Wednesday 20 February 2013

Setahun di Khazanatul Ilmi


20 Feb 2013- Bismillahirrahmanirrahim. Sudah genap setahun rupanya saya bernaung di bawah Teratak Astana Karya ini. Tempat pertama yang saya mampu bertahan lebih dua belas purnama. Malam ini sambil memikirkan apa yang ingin dilakukan, saya memulakan tulisan ini. 

Malam Khamis begini, sepatutnya saya di Monterez Golf Club, Shah Alam mengajar anak-anak kecil, adik- adik sederhana dan mak-mak besar. Kelas terpaksa saya batalkan sebentar tadi kerana jin batuk menguasai tengkuk dan bahagian sekitarnya. 
 
Sudah hampir sebulan begini. Sebelum subuh dan maghrib pasti batuk datang tak berhenti. Sebelum dan sesudahnya ok ok dan just nice sahaja. Mungkin kerana penyakit dan mungkin juga lantaran keterbiasaan berlagak batuk saat diminta menjadi imam.

Demi Allah, perjalanan hidup dalam beberapa bulan ini cukup membahagiakan. Walaupun batuk kadang-kadang agak kuat seperti guruh berdentum di langit, kadang-kadang tak berhenti-henti seperti duit yang mencurah keluar dari poket, saya seperti mencapai sebahagian dari matlamat kegembiraan yang saya gambarkan.

Ketika ketemu Syeikh Zainul Asri tahun lepas di Ijtimak Pondok Nusantara,Kota Bharu, saya masih mengingati ucapan beliau. 
 
“Kita selalu sebut orang ini alim, orang ini hebat, tapi sebenarnya alim dan hebat tu tak datang masa kita belajar. Ia datang selepas kita mengajar.” 
Baru-baru ini ketika mengedit satu buku anekdot ulama India, saya terbaca terjemahan penulis tentang ucapan Maulana Zakaria al-Kandahlawi, katanya, 
"Sebenarnya seorang ulama tidak akan lahir sebagai ulama dengan sendiri. Malah lahirnya seorang ulama adalah melalui keberkatan berhubungan dengan ulama yang lain. Ini kerana ilmu bukan hanya apa yang ada di atas kertas, malah ilmu itu nur atau cahaya yang terpancar daripada mereka yang menerima cahaya Nubuwwah."
Semenjak berada di Galeri Ilmu sebagai editor syariah Majalah QA, saya telah diberikan pelbagai peluang untuk mencapai sebahagian daripada matlamat kegembiraan yang saya dambakan. Saya diberi peluang berdamping dengan para tuan guru, habib, kiyai, baba dan masyaikh dari luar negara. saya juga dapat bersama menerima dan menadah kitab-kitab turats bersama.

Saya yang tidak pernah yakin dengan diri sendiri bahkan diberi kepercayaan untuk memberi. Kadang-kadang kuliah pagi, kuliah asar, kuliah maghrib, bicarawara QA, daurah Syamail dan tafsir. sampai sekarang. Penghalang terbesar saya adalah ilmu yang tiada amalnya dan malu yang tidak kena tempatnya.

Menyebut soal malu, saya pernah menulis tentang al-haya' (malu) menurut pemahaman Syeikh Muhammad al-Ghazali di Majalah Anis. Saya juga menulis tentang tentang al-khujul (segan) menurut pemahaman Dr. abdullah Naseh Ulwan. 

Terus terang saya katakan, saya tidak suka dan tidak berminat dengan penulisan ilmiah. Satunya kerana saya memang tidak suka membacanya. Duanya kerana saya tahu orang lain juga tidak suka dan tidak berminat membacanya. Contohnya artikel sebegini:

****************************************************
Khujul Sampai Kojol?
Ada malu yang perlu disimpan. Namanya al-Haya’. Imam Malik menyebut, “ Sesungguhnya bagi setiap agama itu ada akhlaknya dan akhlak bagi Islam adalah malu (al-haya’).“ Ada pula malu yang perlu dibuang iaitu al-Khujul. 

Malu yang kedua ini adalah tabiat semula jadi manusia sejak lahir. Tanda-tandanya muncul seawal empat bulan. Semakin bertambah usia, tanda-tanda malu ini semakin menonjol pada kanak-kanak. Mereka memusingkan mukanya, mengerdikkan mata atau menutup muka dengan kedua-dua belah tangan jika seseorang yang tidak dikenali menghampirinya.

Ketika berusia tiga tahun, jika dibawa berjalan ke rumah orang yang tidak dikenali, mereka akan duduk diam di pangkuan atau di sisi ibunya. Inilah yang disebut oleh Doktor Nabih al-Ghabrah tentang al-Khujul dalam bukunya al-Musykilah as-Sulukiah ‘Inda al-Athfal.

Syeikh Dr. Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya yang masyhur iaitu Tarbiatul Aulad fil Islam menyatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mengikis sifat malu ini daripada diri anak-anak. Caranya mudah. Didik anak-anak cara hidup bermasyarakat seperti  membiasakan diri membawa tetamu berkunjung ke rumah atau membawa anak-anak bersama ketika menziarahi jiran tetangga atau sahabat. 

Boleh juga sesekali,  anak-anak diajak menyertai perbualan orang dewasa.
Perkara sebegini akan memberi keyakinan diri  dan mempercepatkan proses kematangan kanak-kanak. Inilah baja-baja yang ditaburkan generasi terdahulu sehingga mampu melahirkan anak-anak yang ‘masak sebelum waktunya’ seperti Abdullah ibnu Umar, Abdullah ibnu Abbas,  Abdullah ibnu Zubair dan lain-lain lagi.
Belajar Daripada Dua Umar
Menurut Ibnu Umar, suatu ketika Nabi SAW duduk bersama para Sahabat dan berteka-teki, “Dalam banyak-banyak pohon, pohon apa yang tidak luruh daunnya. Pohon itu adalah seumpama orang-orang Islam. Ceritakan padaku, apakah ia?” Orang ramai meneka bahawa ia adalah pohon al-bawadi (sejenis pohon di padang pasir). 

Kata Ibnu Umar, “Dalam hati kecilku, aku merasakan ia adalah pohon kurma tapi aku segan untuk menjawab. Lalu para Sahabat berkata, “Beritahulah kami jawapannya, wahai Rasulullah.” Sabda Nabi SAW, “Ia adalah pohon kurma.” (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Ibnu Umar berkata, “Aku lihat Abu Bakar dan Umar tidak menjawab, justeru aku segan untuk bersuara. Ketika mana kami (Ibnu Umar dan ayahnya) duduk berdua, aku ceritakan apa yang aku fikirkan. Umar berkata, “Jikalau kamu sebutkannya (di hadapan Nabi SAW), itu lebih aku sukai daripada mendapat seekor unta merah.” Sayidina Umar menggalakkan anaknya agar tidak malu untuk menyuarakan pendapat walaupun di dalam majlis orang dewasa. 

Dalam peristiwa yang lain, Abdullah ibnu Abbas berkata, “Umar r.a. telah memasukkanku (dalam mesyuarat) bersama para Sahabat yang menyertai Perang Badar.” Sahabat-sahabat Nabi yang menyertai Perang Badar adalah golongan senior yang selalu dipanggil menghadiri mesyuarat sedangkan beliau masih kecil.
 
Sebahagian Sahabat senior tidak bersetuju dan berkata, “Kenapa dimasukkan budak ini bersama? Kami pun ada anak sebaya dengannya? Jawab Umar, “Ini kerana sesuatu sebab yang kamu sudah sedia maklum.” Ya, semua Sahabat tahu bahawa Nabi SAW pernah mendoakan Ibnu Abbas dengan satu doa yang cukup istimewa iaitu, “Ya Allah, berikanlah dia kefahaman dalam agama dan kepandaian dalam mentakwil (al-Quran).”
Setelah dibenarkan masuk, Umar telah bertanya kepada para Sahabat, “Apa kamu semua tahu faham tentang ayat Allah ini?”
                        “Sekiranya datang pertolongan Allah dan pembukaan.” (An-Nasr 110: 1)
Sebahagian mereka berkata, “Allah memerintahkan kita agar memujinya dan memohon keampunan jika telah mendapat pertolongan dan diberikan pembukaan.” Sebahagian yang lain hanya diam. Umar memandangku dan bertanya, “Adakah begitu menurut pandanganmu, wahai Ibnu Abbas?
“Tidak!”
“Habis, apa yang kamu faham?”

Aku menjawab, “Itu adalah petanda ajal Rasulullah SAW yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Oleh kerana ajal Baginda hampir tiba, maka diturunkan ayat seterusnya supaya Nabi membanyakkan pujian kepada Allah dan memohon istighfar:
“Maka bertasbihkan dengan memuji Allah dan beristighfar kepada-Nya, sesungguhnya Dia Maha Menerima Taubat.” (An-Nasr 110: 3)
Kata Umar r.a., “Aku tidak tahu yang lain selain daripada apa yang kamu katakan tadi.” Tindakan Sayidina Umar ini jelas menunjukkan betapa beliau mengiktiraf dan membenarkan kata-kata seorang kanak-kanak yang masih kecil. 

Khalifah Umar Abdul Aziz iaitu pemimpin zaman Bani Umayyah yang digelar sebagai Amirul Mukminin yang kelima juga mempunyai kisah yang menarik untuk jadikan teladan. Ketika baru dilantik menjadi khalifah, banyak rombongan datang menemuinya untuk mengucapkan tahniah.

Ada satu rombongan dari negeri Hijaz datang  menghadap beliau. Wakil yang dihantar adalah seorang kanak-kanak lelaki yang umurnya belum mencecah sebelas tahun.  Melihat wakil yang sangat muda untuk menjadi seorang jurucakap, Umar berkata, “Pulanglah kamu, bawakan orang yang lebih berusia untuk bercakap!”

Budak lelaki tadi berkata, “Semoga Allah memelihara kamu, wahai Amirul Mukminin. Ketahuilah bahawa seseorang itu dipandang kecil atau besar pada hati dan lidahnya. Jika Allah kurniakan seseorang itu hati yang besar dan lidah yang boleh berbicara dengan baik maka dia berhak untuk bercakap.”

Sambungnya lagi, “ Kalaulah usia yang menjadi ukuran tuanku dalam semua perkara, maka pasti di dalam majlis kita ini ada orang lain yang terlebih layak daripada tuanku untuk menjadi raja.”
Khalifah Umar berasa taajub dengan kata-kata budak lelaki tadi lalu memujinya dengan syair-syair yang indah.

Lihatlah, bagaimana golongan terdahulu mendidik dan membebaskan anak-anak mereka daripada sifat malu yang tak bertempat atau al-khujul ini. Anak-anak dibawa menyertai majlis umum, dibawa menziarahi sahabat, digalakkan bercakap di hadapan orang dewasa, diberi peluang untuk menyatakan pendapat bahkan dibawa sebagai wakil menghadap pemerintah. 

Anak-anak yang dilatih sebeginilah kelak membesar menjadi seorang pejuang yang berani mempertahankan agama dan tidak segan-segan untuk menyatakan kebenaran dan keadilan. Insya-Allah.

No comments: