat titisan air yang yang jatuh darinya. Sebanyak itulah perumpamaan ilmu Allah dan ilmu yang diturunkan ke dunia. Dalam titisan itu, berapa banyak yang ada pada kita.

Sepertimana kita tak tahu hakikat debu itu sehingga boleh menggantikan air, kita juga takkan tahu banyak benda. Kita bahkan tak ada kekuatan untuk memahami keperluan diri. Lalu bila Allah sempurnakan sesuatu untuk kita, tak perlu kita membantah.

Mungkin antara hikmahnya, Allah ingin kita jadi seorang hamba yang mengaku hamba. Bila disuruh buat, kita mesti taat. Saat nabi Nuh disuruh membina kapal,nabi Ibrahim disuruh menyembelih anaknya,nabi Muhammad disuruh berhijrah, mereka tak pernah mempersoalkan. Mereka tahu itu urusan Allah.

Perpisahan ini, walau menyedihkan, walau menumpahkan air mata, sama-sama kita berpesan. Jangan sampai kita jadi seperti si jahil yang cuba mempersoal;

“Untuk apa pertemuan, kalau kita ditakdirkan untuk berpisah”

-tanpanama-

p/s-selamat berjuang buat semua ahli bait Rmh Pusaka Nawwar yang telah dan akan pulang. hakim, haadi, hafezudin dan hamal.

Monday 16 November 2009

hakikat siri 2

bagaimana sepatutnya kita menerima nasihat

Wahai bidadariku yang tercinta,

Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi sesiapa yang selalu mengikuti hawa nafsunya.

Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatahlagi bagi orang yang mencari ilmu rasmi(ilmu untuk mendapat gelaran yang rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menunjukkkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia.

Kerana orang yang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaanya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu.

Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan I’tikod dan aliran pemikiran ahli falsafah. Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini.
Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu.

Nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan solan yang lebih berat lagi daripada orang yang tidak mengetahui apa-apa. Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah saw:

اشد النلس عذابا يوم القيامة، عالم لاينفعه الله بعلمه

Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alim yang tidak member manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.

dan diriwayatkan daripada Imam Al-Junaid Al-Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau di waktu tidur selepas kematian beliau.

Lalu orang ini bertanya kepada Al-Imam Junaid dengan berkata,
Apa khabar kamu wahai Abu Al-Qasim(imam Junaid)?lalu imam Junaid menjawab:

Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang segala ilmu yang batin. Dan sudah tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.

Friday 13 November 2009

hakikat..

Wahai bidadariku yang tercinta,

engkau telah bertanyakan padaku tentang banyak benda. aku dengan segala kekuranganku ini tak mampu untuk memenuhi kehendak seseorang yang inginkan kepuasan sepertimu. Aku cari beberapa nasihat yang berguna. Lalu yang menurut hematku ,orang yang paling layak untuk menyempurnakannya, paling berharga hikmatnya, adalah penulis nasihat ini.

Ayuhal Walad atau juga bernama Al Risalah Al Waladiah adalah ditulis oleh imam Al-Ghazali r.a. di dalam bahasa Parsi, kemudian kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh sebahagian ulama dan dinamakan dengan nama yang kita sebutkan tadi.

Kitab Ayyuhal Walad ini ditulis sebagai jawapan daripada Imam Ghazali kepada sepucuk surat yang dihantar oleh seorang murid(lelaki)yang sangat mencintainya. Dimana di dalam surat itu murid beliau meminta agar Imam Al-Ghazali r.a. sudi menulis sepucuk surat yang merupakan satu wasiat yang ditujukan secara khusus, walaupun ia yakin bahawa isi dan kandungan surat tersebut telah ada termaktub dalam kitab-kitab karangan Imam al-Ghazali r.a.

Lalu imam Al-Ghazali dengan murah hati menjawab surat anak muridnya tadi dan memberikan kepadanya beberapa nasihat yang sangat mahal harganya.

Apabila kita cuba meneliti kandungan surat Imam al-Ghazali r.a. ini, kita akan mendapati bahawa beliau sangat ikhlas sekali dalam memberikan nasihat dan dicelah-celah ungkapan beliau terserlah kebolehan Imam Al-Ghazali r.a. kita juga dapat melihat kasih sayang Imam Al-Ghazali r.a. terhadap muridnya.

Aku bukan seperti Imam al-ghazali pada ilmunya, pada akhlaknya juga pada imannya. Aku tak mampu untuk mengenal diriku dan hakikat sesuatu benda apatahlagi untuk memperkenalkan ia kepada orang lain. Cumanya, aku sukakan kesempurnaan dan suka kalau orang yang aku sayang memiliki kesempurnaan yang aku ingin.

Kesempurnaan yang sebenarnya tuhan telah hadiahkan kepada kita semua atas nama manusia sewaktu awal penciptaan.. cumanya sekarang, tuhan sembunyikan ia di dunia ini sebagai ujian.

1-Hakikat hidup, cinta, dan amal

عش ما شيئت فإنك ميت
واحبب ما شئت فإنك مفارقه
واعمل ما شئت فإنك مجزي به

Hiduplah engkau sesuka hatimu kerana engkau pasti akan mati
Dan cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya
Dan buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau akan dibalas mengikut amal perbuatanmu

2- Ilmu sahaja belum memberi manfaat akan engkau

Wahai bidadariku yang tercinta,
Ilmu tanpa amal ialah gila dan amal tanpa ilmu pula adalah sia-sia.
Dan ketahuilah bahawasanya ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan engkau daripada perbuatan maksiat, dan belum dapat menjauhkan engkau pada hari kiamat daripada api neraka.

Dan apabila engkau tidak beramal dengan ilmu yang ada pada dirimu dan engkau tidak membuat pembetulan terhadap segala kesilapan yang engkau lakukan pada masa yang lalu, kelak engkau akan berkata pada hari kiamat nanti:


”Wahai tuhan kami! kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dulu) maka kembalikan kami ke dunia untuk kami beramal soleh”

Lalu dikatakan kepada engkau:
Wahai si bodoh, kenapa engkau hendak kembali ke sana, sedangkan engkau baru sahaj datang dari sana.


bersambung..

Thursday 12 November 2009

song from a secret garden

burung-burung di taman
kalau menyanyi
mesti sedap didengar

karena lagu mereka antara dua
samada suka mahupun sedih
mereka tak punya rasa yang lain
antara keduanya

perasaan ketiga
hanya ada pada manusia

kita bisa menangis tanpa sedih
juga bisa ketawa tanpa gembira
sesiapa yang bercinta dengan dunia
akan bisa membelinya
hanya dengan perasaan

tanpa sebuah taman yang damai
kita mampu mencipta lagu
menari-nari..
bahkan yang lebih merdu dan memikat

tapi kita tak mampu untuk biarkan
perasaan kita terbang seperti burung
jujur tapi bebas
bebas tapi riang
riang tapi tenang

kalau kita memerhati burung di taman
kita akan tertunduk malu
bila ia mendongakkan kepala


-tanpanama-
10-11-2009

Friday 6 November 2009

Jarum jam berada antara nombor lima dan enam. Bermakna lebih kurang lima belas minit lagi akan Syuruk. Lazimnya musim sejuk Subuhnya awal lagi pendek. Tak terkejar aku dengan tidur yang lewat serta badan yang penat.

Mujurlah pagi di Mesir tak perlu bermula dengan mandi. Cukup sekadar bersugi, membasuh muka, tangan, kepala, dan kaki. Ditambah dengan niat ketika permulaan, air yang nampaknya biasa langsung menghapuskan dosa-dosa kecil manusia. Sebagaimana niat membezakan adat dan ibadat, bersugi di waktu pagi juga membezakan orang Melayu dan kebanyakan Arab

Subhaanallah, betapa Allah terlalu suka lagi ingin mengampunkan dosa manusia tetapi hambanya yang sombong ini, hatinya tiada ruang untuk memikirkan akibat sesuatu tindakan.

Semuanya sudah penuh dengan perancangan yang bakal mendatang. Apa gunanya perancangan pada yang namanya membazir dan israf. Orang merancang pada belanja. Semua sudah sedia tahu, dunia itu jambatan, mengapa sampai begitu indah kita hiaskan? Jambatan itu tempat melintas.

Orang biasa tak tidur di situ apatahlagi menghiasinya. Orang yang tidur di jambatan mungkin sebab miskin tak berharta. Jikalau tertidur, mungkin sebab letih berkereta. Pesan nabi, dengan adanya ilmu kita selamanya takkan miskin dan sesat di jambatan mahupun daratan. Dengan syarat, kita beramal dengannya.

Kelas bermula 7.15 pagi. Bermakna banyak benda yang perlu dikorbankan terutamanya tenaga. Untuk sampai ke Azhar biasanya mengambil masa 45minit. Tanpa kesesakan mungkin 20minit. Kesesakan mencuri separuh dari masa perjalanan. Kesesakan tidaklah terlalu menakutkan berbanding penantian. Nikmatnya penantian ini, hanya perindu yang memahami. Benar kita yang memulakan, tapi penamatnya bukan kita yang tentukan.

Kesesakan boleh dijangka waktunya tapi bas di Mesir tiada jadual yang tetap. Kalau awal bangkit si saaik dari jaga, belum tentu sang kumsari sudah selesai menunaikan hajatnya. Dinding-dinding batu yang memagari perhentian bas adalah mangsa. Mata dan hidung ini pula, adalah saksi yang malang.

Hebatnya mereka itu, dunia sepertiga rakyat mesir ada di tangan mereka. Kalau masa itu pedang, mereka umpama tukang besi yang degil; bisa mencorakkan pedang sesuka hati. Menariknya di mesir ini, tiada istilah samseng jalanan selain saaik dan kumsari. Mereka tak pernah tewas kecuali pada yang namanya Masriah.

Mereka masyarakat yang mengagumi sejarah. Mereka menghafal sejarah lalu hidup dengannya. Pemudanya bangga digelar Abna’u Faroinah. Ruh Cleopatra menyerap masuk ke dalam tubuh wanita Mesir sampai sekarang. Seorang isteri boleh marah dan menjerit sesuka hati. suami yang baik sekadar mendengar, walau hati menjerit tak suka. Dalam banyak benda,mereka lebih berkuasa dari lelaki.

Hakikatnya, di mana-mana zaman pun begitu. Sudah tercatat di peradaban sejarah, peranan wanita dalam membina dan menghancurkan sebuah negara. Mereka permaisuri kepada raja tapi adalah raja kepada kerajaan. Sebabnya, yang sebenar-benar raja dan menguasai diri manusia adalah hati. wanita ini diciptakan dari rusuk lelaki yang letaknya dekat dengan hati. jadi, soal-soal menundukkan hati adalah kepakaran mereka hatta ia milik seorang raja. Ahh, tasyaum lagi aku dengan wanita!

bersambung..

-tanpanama-
5-11-2009

Monday 2 November 2009

جنة الكنانة

Di sini adalah tamanku. Tempat aku menulis dan berfikir. Tempat aku menguis dan mengukir. Tempat aku menangis dan berzikir. Taman ini tiada apa yang istimewa selain tenang. Orang kebanyakan takkan singgah di sini.

Mereka nampak taman ini usang, gersang, kusam dan sepi. Kalau aku bukan pemiliknya, aku tentu seperti kebanyakan orang. Mengukur sesuatu sekali pandang. Ah, ni sekadar taman jiwang!
Ya Allah, darimu aku memohon perlindungan.



Rerama dan kumbang tak ramai yang terbang di taman ini. Kebanyakan yang singgah mengenali aku tapi aku tak mengecam mereka. Mereka tahu taman ini milik aku sebab sebelum mereka melekat di celah daun, bergulung-gulung di balik dahan membentuk kepompong, aku sudah ada berteduh di bawah pepohon.

Mungkin dahulunya kita pernah bertemu dan saling mengenali. Cuma terpisah bila lahir ke dunia. Kasih yang sebenar takkan terpisah walau sekian lama tak ketemu. Darah yang mengalir tanpa dipaksa akan menyerbakkan aroma rindu. Ia tak pernah surut tanpa perlu mendengar suara,merenung potret, atau surat.

Perasaan seorang ibu pada anaknya,abang pada adiknya, itulah kasih. Ia mungkin tak sehebat cinta tapi bagiku ia jauh lebih mulia. Mungkin kalian belum mengerti. Di taman ini, aku berikan kalian kebebasan untuk memberi tafsiran.

Alhamdulillah,kalian semua dah mampu terbang sekarang. Aku kagum dengan sayap kalian. Warna-warni sekali, bunga yang layu tentu kembali segar bila menerima kunjungan. Hati-hati, bunga yang wangi selalunya banyak duri. Kalian jangan jadi kumbang yang kasihan!

Ada yang mesra bertegur sapa, sekuntum senyuman dan sejambak kesyukuran aku hadiahkan. Bagi yang sekadar menumpang lalu, aku alu-alukan kehadiran kalian. Baguslah, kalian dah dewasa. Cepat-cepatlah terbang tinggalkan taman ini. Di sini tak ada bunga untuk dihisap madunya. Tak ada sungai untuk menghilangkan haus.

Cuma ada pohon kayu yang agak rapuh dahannya. Daunnya mudah luruh sampai kadang-kadang menutupi permukaan telaga yang bersebelahan. Telaga ini hanya berpaut pada rimbun-rimbun semak dan pohon senduduk sahaja. Kalau tak, dah lama tebingnya runtuh. Walaupun tak dalam, airnya tak pernah kering.

Hujan yang datang sekali sekala memberi semangat baru kepada pohon kayu, kepada telaga. Taman ini semakin menyantuni resmi seorang perempuan. Menumbuhkan semangat dengan airmata. Ego lelaki juga bisa pecah dan rata dengannya.

Sengaja taman ini aku dirikan di bumi yang kontang tanpa sungai tanpa bunga kerna aku tak ingin gangguan. Sungai yang mengalir laju adalah lambang hati bahagia manakala bunga tak ubah seperti cinta. manusia takkan senang dengan kebahagiaan orang lain. Cinta jika bukan untuk tuhan juga menyusahkan.

Dangau burukku bukan seperti yang kalian lihat dulu. Tiang serinya hampir reput dimakan bubuk. Dinding sebelah dalam penuh bersilang dengan sarang lelabah, dinding luarnya sudah ada tanah-tanah kering yang melekat. Ini tak lain kerja sang tebuan dan kuncu-kuncunya. semut-semut berkepala besar pun sudah berani berbaris-baris di atas lantai.

Semuanya bila sudah mampu berdiri, tinggalkan aku sendiri. Aku biarkan kalian singgah dengan baik tapi kalian mudah lupa, siapa sebenarnya tetamu siapa orang asing.

Dari dulu aku berpesan,banyak kali tapi kalian memandang hebat pada keterbukaan. Mana mahu hidup di dangau burukku dengan kenangan yang tak seberapa. Apatahlagi bila kalian merasa adil bila bermain dengan ungkapan takdir.

Takkan harta sekerat ini hendak dikongsi. Agak-agaklah! Aku bukan kedekut tapi sudah banyak yang aku beri, aku kongsi. Tak cukup dengan pemberian, apa yang suka kalian ambil kalian rebut. Aku belajar untuk redha dengan harap turut dapat keredhaan yang sama. Hakikatnya ,

رضاالناس غاية لا تدرك
“Keredhaan manusia adalah impian yang tak tercapai”

Kita takkan dapat mencapai keredhaan dengan benci atau dendam. Usah dibazirkan nikmat yang ada. Semakin cuba kita bebaskan, semakin sesak yang dirasa. Aku engkau dan orang lain. Kebarangkalian untuk terbang beriringan mungkin tiada. namun sekadar mampu, kita iringkan dengan senyuman atau bermanis muka.

"انكم لن تسعوا الناس بأموالكم ولكن يسعهم منكم بسط الوجه"
Sesungguhnya kamu takkan dapat melapangkan manusia dengan hartamu tapi mereka boleh lapang dengan bermanis muka
Lagi,
“لا تحقرن من المعروف شيئا ولو ان تلقى اخاك بوجه الطليق”
jangan memandang rendah pada sesuatu kebaikan walaupun sekadar berwajah manis ketika bertemu saudaramu
Lagi,
ابتسامك في وجه اخيك صدقه
senyumanmu pada saudaramu adalah satu sedekah

Begitu juga hal-hal menggembirakan dan menyakitkan hati manusia. Sekecil-kecil benda boleh menyelesaikan sebesar-besar perkara. Itu bukan benda yang mustahil bagi Allah. Segalanya harus.

"لا تحقرن صغيرة فان الجبال من الحصى"
Jangan memandang rendah pada benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu dari batu –batu kecil

……………///////…………..

Sebenarnya aku menulis pagi ini kerna aku tak boleh tidur. Mata ini tak ingin pejam. Berapa lama lagikah masanya yang aku perlukan untuk gelapkan malam? Biar bayang-bayang rindu tak berani lagi menampakkan diri. Kaki terasa lenguh sekali. Mungkin sebab terlalu banyak dan jauh pengembaraanku malam semalam dan malam sebelumnya.

Dua hari berturut-berturut aku bermimpi mengejar bulan. Setiap kali hampir mendapatkannya, bulan bersembunyi di balik beberapa bintang. Dari jauh aku tenung wajahnya, bercahaya tapi tak berseri. Barangkali serinya dicuri oleh bintang-bintang yang menyamping.

Bukan salah bulan bila ia sembunyi, bukan salah bintang bila berdampingan, salahnya si pungguk terbang terlalu cepat. Kononnya ingin sentiasa dekat . Mata bulat dan tajamnya tak pernah nampak kelembutan yang ada pada sinaran manja bulan tapi mempersoalkan kawah-kawah yang menghiasi permukaan. Mulut pula terlalu asyik memuji bintang. Sikit-sikit bintang!

“Tanya sama hati pernahkah merindu? Ingat masa lena, apa mimpimu? masa berjauhan apa nan dikenang? Bila difahamkan itulah sayang..”

“Jikalau tidak kerana sayang, kuntuman kasih (pada tuhan) tak mungkin kembang, andainya jemu mengganti rindu, jambangan kasih(dari tuhan) tentulah layu.. “

Itulah antara bait lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sewaktu memberi penaksiran tentang sayang dan rindu. Aku memurnikan maksudnya. Menurut hematku, mimpi-mimpi sebegini datang kesan dari cinta dan rindu. Aku merindu kepada banyak benda. Aku antara manusia yang sering salah faham apabila berbicara tentang hakikat cinta dan rindu.

Sekalipun cinta telah kuhuraikan
dan kuperjelaskan dengan panjang lebar
Namun bila cinta kudatangi,
aku jadi malu pada keteranganku sendiri
Meskipun lidahku sudah mampu menghuraikan dengan terang
Namun tanpa lidah ,cinta ternyata lebih terang
Sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya
Kata-kata pecah berkeping-keping
begitu sampai kepada cinta

Jalalaluddin Ar-Rumy sewaktu menyampaikan kuliah kepada pengikutnya sewaktu pengajian di sebuah masjid di daerah Konya (sebuah daerah yang wujud sewaktu pemerintahan Seljuk) tak pernah menujukan cinta untuk manusia.

Segala cinta, kasih, rindu dan harapnya hanya untuk pencipta. Tuhan yang mencipta manusia kemudian menyempurnakannya dengan perasaan. Dari sanalah asalnya sayang. Tujuannya hanya satu, agar kita sentiasa merindu akan pertemuan dengannya.

Kata sebahagian teman, “jangan mendera pembaca dengan bahasa. Bahasa itu digunapakai untuk memudahkan faham.”

Bagiku itulah gunanya balaghah. Ada yang bayan ada yang badi’. Kedua-duanya mengindahkan maksud serta lebih menyampaikan kepada matlub.

Kata-kataku banyak yang dianggap pesimis. Aku bersangka-sangka dengan segala benda. Maulana Jalaludin Rumi juga dianggap begitu oleh sebahagian orang. Entah dimana cacatnya pesimis ini jika ia adalah cermin bagi diri juga penawar bagi kebanyakan hati. Dengan rahmat kasihmu tuhan, di taman yang sepi ini aku ingin mencuba lagi sekali.


-tanpanama-
2-11-2009