Monday 6 May 2013

Adab: Duduk Dalam Majlis.


Beruntunglah jika kita seorang guru dan akan bertambah lagi keberuntungannya jika kita dikurniakan murid yang pintar dan taat. Antara rutin mingguan saya adalah mengadakan kuliah tafsir kepada sebuah keluarga di Shah Alam. Audiensnya terdiri daripada seorang anak kecil, lima orang anak dewasa berserta kedua-dua ibu bapa mereka.

 Inspirasi al-Lahab
Suatu malam, seorang murid yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir tahun berkata, “Semalam dalam peperiksaan ada satu soalan yang berbunyi, apakah bukti al-Quran itu satu mukjizat. Apa jawapannya, ustaz?”

“Apa jawapan kamu?” tanya saya semula.

“Saya tulis, di dalam surah al-Lahab, Allah mengatakan celaka ke atas Abu Lahab kerana telah menghina Nabi Muhammad. Ini adalah satu mukjizat yang besar kerana pada zaman Nabi, terdapat ramai kaum Musyrikin Quraisy yang menghina Nabi Muhammad tetapi Allah tidak menyebut nama-nama mereka dengan jelas.” jawab murid saya tadi.

“Mengapa pula begitu? Saya tidak fahamlah,” saya cuba memancingnya.

“Ustaz kan pernah cakap, walaupun surah ini turun ketika Nabi mula-mula berdakwah, tetapi ia telah menyatakan dari awal bahawa Abu Lahab itu memang akan dilaknat sampai akhirat. Kalau Allah melaknat orang kafir lain yang akhirnya memeluk Islam seperti Sayidina Umar, Abu Sufian, dan Khalid al-Walid, bukankah itu bererti al-Quran itu lemah?” terang murid saya yang baru berumur 13 tahun tadi dengan lancar dan petah. Seolah-olah apa yang saya pernah ajarkan dahulu dihadam dan dihayati sepenuhnya.

 “Jawapan kamu memang betul tetapi saya rasa itu tiada dalam silibus buku teks sekolah.”

“Betul, saya dah belajar dan hafal tetapi lupa,”  jawab murid saya dengan jujur.

Sebenarnya, bukan tafsir surah al-Lahab yang ingin saya perpanjangkan tetapi saya ingin mengajak para pembaca berfikir mengapa kadang-kadang apa yang kita pelajari susah melekat di kepala? 


Belajar Ilmu Adab 
Dalam kitab Ta’alim Muta’alim, Imam az-Zurnuji menceritakan tentang dua orang lelaki yang telah keluar ke negeri asing kerana menuntut ilmu. Mereka adalah rakan seperjuangan dalam ilmu tersebut. Setelah beberapa tahun, mereka pulang ke tanah air. Seorang daripadanya menjadi sangat alim dalam ilmu fikah manakala seorang lagi sebaliknya. 

Ahli-ahli negeri itu pelik lalu meneliti dan bertanya bagaimana cara mereka belajar, mengulangkaji dan cara duduk dalam majlis ilmu. Tahulah mereka bahawa orang yang memahami ilmu fikah tadi berjaya kerana sentiasa belajar, mengulangkaji dengan menghadap Kiblat dan duduk dengan mengikut sunnah dan penuh tertib di dalam majlis ilmu. 

Bagaimana cara duduk dalam majlis ilmu yang terbaik? Sayidina Umar r.a. menceritakan dalam sebuah hadis, bagaimana ketika mereka sedang bersama Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak dikenali, berpakaian serba putih dan kemas kemudian duduk di hadapan Nabi SAW. Apa yang dilakukannya? Dia merapatkan lututnya dengan lutut Nabi SAW dan meletakkan tangannya di atas pahanya barulah dia bertanya tentang permasalahan agama.

Setelah lelaki tadi berlalu pergi, para Sahabat masih lagi kehairanan dan tertanya-tanya. Nabi SAW bersabda, “Itulah dia Jibril, dia datang untuk mengajarkan kamu urusan agamamu!” Sayidina Jibril bukannya datang bertanya untuk dirinya tetapi untuk mengajarkan umat Nabi Muhammad SAW tentang ilmu dan adab.


Di mana kedudukan kita?
Kesimpulannya, belajarlah secara bersemuka (talaqi) dan  carilah kedudukan yang paling hampir dengan guru. Biar telinga kita adalah telinga kedua (selepas telinga guru) yang menangkap mutiara hikmah daripada  mulut guru. Bukannya duduk berhampiran dengan bakul sampah di belakang kelas bagi murid-murid sekolah atau di sebalik tiang masjid bagi orang-orang dewasa.

Duduklah dengan elok. Sebaik-baiknya kedudukan guru lebih tinggi daripada murid ketika belajar. Menyentuh soal kedudukan ini, pernah seorang tuan guru berkata, “Pelajar-pelajar sekarang terutamanya yang belajar di universiti tidak mampu memahami dengan baik berbeza ulama terdahulu. Lihat sahaja kedudukan guru dan pelajar di dalam dewan kuliah. Pelajarnya berada di atas, manakala pengajar pula sendirian di bawah. Mungkin di situ sudah terhakis sedikit ‘barakah’.” Dalam diam, saya mengakui kebenaran kata-katanya.

Setiap hari sebelum memulakan kelas, adab-adab sebeginilah yang sering ditekankan oleh keluarga yang saya ajar tadi. Justeru, tidak hairanlah jika mereka sekeluarga mendapat manfaat adab lebih daripada ilmunya.Wallahu a’lam.

No comments: