Petang tadi sekitar jam 6-7petang baru sahaja selesai program Usrah Fikrah. Usrah mingguan yang diwajibkan setiap Rabu, ke atas setiap warga Galeri Ilmu Sdn. Bhd yang bekerja kurang daripada 3 tahun. Perbicaraan usrah kami adalah berlegar sekitar fardu ain, sunnah dan motivasi.
Selalu saya nasihatkan kepada sahabat bahawa anda beruntung kerana bekerja di sebuah tempat yang membudayakan ilmu dan amalan. Ada orang yang sangat suka belajar tetapi setelah memasuki dunia kerja, mereka dihimpit masa. Ada yang sangat ingin beramal tetapi mereka tiada ruang dan peluang.
Malu Bertanya Sesat Jalan
Tuan Haji Mislan, seorang senior graffic designer yang saya kagumi dengan kesungguhannya belajar agama tiba-tiba mengajukan pertanyaan, “Ustaz, apa hukumnya seseorang itu makan dengan mengeluarkan bunyi yang kuat ketika mengunyah sehingga menghilangkan selera orang lain?” Ketika itu sedang dibicarakan tentang adab-adab melayan tetamu.
Saya membelek semula kitab Ihya Ulumuddin dalam membicarakan perihal makan. Ada satu bab yang dinamakan ‘Bab Makan Bersama’. Subhanallah, begitu terperinci huraian Imam al-Ghazzali dalam masalah ini. Syeikh Jamaluddin al-Qasimi meringkaskan di dalam Mauizatul Mukminin beberapa adab utama.
Adab yang terakhir secara umumnya menjawab persoalan Haji Mislan tadi iaitu jangan melakukan sesuatu yang menjijikkan ketika makan bersama orang lain. Contohnya:
1.
Mencelupkan tangan ke dalam bekas
makanan.
2.
Jangan terlampau menundukkan
kepala ke bekas makanan tatkala mahu menyuap.
3.
Jika mahu mengeluarkan sesuatu
dari mulut, hendaklah memalingkan muka daripada bekas makanan itu, kemudian
diambil dengan tangan kiri.
4.
Jangan dicelupkan suapan yang
berlemak ke dalam cuka (atau sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak
diingini oleh orang lain.
5.
Jangan dicelupkan lebihan makanan
yang telah digigit ke dalam lauk-pauk atau cuka.
6.
Jangan pula menyebut-nyebut
hal-hal yang boleh menjijikan ketika makan.
Baru-baru ini, seorang pendakwah terkenal dari bumi Hadhramaut, Yaman telah datang ke Malaysia. Dalam satu tausiahnya (nasihat) di Masjid Muaz bin Jabal, Kuala Lumpur beliau berpesan: “Jadikanlah ilmumu seumpama garam dan adabmu seumpama tepung.”
Satu kalam yang cukup indah dan mendalam maksudnya. Setinggi manapun ilmu kita pastikan adab kita lebih banyak daripada ilmu tersebut. Ibarat garam dan tepung. Ilmu yang banyak tetapi tiada adab hanya akan menimbulkan rasa sombong dan takabur dalam diri.
Apabila bercakap soal hukum halal haram berkaitan makan, ramai yang mampu menjawabnya. Tetapi jikalau diperhalusi sunnah Nabi SAW dan adab para Salafussoleh dalam bab makan, belum tentu kita tahu. Kalau tak percaya, cuba lihat adab ini:
Adab Makan Bersama
1.
Jangan mula makan dahulu apabila
ada orang yang mesti didahulukan, seperti orang tua atau orang yang lebih
utama daripadanya.
2.
Janganlah semua orang berdiam
diri ketika makan. Nabi SAW pernah dilihat berbual ketika makan. Apa yang
dilarang ialah berbual ketika makanan penuh di dalam mulut.
3.
Jika kawan kita menolak untuk
makan, bolehlah dipujuk hingga tiga kali. Tidak lebih daripada itu,
kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu sebagai
memaksanya.
4.
Dilarang bersumpah ketika
makan. Menurut al-Hasan bin Ali r.a.: “Makanan itu lebih ringan daripada seseorang
yang bersumpah untuk memujuk kawannya supaya makan lagi.” Maksudnya jika tidak
dihabiskan pun tak mengapa, tetapi jangan bersumpah untuk menyuruh orang lain
memakannya.
5.
Janganlah terlalu menggesa kawan untuk
memakan sehingga ketara seolah-olah ia amat memerlukan makanan itu.
6.
Jangan pula meninggalkan
lebihan makanan di tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih
ada, kerana takut orang mengatakan gelojoh. Tetapi hendaklah dia makan seperti
biasa, seperti makan seorang diri di rumah.
7.
Sebaik-baiknya melatihkan diri
bersopan-santun ketika makan bersendirian di rumah, supaya nanti tidak
teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan dengan orang ramai.
8.
Kalau boleh sewaktu makan
beramai-ramai itu, dikurangi sedikit dari kadar makananan biasa untuk
melebihkan kawan-kawannya.
9.
Janganlah tuan rumah memerhati
kelakuan tetamu-tetamunya ketika makan kelak dikhuatirinya mereka akan
berasa malu. Sebaiknya bersikap pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala
perhatian pada dirinya sendiri lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan.
10.
Tuan rumah perlu makan lebih
dengan niat menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan
semangat mereka untuk menambah lagi.
11.
Jangan berhenti dahulu tetapi
hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-tetamu itu berasa
puas dengan makanan yang dihidangkan. Andai kata kerana sesuatu sebab, ia tidak
dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta izin berhenti
terlebih dulu, supaya mereka tidak berasa malu makan sendirian.
12.
Tuan rumah sendiri yang patut menuangkan
air untuk membasuh tangan untuk tetamu-tetamunya.
Menurut Anas bin Malik, “Andai kata saudaramu mengundangmu untuk makan,
hendaklah engkau menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya.” Diriwayatkan, pernah Khalifah Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Muawiyah yang buta matanya. Apabila selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu Muawiyah. Dia menjawab: “Tidak!” Khalifah membalas, “Yang membasuh tanganmu ialah Amirul Mukminin (dirinya sendiri).” Kata Abu Muawiyah: “Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya tuan hamba telah memuliakan ilmu pengetahuan dan meletakkanya di tempat yang tinggi, maka Allah akan meninggikan kedudukan tuan hamba dan memuliakan tuan hamba, sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan ahlinya.” |
Demikianlah yang dilakukan oleh imam-imam besar seperti Imam Malik dan Imam Syafi’i r.hma jika ada tetamu tinggal bersama mereka. Mereka berkata:
“Janganlah engkau terperanjat pada apa yang engkau lihat daripadaku ini, sebab memberi khidmat kepada tetamu adalah suatu kewajiban.”