Monday 13 May 2013

Mengembara ke Nepal (1)


Kata orang, kita selalunya susah menghargai apa yang ada di samping. Apabila ia hilang, barulah kita terasa keberadaannya dan betapa ia sangat penting. Mungkin itu sebabnya kita dianjurkan agar banyak mengembara. Biar dapat merasai sukarnya hidup di bumi orang lalu dengan sebaik mungkin nikmat di tempat sendiri kita syukuri. 
Imam asy-Syafi’i setelah berumur 40 tahun dia keluar berkelana bersama khadamnya. Apabila ditanya mengapa, ia menjawab, “Untuk mengingatkan diriku bahawa aku seorang pengembara.”
bersarapan chipsmore di dalam fokker..mase ni baru 6.30 pagi
Baru-baru ini saya berpeluang mengembara ke bumi Nepal. Sebuah negara yang agak mundur tetapi penuh dengan khazanah budaya, agama dan alam. Apa yang terbayang di otak saya hanyalah lakaran ‘bumbung dunia’ iaitu banjaran Himalaya serta gunung Everest. Kisah Raja Zulqarnain dan Yakjuj dan Makjuj yang tercatat di dalam surah Kahfi ayat 93 membuatkan saya amat teruja untuk datang ke sini. 

“Sehingga apabila dia sampai dia antara dua gunung, dia mendapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak memahami perkataan. Mereka berkata, "Wahai Zul-Qarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"
  
melihat dari pit hadapan tsebelah pemandu
Ada sesetengah pengkaji mendakwa dua gunung yang dimaksudkan ialah Gunung Chatkal dan Gunung Fergana yang terletak di sekitar kawasan pergunungan Himalaya, Asia Tengah. Tempat tembok dibina disebut Lembah Fergana manakala bangsa Yakjuj dan Makjuj ialah bangsa Scythian Asiatik dan Scythian Eropah yang mendiami kawasan tesebut. (Alexander Adalah Zulqarnain oleh Muhammad Alexander)
 
tersenyum melihat pekerja yang mukanya macam orang Melayu
Saya berpeluang menaiki kapal terbang Fokker ‘Buddha Air’ untuk melihat pemandangan indah pergunungan Everest dari dekat. Perjalanan tersebut walaupun hanya sejam tapi benar-benar mengesankan. Subhanallah, gunung-gunung yang sebegini tinggi dan kukuh mengingatkan  saya akan dialog Allah di dalam surah al-Azhab ayat 33,  
"Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil." 

Terngiang-terngiang juga di telinga saya satu pesan Nabi yang diajarkan oleh Habib Muhammad as-Saqqaf,...apakah sunnah tersebut? dapatkan majalah Q&A bilangan 19 kisah seterusnya!!haha..

No comments: