Monday 9 May 2011


10 Mei 2011- Allah Taala menciptakan manusia dari tanah. Sifat-sifat yang ada pada diri manusia mempunyai banyak persamaan dengan sifat tanah. Dengan sifat-sifat ini, manusia akan menjalani penghidupan dan kelak setelah mati, jasad manusia akan bersatu dengan unsur asalnya. Tanah.

Pernahkah suatu ketika, di saat kamu ketawa dengan rakan-rakan, bergurau senda dengan keluarga, kamu fikirkan bahawa kamu takkan lama dengan mereka. Kamu bakal meninggalkan mereka dan mereka takkan kekal mendampingimu. Mereka bahkan tak memberi kesan padamu setelah mati dan kamu juga sama.

Pernahkan suatu ketika, kamu terfikir untuk meninggalkan sesuatu yang boleh kamu banggakan. Disebut-sebut oleh sekalian makhluk di langit. Dikenang-kenang oleh makhluk yang pelupa di bawahnya. Tak salah berbangga dan memuji diri dalam beberapa keadaan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ulamak-ulamak silam. Syeikh Ahmad al-Fathani dalam muqaddimah kitab Faridatul Faraid melakukan perkara yang sama. Cuma tujuannya takkan sama dengan barang yang terlintas di fikiran. Ia lebih dekat dengan apa yang disebut dalam Al-Quran.

“Dan adapun dengan nikmat tuhanmu maka perkatakanlah”

3tahun berlalu. Hidup ini jadi lebih realistik bila dapat menerima erti ada dan tiada. Adanya kamu tapi tak memberi sebarang guna, samalah seperti tiada. Wujudkan dirimu dengan menjadikannya bermakna kepada orang lain. sebagaimana bermaknanya orang lain pada kamu bila dia tak wujud lagi. waima orang kebanyakan mahupun orang ternama.
خيركم انفعكم للناس
Dulu, sekalian umat manusia berduka bila wafatnya Rasul agung, Muhammad SAW. Berakhirlah segala wahyu dari Allah tapi pujian terhadap Baginda tetap berpanjangan.
فان فضل رسول الله ليس له حد
فيعرب عنه ناطق بفم
Dulu, Anas ibnu malik, seorang sahabat yang pernah berkhidmat hampir 10tahun untuk nabi SAW selalu mengulangi kata-kata ini,
“sesungguhnya aku melihat nabi SAW hari baginda mendatangi kami dan aku melihatnya hari baginda dipisah dari kami. Tiada hari yang menyamai kedua-duanya. Ketika datang, bercahaya segenap ruang dan ketika hampir-hampir ia menemui tuhannya, cahaya menjadi kelam dan gelap seolah turut sama menanggung kesedihan”

Dulu, Hasan Al-Basri, tokoh Tabi’en terulung, menghembuskan nafas yang terakhir di kota Basrah. Saat itu awal bulan Rejab malam Jumaat 110 Hijrah. Besoknya, seusai solat Jumaat, seluruh jemaah mengiringi jenazahnya sehinggalah dicatatkan dalam kitab sirah bahawa tak pernah pun solat Asar dilewatkan di masjid Basrah melainkan hari tersebut, lantaran tiada sesiapa yang ada di masjid ketika itu. Itulah orangnya yang disebut-sebut selalu oleh pujangga Arab Bani Umayyah, Khalid ibnu Sofwan,
انه امرؤ سريرته كعلانبته وقوله كفعله
Dulu, di Hayyu Sabi’ (sebuah perkampungan yang tak asing bagi rakyat Malaysia di Kota kaherah), pemergian Sayid Sabik pengarang kitab fiqh al-sunnah membuatkan manusia keluar beramai-ramai memenuhi jalan. Begitu juga saat perginya syeikh Mutawalli Sya’rawi di Mansurah. Suasananya begitu sayu dan menyebakkan. Kesedihan sentiasa mengiringi kehilangan orang yang alim lagi berjasa. Terutama tempat yangmana ilmu dan ulama dibesarkan melebihi raja dan kerajaan.

Alangkah besarnya keberuntungan, andai kita menyumbang kepada turunnya rahmat tuhan. Setidaknya, jadi penyebab kepada turunnya hidayah Allah dalam jiwa seseorang. Kamu boleh tinggalkan ilmu yang kelak jadi pedoman, sedekah yang seperti sungai pada mengalirnya atau zuriat yang baik yang selalu basah bibir dengan doa.

aku masih tak mengharap banyak. motivasiku kurang, cita-citaku pun tak pernah tinggi. Cukup jika ada sedikit ole-ole untuk dititipkan ketika bertemu tuhan, raja segala raja,pemilik segala kerajaan.

-Waza-