Monday, 28 May 2012

Ramadhan satu bulan tapi bukan sekadar bulan

Sekarang musim mengawan (perkahwinan). Sudahkah anda memenuhi undangan perkahwinan kawan-kawan? Sudah tentu majlisnya penuh dengan perkara-perkara yang indah. Keindahan bukan sahaja terserlah pada wajah si pengantin, bahkan terpalit juga pada pengapit-pengapit yang menyamping. Begitulah gambarannya Ramadhan. Kemuliaan dan keindahannya  turut dikongsi dengan bulan-bulan sebelumnya.

Keterkaitan dalam keberkatan Ramadhan dan bulan-bulan sebelumnya terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a. daripada Rasulullah SAW yang bererti,
 “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.” (Riwayat Baihaqi, Ibn Abi ad-Dunya dan Ibn Sunniy)
Allah SWT  menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu medan untuk membersihkan diri setelah 11 bulan bekerja, juga persediaan untuk menghadapi 11 bulan yang akan datang. Di dalamnya terkandung fadhilat yang cukup besar. Justeru amalan-amalan sebelum Ramadhan amat penting sebagai membina momentum ke arah membina Ramadhan yang lebih cemerlang.

Pertama: At-Takhalliy
Ertinya membersihkan dan mengosongkan. Inilah antara amalan yang dianjurkan ulama pada bulan Rejab. Satu bulan yang digelar bulan istigfar. Ia satu daripada empat bulan haram yang dihormati (asyhurul hurum) selain  Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Dari segi bahasa, Rejab bermaksud memuliakan dan mengagungkan. Bangsa Arab sangat memuliakan bulan ini sehingga ada satu peribahasa Arab menyebut,
عش رجبا ترى عجبا
“Hiduplah kamu daripada Rejab ke Rejab nescaya kamu akan lihat keajaiban.”

(Diceritakan pada suatu ketika, ada seorang lelaki menceraikan isterinya. Tidak berapa lama kemudian, isterinya berkahwin dengan lelaki lain. Bekas suaminya tadi menemui lelaki yang baru berkahwin. Katanya, “Bagaimana hidupmu dengan bekas isteriku? Kata lelaki tadi, “Baik-baik sahaja. Kemudian bekas suami tadi berkata, “kamu hiduplah dengan dia daripada rejab ke rejab (setahun) kamu akan tengok keajaiban (perangai yang sebenar)..)

Orang-orang Melayu dahulu juga menyebutkan syair yang cukup indah apabila berbicara tentang bulan suci ini. Menurut mereka,
“Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, manakala Ramadan bulan menuai. Rejab menyucikan badan, Syaaban menyucikan hati dan Ramadan menyucikan rohnya.. .”
Pada bulan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan istigfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Hati juga perlu dikosongkan daripada sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riak, takabbur dan sebagainya. Pembersihan hati adalah langkah pertama bagi seseorang yang ingin mendapatkan kurniaan daripada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW, “Ketahuilah dalam tubuh itu ada seketul daging, jikalau baik ia maka akan baiklah seluruh anggota. Jikalau buruk ia maka akan buruklah seluruh anggota. Ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua: At-Tahalliy
Al-Tahalliy bererti mengisi atau menghiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat. Setelah hati benar-benar bersih, barulah mudah untuk mengerjakan sesuatu perintah dengan ikhlas dan penuh kerelaan. Bagaimana menghiasinya? Sudah tentulah dengan ilmu-ilmu fikah berkaitan Ramadhan. Antaranya, bab puasa, iktikaf, al-quran, tarawih, sedekah dan qiamullail. Ilmu inilah yang akan menjamin kesempurnaan ibadah Ramadhan seseorang kelak.

Kadang-kadang amalan yang dilakukan, walaupun telah sempurna pada zahirnya, tetapi tetap tidak diterima Allah. Itulah amalan-amalan yang berpenyakit. Kita perlu juga mempelajari ilmu hati atau ilmu tasawuf. Imam Abul Hasan asy-Syazili berkata,
 “Sesiapa yang tidak mendalami ilmu ini(tasawuf), dikhuatiri akan mati dalam keadaan melakukan dosa-dosa besar sedangkan dia tidak menyedarinya.”
Dengan persediaan ilmu dan pembersihan bekas tadahannya, kita harapkan ibadah Ramdhan kita bukan sekadar sempurna menjadi bahan santapan, tetapi juga mampu membangkitkan selera juga mengenyangkan.

Ketiga: At-Tajalliy
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita mendekatkan diri secara langsung dengan Allah SWT dengan ibadah-badah sepanjang Ramadan nanti. Itulah yang dimaksudkan dengan at-Tajalliy. Ibadat yang dilakukan akan terasa manis dan tidak membebankan. Puasa bukan lagi suatu perintah bahkan satu keperluan. Seperti kata Prof Hamka,
 “Apabila sudah benar-benar mengenal Allah maka ibadah-ibadah tidak lagi dilakukan tetapi dinikmati.”
Allah menjadikan sesuatu perkara dengan begitu sempurna. Hikmahnya hanya dapat dibaca oleh hati-hati yang benar-benar inginkan kesempurnaan . Jika direnungi, anjuran para ulama di atas adalah sangat mendalam falsafahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.

Jika menjadi keyakinan setiap Mukmin bahawa dunia ini umpama satu medan peperiksaan besar, maka Ramadhan serta segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.

Muhasabah
Terkadang, ada umat Islam yang langsung tidak menyedari kehadiran Rejab dan Sya’ban  kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Sedar tak sedar mereka sudah berdepan dengan Ramadhan. Tidak kurang yang menyambut kedatangan dua bulan ini dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.

Ada juga segelintir masyarakat kita yang terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaan dan kewajaran menambahkan amalan pada bulan-bulan tersebut. Orang yang paling beruntung adalah mereka yang memahami hakikat sebenar di sebalik ibadah-ibadah yang dilakukan menjelang Ramadhan lalu menunaikan hak-haknya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.Wallahu a’lam.

Monday, 21 May 2012

Anis,anis..anis jadi manis (bulan Mei)



Semua orang inginkan ketenangan di dalam rumahnya. Ingin rumah yang selesa, isteri yang memahami, anak-anak yang taat, jiran-jiran yang peramah dan lain-lain. Itu adalah fitrah. Manusia yang sempurna takkan menafikannya kerana sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.
Kebahagiaan bukan terletak pada warna yang kita tentukan pada dinding-dinding rumah. Tetapi pada roh yang kita  celupkan pada dinding-dinding hati penghuninya.
Sebaik-baik rumah adalah rumah Allah. Dalam hadis riwayat Abu Nu’aim, Nabi SAW bersabda, “Masjid adalah rumah bagi orang beriman.” Justeru, hidupkanlah rumah kita sebagaimana selayaknya kita memakmurkan rumah Allah.

Q Bagaimana menghidupkan rumah dengan roh masjid?
A Datangi masjid.
Jadikan solat berjemaah di masjid atau surau sebagai rutin harian. Biar hati kita sentiasa diikat dengan perasaan cinta pada masjid. Bukan sekadar mempersembahkan ibadah sebaliknya bergaul dengan dengan ahlinya, memenuhi taman-taman syurga serta menghayati ketenangan yang ada di dalamnya.

Ada sesetengah orang yang inginkan kebaikan tetapi mereka menjauhi masjid. Bahkan ada yang memusuhinya juga. Mereka sebenarnya orang yang tertipu.
Firman Allah, “Hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat sahajalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah.”
Hadirilah masjid.
Kata penyair, “Kamu inginkan kejayaan tetapi tidak mengikut jalannya, ketahuilah sesungguhnya kapal itu tidak akan belayar di tempat yang kering.” 
Kita tak mampu menghayati sesuatu kebaikan  dengan sempurna jika tidak berada di tempat asasnya. Bak kata ulama sufi, “Sesiapa yang tidak merasai, pasti dia tidak akan memahami.”

Jadikan rumah seperti masjid
Pepatah Arab menyebut, “Setiap bekas akan basah dengan apa yang memenuhinya.” Bila hati mula sukakan kebaikan, sudah tentu kita ingin kongsikannya. Orang yang hatinya dekat dengan masjid akan membawa ‘aura’ masjid pulang ke rumah. Mereka akan hidupkan suasana rumahnya seperti masjid. Kita akan dapat membezakan antara rumah yang dihidupkan dengan roh masjid dengan rumah-rumah yang lain.

Rumah dengan roh masjid
Rumah tanpa roh masjid
Rumah hidup dengan ibadah seperti solat fardu berjemaah, bacaan al-Quran, zikir dan doa.
Meriah dengan perkara yang melalaikan seperti bunyi muzik yang bingit dan percakapan yang sia-sia dan tidak sopan.
Segala benda dilakukan berjemaah seperti makan,  mengemas rumah, menonton televisyen dan berbual-bual.
Setiap penghuni sibuk dengan urusan sendiri dan tidak mengambil tahu urusan ahli keluarga yang lain.
Rumah sentiasa bersih dan dihiasi dengan perhiasan yang sederhana. Apa yang paling penting, perhiasan menepati kehendak syariat.
Rumah penuh dengan patung, gambar  yang tidak menutup aurat dan perhiasan yang diharamkan seperti pinggan mangkuk daripada emas dan lain-lain.
Anak-anak dan isteri akan lebih taat dan hormat kepada ketua keluarga, menghormati keputusan yang dibuat dan lebih menghargai apa yang ada.
Anak-anak bersifat kurang sopan, isteri tidak memberi penghormatan yang selayaknya kepada suami dan kesefahaman susah dicapai ketika membuat keputusan.
Wujud budaya amar makruf nahi mungkar sesama keluarga. Anak-anak yang lewat mengerjakan solat akan ditegur sebaiknya.
Ibu bapa memberi kebebasan mutlak kepada anak-anak untuk membuat keputusan tanpa mengira dosa dan pahala.
Batas-batas pergaulan dan aurat sentiasa dijaga di rumah dan luar rumah. Contohnya, pergaulan sesama adik-beradik, mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan, serta aurat bersama bukan mahram seperti sepupu dan ipar duai.
Pergaulan yang bebas dan aurat tidak dijaga. Anak-anak dan isteri dibiarkan tidak menutup aurat. Adat dan adab diutamakan melebihi agama dan syariat. Contohnya, anak disuruh beradab dengan menyalami ipar dan sepupu yang jelas bukan mahram baginya.
Media dan hiburan Islam menjadi pilihan seperti menonton TV al-Hijrah, mendengar nasyid dan qasidah, membaca majalah berunsurkan Islam dan memantau CD- CD yang ditonton oleh keluarga.
Hanya hiburan semata-mata dengan menjadikan nafsu dan akal sebagai rujukan. Bahan-bahan untuk tatapan keluarga pula tidak dikawal sepenuhnya.

Q Kenapa pentingnya ‘roh’ masjid di rumah?
A Hati tanpa iman umpama orang yang mati. Begitu juga dengan rumah tanpa ‘roh’ atau ‘aura’ masjid. Rumah akan sepi daripada bacaan-bacaan al-Quran, zikir dan peringatan agama. Nabi SAW  mengibaratkannya seperti kubur.
 “Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya sekadar tempat tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah.” (Riwayat Tirmizi)
Apabila rumah seperti kubur, penghuninya pula akan menjadi ‘hantu-hantu’ yang kepanasan. Mereka tidak berasa tenang dan bahagia di rumah lalu terjadilah seperti apa yang kita baca di dada-dada akhbar sekarang. “Haruan Makan Anak”, “Anak Lari Dari Rumah”, Anak Kecil Mati Didera”, kes-kes perceraian dan pelbagai masalah sosial lagi. Semuanya berpunca daripada keruntuhan institusi rumah tangga.

Benar, dalam urusan dunia manusia semakin hari semakin bijak. Tetapi, dalam urusan agama, manusia semakin jahil. Kita semakin jauh daripada rahmat Allah. Kembalilah kepada pesanan Nabi SAW  dalam membina rumah tangga.

Dahulu, sewaktu mula-mula berkahwin kita sering berkata, “Aku ingin mendirikan sebuah masjid!” Maka hari ini, tanyakan kembali kepada diri kita, “Di mana masjid yang aku janjikan?!

Thursday, 17 May 2012

selamat hari guru

Bismillahirrahmanirrahim..
Dua jari telunjuk kiri dan kanan mengambil peranannya malam ini. Banyak butang backspace yang ditekan berbanding huruf-huruf yang disusun membentuk perkataan.

Inilah kelemahannya bila terlalu banyak didedahkan dengan penulisan orang ternama. Inilah masalahnya juga bila kita mula menjadikan seseorang sebagai idola. Paling tidak, kita ingin apa yang kita lakukan sama seperti yang mereka ada.

Padahal kita diciptakan berbeza-beza. Dan di balik perbezaan itulah, terselitnya keindahan yang sebenar.
Mujurlah zaman sudah berubah. Kesalahan dalam mengatur perkataan tidak memerlukan kita memadamkannya dengan liquid atau pemadam. Tidak perlu menggumpal kertas kemudian  menjadi ahli sihir yang kejam. Aku sumpah kau jadi sampah! Lalu sumpahan tadi melata di mana-mana.

Sekrang lain. Tiada pembaziran sumber alam. Melainkan pembaziran umur, masa dan tenaga sekiranya apa yang kita buat tidak mencambahkan kebaikan.

“Eh, kenapa tulisan kamu buruk sangat? Sudah la kecil, ayat pun pendek-pendek.” tegur seorang sahabat yang buruk juga tulisannya kepadaku.
Pada buruk itu ada jawapannya. Tulisan yang kecil dan pendek-pendek pula, ada cerita di sebaliknya.  Bahkan banyak watak penting dalam hidup ini, berlegar-legar di balik tulisan yang hodoh ini.
Saya pelajar kampungan. Kecil di kampung, membesar di kampung dan insya-Allah jikalau diberikan peluang ingin mati di kampung. Kampung Paloh Nyior.

Sebuah kampung yang kecil. Jikalau menunggang motosikal menjadi ukuran, nescaya jaraknya lebih mudah untuk digambarkan. Apa tidaknya, sebelum sempat menekan gear tiga, signboard kampung sebelah sudah melambai-lambai manja.

Kampung Bukit Tadok. Nama kampung yang berjiran. Kalau tidak kerana sekolah, sudah tentu saya tak mahu meyebut namanya bahkan tak ingin mengiktiraf kewujudannya. Tempat ini membina pelbagai rasa. Ada suka, cinta, marah, benci dan dendam. Berkat lamanya masa, rasa itu diadun menjadi satu. rindu. Betapa hidup ini umpama jeput pisang.Asalnya gandum yang tawar, ditambah garam, pewarna, pisang,dan lain-lain barulah terbentuk rasa yang sebenar. Sedap.

“Karangan itu seperti manusia. Perlu ada kepala perut dan kaki.”
“Baiklah semua, sekarang kita akan menulis karangan. Keluarkan kertas kajang masing-masing,” Guru Bahasa Melayu memberi arahan. Namanya GuBes. Bukan menghina tapi memang mahu dipanggil begitu. Singkatan daripada Guru Besar. Seorang guru tua yang menjadikan kelas Bahasa Melayu seperti kelas sains. Suka membandingkan setiap benda yang diajar dengan alam sekitar. Perbandingannya melampau.

“Eh, jauh terbang..mana kepala, perut dan kaki yang saya suruh buat tadi!”
“saya tak ada kertas cikgu!”
“dah lama cikgu suruh beli kertas. Ada sape-sape nak bagi kertas ke  kawan kita?”
Semua diam. Diam tandanya tak ada. hakikatnya tak mahu. Tiba-tiba teman yang baik di belakang menghulurkan kertas. Bukan tiba-tiba tapi seperti biasa. Dan keterbiasaan itu tidak lagi membuat saya teruja.
“Terima kasih.”
Dia tersenyum.
“Karangan kamu mesti lebih 80 patah perkataan.Perlu ada satu kepala,perut kena ada empat isi, satu makan pagi, makan, tengahari, makan petang, makan malam. Kalau ada lebih, boleh tambah makan tengah malam. Pastikan ada kaki. Faham semua?” Gubes berfalsafah lagi.
“Faham.”
Ah, berlakon semuanya.

Saya suka menulis tapi saya benci subjek penulisan. saya benci dikasihani. Benci juga diperli-perli. Kertas  kajang perlu dibeli sendiri. Koperasi sekolah menjualnya 10 sen 2 keping.

Tahun 1998, 20 sen sudah tidak tinggi nilainya, gula –gula ketika itu 3biji seposen (kecuali gula-gula susu yang ada gambar lembu di kulitnya). Bagi kebanyakan murid yang tak dibekalkan dengan duit belanja, ia tetap merungsingkan.
Kertas kajang yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam menghasilkan satu karangan, saya akan kecilkan tulisan seboleh mungkin. Satu halaman ada 20 baris. Dalam 20 baris ini perlu ada manusia yang sempurna kepala perut dan kaki. Halaman sebelah, akan digunakan semula untuk manusia yang seterusnya.
Tulisan yang buruk pula ada kaitannya dengan mata. Sejak kecil, saya dapat melihat dengan jelas, objek-objek yang dekat. Yang sederhana dekat , saya kabur. Yang jauh, saya buta…
“Ahh, lwat dah rupanya...bercerita ni sampai bila tak habis. esok nak kerja. Lain kali la sambung. Kalau Tuhan masih memberi kesempatan waktu insyaallah waktu itu akan menyambung perjuangan waktu sekarang untuk menceritakan waktu-waktu dahulu.”

Apa tujuan saya menulis malam ni? Jauh benar menyimpangnya..saya ingin mengucapkan Selamat hari guru kepada semua yang pernah saya ambil ilmu dari mereka. Sama ada dia adalah pelajar saya, atau orang-orang lain yang member kesan dalam hidup saya… itu sahaja!
-waza-

Wednesday, 18 April 2012

Q&A 5: Tuhan Merahmati Cinta

Sekiranya terdapat seorang lelaki dan perempuan saling mencintai antara satu sama lain, perbuatan itu tidaklah salah menurut agama. Perasaan cinta itu bukanlah dibuat-buat sebaliknya telah ditanam oleh Allah SWT. Ketahuilah bahawa cinta itu mulia dan suci.
Sabda Rasulullah SAW, “Barang siapa yang bercinta, dan merahsiakannya dan tidak berbuat maksiat kemudian mati, dia akan masuk syurga.” (Hadis dipetik daripada kitab Bidayah wan Nihayah karangan Ibnu Katsir)
Ubat Cinta
Ada seorang lelaki kaya yang mempunyai seorang anak lelaki yang sakit tenat. Puas diubatinya tetapi tidak juga sembuh. Akhirnya beliau memanggil Harits ibn Kaladah, seorang tabib yang masyhur dari Taif.

Ibn Kaladah masuk ke kamar dan memeriksanya. Sesudah itu, beliau keluar dan meminta kepada ayah pesakit untuk menyediakan senarai nama-nama gadis di kampung itu. Ayahnya terus mengusahakannya. Setelah beberapa lama, dikirimkan nama-nama itu kepada Ibn Kaladah.

Ibn Kaladah pun masuk kembali ke kamar putera lelaki kaya itu dan dan mula membaca nama-nama gadis dalam senarainya. Sambil membaca, beliau memerhatikan wajah putera itu.
Tiba pada satu nama, wajah anak ini berubah. Ibn Kaladah pun berhenti. Dia keluar dan berkata kepada si ayah, “Cari gadis ini dan kahwinkannya dengan anakmu. Insya-Allah dia akan sembuh!”

Ayahnya pun mencari gadis yang disebutkan dan terus dipinangnya. Sebaik sahaja mereka berkahwin, puteranya pun sembuh.

Kesan Cinta
Khalifah Yazid ibn Abdul Malik pernah membeli seorang hamba bernama Habbabah dengan harga 100,000 dinar. Baginda sangat menyayangi Hababah namun begitu dengan takdir Allah, Habbabah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Cinta Yazid yang sangat mendalam menyebabkan baginda tidak sanggup mengebumikan jenazah Habbabah. Jenazahnya terbujur berhari-hari sehingga ditegur oleh saudara baginda yang bernama Maslamah. Akhirnya baginda akur dan mengebumikannya.

Disebabkan terlalu cinta, baginda sanggup menggali kubur Habbabah semata-mata untuk menatap wajahnya. Setelah dipujuk agar mengebumikannya semula, baginda setuju namun selepas itu baginda tidak keluar-keluar lagi dari biliknya. Pada hari ke-17, Khalifah Yazid meninggal dunia.

Hakikat cinta
Abu Nasir as-Sarraj berkata, “ Sesungguhnya orang yang bercinta, akan taat kepada orang yang dicintainya.”
Kecintaan di sini termasuklah cintanya seorang makhluk kepada Tuhannya. Dia akan taat sepenuhnya perintah Tuhan tanpa dipersoalkan. Suami isteri yang saling mencintai juga sebegitu. Hayatilah cinta Rasulullah SAW dan Sayidatina Khadijah. Tidak kira siapa yang berada di hadapannya, Rasulullah SAW tetap akan mengenangkan Khadijah dan menceritakan kisahnya kepada mereka. Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya Allah SWT telah menanamkan rasa mahabbah di dalam kalbuku terhadap Khadijah.”
Tazkirah Habib Hasan al-Attas, susunan Waza.

Tuesday, 6 March 2012

setahun sebuah sketsa


“Kalau sudah cukup segala keperluanku,kalau sudah tertunai segala tanggungjawabku, aku ingin mendiami desa ini!”
Itulah ungkapan pertama saya sewaktu berangkat meninggalkan Madrasah al-Jenderami. Ketika diminta membuat liputan Program Maulid al-Kubra di sana, ada tersimpan sedikit cuak di hati. Sepatutnya malam-malam minggu begini dibazirkan dengan bermain badminton bersama rakan-rakan.

Ketika ditanya seorang teman berpangkat ketua, seikhlas mungkin saya menjawab, “Tak kisah pun kerja hujung minggu, saya anggap ni mengaji bukan mengharap gaji!” saat itu terasa seperti merekah bibir ini dengan beberapa batang tebu yang ditanam di pangkalnya.

Sejujurnya, saya belum pernah melihat pengasas desa ilmu ini. Bagaimana persisnya? Keturunan Nabikah dia? Ketika melangkah ke masjid, pandangan saya tumpah pada seorang lelaki yang mengemas bahagian depan. Begitu tekun dia dengan kerjanya. Beruntungnya orang yang menjadi wasilah kepada sesuatu kebaikan. Boleh jadi ada hati yang khusyuk solat kesan dari kemasnya masjid, maka itu sudah menjadi pahala baginya.

“Ustaz, itulah Syeikh Hafiz Selamat, pengasas al-Jenderami!” beritahu seorang lelaki yang berdiri di depan pintu masjid. Subhanallah! Berganda-ganda keberuntungan hamba Allah ini daripada yang saya jangkakan! Setiap yang datang dan memuji Rasul SAW, pasti ada bahagian untuknya. Sama dan tak mungkin berkurang.

Mungkin sibrah (celupan) inilah yang menjadikan tempat ini begitu bersih. Lazimnya, kalau diadakan majlis keramaian, pasti sampah menjadi sebahagian daripada tetamu yang tidak diundang. Tetapi di sini semuanya berbeza. Lantai dan longkang sentiasa dibersihkan sehingga air yang mengalir disangka suci dan mampu menyucikan (air mutlak).

Sambil menunggu bacaan Ratib Haddad sebelum Maghrib, beberapa lelaki memberi salam dan memperkenalkan diri. Wajah mereka mungkin tak cerah tapi senyuman yang terukir membuatkan saya seperti melihat cahaya. Sungguh murah mereka dengan sedekah!

Mereka hadir ke sini kerana cinta dan rindu. Semua rasa bahagia dapat melakukan sesuatu yang disukai kekasih mereka. Kebersihan.Senyuman. Sepanjang dua hari, inilah buah mulut dan pencuci mata yang paling mengenyangkan. Melebihi kari kambing yang menjadi juadah utama. Melebihi penjaga gerai sirap bandung biji selasih yang agak mempersona.

Ketika makan, saya dan beberapa tetamu biasa dilayan dengan luar biasa. Kata seorang petugas , “Nabi berdakwah selama 40tahun bilhal(dengan akhlak), ditambah 23tahun dengan kata-kata. Kita pun sepatutnya begitulah. Tunjukkan akhlak Islam. Tetamu-tetamu kehormat, kita sudah tahu keteguhan hati mereka. Tetamu biasa inilah mad’u sebenar. Kita kena layan mereka dengan baik biar teguh hati mereka di jalan orang yang mencintai Nabi SAW.”

Itulah Ustaz Adib Razib, pembantu kepada Syeikh Hafiz. Dia mengingatkan saya kepada Anas bin Malik r.a. Khadam nabi yang mewarisi dan mewariskan ilmu yang banyak .Kata Anas, “ betapa hampir sepuluh tahun aku menjadi khadam Nabi, tapi kudapati Nabi lebih banyak berkhidmat untukku.

Syeikh Yusuf Bakhour al-Kanadi, ketika tausiahnya di malam penutup menyebut, "Nabi itu sifatnya al-Halim. Al-Habib Ali Zainal Abidin selaku perantara menterjemahkannya dengan Penyantun. Justeru setiap yang mengaku mencintai Nabi pasti mewarisi sifat yang sama.

Banyak kenangan yang ingin saya ceritakan. Semuanya indah. Bercerita tentang keindahan takkan memudarkan keindahannya. Menceritakan keindahan juga takkan ada penghujungnya. Itu baru akhlak para pencinta rasul. Bayangkan, andai yang dibicarakan itu adalah makhluk yang terindah akhlaknya! Muhammad Sollalahu alaihi wa alihi wasohbihi wabaaroka wasallam.
Benarlah kata-kata Imam Bushiri:
فان فضل رسول الله ليس له حد
فيعرب عنه ناطق بفم
Sesungguhnya kelebihan Rasul itu tiada batasan
Maka semanis mungkin bibir mengungkapkan

Friday, 3 February 2012

Bismillahirrahmanirrahim..


"ingat Ust, sblm pergi settelkan keje dulu!"

Akhirnya, tiba hari terakhir saya berkhidmat di Sekolah Menengah Sri Bestari. Iaitu kelmarin. Saya mahu sebutkan yang manis-manis sahaja di sini, walaupun yang pahit itu ada. Biarlah saya pergi dengan sesuatu yang manis untuk diingat-ingatkan.
لم ار في عيوب الناس عيبا
كنقص القادرين على التمام
tak kulihat pada diri seseorang itu aib yang lebih besar
spt lemahnya orang yg sebenarnya mampu untuk sempurna


Saya akui, saya bukan guru yang terbaik, yang punya kelemahan dalam pelbagai aspek. Himmah saya, komitmen saya, sebahagian besarnya pada mempertingkatkan penguasaan ilmu agama, dan yang bakinya, mungkin pada tanbih; memberi peringatan pada perkara yang sensitif sahaja, seperti hak Tuhan dan hak Baginda s.a.w. Adapun bakinya, saya lebih banyak mendiamkan diri, walaupun saya punya banyak pendapat.

Walaupun begitu, jauh di hati kecil ini, saya masih belum begitu berjaya mendidik dan mengajar. Sebetulnya saya segan dengan guru-guru berpengalaman yang bijak menangani teknik mengajar dengan berkesan. Dengan keterbatasan sekalipun, mereka berjaya mencapai maksimum. Mungkin yang dikesalkan adalah, anak-anak buah yang menjadi mangsa percubaan saya, untuk menyampaikan sedikit pengetahuan.

Untuk anak-anak murid yang bakal dirindu, terutamanya kelas form 5 yang yang paling saya tunggu untuk masuk mengajar, kalian semua sangat istimewa. Kalian tentu akan sempurna jika Allah menghendakinya. Bila mata ini nampak banyak kekhilafan yang berlaku, rasa marah dan kesal membuak-buak. sedikitnya pada kalian. banyaknya pada orang-orang yang turut berkongsi dosa tatkala tanggungjawab mendidik kalian diabaikan.(keluarga)

Untuk rakan-rakan sekerja, staff dan kakitangan, setiap watak adalah pelakon utama yang protagonis. semuanya memainkan peranan dengan baik untuk mengindahkan cerita hidup saya. Nanti di waktu yang sangat singkat, ombak-ombak kesibukan akan menghakis istana kenangan ini. Itu lumrah. Dunia bukan sekadar tempat mengumpul kenangan. kita pendatang dengan izin yang mencari syurga dengan tiket ilmu, iman dan amal.

Terima kasih semua. semoga Allah menemukan kita kembali. kalau di dunia ini dengan sedikit kegembiraan, biarlah di tempat sesudah dunia nanti dengan penuh gelak ketawa. Ameen.

Demi Allah, di saat itu saya ingin ketawa lebih kuat dari kalian..

-tanpanamatetapsama-