Sunday 4 May 2014

Surau @ Masjid


Pelajar-pelajar Smaasza selalu bertanya pada saya beberapa benda tentang surau ini; bolehkah wanita yang haid duduk belajar dalam surau ini? Bolehkah iktikaf di sini? Bolehkah solat sunat tahyatul masjid  di sini? Sebenarnya jawapan untuk semua persoalan ini kembali kepada tempat itu; adakah ia 'masjid' mengikut Islam atau bukan. 

Bagi menjawab dengan jelas, saya kongsikan jawapan Ustaz Syed Abdul Qadir al-Jofrey dalam soal jawab hukum hakam masjid di dalam Majalah QA.
                                                                                  Surau Smaasza Batu Buruk

Q Mana ruang masjid yang tidak boleh diduduki  wanita?

A Ia berbalik kepada hukum binaan masjid. Masjid yang kita fahami jika mengikut kepada apa yang digazetkan sebagai  masjid ialah dari pagar sampai ke pagar. Semuanya tanah masjid. Jika di dalam tanah masjid dibuat carwash, adakah wanita yang berhadas besar tidak boleh cuci kereta di situ? Ataupun wanita tersebut ingin masuk ke dalam bilik air masjid. 

Itu semua tidak dikira sebagai masjid walaupun duduk di dalam tanah kepunyaan masjid. Apa yang dikira sebagai masjid yang mana wanita berhadas besar dilarang duduk ialah ruang solat yang diwaqafkan untuk solat. Adapun ruang masjid yang diwaqafkan untuk pelbagai guna, maka itu tidak mengapa. Contohnya, dewan kuliah, perpuastakaan dan balkoni masjid. Walaupun ia di bawah bumbung yang sama dengan masjid, ia tetap tidak ada masalah.

Ia sama seperti yang dilakukan di Masjid al-Azhar, Mesir. Masjidnya besar tetapi ruang solat utamanya tidak besar mana. Ia mempunyai ruang terbuka di tengah-tengah. Di sebelah tepi terdapat banyak bilik. Setiap bilik (ruwaq) tersebut diadakan pengajian-pengajian agama. Ia dibuat lebih seribu tahun yang lepas.
Maka para ulama mengatakan boleh orang yang berhadas besar duduk di dalam bilik pengajian di masjid. Itulah juga sebabnya ulama membina bilik sebegitu di dalam masjid. Agar orang yang berhadas besar khususnya wanita yang berhaid dan nifas boleh datang pengajian.

Q Wanita yang masuk ke masjid, adakah wajib menutup aurat?

A Kewajipan menutup aurat itu di mana-mana sahaja, bukan hanya di dalam masjid. Contohnya aurat seorang wanita yang berada di dalam masjid. Jika dia membuka tudung yang dipakainya kemudian memakai telekung solat, rambutnya akan terlihat oleh wanita lain di situ. Dia tidak berdosa selagi mana tidak dilihat oleh bukan mahram.

Q Bagaimana pula dengan wanita bukan Islam yang masuk ke dalam masjid?

A Orang bukan Islam, kita tidak boleh paksa mereka memakai tudung. Jadi, apabila mereka masuk ke dalam masjid sekalipun, kita tidak bpleh mengatakan wajib bagi mereka menutup aurat.
Adapun inisiatif yang dilakukan oleh sesetengah masjid seperti Masjid Negara dan Masjid Shah Alam  dengan memberikan jubah kepada pelancong, adalah bertujuan untuk menghormati masjid sebagai tempat orang Islam. Selain itu, ia untuk menjaga mata orang-orang yang beribadah di dalam masjid tersebut.

Q Adakah orang bukan Islam boleh masuk ke ruang solat yang utama?

A Boleh. Tidak ada masalah. Perkara ini sememangnya menjadi khilaf di kalangan ulama tetapi ulama mazhab asy-Syafi’i mengatakan harus. Di Selangor contohnya, kita mengamalkan mazhab asy-Syafi’i sepertimana yang disebut di dalam perlembagaan negeri. Maka jika betul kita mengamalkan mazhab asy-Syafi’i, tidak seharusnya kita menolak perkara seperti ini apatah lagi menjadikan perkara ini suatu isu yang besar dengan mengatakan sebaliknya.

Q Bagaimana pula jikalau orang bukan Islam berhadas besar? Lagipun bukankah kita sudah sedia maklum bahawa mereka tidak pernah mandi wajib?

A Benar mereka tidak pernah mandi wajib. Jika orang bukan Islam mandi wajib sekalipun, ia tidak sah. Dalam Islam, mandi wajib bagi bukan Islam hanya sah dalam satu keadaan iaitu:
·         Mandi wajib wanita bukan Islam (ahli kitab) yang berkahwin dengan lelaki Islam. Dia wajib mandi wajib setelah suci dari haid dan nifas untuk menghalalkan hubungannya dengan suaminya.
Ulama yang membahaskan perihal keharusan orang bukan Islam masuk ke masjid ini sememangnya sudah tahu bahawa orang bukan Islam tidak pernah mandi wajib. Mereka sedia maklum kerana masalah suci atau tidak itu hanya bagi orang Islam kerana orang Islam yang boleh menyucikan diri. Namun ia bukan persoalan utama kerana bagi orang bukan Islam, najis yang utama bukan hadas besar tetapi najis yang berbentuk maknawi iaitu kekufuran mereka. 

Q Apa dalil yang menyatakan wanita bukan Islam boleh masuk masjid?

A Pada zaman Nabi SAW, berlaku peristiwa orang bukan Islam masuk masjid dan Nabi SAW membiarkannya. Bukan setakat biarkan, Nabi SAW juga ada mengikat tawanan bukan Islam di dalam masjid. Tiada disebutkan dalam mana-mana sumber, Nabi SAW bertanya sama ada mereka suci atau tidak.

Tambahan:
Nabi SAW telah menghantar pasukan tentera berkuda dan menawan Tsumamah bin Utsal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi SAW. Apabila Nabi SAW datang ke masjid dan melihatnya, Baginda bertanya, “Apa yang ada engkau dapati wahai Tsumamah?”
Jawabnya, “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu.”
Lalu Nabi SAW meninggalkannya. Keesokannya Nabi SAW bertanya lagi, “Apa yang engkau dapati Wahai Tsumamah?”
Jawabnya, “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih.”
Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi SAW bertanya lagi, “Apa yang engkau dapati wahai Tsumamah?”
Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu.”
Lalu Nabi SAW memerintahkan, “Bebaskan Tsumamah.”
Tsumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah.”
Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Q Bukankah ini satu ketidakadilan dan kekurangan bagi wanita Islam kerana tidak dapat beribadah di dalam masjid ketika berhadas besar?

A Kita akan berkata sedemikian jika mengikut logik akal fikiran. Kita sebenarnya beruntung kerana kita ini beragama Islam. Jika seorang wanita yang suka datang ke masjid, tiba-tiba uzur syar’i dan tidak datang ke masjid, maka dia tetap mendapat pahala juga (kerana taat perintah Allah yang tidak mengizinkan mereka duduk di dalam masjid).
Apa-apapun sebaik-baiknya pihak masjid menyediakan satu ruang untuk wanita yang uzur agar boleh duduk di dalam masjid.

Nur
Mudah Yang Payah

Cuba AJK-AJK masjid duduk di tepi pintu masjid dan buat statistik, berapa ramai orang yang melangkah dengan kaki kanan berbanding kaki kiri? Jika lebih ramai orang melangkah dengan kaki kiri berbanding kaki kanan, maka AJK masjid perlu melakukan sesuatu. Contohnya, buat peringatan di luar seperti petanda ‘Langkah Kanan La, Wei!’.

Perkara sebegini walaupun nampak kecil tetapi akan menjentik hati orang yang membacanya. Bukankah Nabi SAW pernah menyebut, “Jangan memperlekehkan sesuatu perbuatan baik walaupun engkau sekadar memberikan senyuman pada wajah kawan kamu.”

Di akhirat nanti, boleh jadi benda-benda kecil sebeginilah yang kita cari untuk memberatkan amalan kita di dalam timbangan Allah.

Q Bagaimana nak bezakan doa masuk masjid dengan doa keluar masjid? Saya selalu tertukar kerana hampir sama bunyinya.

A Beza kedua-dua ini hanya pada penghujungnya. Ketika masuk disebut ‘rahmatik’ (rahmat-Mu) dan ketika keluar disebut ‘fadhlik’ (kelebihan-Mu). Untuk memudahkan kita menghafalnya, kita perlu ingat ketika masuk ke dalam masjid, rahmat Allah SWT (rahmatik) mencurah-curah banyaknya. Jadi kita meminta Allah merahmati kita ketika masuk. Apabila keluar masjid, banyak kurniaan dan kelebihan Allah SWT (fadhlik), jadi kita memohon agar Allah berkenan memberikannya kepada kita.

Q Ada yang mengatakan tidak boleh iktikaf  dan solat Tahiyatul Masjid di surau kerana ia bukannya masjid. Adakah ia benar?

A Kita perlu melihat terlebih dahulu sama ada surau itu diwakafkan untuk solat atau tidak. Jika ia memang wakaf untuk solat dan bukan milik persendirian atau pemaju, maka itu dipanggil sebagai masjid mengikut Islam walaupun kita menggelarnya surau. Kita boleh iktikaf dan solat sunat Tahiyatul Masjid di situ.
Kalau ia milik pemaju, dan pemaju boleh merobohkannya bila-bila masa seperti surau di pusat membeli belah, hotel atau pejabat, maka ia tidak boleh dikira sebagai masjid. Jika ia bukan masjid menurut Islam, maka sudah tentu tidak boleh berniat kedua-duanya.

Q Berapa lama perlu berada di masjid untuk dikira sebagai iktikaf?

A Iktikaf dalam mazhab Syafi’i dikira walaupun berada di dalam masjid untuk beberapa saat (lahzah). Dengan syarat dia berniat di dalam hati untuk beriktikaf. Iktikaf juga diterima walaupun tiada wuduk. 

Q Saya agak keliru dengan istilah masjid jamek, masjid, dan musolla. Boleh ustaz perincikan?

A Masjid jamek ialah masjid yang dilakukan solat Jumaat dan juga biasanya ada pelbagai perkara di dalamnya. Jamek ertinya menghimpunkan. Pada zaman Nabi SAW, solat Jumaat hanya dilakukan di satu masjid iaitu Masjid Nabawi dan masjid itulah yang dipanggil sebagai jamek.
Kalau sesebuah masjid itu tiada solat Jumaat sekalipun, ia masih lagi dipanggil sebagai masjid. Bukan syarat ada solat Jumaat baru dinamakan masjid.
Musolla pula ialah tempat solat. di tempat lapang. Musolla boleh jadi di suatu kawasan yang lapang, padang atau di stadium. Pada zaman Nabi SAW, Baginda menunaikan solat di musolla dalam beberapa situasi seperti solat sunat dua hari raya dan solat sunat istisqa’. 

Q Bolehkah jika tidak ditunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid?

A Ia adalah sunat dan dikerjakan sebanyak dua rakaat.  Orang yang tidak menunaikan Tahiyatul Masjid ibaratnya seperti memasuki rumah seseorang, orang tidak mempersilakan kita duduk, kita duduk terlebih dahulu. Orang itu dikira tidak beradab serta tidak tahu malu.
Jika seseorang itu malas atau tidak berwuduk untuk solat tahyatul masjid, dia boleh berada di masjid dan dianjurkan membaca sebanyak tiga atau empat kali:

Subhanallah wal Hamdulillah wala Ilaha illallah walllahu akbar
Ulama menamakannya dengan ‘al-baqiyatus solihat’. 

Jika seseorang itu telah berwuduk tetapi dia duduk dengan sengaja (tidak mahu solat), maka dia tidak boleh lagi solat Tahiyatul Masjid kerana memang telah berniat tidak mahu solat. Berbeza pula dengan seseorang yang duduk kerana terlupa, dibolehkan untuk bangun kembali menunaikan solat tahiyyatul masjid walaupun jarak masanya sudah agak lama.

Q Bolehkah solat Tahiyatul Masjid ketika khatib sedang berkhutbah?

A Boleh. Nabi SAW ketika sedang berkhutbah melihat seorang Sahabat masuk masjid. Nabi bertanyanya adakah dia telah solat sunat? Dia mengatakan bahawa dia belum solat lalu Nabi SAW bersabda,”Apabila seorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, dan imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat maka jangan dia duduk sehingga dia solat dua rakaat dan bersegera pada solat tersebut.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud ‘bersegera’ tersebut ialah buat yang wajib sahaja.

Peringatan:
Ada sesetengah masyarakat kita yang mengatakan mendengar khutbah itu lebih utama dengan menggunakan kaedah bahawa khutbah itu wajib dan solat itu hanya sunat. Jadi, mendengar khutbah lebih afdhal daripada solat sunat. Sebenarnya, kaedah ini adalah umum dan ia ternafi apabila wujud suruhan yang jelas daripada Nabi SAW seperti di dalam hadis di atas.
Tetapi perlu diingat, orang yang disunatkan solat Tahiyatul Masjid ialah mereka yang berada di masjid. Jika kita terlewat datang solat Jumaat contohnya dan solat di kawasan parking, maka kita perlu terus duduk dan mendengar khutbah.

Q Bagaimana pula jikalau memasuki masjid ketika bilal hampir-hampir iqamat sedangkan waktu itu hanya sempat untuk solat sunat Qabliah sahaja?

A Boleh digabungkan terus niat solat sunat Tahiyatul Masjid sekali dengan niat solat sunat Qabliah. Solat Tahyatul Masjid juga boleh disekalikan dengan solat sunat Wuduk, Dhuha, dan Tarawih. Contohnya, kita sudah solat Isyak di rumah, kemudian kita solat Tarawih di masjid. Maka boleh diniatkan sekali solat Tahiyyatul Masjid dengan Tarawih tadi.
Bahkan para ulama sebut, solat sunat Tahiyyatul masjid boleh disekalikan dengan apa jua jenis solat termasuk solat fardu.

Q Apa masjid yang tidak disunatkan solat Tahiyatul Masjid?

A Masjidil Haram. Ini kerana tawaf qudum (tawaf selamat datang) itu sudah dikira sebagai tahiyyatul masjid. 

Q Apa hukum berniaga di dalam masjid?

A Nabi SAW sebut, “Apabila kamu melihat seseorang berjual beli di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya ‘moga-moga Alllah tidak menguntungkan perniagaan kamu’.” (Riwayat Abu Daud, ad-Darimi dan Ibnu Hibban)
Perlu ingat, Nabi SAW menyuruh kita berdoa agar tidak untung, bukan kita mendoakan agar dia bankrap terus. Namun para ulama masih lagi berselisih pendapat dalam masalah mendoakan ini sama ada secara terang-terangan atau secara diam-diam. Ada yang berpendapat terang-terangan kerana ia dikira sebagai amalan nahi mungkar (cegah kemungkaran).
Sebahagian ulama kata kita cegah diam-diam dengan mendoakan di dalam hati supaya tidak untung. Mudah-mudah dia sedar bahawa berniaga di masjid memang tidak menguntungkan lalu dia pergi berniaga di tempat lain.
Contoh berniaga di dalam masjid ini ialah seperti kita membuat jualan di depan masjid tentang barangan sedangkan orang lain hendak membuat ibadah.  Adapun jika meletakkan flyer di luar masjid ia tidak termasuk dalam berniaga di dalam masjid.

Q Bolehkah membuat pengumuman mencari barang yang hilang di dalam masjid?

A Di dalam hadis disebutkan, “Jikalau kamu melihat orang mencari-cari barang yang hilang, maka  katakannya ‘moga-moga Alllah Taala tidak mengembalikan barangmu yang hilang’.” (Riwayat Muslim) Ini kerana ia akan mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah.

Q Bolehkah wanita duduk satu saf dengan lelaki seperti sesetengah masjid yang mana tempat solat wanita di sebelah kiri masjid?

A Boleh yang pentingnya jangan depan daripada imam. Adapun jika sebaris itu tiada masalah. Yang afdhalnya wanita berada di belakang dan itulah yang terbaik. Selepas saf lelaki dewasa, saf budak lelaki, saf budak perempuan kemudian terakhirnya saf perempuan.

Q Apa hikmah lelaki duduk depan dan wanita berada di belakang?

A Tentu sekali ada satu sebab yang sangat logik mengapa Allah SWT menetapkan sedemikian. Ada yang mengatakan ini sati diskriminasi terhadap wanita, ini tidak berlaku. Hakikatnya wanita jika memandang lelaki ia berbeza dengan lelaki memandang wanita.
Orang lelaki lebih cepat tertarik jika memandang wanita tetapi orang perempuan sebaliknya. Itu juga hikmah mengapa aurat wanita lebih banyak daripada lelaki.  Allah SWT menciptakan wanita dan lelaki sebegitu dan pasti Allah Taala lebih tahu apa yang diciptakan-Nya. 

Q Bolehkah hukum hudud dilaksanakan di dalam masjid?

A Tidak boleh. Ada ulama yang mengatakan haram dan sebahagian yang lain mengatakan makruh melakukan hudud di dalam masjid. Antara alasannya supaya menghormati kemuliaan masjid supaya tiada darah dan sebagainya. Buatlah di luar masjid, di tempat yang lapang dan ramai orang boleh hadir.

sumber: Majalah Q&A terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd