Ketika Majlis
Fatwa Kebangsaan bersidang dan mengumumkan status solat jenazah ghaib serta tempoh
pengesahan kematian, saya sedang berada di kedai makan; menunggu roti payang
(nan) yang dipesan. Entah macam mana, saya terdengar suara-suara kasar dari
meja sebelah yang turut menontonnya melalui kaca tv. Mereka mempertikaikan kebanyakan
ahli majlis tersebut dengan alasan mereka tidak tsiqah kerana memakai songkok
bukannya kopiah.
Entah apa yang difahami
masyarakat kita tentang songkok. Bukankah bersongkok juga dikira sebahagian
sunnah Nabi SAW secara umum yang sering dilihat bertutup kepala? Songkok
bukanlah satu benda yang asing bagi masyarakat Melayu. Tiada kehinaan padanya
bahkan ia menjadi kebanggaan dalam mengaitkan masyarakat Melayu sebagai sebuah
masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Belajar Supaya Tidak Kurang Ajar
Mulut kita akan mudah menghukum sesuatu apabila
tidak berilmu. Dengan ilmu, kita akan menjadi lebih berlapang dada dan terbuka
terhadap perkara yang kita tidak setuju. Jika kita melihat seorang yang
dianggap hebat oleh masyarakat, tiba-tiba tampil merendah-rendahkan orang alim
yang tidak sependapat dengannya (padahal para ulama sezamannya mengiktiraf
keilmuan orang alim tadi), orang ‘hebat’ tadi belum layak digelar orang
berilmu.
Semakin bertambah ilmu kita tentang
sesuatu akan membuatkan kita semakin teruja tentangnya hatta mengenai sebuah
songkok. Paling kurang, penutur bahasa Melayu perlu tahu bahawa penjodoh
bilangan bagi songkok ialah ‘sebuah’. Pencinta bahasa dan bangsa perlu sedar
bahawa songkok adalah satu warisan Melayu Islam yang semakin dipinggirkan.
Orang dulu-dulu, menganggap songkok
dipakaikan di kepala yang mulia itu sebagai satu maruah diri. Pantang anak
Melayu jika songkok ditarik dari kepala apatahlagi diinjak-injakkan sesudah
itu. Haji Maarof Salleh, seorang penulis akhbar Berita Harian Singapura pernah
menulis tentang nasib songkok dan bahasa Melayu dalam artikel bertajuk ‘Bahasa,
Songkok dan Agama Islam’ pada 9 Februari 2007.
Bagi pencinta agama, kita perlu sedar songkok mempunyai sejarahnya sendiri dalam Islam. Seorang tokoh ilmuan Malaysia, Syeikh Dr. Afifi al-Akiti yang merupakan Felo di Universiti Oxford adalah antara individu yang sentiasa membudayakan pemakaian songkok. Dalam satu kuliah beliau mengenai ‘Ketamadunan Islam’, beliau menyatakan bahawa kehebatan yang dimiliki Barat pada hari ini adalah diceduk daripada ketamadunan Islam.
Contohnya, penggunaan
‘mortar board’ (topi konvo) ketika acara konvokesyen. Ia adalah adaptasi
daripada peninggalan Islam terdahulu ialah ketika seorang guru ingin memberi
ijazah kepada pelajarnya, pelajarnya diminta untuk menjunjung al-Quran di atas
songkok dan diikat kedua-duanya.
Ia suatu petanda bahawa,
seseorang itu sudah layak untuk menyebarkan agama. Namun, apa yang menjadi satu
trend masyarakat kita, membaling topi tersebut setelah tamatnya acara.
Moga-moga tiada antara kita yang meniatkan membuang agama ketika membaling topi
tersebut.
Sebagai tambahan, Guiness
World Records telah mengiktiraf bahawa universiti pertama di dunia ialah
Universiti Al-Karaouine di Fes, Maghribi. Ia
didirikan pada tahun 859 oleh seorang wanita yang bernama Fatimah al-Fihri,
anak perempuan kepada seorang saudagar kaya yang berhijrah dari Tunisia. Ia
dibina hampir 200 tahun lebih awal daripada universiti pertama di barat ialah
Universiti Bologna, di Itali. Dalam buku Islamic Lost History ada
menyatakan bahawa tradisi konvokesyen yang pertama di dunia adalah di
universiti ini.
Al-Qullais vs Kaabah
Dalam bahasa Arab, songkok di sebut
al-Qalansuwah. Ada satu cerita yang sangat menarik tentang kalimah ini.
Pernahkah anda mendengar cerita tentang sebuah bagunan bernama al-Qullais? Ia
sering disebut dalam kisah tentera bergajah Abrahah yang ingin menghancurkan
Kaabah suatu ketika dahulu.
Diriwayatkan dalam kitab-kitab tafsir
seperti al-Qurtubi dan lain-lain, antara punca Abrahah ingin memusnahkan Kaabah
kerana Kaabah makmur dan selalu dikunjungi orang. Abrahah telah membina sebuah bangunan
yang hebat di negerinya iaituYaman untuk menandingi Kaabah tetapi gagal. Bukan
sekadar gagal, bangunannya telah dimasuki beberapa orang lelaki dari Makkah
yang telah membuang najis di dalamnya. Abrahah menjadi marah dan menjadikan ia
sebagai suatu alasan untuk melanggar kota Makkah.
Apa kaitan cerita itu dengan kisah
songkok? Dikatakan nama bangunan itu bernama Qullais. Ia dinamakan sedemikian sempena
nama Qolansuah (songkok). Bangunan itu dikatakan tersangat tinggi sehingga
sesiapa yang memandangnya perlu mendongakkan kepala dan akan terjatuh
songkoknya.