Setelah hampir dua tahun berlalu, saya terjumpa artikel lama tentang kembara saya bersama saudara Nasri Nasir (Yang mengikuti trip percutian bersama MasHolidays pada 1-5 April 2012). Ini episod ketiga dan keempat yang dikongsikan dalam Majalah Anis suautu ketika dahulu.
Rugi rasanya kalau tak kongsikannya kepada teman-teman. Kalau tak berkesempatan ke sana pun, paling kurang ada sesuatu tentang Nepal dan bangsanya yang boleh kita kongsi. Al-maklumlah, keberadaan mereka ke sini sebagai pendatang adalah realiti yang sudah mampu ditentang. Ketika berada di sana, saya mengaku saya hampir jatuh cinta dengan keluhuran budi masyarakatnya. Betul-betul indak rupa dari khabar!
“Putih putih burung merpati,Merah merah biji saga;Kalau sudah jatuh hati,Semuanya indah dan berharga.”
Hari kedua di Nepal, saya
dan peserta rombongan yang lain dibawa ke bandar Nagrapura yang terletak kira-kira
30 minit dari hotel tempat kami bermalam. Jam 5.00 pagi kami bertolak,
kenderaan sudah memenuhi jalan raya. Kebanyakannya motosikal berkuasa besar,
prebet sapu dan teksi.
Ajaibnya di sini
walaupun jalan raya sesak, tiada lampu isyarat. Ketika berada di persimpangan,
semuanya seperti sudah tahu siapa yang harus bergerak dahulu. Saya akui, pemanduan
memang agak berbahaya, namun dalam banyak hal hemah masih terjaga. Benarlah
kata bijak pandai,
“Kalau ingin melihat akhlak sebenar seseorang, lihatlah cara mereka memandu kenderaan di jalan raya.”
Mengelilingi
Banjaran Himalaya
Di Nagrapura, kami berpeluang menaiki penerbangan
domestik iaitu ‘Buddha Air’ untuk
merasai pengalaman indah mengelilingi ‘Bumbung Dunia’. Nama lain bagi Banjaran
Himalaya. Penerbangan selama satu jam
ini sangat berbaloi kerana setiap penumpang diberikan ‘window seat’ untuk
menyaksikan sendiri gunung tertinggi di dunia iaitu Everest (8848 m).
Dengan tambang sekitar 2460 rupee atau lebih
kurang 80 ringgit, para penumpang juga diberi peluang ke bahagian kokpit di
sebelah pemandu bagi membolehkan mereka
mengambil foto dengan lebih jelas. Lebih menarik lagi, sebelum turun kami
diberi sekeping kertas biru. Sijil yang menyatakan bahawa kami telah berjaya
menawan Pergunungan Himalaya. Padanya tertulis satu kata-kata,
“I did not
climb Mountain Everest…but touched it with my heart!”
Berehat di
Nagarkote
Hari ketiga, kami
berpeluang ke kawasan peranginan Nagarkote yang berada kira-kira 35 km dari bandar
Kathmandu. Kedudukannya yang berada kira-kira 2175 km dari paras laut
menyebabkan udara agak sejuk di sini. Pelancong boleh menyaksikan keindahan
matahari terbit dan terbenam serta aktiviti ‘village trekking’. Jika cuaca baik, kebanyakan gunung-gunung
dari Banjaran Himalaya boleh dilihat dari kawasan ini.
‘Blackout’ Setiap Hari
Anda jangan terkejut,
jika tiba-tiba elekrik terpadam di negara Nepal. Ia mungkin luar biasa di
Malaysia tetapi di sini ia satu situasi biasa. Kerajaan Nepal tidak mempunyai
stesen jana kuasa sendiri lalu terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dari negara
India.
Bekalan yang tidak
mencukupi menyebabkan eletrik terputus dengan sendirinya untuk beberapa ketika.
Di setiap hotel atau rumah tumpangan akan disediakan lilin dan lampu suluh.
Makanan Halal
Apa yang menggusarkan
hati apabila mengunjungi negara bukan majoriti Islam ialah makanannya. Bagi
kami, makanan halal di Nepal tidak terlalu sukar dicari. Di tengah-tengah
Bandar Kathmandu, terdapat restoran makanan halal Al-Dajjaj yang menyajikan
makanan ala-India dan Arab.
Kebanjiran pelancong
Islam dari Asia juga menyebabkan kebanyakan hotel menyediakan makanan halal. Di
sini, agak susah mendapatkan daging lembu tetapi makanan berasaskan daging
kambing dan kerbau boleh didapati dengan mudah.
Ada sesetengah
restoran yang kami singgah yang sememangnya diberi peruntukan yang besar dari
kerajaan Nepal untuk menyediakan bekalan makanan halal untuk pelancong Muslim.
Apa yang penting, apabila berada di tempat orang, jangan malu untuk bertanya.
Islam di Nepal
Terdapat beberapa buah
masjid di Nepal. Kami sempat bersolat dua kali di Masjid Jami’ Nepal. Sebuah
masjid hijau yang sederhana besar tetapi boleh memuatkan ribuan jemaah pada
hari Jumaat.
Kami tiba setengah jam
setelah masuk waktu Zuhur kira-kira pukul 12.30 tengahari. Kami terus solat
jamak qasar secara berjemaah di belakang. Beberapa jemaah lain memandang kami
dengan wajah yang pelik. Rupa-rupanya mereka belum lagi menunaikan solat Zuhur
berjemaah. Kebanyakan mereka bermazhab Hambali dan mereka akan menunaikan solat
Zuhur satu jam selepas azan. Alhamdulillah, satu ilmu baru buat kami yang
bermazhab Syafi’i.
Dari ramah mesra kami
dengan imam masjid, di situ juga terdapat sebuah sekolah tahfiz. Kanak-kanak
yang menamatkan pembelajaran akan dihantar melanjutkan pelajaran tahfiz ke
Mesir.
Budaya ‘No smoking’
Susah sekali melihat
orang Nepal merokok. Kerajaan tidak
mengharamkannya tetapi masyarakat memandang serong dan rendah orang yang
merokok. Itulah yang diberitahu oleh pemandu pelancong kami, Mr Shusin Nepal.
Kata-kata mereka ada benarnya juga. Di mana-mana ada tanda larangan ‘no
smoking’.
Bukan itu sahaja,
media juga sangat memainkan peranan. Setiap kali aksi merokok atau minum arak
disiarkan di kaca televisyen, akan terpapar di bawahnya iklan ‘Merokok dan
meminum minuman keras membahayakan kesihatan’. Kalaulah negara Hindu seperti
Nepal boleh melakukannya atas nama adab dan kebudayaan, negara Islam Malaysia
atas nama agama, sepatutnya lebih terkedepan.
Fakta Negara Nepal
Keluasan: 147, 181 sq.
km
Populasi: 28. 58 juta
penduduk
Bahasa: Nepali
Mata wang: Nepalese
Rupee
Politik: Sistem
Demokrasi
Agama: 80%- Hindu, 10%
Buddha, 5% Islam, 5% lain-lain.
Musim: Negara empat
musim. Musim Sejuk: Dec-Feb, Musim Bunga: Mac- May, Musim Panas: Jun- Ogos,
Musim Luruh: Sept-Nov
Masyarakat: Terdapat
lebih 100 etnik dan 90 bahasa pertuturan.
1 comment:
commercial Heating and cooling repair
Post a Comment